'Saya Tak Pisahkan Ibu, Anak'

9 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SEKALIPUN cuba menyembunyikan kedukaan yang bersarang di hati, namun tetap juga Anang Hermansyah tumpas pada desakan kekecewaan di atas perpisahannya dengan diva popular Indonesia, Kris Dayanti.

Masakan tidak, bukan berbulan atau setahun dua Anang dan Kris melayari bahtera rumah tangga akan tetapi perkahwinan yang dibina pada tanggal 22 Ogos 1996 itu melangkau usia 13 tahun.

Bahkan, kehadiran dua cahaya mata, Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, menjadi bukti pengikat kasih sayang mereka sebelum ianya mulai pudar dan tidak sehaluan lagi pertengahan tahun ini.

Kesedihan yang tanggung turut dirasai sekumpulan media tatkala Anang mendendangkan lagu Separuh Jiwaku Pergi sewaktu menghadiri majlis pelancaran album solonya, di Heritage Club, Hotel Chulan Square, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Lagu dicipta khas buat mantan isterinya itu dengan jelas membongkar kehancuran perasaan Anang yang dikhianati Kris, wanita yang cukup dipuja dan dicintainya selama ini.

“Lagu itu sudah melambangkan (menceritakan) segala-galanya. Pengarah klip video Separuh Jiwaku Pergi membayangkan jalan cerita yang terkandung dalam lirik lagu itu dengan baik sekali,” katanya.

Akui Anang, lagu lain yang terkandung di dalam album yang memperkenankan Separuh Jiwaku Pergi sebagai judul seperti Belajarlah Untuk Cinta, Hujan Pun Menangis, Bila Cinta Tak Dosa dan Hidup Ini Rahasia, adalah luahan rasanya hatinya terhadap penceraian yang berlaku.

Ia cuma mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan dan di Malaysia, album itu dipasarkan oleh Suria Records pada 19 Oktober 2009 dengan kerjasama syarikat rakaman dari Indonesia Trinity Potima Production.

“Ini adalah pembikinan album paling pantas saya kerjakan. Album ini dibikin selepas kami bercerai dan sesudah saya mendapat tahu daripada anak-anak bahawa Yanti berlaku mencurangi saya,” katanya.

Anang yang sebelum ini, disifatkan seorang yang serius dan agak pendiam bagaimanapun kelihatan cukup peramah pada petang itu. Ajukan apa saja soalan kepadanya, dia pasti menjawab meskipun ada di antaranya Anang lebih senang membiarkan hatinya saja yang mengetahui.

 

 

Mengimbas detik terakhir bersama Kris, Anang melafazkan cerai pada penyanyi Aku Wanita Biasa itu di Makkah di dalam penerbangan selepas mereka menunaikan umrah sekitar Ogos lalu itu.

“Sebelum melafazkan cerai, kami sudah sering kali berbincang mengenai hubungan ini dan bagaimana dengan masa depan anak-anak termasuk kesannya terhadap karier muzik kami.

“Selepas mengambil kira semua faktor, sebagai seorang lelaki juga ketua keluarga saya harus melepaskan dia (KD). Walaupun kenyataan itu berat untuk ditelan, tetapi saya perlu menjalankan kewajipan saya,” katanya.

Sesudah penceraian itu berlaku, timbul pelbagai cerita kononnya Anang tidak mengizinkan KD bertemu dengan anak-anak sebagai hukuman terhadap KD. Dia juga tidak membenarkan bekas isterinya itu menyanyikan lagi ciptaannya.

“Tidak mungkin saya mahu memisahkan kasih di antara seorang ibu dengan anaknya cuma waktu di saat perkara baru berlaku saya cuma elakkan mempertemukan anak dan KD kerana mahu menjaga perasaan anak-anak.

“Mereka sendiri yang melihat kecurangan ibu mereka dan saya sendiri pun mengetahui hal ini daripada anak-anak. Bahkan mereka sendiri yang membuat keputusan untuk tinggal bersama saya dan bukannya dipaksa. Dan lebih membuatkan saya sedih, selepas tiga

bulan anak-anak tidak pernah bertanyakan ibunya dan tidak merinduinya juga.

“Sempat saya pertemukan mereka baru-baru ini namun mereka Azriel dan Tatiana kelihatan kekok bersama ibu mereka. Memandangkan mereka mahu tinggal dengan saya, saya akan menjaga mereka dengan baik sebagaimana kanak-kanak lain.

“Memang saya akui hidup terasa sunyi tanpa kehadiran seorang isteri. Bahkan kehidupan saya tidak seperti dulu lagi boleh habiskan masa berjam-jam di studio.

“Sekarang harus pulang awal ke rumah dan bangun awal pagi untuk menghantar anak ke sekolah. Bagaimanapun, saya akui semakin bahagia dan tenang sekarang,” katanya.

Mengenai dakwaan, apakah benar dia enggan bekerjasama dengan KD lagi sebagaimana laporan media Indonesia, Anang mengatakan, tidak dapat menolak berurusan dengan KD suatu hari nanti tetapi bukan buat masa sekarang.

“Kepingin cuma saya hanya akan bekerjasama dengan Yanti sesudah dia berkahwin lagi. Tetapi buat masa sekarang tidak kerana saya tidak mahu fikiran anak-anak keliru.

“Yang pasti kita akan tetap bekerjasama kerana Yanti itu kan ibu kepada anak-anak saya. Justeru, interaksi kami berdua soal anak-anak tidak pernah akan putus,” katanya.

Selain itu dia juga yakin, seandainya mereka tidak lagi bekerjasama di dalam album KD tetap mampu bersinar dengan kolobrasi yang dilakukan bersama komposer hebat di Indonesia.

“Yanti (KD) punya nama yang cukup besar. Dalam dunia nyanyian dia adalah diva dan sehingga saat dia adalah yang terbaik di Indonesia.

“Dia juga sangat serius dalam pekerjaan yang dilakukan malah, Yanti tahu benar bagaimana untuk tetap wujud dalam industri. Apa yang perlu dilakukan Yanti bagi menghadapi persaingan adalah terus mendapat sokongan dari peminat serta memantapkan lagi persembahan untuk tetap bertahan.

“Misalnya, usaha Yanti merakamkan album duet bersama Datuk Siti Nurhaliza, saya kira ia satu usaha sama yang sangat bijak kerana tentunya gandingan dua diva ini, Yanti mewakili Indonesia dan Siti, Malaysia, dapat menciptakan satu produk yang hebat serta paduan suara yang unggul.

“Saya tetap mendoakan yang terbaik buatnya dan mengharapkan KD terus menyinar,” katanya.

Berhubung dakwaan dia sudah pun menemui calon ibu kepada dua anaknya, Anang mengakui tidak semudah itu walaupun peminat dan anak-anak memintanya cepat berkahwin.

“Anak sendiri kasihan dan minta saya berkahwin namun perkahwinan bukan urusan yang mudah. Sekarang saya fokus untuk besarkan anak-anak kerana apabila Yanti berkahwin suatu hari nanti dia perlu minta izin suaminya untuk menjaga anak-anak.

“Sebaliknya saya sebagai bapa, sememangnya tanggungjawab anak-anak itu harus saya pikul sehingga akhir hayat saya. Namun, seandainya ada jodoh saya tidak memilih asalkan seimbang pengetahuan dunia dan akhirat.

“Wanita itu juga tidak semestinya harus bertudung. Paling penting dia haruslah menerima saya dan anak-anak seadanya,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: