Archive | Harian Metro RSS feed for this section

Aizat Artis Paling Laris

1 Jan

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

Rap
MASALAH cetak rompak dan muat turun nada dering haram masih membelenggu karyawan muzik tanah air. Keghairahan anak muda memuat turun lagu tanpa bayaran menerusi internet atau penjual muzik haram secara Bluetooth atau MP3, menyebabkan jualan lagu, format fizikal terus merosot.

Pada masa sama, jualan digital tidak meningkat tetapi semangat artis tempatan menghasilkan album baru tidak pernah luntur.

Antara artis popular yang masih cekal menghasilkan album solo adalah Datuk Siti Nurhaliza menerusi Tahajjud Cinta, Nurul (Tika Cinta) dan Jaclyn Victor (Jaclyn Victor III).

Tahajjud Cinta adalah album berunsur kerohanian pertama penyanyi wanita paling popular tanah air itu yang dilancarkan sempena Ramadan pada 9 September lalu. Album ke-13 Siti itu mengenengahkan unsur kerohanian dan mesej agama, memuatkan lapan lagu dengan kerjasama beberapa komposer tempatan dan Indonesia seperti Audi Mok, Habsah Hassan dan Opick.

Pada Anugerah Industri Muzik 2009 (AIM 2009), penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu mencatat kejayaan menerusi album Lentera Timur untuk Album Terbaik manakaal Adam dan Hawa dendangan Misha Omar dipilih Lagu Terbaik.

Nurul atau Nurul Hooda Abdul Wahab tampil dengan imej baru lebih ceria membawa tema Japanese Pop atau J-Pop dalam Tika Cinta. Selepas lima tahun berduet, beliau kembali selaku artis solo. Kekuatan album tujuh lagu itu terserlah menerusi sentuhan beberapa komposer terkenal, Sharon Paul, Tam Spider dan muka baru, Bajai.

Menurut penyanyi kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu, sambutan diberikan orang ramai terhadap album ketujuh dilancarkan pertengahan tahun lalu, menggembirakannya.

“Walaupun Tika Cinta baru enam bulan dalam pasaran, saya yakin ia dijual dan terima lebih ramai tahun ini. Azam tahun baru adalah melakukan promosi lebih hebat memperkenalkan album itu di seluruh negara dan Singapura.

“Buat masa ini, saya menyerahkan urusan promosi dan pemasaran kepada syarikat rakaman, Metadome. Setakat ini, album Tika Cinta diterima baik pelbagai peringkat golongan. Bagi saya, ia penghasilan terbaik sepanjang karier nyanyian sepanjang lebih 10 tahun,” kata Nurul.

Jaclyn, penyanyi bersuara tinggi, cemerlang apabila muncul penyanyi pertama meraih anugerah khas Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2009. Lakonan sulungnya melalui filem Talentime membawa kejayaan kepadanya apabila menang Pelakon Harapan Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22).

 

 

Gitaris dan vokalis, Aizat mencatat nama penyanyi popular lelaki paling laris menerusi single, Hanya Kau Yang Mampu mencecah muat turun nada dering sebanyak 1.3 juta, sepanjang tahun lalu. Lagu itu dipertaruhkan Tomok ketika menjayakan One In A Million musim ketiga hingga bergelar juara.

Muat turun nada dering single beberapa artis berkumpulan turut menyerlah. Jinbara mencatat nada muat turun tertinggi kumpulan iaitu melebihi satu juta unit menerusi Patri. Single kumpulan indie, Hujan (Pagi Yang Gelap) mencatat angka mencecah melebihi 500,000 unit sebelum berakhir tahun 2009.

Meskipun terdapat dakwaan penghasilan album artis solo dan berkumpulan kurang menggalakkan sepanjang tahun lalu, jualan muzik dijangka meningkat 2010. Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) melihat perjalanan industri muzik sepanjang 2009 dilihat sebagai satu perkembangan positif.

Pengurus Besar RIM, R Ramani Ramalingam berkata, jualan muzik menerusi format digital semakin penting tahun demi tahun dan format ini mampu mencapai lebih sejuta muat turun di kalangan pelanggan telefon bimbit syarikat telekomunikasi terhadap lagu hangat dan diminati ramai.

Katanya, perkembangan menggalakkan ini dapat dilihat melalui anggaran jualan muzik ahli RIM sepanjang 2009 iaitu jualan fizikal (kaset, cakera padat, VCD dan DVD) dijangka berkurangan berbanding menerusi telefon bimbit dan internet. Ramani juga menyangkal dakwaan industri muzik semakin malap berikutan kewujudan kaedah digital seperti diramalkan banyak pihak.

“Jumlah jualan muzik di Malaysia membuktikan semua ramalan kewujudan kaedah digital tidak tepat. Perubahan industri muzik daripada segi evolusi teknologi mempengaruhi format, perniagaan muzik dan cara muzik dinikmati termasuk cetak rompak dan penukaran cita rasa orang ramai,” katanya.

Katanya, mengikut carta perbandingan RIM 2008 dan 2009, jualan muzik menerusi format fizikal masih menurun. Ia disebabkan beberapa faktor seperti peningkatan teknologi digital, alternatif lain seperti penyiaran radio berformat dan saingan untuk wang pengguna.

“Dari segi sumbangan penerbitan single terhadap industri, sudah tentu perkembangan teknologi merubah proses pengeluaran dan edaran muzik. Ia memberi peluang penggiat seni mengambil lebih risiko mengeluarkan muzik secara berperingkat dengan kos lebih rendah.

“Industri muzik tanah air juga mendapat manfaat dengan perkembangan ini kerana penghasilan single bentuk digital menggalakkan lebih ramai artis dan syarikat, lama atau baru, mencuba nasib menilai sama ada hasil seni mampu memenuhi cita rasa pendengar muzik. Ini penting sebelum mereka membuat pelaburan lebih berat menghasilkan pengeluaran dan promosi album penuh,” katanya.

Ramani meramalkan industri muzik 2010 cerah dengan jualan muzik secara keseluruhan kembali meningkat dan berharap semua pihak termasuk kerajaan, media dan orang ramai terus menyokong industri muzik tempatan demi mengekalkan budaya seni dan identiti negara.

Harian Metro

Tiada Lagi Kerdipan Bintang

31 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
ESOK kita menyambut ketibaan tahun baru 2010, tetapi seharusnya kita jangan lupa kenangan manis dan pahit sepanjang 2009.

Dalam kegembiraan dan kegemilangan dunia glamor hiburan, insan bergelar artis juga tidak terkecuali daripada suratan takdir menyahut panggilan Ilahi kerana setiap yang hidup pasti akan mati,

Pastinya pemergian pengarah terkenal. Yasmin Ahmad pada 25 Julai lalu selepas tiga hari koma, mengejutkan masyarakat. Begitu juga kehilangan vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim pada 13 Ogos cukup dirasai kerana suara merdunya bukan saja mengalunkan lagu yang membawa keinsafan, malah laungan azan memanggil umat Islam menunaikan solat lima waktu dan setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha, suaranya meruntun perasaan dengan laungan takbir.

Dunia seni tanah air juga kehilangan komposer Zubir Ali, Osman Ghani, penyanyi Zainal Cugat, pelakon Shukery Hashim, pelawak Param, pelakon Dayana Kamal dan komposer Ismail Fariz Ali.

Ismail yang dikenali menerusi lagu popular Datuk Khatijah Ibrahim, Ku Pendam Sebuah Duka, meninggal dunia 24 Disember lalu.

Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza pula kehilangan bapa tersayang, Tarudin Ismail, 67, yang disifatkannya sebagai insan yang paling bermakna dalam kerjayanya kerana menjadi pendorong dan pemberi semangat kepadanya setiap kali berhadapan cabaran dan dugaan dunia seni.

Tarudin meninggal dunia pada 15 Februari lalu jam 11.50 pagi akibat serangan jantung.

Di pentas antarabangsa, satu dunia gempar dengan pemergian Raja Pop, Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu di UCLA Medical Center, Los Angeles akibat masalah jantung.

Jackson, 50, yang sepatutnya mengadakan konsert solo di London pernah singgah di Malaysia menerusi History Tour In Concert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1996. Nyata, kematian Raja Pop itu diratapi ramai peminatnya di seluruh dunia termasuk peminatnya di Malaysia.

 

 

Zubir Ali

Komposer

6 Mac 2009

TERKENAL sebagai komposer dan penulis lirik lagu puisi, kehilangan Zubir Ali yang meninggal dunia pada 6 Mac lalu mengejutkan ramai rakan artis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi di sisi semua anggota keluarga di Hospital Pakar Damansara.

Kata isterinya, Fauziah Ismail, suaminya itu kelihatan sihat dan mampu berbual selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Namun, ketika sakit kembali Allahyarham sempat bergurau mahu dia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara yang akhirnya menjadi kenyataan tempatnya disemadikan.

Sepanjang hayatnya, Zubir pernah bekerja sebagai pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya (UM).

Allahyarham pernah mencipta nama bersama kumpulan Harmoni menerusi lagu popular seperti Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.

Antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah Pencipta Lagu Terbaik, Balada Seorang Gadis Kecil pada Pesta Lagu Malaysia 1983, Penulis Lirik Terbaik (Maal Hijrah) pada Pesta Lagu Maal Hijrah 1994 dan Pencipta Lagu Terbaik (Kau Tahu) pada Pesta Lagu Ma’al Hijrah 1995.

Zubir, 60, meninggalkan tiga anak, Fauzul Azhan, 30, Badiatul Adawiyah, 25 dan Raihan Nurani, 23.

Zainal Cugat

Penyanyi

15 Mac 2009

DI kalangan peminat muzik latin tempatan, nama Zainal Cugat cukup dikenali ramai.

Zainal atau nama sebenar Zainal Abidin Yassin mempunyai kemahiran menguasai tujuh bahasa – Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Brazil, Jepun dan Tagalog (Filipina).

Namun, perjuangan seninya terhenti apabila menghembus nafas terakhir pada 15 Mac lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) jam 10.10 pagi akibat serangan angin ahmar.

Mengimbas pengalaman seninya, arwah yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur mencipta populariti di kelab malam sekitar 60-an. Namanya menjadi sebutan ramai selepas menjuarai Talentime di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur dua tahun berturut-turut bermula 1954.

Antara lagu popular yang pernah dinyanyikan adalah Lagu Vollare (Dean Martin) dan Come Closer To Me (Nat King Cole) membuktikan kehebatannya sebagai penyanyi tempatan yang berbakat besar.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak termasuk Raizan yang dikenali Neves, vokalis kumpulan Pretty Ugly.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang.

Osman Ghani

Komposer

19 Mei 2009

LAGU Lizawati yang dipopularkan Rahim Maarof mengingatkan peminat dengan komposer Osman Ghani. Biarpun Osman dikenali pada era 70-an, tetapi cintanya pada muzik tidak pernah padam hingga ke akhir hayatnya.

Osman, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, Perak, 19 Mei lalu kerana asma. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan isteri, Husna Nor Md Habibi, 45, dan lapan anak, Suraya, Mohd Hazwan, Mohd Hairi, Mohd Azwan, Mohd Ridzuan, Siti Norashikin, Mohd Azlan dan Mohd Bunyamin.

Kata Husna, keadaan kesihatan suaminya itu kritikal selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan. Ketika masih hidup, arwah mempunyai projek menerbitkan album pelukis Wan Jaafar yang ingin menjadi penyanyi serta satu projek album bersama Akhil Hayy. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak dapat ditunaikan.

Shukery Hashim

Pelakon

10 Jun 2009

PENAMPILAN pelakon Shukery Hashim cukup sinonim dengan pelbagai drama TV. Namun, hasratnya untuk terus memberi sumbangan pada bidang lakonan hanya tinggal kenangan selepas dia pergi buat selamanya pada 10 Jun lalu.

Shukery, 55, atau nama sebenar Mohamad Shukery Hashim meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat barah pankreas.

Allahyarham yang dilahirkan pada 25 Januari 1954 di Langkawi, Kedah, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, Kuala Lumpur, selepas solat Asar.

Arwah meninggalkan balu, Faridah Mat Desa, 51 bersama lima anak iaitu Norshikin, 28, Norizety, 26, Mohd Firdza, 25, Mohd Aidil, 22, dan Mohd Amirul, 14, serta tiga cucu,

Mula berlakon pada 1984, tetapi Shukery terlebih dulu aktif menerusi drama radio di RTM sejak 1975. Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Allahyarham pernah meraih tiga anugerah iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990,

Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular Berita Harian (1995).

Antara filemnya yang masih diingati penonton adalah Rahsia pada 1987, Ujang (1989), Syahadat (1992), Seri Dewi Malam (2001), Janji Diana (2003) dan terbaru, Shh… Dia Datang yang belum ditayangkan.

Antara ratusan drama dibintangi ialah Airmata Maria, A.D.A.M, Hadiah Pengorbanan, Cinta Keropok Lekor, Manjalara, Cinta Gila dan Rempit Vs Impak Maksima.

Yasmin Ahmad

Pengarah/pelakon

25 Julai 2009

BERITA pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad pengsan ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor pada 23 Julai mengejutkan rakan dan ramai peminat.

Yasmin, 51, kemudian terpaksa menjalani pembedahan membuang pendarahan dalam otak akibat strok di Hospital Pakar Damansara.

Bagaimanapun, selepas dua hari koma akhirnya Yasmin meninggal dunia jam 11.25 malam.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, SS 22, Subang Jaya Selangor keesokan harinya.

Ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah bukan saja kalangan umat Islam, malah pelbagai bangsa.

Rakan arwah, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Seri Farid Ridzuan, menyatakan Allahyarham mempunyai bakat yang dianggap luar biasa dan sukar dicari ganti.

Mengenai perbincangan kertas kerja yang menjadi karya terakhir Yasmin sebelum tidak sedarkan diri, Farid menyatakan ia adalah projek bersama yang mempunyai kaitan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Allahyarham sebelum ini sering terbabit dalam pembikinan iklan Petronas dan sempat menghasilkan lima filem iaitu Sepet pada 2005 diikuti Gubra, Mukhsin, Talentime dan Muallaf. Muallaf yang mencetuskan kontroversi kerana babak Sharifah Amani dibotakkan kepala, ditayangkan di pawagam tanah air pada 24 Disember lalu.

Menariknya, filem karyanya pernah menang pelbagai anugerah, dipertandingkan atau ditayangkan di festival antarabangsa antaranya di Berlin, Cannes, Venice, San Francisco, New York, Tokyo, Pusan, Manila dan Jakarta.

Mohd Asri Ibrahim

Vokalis Rabbani

13 Ogos 2009

SUASANA rakaman program Syahadah di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu bertukar suram apabila vokalis kumpulan nasyid popular, Rabbani iaitu Mohd Asri Ibrahim jatuh pengsan. Asri, 40, kemudian disahkan meninggal dunia jam 11 pagi ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Menurut adik iparnya, Adha Buyong, Allahyarham mengadu tidak sihat dan muntah pada pagi sehari sebelum kejadian. Pemergian Asri meninggalkan balu, Nurul Jannah Shahadan, 39, dan enam anak.

Dalam karier seni, Allahyarham terbabit sebagai pengasas Rabbani bersama lapan anggota lain sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Allahyarham berdakwah menerusi lagu iaitu irama nasyid sejak 25 tahun dan pernah menganggotai kumpulan Nada Murni selama 15 tahun. Sepanjang bersama Rabbani, kumpulan ini menerbitkan 19 album antaranya Rabbani, Arah Dari Mana… Ke Mana… (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000) dan Maulana (2007).

Arwah yang dilahirkan di Klang, Selangor pada 3 Ogos 1969, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lancong, Seksyen 28,
Shah Alam selepas solat Asar.

Param

Pelakon

14 Ogos 2009

POPULARITINYA sebagai pelakon kerdil menerusi beberapa filem antaranya Si Badul, Penagih Dadah, Panglima Badul, Si Luncai, Anak Tunggal dan Penyamun Tarbus melonjak na
ma Param sebagai pelakon berbakat besar.

Bagaimanapun, Param, 55, meninggal dunia jam 6 pagi pada 14 Ogos lalu akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Setia ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Menurut kakak mendiang, Sara, Param sempat mengumpul keratan akhbar dan majalah mengenai dirinya dalam satu album iaitu seminggu sebelum meninggal dunia. Param sempat berseloroh dia mahu album itu menjadi rujukan pada wartawan yang hadir apabila dia sudah tiada.

Kata Sara, adiknya itu mengadu sukar bernafas jam 5 pagi sebelum dibawa ke HKL. Param yang sepatutnya mempunyai temujanji untuk rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9 pagi tetapi tidak berkesempatan.

Param atau nama sebenar P Paramasivam menghidap sakit jantung sejak 1992.

Dia pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh dalam satu kemalangan yang berlaku lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Param tidak lagi aktif berlakon sejak mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Biarpun berdepan masalah kesihatan, Param sering meluangkan masa menghadiri pelbagai acara hiburan. Keadaan kesihatannya bertambah baik selepas mendapat rawatan di IJN, tetapi mengadu sesak nafas.

Param memulakan karier seni bersama RTM Melaka pada tahun 1976. Ketika itu dia masih berkhidmat dengan Pejabat Belia di Tampin.

Sepanjang terbabit dalam bidang lakonan, Param sudah membintangi lebih 25 filem dan 40 drama. Drama Hang Setia yang ditayangkan menerusi RTM sejak 1988 selama empat tahun antara drama yang mengangkat namanya sebagai pelakon dan pelawak. Mayat mendiang Param dibakar di Hindu Krematorium, Cheras.

Dayana Kamal

Pelakon/model

18 Oktober 2009

BERITA pelakon dan model, Wan Nurdiyana Mohd Kamarul Zaman, 22, atau lebih dikenali Dayana Kamal terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Bunut Payung pada 18 Oktober lalu menarik perhatian ramai apabila dia terbunuh bersama dua rakannya yang lain.

Dayana, 22, pernah mencipta nama dalam bidang lakon menerusi filem Black Maria dan beberapa drama seperti Rumah Itu Duniaku, Sumaiyyah, Raya Dengan Tok, Selamat Tinggal Noni, Ayah Kami dan Matahari. Sebelum itu, Dayana pernah menyertai Pencarian Gadis Metro 2004 dan layak ke pusingan April pada tahun itu.

Mengenai kehidupan peribadi, arwah pernah mendirikan rumah tangga bersama vokalis kumpulan The Times iaitu Natazar Mohamad (Naza) pada Disember 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Dayang Fatihah Amanda, empat tahun. Namun, pasangan ini bercerai tiga tahun selepas itu.

Ibu Dayana, Wan Nor Hayati Ismail, 47, menyatakan arwah tampil dengan imej bertudung sejak Ramadan lalu dan sepatutnya berpakaian serba biru dalam satu pertandingan pakaian Muslimah. Bagaimanapun, pada saat akhir arwah mahu berpakaian putih.

Dayana yang juga anak sulung daripada empat beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mata Pasir, Kampung Chempaka.

Ismail Fariz Ali

Komposer

24 Disember 2009

NAMA komposer Ismail Fariz Ali mungkin agak kurang dikenali generasi baru, tetapi namanya pasti akan terus diingati sebagai pencipta lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Ismail, 47, kembali ke rahmatullah jam 4.30 pagi pada 24 Disember lalu di Pusat Perubatan Gleneagles, Ampang, Selangor akibat barah perut.

Allahyarham yang juga tokoh korporat mendapatkan rawatan susulan di hospital itu sejak empat bulan lalu.

Menurut seorang saudara sebelah ibunya, arwah kerap mengadu sakit perut sejak pulang dari luar negara. Selepas mendapatkan pemeriksaan di hospital berkenaan, doktor pakar mengesahkan barah yang dihidapi arwah merebak ke tahap serius.

Mengenai kerjaya seni, arwah meminati muzik dan bermain piano sejak zaman kanak-kanak hingga menceburi bidang nyanyian pada 90-an.

Ismail, anak bongsu tiga beradik, meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 14 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum solat Zuhur.

Harian Metro

Pencarian AF8 Bermula 10 Januari 2010

31 Dec

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
PROGRAM realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia kembali lagi dengan produksi berkualiti dan format lebih mantap pada musim kelapan (AF8), sekali gus menjanjikan sajian hiburan terbaik buat penonton setianya tahun depan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya juga meneruskan inisiatif dengan membuka peluang penyertaan AF8 kepada warga Singapura sama seperti tahun lalu.

“Pada musim lalu, pihak kami dapat sambutan menggalakkan dari peserta yang berminat untuk menyertai program realiti TV ini.

“Kami percaya dengan terus memberi peluang kepada mereka, kami mampu terus menyemarakkan industri seni tanah air melalui platform disediakan.

“Penyertaan juga dibuka kepada artis yang sudah ada nama, tetapi tidak terikat dengan sebarang rakaman mahupun pengurusan,” katanya ketika ditemui di sidang media AF8, baru-baru ini.

Hadir sama, Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd Zahir. Kata Azlin, pihaknya juga bukan sekadar mencari penyanyi dalam program AF sebaliknya penghibur dalam industri seni tanah air.

“Pada masa sama, kami juga tetap mementingkan aspek vokal yang ditampilkan peserta terbabit seperti pencarian sebelumnya.

“Tahun ini, pihak produksi akan mengunjungi lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti peserta yang dilihat layak untuk diketengahkan dan diberi bimbingan melalui kelas ditetapkan akademi.

“Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga jam 1 tengah hari dan peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Kategori umur ialah antara 18 hingga 45 tahun pada Januari 2010 dan mereka perlu membawa salinan kad pengenalan serta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta menyanyi secara acapella lagu pilihan seperti untuk wanita iaitu Gagap – Stacey (pop), Jika Kau Ubah Fikirasn-Mila (Rock), Tak Mungkin Kerana Sayang -Alyah (Ballad), Dan Sebenarnya -Yuna (Ballad), Di Taman Teman -Datuk Siti Nurhaliza (irama Malaysia) dan When You’re Gone -Avril Lavigne (rock).

 

 

“Manakala, lagu pilihan untuk peserta wanita ialah Situasi – Bunkface (Pop), Hujan -Sudirman (Ballad), Ada Untukmu -Nubhan (Ballad), Berdendang Dalam Tangisan -Jamal Abdillah (irama Malaysia), Fikirlah -Aizat (pop) dan I’M Yours -Jason Mraz (ballad).

“Sesi uji bakat bagi mencari juara baru akan diadakan di lokasi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (9 dan 10 Januari/30 dan 31 Januari 2010), The Zon, Johor Bahru, Johor (16 dan 17 Januari), Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari), Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22-24 Januari) dan Hotel Merdeka Palace, Kuching (23 dan 24 Januari),” katanya.

Pada peringkat uji bakat, peserta harus melepasi tiga pusingan saringan sebelum disenarai pendek. Barisan juri yang dipilih akan mengenal pasti kebolehan peserta jika mereka boleh diasah dan diberi bimbingan terutama sekali dalam bentuk vokal yang dapat mengimbangi setiap persembahan mereka kelak.

Peserta yang berminat dinasihatkan untuk hadir dalam keadaan bersedia dan meyakinkan barisan juri bahawa mereka layak untuk dibimbing dan diketengahkan sebagai bintang AF yang baru.

Barisan juri yang bergilir dalam sesi uji bakat ialah mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti Lah VE, Deja Moss, Fairus Hussin dan guru vokal berpengalaman membentuk pelajar AF iaitu Syafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi, Shahrol Bahri Shaarani dan Shaiful Rizal Kamarudin.

Dua pakar motivasi yang diundang untuk mengenali perwatakan pelajar ialah Ahmad Fadzli Yaakob atau Dr Fazley dan Azahari Othman yang juga dikenali sebagai Dr Luv di kalangan pelajar AF5.

Bagi Syafizawati yang sudah empat tahun terbabit dalam program AF berkata, dia akan menitikberatkan aspek kesedaran sivik peserta ketika sesi uji bakat untuk tahap kedua peserta nanti.

“Kami bukan saja ingin mencari peserta berbakat, malah peserta yang tidak malas, ada kesungguhan dan bertanggungjawab pada diri sendiri serta bersikap positif.

“Saya sasar peserta lepasan SPM untuk menghadiri sesi uji bakat ini.

“Saya juga akan melihat dari dua aspek iaitu pakaian dan imej yang ditampilkan peserta pada sesi uji bakat itu nanti. Peserta juga perlu menjadi diri mereka sendiri atau menjadi luar biasa. Tapi, janganlah jadi seperti Mawi atau Stacy ketika uji bakat itu nanti.

“Sepanjang empat tahun saya terbabit dalam program ini, saya melihat setiap peserta yang terpilih juga berbeza saban tahun.

“Sebenarnya, saya hanya membantu mereka memperbaiki aspek nyanyian, tetapi nampaknya saya buat lebih dari itu dalam AF.

Saya juga menyokong komen yang diberikan pengkritik dalam AF kerana ia bagus buat peserta memperbaiki prestasi mereka,” katanya.

Fazley yang terbabit pada tahap ketiga sesi uji bakat AF8 berkata, dia akan melihat seseorang peserta sudah bersedia untuk menjadi pelajar akademi ataupun sebaliknya.

“Selain dari bakat menyanyi, peserta juga perlu mempunyai personaliti yang baik untuk menjadi pelajar AF. Tapisan yang ketiga dalam sesi uji bakat ini juga bagi melihat peserta supaya tampilkan diri mereka yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, persembahan pentas istimewa diadakan untuk menghangatkan lagi sesi uji bakat di Johor pada 16 dan 17 Januari. Artis terbabit dalam persembahan ini ialah Mawi, Hafiz, Aishah, Yazid dan Isma.

Sila layari laman web http://www.astro.com.my/akademifantasia untuk maklumat lanjut.

Peserta digalakkan untuk membuat prapendaftaran di laman web tertera bagi mendapatkan keistimewaan laluan pantas ketika pendaftaran pada hari uji bakat.

Harian Metro

15,000 Hangatkan Konsert Terakhir

28 Dec

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
KEMERIAHAN Hot FM Nite Jam di Muar, Johor, baru-baru ini cukup hebat dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung.

Mereka yang hadir bukan saja dari Muar, malah daerah berhampiran seperti Batu Pahat, Segamat dan Melaka.

Lebih membanggakan ada juga pendengar setia Hot FM yang datang jauh dari Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Singapura kerana ingin turut serta menjadi sebahagian daripada memori acara penutup siri Jam Hot FM.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata, dia terharu atas kepercayaan yang diberikan rakan penaja siri Jam di stesen itu sepanjang 2009, Streamyx untuk menggalas misi turun padang bertemu pelanggan mereka serta pendukung setia stesen nombor satu negara itu.

“Seawal jam 10 pagi lagi pengunjung mula bersesak di Dataran Tanjung Emas walaupun konsert hanya berlangsung jam 8.30 malam.

“Sebanyak lima gerai dibuka hari itu termasuk gerai dari anak syarikat TM, gerai jualan barangan eksklusif Hot FM dan gerai siaran luar Hot FM.

“Panas tidak begitu terasa, malah kedudukan Tanjung Emas yang berada tepi Sungai Muar menyebabkan kawasan itu sentiasa berangin. Tapak itu yang sudah bertukar umpama pesta, terus hangat dengan siaran luar Hot FM secara langsung di mana semua penyampai Hot FM menjalankan sesi temuramah bersama artis.

“Duta Jalan Raya Hot FM, Viva Zoomerz terus memanaskan pentas dengan pelbagai permainan mudah yang membolehkan pengunjung membawa pulang hadiah eksklusif dari Hot FM sendiri.

“Atas kejayaan ini, perancangan rapi mula diperbincangkan untuk melayari 2010 yang bakal tiba tidak lama lagi di mana Hot FM akan menyambut ulang tahun keempat pada Februari depan,” katanya.

Pentas Hot FM Nite Jam dimulakan dengan tarian bertenaga Floor Fever diikuti Juara Gangstarz musim kedua, One Nation Emcees membawakan lagu Raja Gelek dan Bisikan Asmara. Kepanasan malam semakin membahang dengan gelekan Mimi yang ternyata mampu mengundang perhatian penonton malam itu.

 

 

Tarikan suara otai rock, AXL menerusi lagu Andai Dapat Ku Undur Masa dan Akulah Kekasihmu turut menarik perhatian penonton.

Begitu juga penyanyi kecik molek, Alyah, yang muncul kali pertama di pentas Hot FM menyanyikan lagu hitsnya, Tak Mungkin Kerana Sayang dan Just Dance.

Turut menjayakan Hot FM Nite Jam ialah Modread, Ahli Fiqir, Sofaz, Akim, Liyana Jasmay dan Sixth Sense manakala penyampai Hot FM, Mohd Khairul Ikhwan Rosli turut menyumbangkan vokalnya dalam persembahan Ahli Fiqir. Ikhwan berjaya mencuri hati penonton dengan aksi selambanya.

Kehadiran kumpulan dari seberang, Ungu mendendangkan lagu popular mereka, Demi Waktu, Kekasih Gelapku dan Berikan Aku Cinta serta lagu baru, Dilema Cinta mendapat perhatian penonton.

Vokalis Pasha tidak tergugat walaupun kes penceraiannya menjadi kontroversi.

Menurut band itu, sedikit pun mereka tidak terganggu dengan isu itu, malah amat bersyukur kerana diberikan kesempatan Hot FM untuk bersama menghangatkan konsert berkenaan.

Hadir julung kalinya di acara Hot FM, diva nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza hingga menjadi perhatian umum.

Dengan caranya tersendiri, dia menyanyikan lagu Ku Percaya Pada Cinta, Di Taman Teman dan Ku Mahu.

Malam kian meriah apabila Siti menjemput penyampai Hot Fm menjadi penari latar dalam satu lagunya.

Bijak menggunakan ruang acara, Meet Uncle Hussein hadir hebat dengan penyanyi undangan mereka, Black dan Hazama. Lantunan vokal lantang Black dilihat serasi dengan imej Meet Uncle Hussein.

Mempersembahkan Lagu Untukmu, Pari-Pari Di Bawah Angin, Drama King dan La la la Kerjalah, band itu semakin menggasak emosi pengunjung yang seakan tidak mahu Hot FM Nite Jam berakhir.

Percikan api ‘pyro’ dan ‘confetti’ menutup persembahan, sekali gus secara rasmi menamatkan siri Jam Hot FM 2009 yang dikemudikan barisan penyampai Hot FM, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Tini, AG, Kieran, Anne, Ikhwan dan Leya .

Harian Metro

Mila 22

23 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

HARI ini genap 22 tahun usia penyanyi genit, Noorsyarmilla Jirin atau Mila.
Sedar atau tidak, sudah lebih tiga tahun Mila gigih membina nama sebagai anak seni selepas menjuarai program Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

HARI ini genap 22 tahun usia penyanyi genit, Noorsyarmilla Jirin atau Mila.

Sedar atau tidak, sudah lebih tiga tahun Mila gigih membina nama sebagai anak seni selepas menjuarai program Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Pelbagai rintangan diharungi dengan tabah. Tidak cukup dengan gosip dibela lelaki kaya, Mila dikatakan pula bercinta dengan pengurusnya. Kontroversi itu sedikit sebanyak mencalar reputasinya.

Begitupun, ia tidak sedikit pun melunturkan minat Mila dalam dunia seni. Anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini menganggap gosip bagaikan rencah bergelar anak seni. Mahu atau tidak, dia terpaksa menghadapinya.

Mila yang popular dengan lagu Aku Lebih Tahu berkata, isu bercinta dengan pengurus, A Ailis M Mustapha atau Isz tidak timbul kerana mereka memang rapat dan sering berbincang soal pekerjaan.

“Sebenarnya dia dan bapa yang menguruskan aktiviti seni saya. Mungkin selepas terbabit dengan banyak program memerlukan kami ke lokasi dan perbincangan yang perlu kami hadiri, jadi orang lihat saya dan Isz sering ke mana-mana bersama.

“Saya tidak mahu mengalah daripada menjadi anak seni. Saya sentiasa mahu memperbaiki diri. Saya sentiasa meletakkan sasaran untuk terus maju dalam bidang seni. Sebagai anak seni saya perlu rajin memperbaiki diri dan berusaha keras,” katanya.

Pembabitan Mila bukan terhad dalam nyanyian, malah mencuba dunia lakonan menerusi drama bersiri terbitan Astro, Kau Dan Aku.

Sebagai bekalan pada masa depan juga, Mila gigih mengukuhkan kedudukan dalam bidang perniagaan pula menerusi syarikatnya LuvMILA Corporation Sdn Bhd.

 

 

Ia bukan saja membabitkan produk kecantikan, malah menerusi syarikat yang ditubuhkan hampir setahun itu, pelbagai urusan berkaitan perniagaan dilakukan.

Menerusi syarikatnya, dia turut merancang menghasilkan lagu single berkonsep balada.

Dengan kerjasama komposer dari Indonesia, Richard Kyoto terhasil lagu Siapa Tak Perlu Cinta sebagai single terbarunya tahun depan.

Gadis yang memecah tradisi sebagai peserta wanita pertama yang menjadi juara AF5 pada 2007 itu mengakui dalam pasaran muzik yang tidak menentu ada baiknya membuat persediaan masa depan.

“Sekarang saya masih dalam proses mengumpul bahan untuk single kedua. Saya bersyukur kerana lagu single, Jika Kau Ubah Fikiran yang baru dilancarkan tiga bulan lalu mendapat sambutan baik daripada peminat. Kebanyakan lagu baru pula dinyanyikan untuk runut bunyi drama muzikal Kau dan Aku.

“Sejak akhir ini semua lagu yang saya sampaikan berentak rancak dan pop. Mungkin selepas ini saya mahu menyanyikan semula lagu berentak balada.

“Lagu balada tidak semestinya terlalu perlahan. Ambil contoh lagu yang dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza. Lagunya mempunyai tarikan tersendiri. Tidak timbul persoalan jika lagu balada tidak diterima atau disiarkan di stesen radio.

“Penampilan bersama lagu single atau album juga sangat penting bagi seseorang artis kerana ia sebagai jaminan artis berkenaan masih aktif dalam dunia seni.

“Begitupun segala aktiviti seni perlu dirancang dengan teliti selain promosi dengan betul,” katanya.

Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini turut memaklumkan menyimpan impian besar memperluaskan perniagaannya.

Produk kecantikan Love MILA Kosmetik sudah berusia hampir setahun.

Jika tiada aral, dia juga merancang memperbanyakkan produk untuk wanita selain menembusi pasaran antarabangsa.

“Setakat ini memang saya dengan bantuan keluarga dan pihak pengurusan cuba memanfaatkan peluang memperluaskan perniagaan.

“Kami cuba lakukan apa yang boleh. Memang ada perancangan untuk membawa produk jenama ini di luar negara begitupun semuanya mengambil kira pada faktor modal.

“Malah, sejak pertengahan tahun lagi kami sudah mula menumpukan kepada penganjuran program selain membabitkan kerjasama bersama pihak Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB),” kata Mila yang mula membuat penampilan dalam dunia lakonan menerusi drama bersiri muzikal, Kau & Aku yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) setiap Sabtu jam 10 malam.

Drama ala High School Musical diarahkan Roslan Hussin dan turut dibantu Redza Fahmi dan Achoo (Indonesia) dengan kemudahan kelengkapan daripada Double Vision di sana.

Selama dua bulan, Mila dan pelakon lain seperti Aril dan Akim berkampung di Jakarta.

Mengenai pembabitan dalam bidang lakonan pula, bagi Mila syukur percubaan pertamanya itu menampakkan hasil, begitupun dia masih belum bersedia untuk beralih kepada bidang lakonan kerana keutamaan masih pada nyanyian. Biarpun ada beberapa tawaran drama dihulurkan kepadanya namun Mila terpaksa menolak kerana berasakan belum bersedia selain terikat dengan pelbagai aktiviti seni.

“Memang pada mulanya ada yang komen mengenai lakonan saya dalam Kau & Aku yang agak kaku pada permulaan episod. Begitupun, selepas beberapa episod baru ada peningkatan.

“Ada juga yang menawarkan saya berlakon begitupun saya terpaksa tolak kerana terikat dengan aktiviti seni. Saya tidak mahu disifatkan terlalu tampak. Selain belum bersedia untuk berlakon.

“Pada saya, minat tetap pada bidang nyanyian. Dua bidang lakonan dan nyanyian sangat berbeza. Berlakon memerlukan komitmen dan cabaran yang lebih besar berbanding nyanyian,” katanya.

Jika tiada aral Mila juga dijangka terbabit dalam projek album kompilasi membabitkan artis hampir semua Akademi Fantasia. Album yang mengandungi lagu single artis AF.

PROFIL

NAMA PENUH: Noorsyarmilla Jirin

NAMA KOMERSIAL: Mila

TEMPAT LAHIR: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

KARIER: Penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia musim kelima

ALBUM: Persis Mutiara

Penghargaan Solekan: Lyana Dee Bobby Brown (012-2321235), Pakaian: Anti Beauty/ Badger (012-6587465)

Harian Metro

Siti Anjur Konsert

18 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dalam karier seninya sejak lebih sedekad lalu tidak perlu disangkal. Pencapaian ini dibuktikan menerusi pelbagai anugerah yang pernah dimenangi.

Biarpun ramai penyanyi baru muncul, apa yang jelas pengalaman penyanyi berusia 30 tahun ini sukar ditandingi. Mencatat kenangan manis, beliau berkesempatan mengadakan persembahan solo menerusi Konsert Eksklusif Satu yang diadakan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada penghujung Jun lalu.

Nyata, bukan calang-calang penyanyi yang boleh mengadakan persembahan bertaraf konsert di lokasi berprestij itu. Siti antara penyanyi yang berjaya menarik minat khalayak untuk berhibur dalam suasana berbeza. Jika sebelum ini, IB dikatakan hanya sesuai persembahan teater atau muzikal sebaliknya kemunculan penyanyi sepertinya tetap dinanti ramai.

Pada tahun depan, Siti merancang kembali mengadakan persembahan di IB. Namun, kemunculan semula Siti kali ini berbeza daripada apa yang peminat jangka. Menariknya, Siti akan menampilkan dua penyanyi lelaki yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri iaitu Faizal Tahir dan Aizat.

Menerusi persembahan yang dikenali Konsert Satu Suara Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), ia dijangka akan diadakan pada 12 hingga 14 Februari tahun depan. Siti yang bertindak sebagai produser di bawah produksi Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) menyatakan persembahan itu suatu yang istimewa ditujukan pada peminat , khususnya remaja.

Katanya, pemilihan Faizal dengan Aizat berkongsi pentas dalam satu persembahan dibuat berdasarkan potensi dan kejayaan dua penyanyi itu dalam bidang nyanyian. Siti berpandangan kedua-dua penyanyi itu mempunyai ramai peminat dan mampu menarik perhatian peminat mereka hadir menyaksikan persembahan julung kali ini.

“Persembahan ini diadakan untuk memberi peluang pada penyanyi baru seperti Faizal dan Aizat bekerjasama dalam satu persembahan. Tambah menarik, persembahan mereka dibantu OSK.

“Siti fikir mereka layak tampil dalam konsert sebegini atas faktor kejayaan menang anugerah. Siti juga melihat mereka mempunyai kebolehan dan tidak salah untuk bersedia dengan persembahan sebesar ini.

“Mereka akan menyampaikan pelbagai lagu popular sendiri termasuk lagu lain yang menjadi inspirasi pada nyanyian mereka sebelum ini. Dalam pada itu, Siti juga beri kebebasan pada kedua-dua penyanyi ini untuk memilih lagu yang sesuai.

“Bagi Siti, penganjuran konsert ini turut memberi tanggungjawab besar. Ia memberi perbezaan kerana menampilkan penyanyi lain dalam persembahan kali ini.

 

 

“Apapun, Siti menjangkakan gandingan dua penyanyi ini mampu menjadikan persembahan ini suatu yang menarik untuk ditonton,” katanya.

Pada persembahan ini, Siti bekerjasama dengan Jennifer Thompson yang bertindak sebagai pengarah muzik. Siti juga menyatakan konsert ini menjadi impiannya apatah lagi menjadi pengalaman pertama kali sebagai penganjur.

Mengenai persembahan, Siti belum buat keputusan sama ada akan muncul menyanyi bersama atau tidak. Katanya, dia mahu memberi lebih peluang ini kepada dua penyanyi ini untuk beraksi.

Aizat pula menyatakan dia terharu dan berbesar hati untuk menerima pelawaan Siti menjayakan persembahan yang dianggap istimewa dan eksklusif ini.

Katanya, dia tidak menyangka untuk bekerjasama dengan Siti apatah lagi bergandingan bersama Faizal untuk satu persembahan.

“Saya terharu kerana mendapat peluang mengadakan persembahan bertaraf konsert ini pada usia muda. Bagi saya, persembahan solo yang dijangka selama 40 minit suatu yang membanggakan buat diri sendiri.

“Sebagai penyanyi, pastinya konsert ini juga suatu yang saya mahu dalam pencapaian karier seni saya sendiri. Saya berharap ia akan berjalan lancar dan menjadi persembahan yang menghiburkan semua,” katanya.

Harian Metro

Imej Unik Ana

15 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

MINAT terhadap gitar mendorong pendatang baru dunia seni suara, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali berusaha menguasainya ketika berusia 18 tahun. Lantas tanpa bimbingan dan dorongan sesiapa Ana Raffali gigih mempelajari teknik bermain alat muzik bertali itu.

Sehingga kini gadis yang sering tampil menjayakan persembahan dengan imej unik berpakaian tradisi sambil bermain gitar itu sudah mempunyai tiga koleksi gitar peribadi. Kebolehannya menyanyi lagu ciptaan sendiri sambil bermain gitar mencuri perhatian ramai.

Pencipta lagu dan penyanyi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini, memilih untuk memberi tumpuan serius dalam menerusi dunia seni tanah air. Dorongan keluarga dan rakan membuatkan gadis ayu ini semakin gigih mencipta nama.

Di samping persembahan solo, gadis yang cenderung kepada genre pop alternatif turut tampil bersama kumpulan The Marhaens yang terdiri daripada Aidit Alfian (gitar akustik), Andy Flop Poppy (bass), GG (gitar), Iqbal (pemain cello) dan Mie Flop Poopy (dram). Single ciptaannya Hujan Bunga di Kuala Lumpur dan Cuba Jangan kini mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Menurut gadis yang mesra disapa Ana ini, minat menulis lagu bermula secara suka-suka selepas tamat sekolah menengah malah idea menulis lirik itu kerap datang secara spontan. Menerusi penulisan lagu juga dia dapat menyampaikan perasaan dan cerita berkaitan kehidupan di sekelilingnya.

“Saya selalu berangan menulis lagu ketika menuntut di sekolah menengah. Ada saja perkara atau cerita yang mahu saya tulis sehinggalah timbul idea untuk menulis lirik lagu dengan bantuan rakan yang mahir bermain gitar. Lama kelamaan minat untuk bermain gitar itu timbul. Melalui bantuan rakan saya mula belajar bermain gitar pertama yang dibeli dengan wang saku sendiri bernilai RM139.

“Untuk menguasai permainan gitar, saya membeli buku mahir bermain gitar dalam masa 30 hari. Alhamdulillah latihan dan tunjuk ajar rakan membolehkan saya mahir bermain gitar. Saya sendiri tidak menyangka minat bermain gitar dan menulis lagu secara suka-suka akhirnya menjadi serius.

“Minat menulis lagu ini juga mungkin didorong minat menulis dan aktif menyertai pelbagai aktiviti termasuk debat.

“Ketika menyertai program pertukaran pelajar di Jepun, saya berpeluang menyaksikan persembahan John Mayer, dari situ juga minat menyanyi sambil bermain gitar semakin kuat,” katanya.

Bakat menyanyi dan menulis lagu turut mendapat perhatian komposer berbakat, Aidit Alfian yang melamar Ana sebagai artis pertama di bawah naungan Aidit Alfian. Ana yang mempunyai beberapa himpunan lagu berpotensi dan menarik dijangka tampil bersama album solo yang mengandungi enam lagu pada Januari tahun depan.

 

 

Ana yang aktif menjayakan persembahan terbuka sejak dua tahun lalu kini mula tampil bersama kumpulan dan penyanyi indie (bergerak bebas). Selain bakat nyanyian mirip beberapa artis tempatan seperti Yuna dan Alanis Morissette versi Malaysia.

Bagi Ana peluang mendapat bimbingan dan bernaung di bawah komposer berbakat seperti Aidit memang sentiasa dinantikan artis baru sepertinya. Apatah lagi diberi kebebasan menyanyikan lagu ciptaan sendiri.

“Semuanya bermula apabila seorang saudara saya menghantar klip lagu kepada Aidit. Malah selepas menyaksikan persembahan itu, Aidit memberi dorongan untuk terus terbabit dalam dunia seni. Sokongan daripada Aidit membuatkan saya berasa bakat seni diiktiraf. Sehinggalah pada satu hari saya mendapat tahu Aidit mengadakan uji bakat mencari artis untuk syarikat rakamannya.

“Saya kemudian menghubungi Aidit dan memaklumkan hasrat untuk menyertai uji bakat berkenaan. Alhamdulillah saya diterima sebagai ‘anak’ pertama di bawah syarikatnya. Malah saya menganggap Aidit dan kakitangannya termasuk isterinya merangkap pengurus saya (Azura Haniza) bagaikan satu keluarga.

“Sebelum ini Aidit sibuk dengan komitmennya bersama beberapa syarikat rakaman dan artis. Kebebasan yang diberikan kepada saya untuk menyanyikan lagu ciptaan sendiri juga membuatkan saya berasa lebih selesa,” kata Ana yang selesa menyampaikan lagu sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana rentak muzik.

Apabila ditanya mengenai penampilan berbaju kurung atau kebaya ketika tampil menjayakan persembahan pentas, Ana memberitahu dia cukup selesa dengan pakaian tradisi itu walaupun pada masa yang sama bermain gitar. Setakat ini Ana mempunyai lebih 20 koleksi lagu yang semuanya ditulis sendiri berkisar kepada pengalaman hidup, persekitaran dan mengenai rakan-rakan.

Dia mengakui minat bercerita membuatkan timbul ilham mencipta lagu. Tidak dinafikan keluarga memainkan pengaruh besar pembabitan dalam dunia seni tanah air.

“Saya mempunyai keluarga yang besar kebanyakannya meminati muzik. Ada abang yang minat menyanyi. Antara pendorong utama ialah arwah kakak, Kak Ina (Wilma Halira). Ibu bapa juga percaya selain memberi sokongan dan dorongan penuh pembabitan saya dalam bidang ini,” katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali

NAMA SINGKATAN: Ana Raffali

TARIKH LAHIR: 4 November 1985

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

ADIK-BERADIK: Anak ke sembilan daripada 11 beradik

KARIER: Penyanyi dan penggubah lagu

PENDIDIKAN: Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

MUZIK YANG DIGEMARI: Rock, alternatif, pop & klasik

ALAT MUZIK: Gitar Martin & Co 000-15

IDOLA: M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza

LAGU YANG DICIPTA: Hujan Bunga di Kuala Lumpur, Mekanika, Cuba Jangan, Ketika Aku Kecil, Ingatkan Aku, Tingkap Kaca, My Darling, Ghost, Lovely Lovely Scene dan Paint Me

Harian Metro

'Saya Tak Pisahkan Ibu, Anak'

9 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SEKALIPUN cuba menyembunyikan kedukaan yang bersarang di hati, namun tetap juga Anang Hermansyah tumpas pada desakan kekecewaan di atas perpisahannya dengan diva popular Indonesia, Kris Dayanti.

Masakan tidak, bukan berbulan atau setahun dua Anang dan Kris melayari bahtera rumah tangga akan tetapi perkahwinan yang dibina pada tanggal 22 Ogos 1996 itu melangkau usia 13 tahun.

Bahkan, kehadiran dua cahaya mata, Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, menjadi bukti pengikat kasih sayang mereka sebelum ianya mulai pudar dan tidak sehaluan lagi pertengahan tahun ini.

Kesedihan yang tanggung turut dirasai sekumpulan media tatkala Anang mendendangkan lagu Separuh Jiwaku Pergi sewaktu menghadiri majlis pelancaran album solonya, di Heritage Club, Hotel Chulan Square, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Lagu dicipta khas buat mantan isterinya itu dengan jelas membongkar kehancuran perasaan Anang yang dikhianati Kris, wanita yang cukup dipuja dan dicintainya selama ini.

“Lagu itu sudah melambangkan (menceritakan) segala-galanya. Pengarah klip video Separuh Jiwaku Pergi membayangkan jalan cerita yang terkandung dalam lirik lagu itu dengan baik sekali,” katanya.

Akui Anang, lagu lain yang terkandung di dalam album yang memperkenankan Separuh Jiwaku Pergi sebagai judul seperti Belajarlah Untuk Cinta, Hujan Pun Menangis, Bila Cinta Tak Dosa dan Hidup Ini Rahasia, adalah luahan rasanya hatinya terhadap penceraian yang berlaku.

Ia cuma mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan dan di Malaysia, album itu dipasarkan oleh Suria Records pada 19 Oktober 2009 dengan kerjasama syarikat rakaman dari Indonesia Trinity Potima Production.

“Ini adalah pembikinan album paling pantas saya kerjakan. Album ini dibikin selepas kami bercerai dan sesudah saya mendapat tahu daripada anak-anak bahawa Yanti berlaku mencurangi saya,” katanya.

Anang yang sebelum ini, disifatkan seorang yang serius dan agak pendiam bagaimanapun kelihatan cukup peramah pada petang itu. Ajukan apa saja soalan kepadanya, dia pasti menjawab meskipun ada di antaranya Anang lebih senang membiarkan hatinya saja yang mengetahui.

 

 

Mengimbas detik terakhir bersama Kris, Anang melafazkan cerai pada penyanyi Aku Wanita Biasa itu di Makkah di dalam penerbangan selepas mereka menunaikan umrah sekitar Ogos lalu itu.

“Sebelum melafazkan cerai, kami sudah sering kali berbincang mengenai hubungan ini dan bagaimana dengan masa depan anak-anak termasuk kesannya terhadap karier muzik kami.

“Selepas mengambil kira semua faktor, sebagai seorang lelaki juga ketua keluarga saya harus melepaskan dia (KD). Walaupun kenyataan itu berat untuk ditelan, tetapi saya perlu menjalankan kewajipan saya,” katanya.

Sesudah penceraian itu berlaku, timbul pelbagai cerita kononnya Anang tidak mengizinkan KD bertemu dengan anak-anak sebagai hukuman terhadap KD. Dia juga tidak membenarkan bekas isterinya itu menyanyikan lagi ciptaannya.

“Tidak mungkin saya mahu memisahkan kasih di antara seorang ibu dengan anaknya cuma waktu di saat perkara baru berlaku saya cuma elakkan mempertemukan anak dan KD kerana mahu menjaga perasaan anak-anak.

“Mereka sendiri yang melihat kecurangan ibu mereka dan saya sendiri pun mengetahui hal ini daripada anak-anak. Bahkan mereka sendiri yang membuat keputusan untuk tinggal bersama saya dan bukannya dipaksa. Dan lebih membuatkan saya sedih, selepas tiga

bulan anak-anak tidak pernah bertanyakan ibunya dan tidak merinduinya juga.

“Sempat saya pertemukan mereka baru-baru ini namun mereka Azriel dan Tatiana kelihatan kekok bersama ibu mereka. Memandangkan mereka mahu tinggal dengan saya, saya akan menjaga mereka dengan baik sebagaimana kanak-kanak lain.

“Memang saya akui hidup terasa sunyi tanpa kehadiran seorang isteri. Bahkan kehidupan saya tidak seperti dulu lagi boleh habiskan masa berjam-jam di studio.

“Sekarang harus pulang awal ke rumah dan bangun awal pagi untuk menghantar anak ke sekolah. Bagaimanapun, saya akui semakin bahagia dan tenang sekarang,” katanya.

Mengenai dakwaan, apakah benar dia enggan bekerjasama dengan KD lagi sebagaimana laporan media Indonesia, Anang mengatakan, tidak dapat menolak berurusan dengan KD suatu hari nanti tetapi bukan buat masa sekarang.

“Kepingin cuma saya hanya akan bekerjasama dengan Yanti sesudah dia berkahwin lagi. Tetapi buat masa sekarang tidak kerana saya tidak mahu fikiran anak-anak keliru.

“Yang pasti kita akan tetap bekerjasama kerana Yanti itu kan ibu kepada anak-anak saya. Justeru, interaksi kami berdua soal anak-anak tidak pernah akan putus,” katanya.

Selain itu dia juga yakin, seandainya mereka tidak lagi bekerjasama di dalam album KD tetap mampu bersinar dengan kolobrasi yang dilakukan bersama komposer hebat di Indonesia.

“Yanti (KD) punya nama yang cukup besar. Dalam dunia nyanyian dia adalah diva dan sehingga saat dia adalah yang terbaik di Indonesia.

“Dia juga sangat serius dalam pekerjaan yang dilakukan malah, Yanti tahu benar bagaimana untuk tetap wujud dalam industri. Apa yang perlu dilakukan Yanti bagi menghadapi persaingan adalah terus mendapat sokongan dari peminat serta memantapkan lagi persembahan untuk tetap bertahan.

“Misalnya, usaha Yanti merakamkan album duet bersama Datuk Siti Nurhaliza, saya kira ia satu usaha sama yang sangat bijak kerana tentunya gandingan dua diva ini, Yanti mewakili Indonesia dan Siti, Malaysia, dapat menciptakan satu produk yang hebat serta paduan suara yang unggul.

“Saya tetap mendoakan yang terbaik buatnya dan mengharapkan KD terus menyinar,” katanya.

Berhubung dakwaan dia sudah pun menemui calon ibu kepada dua anaknya, Anang mengakui tidak semudah itu walaupun peminat dan anak-anak memintanya cepat berkahwin.

“Anak sendiri kasihan dan minta saya berkahwin namun perkahwinan bukan urusan yang mudah. Sekarang saya fokus untuk besarkan anak-anak kerana apabila Yanti berkahwin suatu hari nanti dia perlu minta izin suaminya untuk menjaga anak-anak.

“Sebaliknya saya sebagai bapa, sememangnya tanggungjawab anak-anak itu harus saya pikul sehingga akhir hayat saya. Namun, seandainya ada jodoh saya tidak memilih asalkan seimbang pengetahuan dunia dan akhirat.

“Wanita itu juga tidak semestinya harus bertudung. Paling penting dia haruslah menerima saya dan anak-anak seadanya,” katanya.

Harian Metro

Depan Mata: Perang Gambar Bayi Artis

7 Dec

Rap
TIADA lagi rahsia yang perlu disembunyikan pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, 37, apabila Khamis lalu memperkenalkan buah hatinya, Nur Eishal dalam satu majlis santai. Bayi comel dilahirkan pada 3 September lalu anak sulung Eja dan suami, Mohd Silahuddin Jamaluddin.

Tetapi sebelum ini, selama 10 tahun pelakon yang terkenal dengan bulu mata lentik itu menyorokkan lelaki yang berjaya menambat hatinya apabila berteka teki mengenai status dirinya. Bagaimanapun, pada 15 Julai lalu, Eja membuat pengakuan dengan akhbar nombor satu ini dia sudah berkahwin 10 tahun lalu dan bakal menimang cahaya mata.

Eja juga bersedia berkongsi detik bahagia kelahiran bayinya pada 3 September lalu, tetapi tidak untuk merakamkan wajah anaknya untuk tatapan peminat. Pastinya kehadiran Nur Eishal yang bermaksud cahaya bunga syurga menjadi pelengkap hidup Eja ditambah pula kehadiran suami di sisi yang tidak perlu disorokkan lagi.

Tahun ini memang ramai artis kita melahirkan cahaya mata dan Eja juga bukanlah artis pertama yang tidak membenarkan wajah anaknya didedahkan kepada umum. Pelakon digelar Primadona Filem Melayu era baru, Erra Fazira, 35, menjadi artis pertama berbuat demikian apabila melahirkan puteri sulungnya, Engku Aleesya Engku Emran pada 30 Mac lalu.

Tindakan Erra itu menyebabkan ada pihak menyebarkan gambar bayi yang didakwa Aleesya, tetapi Erra menafikan gambar yang disiarkan satu portal hiburan itu adalah anaknya. Akhirnya pada 23 Mei, Erra bersedia berkongsi wajah Aleesya dengan peminat ketika majlis akikah dan cukur jambul.

Sejak itu, wajah Aleesya bukan rahsia lagi kerana Erra juga bersedia mendedahkan bayinya dengan kehidupan glamor melalui program Gugu Gaga Erra untuk Astro Ria yang mula bersiaran pada 9 Jun lalu. Aleesya juga dibawa ke majlis tertentu yang turut dihadiri media.

Ada seorang lagi artis yang turut ‘menyorokkan’ bayinya, Ziana Zain yang melahirkan kembar lelaki dan perempuan, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh pada 23 Julai lalu.

Memanglah itu hak mereka malah punya sebab tertentu berbuat demikian. Tapi ada yang melihat senario ini seolah-olah artis kita cuba meniru gaya artis Hollywood yang sememangnya cuba menyembunyikan kehidupan peribadi hingga mereka tidak aman bergerak bebas seperti manusia biasa kerana sentiasa diburu paparazzi.

Sememangnya masyarakat ingin tahu kehidupan peribadi artis dan media berusaha untuk merealisasikannya dengan melaporkan berita mengenai percintaan, perkahwinan, kelahiran anak dan perceraian mereka.

Apa saja dilakukan artis, mempunyai nilai berita tetapi tinggi atau rendahnya nilai berita itu bergantung pula kepada tahap populariti mereka. Kalau sekadar artis suam-suam kuku, tiada siapa kisah tapi kalau artis terkenal, sememangnya menjadi tumpuan.

 

 

Bezanya, di Hollywood media sedia membayar harga tinggi untuk mendapatkan hak eksklusif menyiarkan gambar bayi atau perkahwinan mereka. Bintang seksi Lara Croft, Angelina Jolie menyorokkan bayinya ketika melahirkan anak pertama hasil hubungannya dengan aktor Brad Pitt, Shiloh Jolie-Pitt pada 27 Mei 2006. Pasangan ini menjual foto wajah Shiloh dengan harga AS$4.1 juta.

Peminat juga ingin melihat wajah comel bayi Tom Cruise dan Katie Holmes, Suri. Begitu juga kembar Julia Robert, Hazel Patricia dan Phinnaeus ‘Finn’ Walter serta kembar Jennifer Lopez, Emme Maribel Mu

Undi ABPBH 2009 Guna SMS

4 Dec

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

Rap

PENGIKTIRAFAN terhadap kerja keras golongan seni terus dipahat apabila acara tahunan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kembali untuk memartabatkan pen capaian selebriti tempatan.

Acara memasuki edisi ke-23 bertema Puncak Kegemilangan menyaksikan lebih 600 artis dan selebriti perfileman, muzik dan penyiaran berada dalam senarai 16 kategori dalam pencalonan awal ABPBH 2009.

Majlis pelancaran dan sidang akhbar ABPBH 2009 di sempurnakan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd selaku Penaung ABPBH, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Pengumuman pencalonan awal dilakukan Pengarang Hi buran Berita Harian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Hanizam Abdullah di Palace of The Golden Horses, Hotel Mines City Resort.

Artis dan selebriti dicalonkan menyifatkan ABPBH tahun ini menarik kerana format baru khidmat pesanan ringkas (SMS) membolehkan penonton menghantar lebih banyak undian memilih artis kesukaan mereka.

Vokalis dan gitaris wanita, Ana Rafali, yang tersenarai dalam pencalonan Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, terkejut mengetahui namanya dicalonkan pada peringkat undian awal acara berprestij itu.

‘Saya gembira mendapat pencalonan dua kategori serentak walaupun sangat baru dalam dunia hiburan tempatan.

‘Saingan pendatang baru dan berpengalaman membuatkan temasya ini lebih meriah. Peminat masing masing sudah tentu mahu memastikan artis kesayangan berada dalam kedudukan tinggi dan bergelar pemenang.

‘ABPBH meningkatkan motivasi saya untuk memastikan persembahan dalam masa beberapa bulan sebelum kemuncak mampu menarik perhatian penonton. Berada pada tahap sekarang sudah cukup baik dan saya tunggu undian mereka,’ kata penyanyi berusia 24 tahun itu.

Ana popular dengan identiti tersendiri memakai baju kurung dan baju kebaya ketika mengalunkan gitar Martin di atas pentas.

 

 

Pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular 2007 dan 2008, Dynas, 26, berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan siapa lebih baik atau siapa lebih hebat kerana peminat sendiri boleh menilai sendiri selebriti kesukaan mereka.

‘Sudah tentu dua kejayaan dirasakan masih segar dalam ingatan. Bukan mudah mendapat hatrik kerana saingan setiap tahun hebat dan cita rasa penonton berubah ubah dan mengikut keadaan.

‘Saingan daripada artis lebih muda pasti sengit kerana mereka ada bakat dan pengikut sendiri.

‘Jika dapat melakukannya untuk kali ketiga, ia memang begitu bermakna, tambahan pula kami akan menyambut kelahiran anak saya pada tarikh yang hampir dengan acara kemuncak ABPBH pada April tahun depan.

‘Saya mahu kongsi kejayaan bersama peminat kerana tanpa mereka, saya tidak sampai ke tahap sekarang,’ kata pelakon drama bersiri Di Bawah Ketiak Isteri itu.

Antara nama utama selaku pemenang kategori masing masing tahun lalu seperti Ahmad Nabil, Bintang Paling Popular Berita Harian 2008 dan Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal Ismail juga bersaing sekali lagi tahun ini.

Turut memeriahkan senarai undian pencalonan awal adalah Penyanyi Lelaki Popular, Mawi serta Penyanyi Wanita Po pular, Datuk Siti Nurhaliza.

Tarikan memilih artis kesayangan lebih hebat tahun ini apabila peminat boleh membuat undian melalui SMS.

Kemuncak ABPBH 2009 akan dilangsungkan pada 4 April di Arena of Stars, Genting Highlands. Borang pencalonan pusingan awal ABPBH 2009 dikeluarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini serta Berita Minggu.

Pembaca akan memilih lima calon ke peringkat akhir bagi setiap 16 kategori dipertandingkan. Borang undian itu me ngandungi tujuh kepingan dan pembaca perlu meleng kapkannya sebagai satu set sebelum menghantarnya kepada penganjur.

Harian Metro

Cabaran Jayakan Malam Arab

3 Dec

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

ESOK segala debaran calon bertanding dalam Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) akan terjawab sama ada menang atau sebaliknya.

Apapun, bahang kian dirasai terutama sejauh mana hebat dan meriahnya tema Malam Arab – Hikayat Seribu Satu Malam.

Bahkan, siapa menjadi pemenang pertama Anugerah Yasmin Ahmad di kalangan bintang muda tanah air.

Selain itu, terdapat 23 lagi kategori dipertandingkan merangkumi 10 drama, tujuh (filem) dan enam (penerbitan dalaman).

Penerbit ASK2009, Tengku Sahilawati Tengku Jehori berkata hingga sekarang kira-kira 80 peratus persiapan untuk malam kemuncak itu sudah siap dilakukan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Apapun, katanya, raptai penuh akan dibuat hari ini.

“Tidak dinafikan satu cabaran besar pada saya untuk merealisasikan tema Malam Arab – Hikayat Seribu Satu Malam ini. Ia disebabkan apabila disebut hikayat pastinya membabitkan satu kisah yang perlu ada penceritaan. Justeru, antara satu sama lain mesti berkait.

“Dimulakan dengan pengenalan mengenai ASK, ia diselitkan pula dengan persembahan Misha Omar menerusi lagu Adam dan Hawa. Kemudian, seakan wujud konflik dalam cerita dan didendangkan Mentera Semerah Padi oleh Hattan dan Tia (voklis Jinbara).

“Diperkuatkan lagi dengan lagu Pergi dendangan Aizat (AF5) yang akhirnya membawa pada perjalanan cerita sebenar menerusi Sempurna dinyanyikan trio Jaclyn Victor, Black (Mentor) dan Lan (The Typewriter). Malah, nyanyian Datuk Siti Nurhaliza melengkapkan cerita.

“Menerusi medley lagu Balqis, Nirmala dan Ku Percaya Pada Cinta, maka berakhir tirai ASK2009 yang mana semua pemenang sudah diketahui. Apapun, persembahan pembukaan akan dilakukan One Nation Emcee dengan lagu Seribu Satu Malam,” katanya.

 

 

Tengku Sahilawati berkata menariknya tema malam Arab ini kerana ia jarang diketengahkan.

Justeru, satu kelainan bagi ASK2009. Diharapkan semua berjalan lancar dan penterjemahan tema dapat disampaikan mengikut adunan budaya masyarakat Timur.

“Terus terang, saya katakan tidaklah 100 peratus budaya Arab itu dimuatkan kerana harus mengambil kira kesesuaian serta penerimaan penonton tempatan. Apapun, sukar untuk saya memberi jaminan mengenai sebarang ‘kontroversi.’

“Namun, yang pasti saya dan kumpulan produksi berusaha sedaya upaya memastikan kemeriahan ASK2009 ini berlangsung dengan jayanya. Bahkan, semua yang diatur dalam persembahan berdasarkan tema,” katanya yang sudah berpengalaman 12 tahun dalam penerbitan.

Kali kedua menjadi penerbit ASK, Tengku Sahilawati juga mengakui dua tahun lalu dia berhadapan cabaran menghidupkan konsep Hollywood Glamor.

Apapun, menurutnya cabaran itu tidak sehebat tema kali ini yang harus diperkuatkan kreativiti.

Berlangsung selama dua setengah jam di PWTC bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam, tanggungjawab koreografi digalas Pat Ibrahim. Sebelum ini, sentuhan Pat cukup cemerlang menerusi naskhah teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).

Apapun, seperti kebiasaan acara ‘permaidani merah’ juga tidak ketinggalan apabila ia bermula jam 7.30 malam. Bagaimanapun, acara terbabit tidak disiarkan secara langsung di televisyen, sebaliknya boleh ditonton di http://www.tv3.com.my/ask09.

Harian Metro

Mengiktiraf Karya, Karyawan Seni Tanah Air

2 Dec

Rap
SETIAP tahun kedatangan Anugerah Skrin (ASK) semestinya ditunggu penggiat seni tanah air yang bertungkus lumus berusaha memartabatkan drama dan filem tempatan. Bagaimanapun, selepas 14 tahun penganjurannya, dua anugerah baru diperkenalkan dalam temasya ASK 2009 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jam 9 malam, Jumaat ini.

Buat julung kalinya, anugerah Videografi Terbaik dan Anugerah Khas Juri dikenali Anugerah Yasmin Ahmad tajaan khas Silky diperkenalkan.

Bertemakan Malam Arab – Hikayat Seribu Satu Malam, bahang pastinya kian dirasai dengan pelbagai persiapan menarik disusun termasuk barisan artis bakal memeriahkan acara kemuncak ini.

Sebanyak 23 anugerah dipertandingkan membabitkan pelbagai karya drama, filem serta muka baru dan lama yang akan bersaing.

Ikuti sesi temuramah mengenai harapan serta pandangan ASK bersama Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar bersama wartawan Harian Metro, Esme johari Wahab, esme@hmetro.com.my.

(S): Bagaimana kelancaran persiapan Anugerah Skrin di PWTC Jumaat ini ?

SOSEH SOSEH: Mereka Kata Hanya Kenal Siti

2 Dec

Rap
RAKAN SS pernah mendengar keluhan penyanyi Fazli Zainal yang bengang artis Malaysia disindir di Internet oleh peminat Indonesia.

Kononnya kata peminat itu, hebat atau tidak artis negaranya seperti Kris Dayanti atau Rossa kerana boleh dikatakan ramai orang Malaysia tahu penyanyi hebat itu.

Dengan bangga diri kata peminat itu, masyarakat di negara dia cuma kenal artis Malaysia hanya Datuk Siti Nurhaliza.

Bagi SS peminat yang suka melaga-lagakan isu begitu adalah golongan yang pendek akal dan tidak tahu bersyukur.

Tidak cerdik dikata cuma Siti saja dikenali di republik itu kerana kita pun tahu sejak zaman rock Search, Iklim, Slam dan Datuk Sheila Majid dikenali di sana. Cuma kebelakangan ini semacam ada iri hati pihak tertentu di sana khususnya media yang memandang kecil artis Malaysia.

Bukan sekali dua, ramai artis kita pun menyampah dengan sikap media seberang yang tidak melayan sama rata.

Berbeza di sini, setiap artis Indonesia itu dilayan publisiti penuh bahagia hingga ada yang belum setahun jagung menjadi artis sudah menjadi cover majalah.

Sebagai contoh duda Kris iaitu Anang belum pun sampai ke Kuala Lumpur, pihak perhubungan awam sudah sibuk nak mengadakan fotografi dengan artis janda panas kita, Rozita Che Wan.

Dalam hal ini SS terfikir populariti bintang seperti Rozita tidak perlulah bersandar pada artis seperti Anang.

Seperkara lagi yang peminat seberang tidak sedar sebenarnya tidak semua artis Indonesia diminati di sini.

 

 

Sebabnya di negara kita ini rakyat majmuk terdiri dari orang Cina, India, Sikh dan pelbagai suku kaum dan tidak dapat tidak mereka mempunyai pilihan artis masing-masing.

Pernah SS tanya pada sahabat SS yang kaki wayang juga gemar berkaraoke apakah mereka kenal Kris Dayanti atau Rossa, jawabnya Jacky Chan dan Ranee Mukherje kenallah.

Ringkas kata, SS rasa sudah tiba masa untuk kita lebih menghargai penyanyi atau pelakon kita kerana mereka tidak kurang hebat dan cantik juga, tepuk dada tanyalah selera.

Harian Metro

Pengorbanan Siti & Kris

28 Nov

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SAMBUTAN Aidiladha yang diraikan umat Islam di seluruh dunia bermula semalam memberi pengertian tersendiri buat dua nama besar dalam industri seni – penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi popular dari Indonesia, Kris Dayanti.

Ketibaan Aidiladha atau hari raya korban adalah masanya untuk umat Islam mengingati semula serta mengambil iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya, Hajar dan Nabi Ismail.

Sebagai insan biasa, baik Siti, 30, mahupun Kris, 34, mengakui mereka tidak terlepas untuk melakukan pengorbanan apabila berhadapan dengan ujian Allah, sekali gus menguji sejauh mana keimanan setiap hamba-Nya di dunia yang fana ini.

Bagi Siti, pengorbanannya mungkin tidak sehebat apa yang dilalui Kris selepas kegagalan rumah tangga bersama bekas suaminya yang juga komposer terkenal, Anang Hermansyah (Anang), baru-baru ini.

“Pengorbanan saya yang paling besar ialah dengan menjadi anak seni pada usia muda lagi sehingga tidak dapat menikmati zaman remaja seperti orang lain. Tapi, saya tidak melihat pengorbanan itu dari sudut yang negatif kerana cinta saya begitu mendalam pada bidang seni.

“Saya percaya kita perlu ikhlas untuk menghambakan diri pada bidang seni untuk mendapat ganjaran yang lebih besar dari-Nya,” katanya.

Siti yang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah bersama suami yang juga usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K pada 2007 berkata, setiap kali tibanya musim haji, dia berasa rindu untuk menikmati semula kelebihan berdoa di padang Arafah pada musim haji.

“Saya masih ingat lagi, saya dan suami berada di padang Arafah selepas solat Asar hinggalah Maghrib. Ketika menjalankan ibadah wukuf, saya boleh berdoa untuk meminta apa saja yang dihajati ketika itu. Itulah saat yang paling indah dan sukar dilupakan sepanjang di sana,” katanya.

Jika diizinkan Allah, kata Siti, dia dan suami merancang untuk mengerjakan ibadah haji sekali lagi.

“Sebelum ini, saya sudah bawa mak saya untuk mengerjakan haji dan kini, kami merancang membawa mak mentua pula nanti.

 

 

“Insya-Allah, saya dan Kris juga merancang untuk mengerjakan umrah bersama-sama apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Tahun ini, kata Siti, dia juga membuat upah haji untuk arwah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail.

“Saya juga buat korban dengan menyembelih seekor unta untuk arwah bapa di sana. Saya juga buat korban tiga hingga empat ekor lembu di Kuala Lipis, Pahang, Taiping, Perak dan di Kedah (pihak suami).

“Sebenarnya, setiap kali tibanya musim haji, saya memang teringat untuk melakukan ibadah korban untuk golongan miskin dan mereka yang memerlukan di luar sana. Saya juga berdoa semoga dikurniakan rezeki yang lebih supaya saya dapat membantu mereka,” katanya.

Pengorbanan paling besar bagi Kris ialah terpaksa berpisah dengan dua anak kesayangannya iaitu Titania Aurelie Nurhermansyah (Aurel), 11, dan Azriel Akbar Hermansyah (Azriel), 9.

Maklumlah, selepas bercerai dengan Anang, kata Kris, anak-anaknya kini tinggal dengan bekas suaminya itu di Indonesia.

“Perceraian yang berlaku adalah ujian yang paling besar dalam hidup saya. Saya juga boleh ‘bernafas’ dan mendapat kekuatan semula untuk meneruskan kehidupan bermula 1 November lalu.

“Buat masa ini, anak-anak tinggal dengan bekas suami kerana mahkamah belum memutuskan lagi hak penjagaan mereka,” katanya.

Kris mengakui hubungannya dengan anak-anak tidak lagi serapat dulu.

“Saya pernah ditegur guru sekolah Azriel kerana dia belum boleh menghafal ayat dalam al-Quran sebelum ini.

“Mungkin kerana kami jarang berjumpa sekarang. Tapi, kasih sayang saya pada anak-anak tidak pernah luntur.

“Saya juga terpaksa akur apabila bekas suami tidak membenarkan saya untuk membeli barang-barang yang mahal untuk anak-anak,” katanya.

Kris yang mengerjakan ibadah haji bersama bekas suaminya pada 2005 berkata, pengertian ibadah korban baginya adalah belajar untuk ikhlas menerima ujian daripada Allah.

“Antara kenangan yang sukar dilupakan ialah ketika mengerjakan ibadah haji bersama bekas suami dulu. Bagaimanapun, selepas menunaikan umrah sebelum ini, saya juga mendapat kekuatan untuk bercerai dengan suami,” katanya.

Tahun ini, Kris berkata, dia menunaikan solat sunat Aidiladha bersama keluarganya di Bali, Indonesia.

“Pada sebelah malamnya, saya ada persembahan di sana. Saya juga membuat korban sebanyak 20 ekor kambing di Jogja dan Jakarta tahun ini,” katanya.

Siti dan Kris ditemui ketika menjayakan rakaman lagu duet berjudul Dalam Diamku yang juga ciptaan Audi Mok di Fuse Studio milik komposer itu di Petaling Jaya, malam Rabu lalu.

Berkongsi cerita perkembangan album duet mereka yang berjaya direalisasikan selepas setahun itu, Siti berkata, lirik lagu dalam album berkenaan juga adalah luahan hati mereka berdua pada kehidupan yang dilalui ketika ini.

“Lirik lagu dalam album ini memang menceritakan kisah hidup Kris dan luahan hati saya sendiri pada suami serta persahabatan yang terjalin antara kami berdua. Tidak dinafikan, saya antara teman yang paling rapat dengan Kris dan banyak suka duka yang kami kongsi bersama.

“Tapi, saya tidak pula campur tangan dalam kehidupan peribadinya. Tapi kalau Kris ingin meluahkannya, saya bersedia mendengarnya,” katanya.

Siti berkata, mereka bukan sekadar menyanyi bersama sebaliknya turut menyumbang bakat dalam penulisan lirik untuk album duet berkenaan.

“Kris menulis lagu ciptaan Audi yang berjudul Jika Kau Tak Datang dan menulis bersama Siti untuk lagu Amarahku. Lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Hanya (Aubrey Suwito) dan Teman (Sharon Paul),” katanya.

Sementara itu, selepas rakaman lima lagu itu, Siti berkata, dia akan berlepas ke Jakarta pada 30 November ini untuk merakamkan lagu terakhir mereka berjudul Sayang, ciptaan Charli dari kumpulan ST12.

“Selain rakaman lagu ini, kami juga buat klip video dan kulit album sekali. Album ini akan disiapkan sebelum penghujung tahun dan akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia. Ia diedarkan Siti Nurhaliza Productions dan KD Records (Indonesia).

“Selepas album ini selesai, kami juga merancang untuk mengadakan konsert pula nanti,” katanya.

Harian Metro

Cinta Kedai Telefon Bimbit

24 Nov

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SIAPA sangka perkenalan singkat di kedai telefon bimbit membawa jodoh kepada penyampai berita TV3, Azwaliza Azman, 29, dan Abdul Kadir Abdul Rashid, 31.

Selepas tiga tahun berkasih, cinta mereka dibuktikan dengan kesediaan melangkah ke fasa perkahwinan.

Pada Sabtu lalu, Azwaliza Azman atau mesra panggilan Wawa secara rasminya menjadi tunangan Kadir yang merupakan pengarah eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Wawa berkata, keputusan untuk bertunang sesudah tiga tahun berkasih dibuat atas dasar masa dan kesibukan. Katanya, masing-masing sibuk dengan tugas bahkan jarang keluar berpacaran.

Disebabkan masa juga, majlis pertunangan yang dirancang pada 20 Disember 2008 terpaksa ditunda.

“Bagaimanapun, hari ini, Alhamdulillah, semua yang dirancangkan berjalan dengan lancar dan seluruh ahli keluarga gembira meraikan pertunangan kami,” katanya yang manis dengan persalinan rekaan Freda.

Kata Wawa, tarikh perkahwinan masih dibincangkan keluarga kedua belah pihak, tetapi mereka berharap ia dapat dilangsungkan pada pertengahan 2010.

“Kalau boleh memanglah ingin mempercepatkan pernikahan, tetapi saya dan Kadir berpendapat pandangan keluarga adalah yang paling penting.

“Mereka mengimpikan kami melangsungkan perkahwinan yang dirancang dengan teliti. Tambahan pula sekarang ini kami belum menentukan lokasi perkahwinan,” katanya.

Menyingkap detik perkenalan Wawa dan Kadir, semuanya sudah direncanakan Yang Maha Esa dengan begitu indah. Kadir berkata, kali pertama bertemu Wawa sewaktu dia mengunjungi kedai telefon bimbit di Bangsar.

 

 

“Saya mahu membeli telefon bimbit dan kebetulan Wawa yang ditemani abangnya, Azreen Azman berada di kedai sama.

“Pada waktu itu, saya memang tidak tahu Wawa seorang pembaca berita TV3. Saya menegurnya kerana mahu meminta pandangan Wawa apakah telefon bimbit yang saya ingin beli itu cantik.

“Kami tidak sempat pun bertukar telefon sewaktu meninggalkan kedai itu. Tapi sekali-sekali saya teringatkan Wawa dan nak dijadikan cerita suatu hari saya menonton Buletin Utama dan terkejut pembaca berita itu mirip gadis yang saya ditemui di kedai telefon bimbit. Bila diperhatikan namanya, rupa-rupanya dia adalah Wawa,” katanya.

Kadir menambah setahun selepas pertemuan itu mereka kembali bersua di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Masa tu Wawa membuat lintas langsung dari PWTC manakala Kadir datang bersama ibunya.

“Sewaktu memperkenalkan ibu saya pada Wawa, saya lihat dia seorang yang cukup hormat dengan orang tua dan dari situlah hati saya mula terpaut. Terus-terang, saya sukakan Wawa dan mahu memperisterikannya bukan kerana dia selebriti, tetapi jatuh cinta dengan keperibadian dan budi bahasa seorang yang bernama Azwaliza Azman,” katanya.

Sementara itu, Wawa pula menyifatkan Kadir pemuda yang tinggi budi bahasa selain menghormati orang tua. Katanya, perkara utama yang membuatkan hatinya terpaut pada Kadir kerana dia menghormati orang tuanya.

“Bapa saya seorang yang garang dan tegas, maklumlah bekas polis, tetapi dengan Kadir dia boleh menjadi rapat. Kebetulan, saya anak kesayangan bapa, justeru, lelaki yang ingin mendampingi saya itu mestilah pandai mengambil hati orang tua saya lebih-lebih lagi bapa.

“Ibu bapa saya sendiri merasakan Kadir adalah pilihan yang tepat untuk saya. Malah, saya tidak nafikan Kadir seorang yang bertanggungjawab, dia juga kekasih setia tempat saya boleh bergantung harap serta berkongsi suka dan suka,” katanya.

Majlis pertunangan Wawa yang diadakan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, bertemakan merah hati yang dilimpahi mawar merah dan daisy. Rombongan lelaki membawa tujuh dulang hantaran berupa cincin pertunangan, sirih junjung, jam tangan, tas tangan Louis Vuitton, kek, buah-buahan, kosmetik dan komputer riba.

Pihak perempuan membalas sembilan dulang iaitu sirih junjung, cincin, kamera, jam tangan, telefon bimbit, sepersalinan baju, pewangi, buah-buahan dan kek.

Wang hantaran tidak disebutkan, Begitupun, bapa dan ibu Wawa, Azman Abdullah, 68, serta Jamilah Ahmad, 63, menetapkan senaskhah al-Quran sebagai pemberian paling bermakna bagi menggambarkan harga diri anak perempuan kesayangannya.

Bagi memenuhi adat, ibu Kadir, Aileen Jamaluddin, 52, menyarungkan cincin ke jari manis Wawa sebelum menyuapnya dengan manisan gula.

Menghadiri majlis itu juga bagaikan berada di pesta 1Malaysia apabila turut dihadiri saudara-mara kedua-dua bakal mempelai yang berbangsa Cina dan India.

Ini kerana bapa Wawa campuran India dan Cina dan dia seorang mualaf manakala ibunya campuran Cina Melayu.

Kata Wawa, istimewanya keluarga Kadir campuran Melayu India, sebab itulah hari pertunangannya menyaksikan wajah 1Malaysia.

“Sudah bertahun kami hidup harmoni dalam suasana majmuk. Nenek saya, K Tan Lilawathy, 94, juga hadir malam ini. Dia sebenarnya Cina sebelum bertukar agama Hindu,” kata Wawa tidak lekang dengan senyuman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin serta personaliti TV3 antaranya, Datin Norazlina Redzuan, Nurfarahin Jamsari, Fedri Yahya, Mohd Izwan Azir dan Sheliza Shahadan.

Tidak ketinggalan, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh, penghibur tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon Sari Yanti.

Harian Metro

DEPAN MATA: Mereka Cemburui Kita?

23 Nov

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MULA-MULA kumpulan ST12 memilih karya komposer Malaysia melalui lagu popular Search, Isabella untuk dimuatkan dalam album kedua mereka, P.U.S.P.A. Kemudian anggota Dewa 19, Ahmad Dhani, memilih lagu popular Tan Sri P Ramlee, Madu 3 untuk album solonya, Muhammad Dhani & The Swinger.

Semua yang berlaku di dunia ini ikut pusingan roda. Kalau kita imbas semula ke tahun 90-an, kumpulan Search, Iklim, Exists, Slam dan Datuk Sheila Majid pernah mengecapi zaman kegemilangan di Indonesia.

Mereka berjaya menembusi tembok dasar tertutup karyawan Indonesia walaupun dikenakan pelbagai sekatan seperti mensyaratkan liriknya diubah suai mengikut bahasa yang mereka fahami.

Senyap seketika, tembok itu diruntuhkan pula Datuk Siti Nurhaliza dengan kejayaan lagu irama Malaysia, Cindai. Tapi yang masuk ke negara mereka boleh dibilang dengan sebelah jari tapi artis mereka ke sini, cukup ramai hingga tidak cukup dibilang dengan jari tangan dan kaki.

Sekadar menyebut nama popular seperti Kris Dayanti, Rossa, Melly Goeslaw, Agnes Monica, Acha Septriasa, Irwansyah, Sheila On 7 (SO7), Padi, Dewa 19, Gigi, Peterpan, Samsons, Radja, Kerispatih, Letto, Ungu dan Nidji.

Kini karyawan mereka mula tertarik dengan -lagu kita. Tapi baru dua lagu, sudah nampak rasa cemburu dan takut mereka apabila kumpulan Naif yang popular dengan lagu Juwita Malam, dengan terang-terang meluahkan rasa kurang senangnya dengan perkembangan ini.

Dalam satu konsert LA Lights Up Your Soul di Gedung Samantha Krida, Universitas Brawijaya, Malang pada 16 November lalu, vokalis kumpulan itu, David, mengatakan dia amat menghargai muzik Indonesia dan meminta peminat Naif mengangkat lagu Indonesia.

Memetik kata-kata David sebagaimana disiarkan dalam Kapanlagi.com, katanya, marilah melestarikan lagu Indonesia yang indah-indah dan jangan lagi menyanyikan lagu Malaysia. Kata-kata David itu disambut dengan teriakan setuju daripada penonton.

David juga sempat menyanyikan serangkap lagu Isabella. Tidak tahulah apa tujuannya, mungkin mahu melepaskan gian atau geram. Pastinya, ia satu sindiran buat ST12 yang memilih karya Malaysia.

Tindakan Ahmad Dhani menyanyikan Madu Tiga juga mendapat respons kurang menyenangkan daripada masyarakat di sana. Malah pemimpin persatuan memperjuangkan hak wanita mengatakan lagu itu menggalakkan poligami. Kata mereka, tiada apa yang istimewanya lagu itu, malah lebih kepada menghina wanita.

 

 

Begitulah sensitifnya orang di seberang sana hingga akhir-akhir ini pelbagai isu dibangkitkan bukan saja soal lagu, malah hingga sempadan, makanan dan tarian.

Seharusnya mereka merenung seketika betapa kerajaan kita membuka pintu seluasnya untuk karyawan seni mereka. Kalau mereka dengar stesen radio kita, betapa lagu dendangan artis Indonesia menguasai siaran radio popular kita dari pagi sampai petang hingga ke malam.

Kalau buka televisyen pula, ada saja sinetron Indonesia disiarkan televisyen kerajaan, swasta hinggalah yang berbayar. Setiap kali muncul album baru, mereka berkunjung ke Malaysia mempromosikan album. Tidak cukup dengan itu, diundang mengadakan konsert.

Hakikatnya, artis tempatan hendak keluarkan album baru perlu keluar belanja, hendak dengar lagu diputarkan di radio perlu merayu dan mengharap. Berbuih juga mulut artis kita meluahkan rasa terkilan dengan keterbukaan kerajaan terhadap lagu dan drama mereka.

Begitu juga rasa kesal mereka terhadap sikap stesen radio popular yang memberi keutamaan kepada lagu seberang hingga Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tampil dengan kempen 9:1 untuk lagu tempatan yang diputarkan di radio dan bukan sebaliknya 9:1 untuk lagu Indonesia.

Dalam artikel ST12 Bawa ‘Isabella’ Tur Asia yang disiarkan Kapanlagi.com pada 18 November lalu, kumpulan itu mengakui betapa beruntungnya mereka kerana membawakan lagu Isabella. ST12 bukan saja dikenali kerana lagu popular Search itu, malah membuka jalan untuk mengadakan konsert bergerak di Asia kerana tuah lagu Malaysia.

Selepas singgah di Hong Kong, baru-baru ini, mereka selang-seli konsert di Indonesia membabitkan 30 kota besar. Selepas Palembang bulan ini, mereka ke Singapura pula bulan depan.

Kumpulan dianggotai Ilham Febry atau Pepep (dram), Dedy Sudrajat (Pepeng/gitar) dan Muhammad Charly Van Houten (Charly/vokalis) itu mengatakan, mereka sedikit pun tidak risau dengan isu berbangkit apabila menyanyikan lagu Malaysia. Kata Pepep, niat mereka ikhlas mahu mempereratkan hubungan antara dua negara.

“Kita memang ditawarkan syarikat rakaman di Malaysia untuk menyanyikan lagu itu. Saya tidak berfikir macam-macam, sebaliknya bangga diberi kesempatan menyanyikan lagu popular di Malaysia.

“Apa yang penting, kami berkarya dan pererat hubungan antara pemuzik kerana muzik juga boleh mempererat hubungan antara negara. Saya melihat Search itu sebagai band legenda dan lagu mereka diakui. Isabella yang kami hasilkan berbeza dengan yang asal, sesuai dengan konsep ST12. Kami buat lebih moden,” katanya.

Harian Metro

'Beri Peluang Artis Senior'

21 Nov

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SUATU ketika dulu, stesen TV tempatan meriah dengan pelbagai program hiburan seperti Hiburan Minggu Ini (HMI), Bintang RTM dan Muzik-Muzik yang diperkenalkan sejak zaman 70-an dan 80-an. Nama penyanyi seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Rohana Jalil dan Ramlah Ram antara bakat yang dicungkil menerusi Bintang RTM.

Begitu juga dengan Muzik-Muzik yang menampilkan Anugerah Juara Lagu buat pertama kali pada 1986 mengangkat lagu Sekadar Di Pinggiran nyanyian Francesca Peter sebagai juara. Lagu lain yang turut mencipta sejarah menerusi program ini adalah Menaruh Harapan (Zaiton Sameon, 1987), Isabella (Search, 1989), Janji Manismu (Aishah, 1990) dan Jerat Percintaan (Datuk Siti Nurhaliza, 1996).

Pengenalan lagu dan penyanyi menerusi program sebegini berjaya mencipta kemeriahan dalam kalangan penonton. Namun, apabila masa berlalu, ketika ini kebanyakan program hiburan sedia ada lebih memfokuskan konsep realiti yang memberi peluang kepada bakat muda mencuba nasib.

Bagi penyanyi berpengalaman, Datuk Khadijah Ibrahim atau mesra dengan panggilan Khaty, senario program hiburan TV ketika ini tidak lagi semeriah dulu biarpun banyak program hiburan baru yang membawa konsep realiti diterbitkan. Beliau yang ditemui pada majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bersama Restoran Puteri yang diadakan di Sungai Penchala, Selangor baru-baru ini menyatakan hasrat untuk melihat kegemilangan penyanyi zaman 70-an dan 80-an dipersembahkan kepada khalayak ketika ini.

“Tidak banyak program kini yang memberi peluang kepada artis senior yang pernah popular pada zaman 70-an mahupun 80-an membuat persembahan semula. Saya percaya Karyawan adalah satu-satunya persatuan artis yang mampu memperjuangkan nasib golongan penyanyi ini untuk meraih peluang muncul di TV pada masa kini.

“Apa yang saya harapkan, selepas ini lebih banyak program hiburan TV yang beri peluang kepada artis tempatan pelbagai peringkat usia untuk turut sama menghiburkan peminat,” katanya.

Cadangan Khaty itu nyata disambut baik Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang menyatakan selama persatuan itu ditubuhkan sejak 2000, beliau masih meneruskan agenda yang sama untuk membantu artis mendapatkan peluang membuat persembahan dan meraih pendapatan.

“Apa yang dicadangkan beliau adalah suatu yang baik untuk masa depan artis dan persada muzik tanah air. Sebelum ini, kita dapat melihat banyak peluang diberikan pada artis untuk muncul di TV mahupun mengadakan persembahan pentas.

“Bagaimanapun, sejak kegawatan ekonomi yang berlaku kebelakangan ini ia turut memberi kesan pada nasib artis untuk mencari rezeki. Apa yang berlaku, jemputan persembahan pentas juga berkurangan.

“Menerusi Karyawan, kami sentiasa berusaha membantu artis tidak kira usia mahupun populariti meraih peluang menjana pendapatan. Untuk itu, dalam apa jua persembahan yang membabitkan Karyawan, kami sebolehnya memberi peluang ini pada ramai artis termasuk senior atau kurang popular.

 

 

“Artis golongan ini juga menjadi kepentingan pada perkembangan dan masa depan hiburan tempatan. Mereka sepatutnya diberi peluang untuk terus menyanyi dan bukannya dipinggirkan begitu saja,” katanya.

Freddie berkata menerusi pembabitan ramai artis pada persembahan pentas atau program TV, ia secara tidak langsung memberi publisiti kepada artis itu untuk mendapat tawaran baru yang lain. Untuk artis, pembabitan seperti ini dianggap penting dalam mempromosi diri.

“Mungkin Karyawan boleh mencadangkan stesen TV tempatan dapat menerbitkan program baru yang dapat menggabungkan artis senior dan baru. Mungkin gandingan seperti bekas peserta Akademi Fantasia 4, Haziq dengan Datuk Ahmad Jais memberi tarikan baru pada penonton.

“Tidak dinafikan ada penganjur yang membuat permintaan kepada artis tertentu untuk menjayakan sesuatu acara hingga segelintir artis berkecil hati. Bagaimanapun, Karyawan tetap mencari jalan untuk membantu artis lain.

“Sebagai usaha akan datang, Karyawan merancang untuk menerbitkan single penyanyi senior sebagai mempromosikan mereka semula pada peminat. Buat masa ini, dana Karyawan belum cukup kerana kami turut bertanggungjawab mengagih Skim Pencen pada artis tempatan.

“Jika usaha ini berjaya, ia memerlukan kerjasama ramai pihak untuk tampil membantu,” katanya.

Pada majlis berkenaan, hampir 30 artis yang menjadi ahli Karyawan tampil memeriahkan acara bersama persembahan pentas. Acara yang bermula jam 8 malam, meninggalkan kenangan manis pada tetamu yang hadir apabila dihiburkan dengan seleksi lagu nostalgia dan lebih menarik, tetamu berpeluang bermesra dengan artis dengan lebih dekat.

Bermula dengan persembahan Jaafar Onn duet bersama Rohana Jalil menerusi lagu Malam Ku Bermimpi, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Dayang Nurfaizah menerusi dua lagu, Penawar Rindu dan Unforgettable.

Memberi tarikan, persembahan berkonsep 1Malaysia disampaikan menerusi Datuk Yusni Hamid dengan lagu Mandarin, Men In The Net, Andre Goh menyanyikan lagu Melayu, Hiburkan Hatiku, V Sarangabanie dengan Sinaran Cinta serta Iqwal menerusi lagu Tamil, Oru Malai.

Yusni juga menyampaikan dua lagu termasuk Bisikan Hati. Menariknya, bila tiba giliran Datin Paduka Julie Sudiro, suasana tambah meriah dengan gelak tawa tetamu apabila diusik ketika beliau menyanyikan lagu Can’t Take My Eyes On You.

Dalam persembahan itu, Julie ambil kesempatan untuk bertemu tetamu dengan lebih dekat sambil mengajak mereka menyanyi bersama. Khaty juga ambil peluang menghiburkan tetamu dengan lagu Doa Buat Kekasih.

Tidak ketinggalan, tetamu dihiburkan dengan persembahan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang (Ahmad Jais), Malam Gemilang (Nassier Wahab duet bersama Salwa Abd Rahman), Mohon Kasih (Haziq), Siapa Gerangan (Shasha), Darah Muda (Wanie) dan Doa Buat Kekasih (Khaty).

Bagi Habsah Hassan yang menjadi pemilik bersama rakan baiknya, Rubiah Suparman yang bertanggungjawab menguruskan Restoran Puteri, dia gembira dengan sambutan tetamu dan artis yang hadir pada malam itu. Katanya, idea asal acara ini datang daripada Rubiah yang berhasrat membantu golongan artis yang tidak bernasib baik.

“Sambutan yang diberikan amat menggalakkan bila 12 meja untuk 120 tetamu habis dijual. Acara ini diadakan atas rasa simpati pada artis seperti yang uzur agar terus mendapat bantuan menerusi Karyawan.

“Sebelum ini, Karyawan mempunyai Skim Pencen yang diberikan secara konsisten tetapi dana mereka terbatas. Lalu, saya bersama Rubiah berharap acara ini sedikit sebanyak dapat membantu usaha Karyawan ini.

“Sebagai rakan artis, kami berdua menyokong peranan yang dimainkan Karyawan dalam membantu nasib artis. Untuk acara ini, kami hanya mampu menaja makan minum manakala persembahan dibuat Karyawan.

“Menariknya, persembahan artis senior ini membuktikan mereka masih mampu menghiburkan tetamu yang hadir. Tidak lupa, sumbangan artis muda untuk menyanyi secara amal memberi makna pada kejayaan acara ini.

“Acara ini berjaya meninggalkan kenangan manis buat semua. Mungkin jika ada kemampuan pada masa akan datang, kami akan tampil adakan acara seperti ini,” katanya.

Berkongsi kenangan manis pada malam itu, ramai tetamu kehormat hadir antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammad Mohd Daud, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Siti Azizah Abot dan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid.

Tetamu dijamu dengan sajian masakan Melayu seperti ayam masak lemak cili api, kari ikan, sambal udang, daging deng-deng, sayur campur dan pencuci mulut, lompat tikam. Pada majlis itu, Salwa juga dikejutkan dengan majlis hari jadinya.

Harian Metro

1,000 Warna Siti

21 Nov

Oleh IZWAN MOHAMAD DAN
metahad@hmetro.com.my

Rap
HUJAN lebat tidak menghalang kemeriahan Konsert Seribu Warna Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, malam Sabtu lalu yang dihadiri kira-kira 10,000 penonton.

Aura penyanyi nombor satu negara itu sejak dari awal dapat dirasai percikannya, apatah lagi bukan selalu dapat melihat anak kelahiran Pahang itu membuat persembahan dalam skala besar.

Yang pasti persembahannya tidak menghampakan, malah mengubat rindu ramai dengan lagu popular pelbagai genre, termasuk kejutan persembahan yang penuh warna-warni seiring dengan tema konsert tajaan Hai-O Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions itu.

Tampil menari, lagak Siti mengundang sorakan ramai sebelum diteruskan dengan Ku Milikmu yang menampilkan gaya ala persembahan Las Vegas disertai penari berpakaian aneka warna.

Lebih menarik, pengarah muzik, Aubrey Suwito menyelit baris muzik yang dipetik daripada lagu popular Beyonce, Crazy In Love.

‘Siti ada di sini untuk menghiburkan anda,’ kata Siti secara berjenaka dan memberitahu dia juga antara mereka yang kecewa dengan ketidakhadiran penyanyi kulit hitam itu.

Konsert yang berkonsep santai dan funky juga menggamit nostalgia apabila Siti menyelitkan lagu berirama tradisional, Nirmala, yang pernah membawanya memenangi Voice Of Asia di Kazakhstan satu ketika dulu, diikuti Di Taman Teman dan Biarlah Rahsia.

Siti turut memilih dua lagu penyanyi lelaki pujaannya, Anuar Zain dan Faizal Tahir menerusi lagu Lelaki Ini dan Mahakarya Cinta sambil gambar kedua-dua penyanyi itu melayari skrin latar belakang pentas, termasuk ketika Anuar menjadi pelakon latar sewaktu penyanyi itu memenangi Anugerah Juara Lagu menerusi Jerat Percintaan.

‘Lagu ini kenangan ketika kami sama-sama terjerat dalam percintaan. Sorry B,’ gurau Siti merujuk kepada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa yang turut menyaksikan konsert itu sekali gus mendapat sorakan penonton.

Slot kedua diteruskan dengan persembahan Siti, Saida dan Saerah menerusi Hey Ladies, Buaya Darat dan Pudar.

 

 

Diiringi pemain seruling tersohor, Mohar (Mohram) menerusi Bukan Cinta Biasa, Siti kembali merancakkan pentas dengan Pendirianku yang disertai penari daripada EE Dancer sebelum lagu ciptaan Pongky, Seindah Biasa yang ditujukan kepada peminat.

Tidak cukup itu, Siti yang bakal mengadakan konsert di Esplanade, Singapura bersama M Nasir, 1 Januari depan, menghadiahkan peminat dengan lagu bonus, Destinasi Cinta.

Siti yang ditanya ketika sidang media selepas itu mengakui persembahannya kali ini lebih berunsur teaterikal dan menggunakan skrin tayangan gambar selingan bertujuan berinteraksi menerusi kaedah visual.

Mengenai pemilihan lagu Anuar dan Faizal, penyanyi itu mengakui kagum dengan bakat semula jadi mereka sementelah lagu disukai ramai.

‘Faizal misalnya mempunyai bakat dan mampu melangkah lebih jauh dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan.

‘Anuar pula kenalan lama yang saya suka vokal dan lagunya,’ kata Siti yang mengenakan pakaian rekaan Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini.

Mengulas pembabitan adik-beradiknya dalam konsert kali ini, Siti berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan mereka.

Saerah yang berjaya menonjolkan bakat sebenarnya malam itu turut gembira dengan penerimaan ramai, khususnya mereka yang selama ini meragui bakatnya sebagai penyanyi lantaran dilihat tidak berapa fokus.

‘Sebenarnya bukan saya tidak serius, tetapi saya tidak diberi peluang dan hanya memendam bakat yang ada, menyebabkan saya tidak dilihat sebagai penyanyi.

‘Album yang menampilkan saya dengan Kak Saida juga akan muncul penghujung tahun ini,’ kata Saerah.

Perasaan sama turut dikongsi Saida yang dilihat paling muda menyertai dunia nyanyian sehingga berjaya menyertai Akademi Fantasia.

‘Beza saya dulu dan sekarang memang jauh, tetapi saya tertanya-tanya sama ada orang puas hati atau tidak dengan persembahan saya,’ katanya.

‘Yang penting, saya masih berusaha menghilangkan sifat malu yang ada dalam diri,’ katanya.

Konsert itu dianjurkan untuk menghargai usahawan Hai-O sempena ulang tahun ke-17 syarikat jualan langsung turut disaksikan penonton secara langsung menerusi laman sesawang http://www.guild.my/snp.

Harian Metro

Timur Bertemu Barat

21 Nov

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


MENDASARI tema ‘Akar’ yang diberikan penganjur, Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) lalu ternyata bukan satu perkara mudah untuk direalisasikan barisan pereka tempatan kepada bentuk himpunan pakaian.

MENDASARI tema ‘Akar’ yang diberikan penganjur, Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) sempena Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) lalu ternyata bukan satu perkara mudah untuk direalisasikan barisan pereka tempatan kepada bentuk himpunan pakaian.

Bagi pereka duo yang berselindung di sebalik nama Rizman Ruzaini iaitu Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil, mereka mengambil masa hampir sebulan melakukan kajian bagi menghasilkan satu koleksi segar yang sarat dengan elemen diperlukan.

Berbeza koleksi sebelumnya, pereka berbakat itu kali ini tampil menjadi astrologi fesyen menerusi koleksi haute horoscope yang sarat menggabungkan elemen timur bertemu barat.

Kreativiti mereka jelas teruji dan membuktikan kelompok pereka Bumiputera juga mampu menghasilkan koleksi yang tidak kurang menarik seperti jenama terkenal dari barat.

 

 

Menurut Rizman, mereka cuba lari daripada tema akar klasik yang sering dikaitkan dengan penggunaan elemen batik mahupun songket, tetapi sebaliknya banyak menggunakan fabrik mewah seperti satin duchess, satin woolen, sifon, organza, satin sutera, kain bulu, tolle dan satin crepe.

Kata Rizman, untuk MIFW, mereka menyediakan 12 rekaan dan setiap satu melambangkan horoskop yang berbeza.

Sebagai contoh, bintang Taurus dikaitkan dengan seseorang yang realistik dan biar apapun kejayaan yang dicipta, dia tetap berpijak di bumi nyata serta kembali kepada asal usulnya.

“Semua ramalan itu diterjemahkan kepada rekaan baju kurung yang menggabungkan elemen tradisional dan fesyen moden. Baju kurung berkenaan menggambarkan walaupun kehidupan kini serba moden, fesyen itu tetap diminati terutama ketika musim perayaan,” katanya.

“Selain itu, untuk bintang Leo, kami menampilkan rekaan gaun hitam labuh yang dipadankan bersama baju potongan kembang berlapis dengan fabrik bercorak belang seperti harimau manakala Gemini, kami menampilkan rekaan baju yang mempunyai perincian seimbang di kiri dan kanan,” katanya.

Menyentuh pemilihan hitam dan putih yang mendasari koleksi berkenaan, Rizman berkata, warna berkenaan adalah asas atau akar kepada semua rona yang ada di dunia ini.

Rona berkenaan juga banyak menggambarkan kehidupan seseorang insan yang penuh dengan suka dan duka sejak lahir hingga dewasa.

“Kami turut menyelitkan sentuhan klasik seperti pemakaian korset serta fesyen kasual moden. Ia boleh dikatakan sebagai aliran yang sejak akhir-akhir ini semakin digemari ramai.

“Bagi menyerlahkan lagi rekaan, kami berdua turut menggunakan teknik cording yang menghasilkan hiasan seperti tali daripada batuan manik serta menggunakan kaedah sulaman tampal di atas fabrik organza bagi membentuk bunga indah menghiasi baju.

“Gabungan dua teknik berkenaan mampu menyerlahkan lagi aura glamor rekaan dan penampilan pemakai,” katanya.

Sementara itu, pada sesi peragaan sempena malam gala MIFW, pereka berkenaan turut memperagakan persalinan indah khas buat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Menurut Rizman, busana moden itu banyak menggambarkan gaya penyanyi kesayangan ramai.

“Busana hitam eksklusif itu dihiasi dengan ribuan batuan permata di sekitar bahagian depan baju. Hiasan batuan permata itu mempunyai maksud tersirat iaitu biarpun kemunculan ramai artis baru, penyanyi itu tetap nombor satu di hati peminat setianya.

“Ia juga jelas menggambarkan keistimewaan insan bernama Siti Nurhaliza yang sehingga hari ini tidak mungkin dapat ditukar ganti,” katanya.

Harian Metro

Soseh Soseh: Bintang Baru Berlagak Diva

20 Nov

Rap
KALAU popular, OK jugalah. Ini sekadar ‘suam-suam kuku’. Kalau sebut nama pun belum tentu orang ingat atau kenal. Namun, sikap ditonjolkan mengalahkan ‘diva’. Konon ‘terkenal’ hingga hendak balas khidmat pesanan ringkas (SMS) dan jawab panggilan pun susah.

Itulah yang dialami rakan SS yang merancang mengadakan sesi fotografi dengan bintang baru meningkat naik. Siapa gerangan individu itu tak payahlah SS sebutkan namanya kerana siapa makan cili, dia yang terasa pedas.

Bukan apa, rakan SS bengang sangat dengan bintang baru yang juga pelakon dalam beberapa drama ini. Kata rakan itu, bukan sekali si pelakon itu membatalkan sesi fotografi dibuatnya tetapi tiga kali. Alasan pula, macam-macam. Cakap pun tak serupa bikin.

Alasan pertama katanya ada urusan peribadi, jadi rakan SS itu boleh lagi terima. Kedua, terbabit dengan program anjuran stesen TV pula dan kali ketiga, tak bagi alasan tapi bila dihubungi, langsung tidak menjawab panggilan telefon.

Puaslah rakan SS menghantar SMS, satu pun tidak dibalasnya hingga sekarang. Apa lagi, ‘naik hantu’ rakan SS dibuatnya sampai bertekad tidak mahu mengadakan sesi fotografi dengan bintang baru itu. Katanya, ‘diva’ pun tak macam itu.

Contoh mudah, Datuk Siti Nurhaliza. Sekalipun popular dan dikenali ramai, beliau mudah memberi kerjasama. Malah, kalau tiada masa terluang pun, akan dimaklumkan. Ini tidak, bila ditanya kata ada kelapangan. Namun, sampai masa hilang entah ke mana.

Siapalah yang tidak marah dan sakit hati. Nanti, kalau media kurang membantu publisiti dikatakan tidak memberi peluang. Namun, bila ada individu hendak bantu, diri sendiri yang menolak tuah. Justeru, memang manusia ini pelbagai dan susah di jangka.

Hari ini cakap A, esok pula sudah bertukar B dan C. Macam-macam alasan, asalkan kesalahan dibuat tidak menunjuk diri. Sehubungan itu, pada artis baru SS nasihatkan cakap biar serupa bikin. Kalau sudi kata sudi, jika tidak jangan pandai berjanji.

Dalam soal ini, industri hiburan sudah cukup teruk dipandang serong masyarakat. Jadi, janganlah dicemar lagi ‘kekeruhan’ sedia ada kerana takut nanti disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. SS kasihan dengan industri hiburan tanah air.

 

 

Harian Metro