Siti Anjur Konsert

18 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dalam karier seninya sejak lebih sedekad lalu tidak perlu disangkal. Pencapaian ini dibuktikan menerusi pelbagai anugerah yang pernah dimenangi.

Biarpun ramai penyanyi baru muncul, apa yang jelas pengalaman penyanyi berusia 30 tahun ini sukar ditandingi. Mencatat kenangan manis, beliau berkesempatan mengadakan persembahan solo menerusi Konsert Eksklusif Satu yang diadakan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada penghujung Jun lalu.

Nyata, bukan calang-calang penyanyi yang boleh mengadakan persembahan bertaraf konsert di lokasi berprestij itu. Siti antara penyanyi yang berjaya menarik minat khalayak untuk berhibur dalam suasana berbeza. Jika sebelum ini, IB dikatakan hanya sesuai persembahan teater atau muzikal sebaliknya kemunculan penyanyi sepertinya tetap dinanti ramai.

Pada tahun depan, Siti merancang kembali mengadakan persembahan di IB. Namun, kemunculan semula Siti kali ini berbeza daripada apa yang peminat jangka. Menariknya, Siti akan menampilkan dua penyanyi lelaki yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri iaitu Faizal Tahir dan Aizat.

Menerusi persembahan yang dikenali Konsert Satu Suara Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), ia dijangka akan diadakan pada 12 hingga 14 Februari tahun depan. Siti yang bertindak sebagai produser di bawah produksi Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) menyatakan persembahan itu suatu yang istimewa ditujukan pada peminat , khususnya remaja.

Katanya, pemilihan Faizal dengan Aizat berkongsi pentas dalam satu persembahan dibuat berdasarkan potensi dan kejayaan dua penyanyi itu dalam bidang nyanyian. Siti berpandangan kedua-dua penyanyi itu mempunyai ramai peminat dan mampu menarik perhatian peminat mereka hadir menyaksikan persembahan julung kali ini.

“Persembahan ini diadakan untuk memberi peluang pada penyanyi baru seperti Faizal dan Aizat bekerjasama dalam satu persembahan. Tambah menarik, persembahan mereka dibantu OSK.

“Siti fikir mereka layak tampil dalam konsert sebegini atas faktor kejayaan menang anugerah. Siti juga melihat mereka mempunyai kebolehan dan tidak salah untuk bersedia dengan persembahan sebesar ini.

“Mereka akan menyampaikan pelbagai lagu popular sendiri termasuk lagu lain yang menjadi inspirasi pada nyanyian mereka sebelum ini. Dalam pada itu, Siti juga beri kebebasan pada kedua-dua penyanyi ini untuk memilih lagu yang sesuai.

“Bagi Siti, penganjuran konsert ini turut memberi tanggungjawab besar. Ia memberi perbezaan kerana menampilkan penyanyi lain dalam persembahan kali ini.

 

 

“Apapun, Siti menjangkakan gandingan dua penyanyi ini mampu menjadikan persembahan ini suatu yang menarik untuk ditonton,” katanya.

Pada persembahan ini, Siti bekerjasama dengan Jennifer Thompson yang bertindak sebagai pengarah muzik. Siti juga menyatakan konsert ini menjadi impiannya apatah lagi menjadi pengalaman pertama kali sebagai penganjur.

Mengenai persembahan, Siti belum buat keputusan sama ada akan muncul menyanyi bersama atau tidak. Katanya, dia mahu memberi lebih peluang ini kepada dua penyanyi ini untuk beraksi.

Aizat pula menyatakan dia terharu dan berbesar hati untuk menerima pelawaan Siti menjayakan persembahan yang dianggap istimewa dan eksklusif ini.

Katanya, dia tidak menyangka untuk bekerjasama dengan Siti apatah lagi bergandingan bersama Faizal untuk satu persembahan.

“Saya terharu kerana mendapat peluang mengadakan persembahan bertaraf konsert ini pada usia muda. Bagi saya, persembahan solo yang dijangka selama 40 minit suatu yang membanggakan buat diri sendiri.

“Sebagai penyanyi, pastinya konsert ini juga suatu yang saya mahu dalam pencapaian karier seni saya sendiri. Saya berharap ia akan berjalan lancar dan menjadi persembahan yang menghiburkan semua,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: