Archive | Cyberita RSS feed for this section

Rasa Takut Hanya Permainan Fikiran

2 Feb

Oleh
Abdul Rauuf Maskhazin
Pelajar Aljunied Al-Islamiah

CUBA anda teka, apa agaknya yang berbunyi, ‘dap dup dap dup’?

Aik! Bunyi kentutkah? Isy… Bedeklah bunyinya gitu.

‘Dap dup dap dup.’ Bunyi mercun? Hari Raya sudah habislah. Mercun Tahun Baru Cinakah?

‘Dap dup dap dup.’ Itulah bunyi jantung berdegup! Cuba anda dengar jantung anda. Berbunyi tidak? Kalau tidak dengar, cuba rasakan denyutannya dengan tapak tangan anda. Berdegup tidak? Kalau tidak juga… innalillah.

Bunyi jantung. Mungkin ada yang bertanya: Apa agaknya bahan yang si Rauuf hendak tulis kali ini ya?

Saya bukanlah pakar dalam bidang kedoktoran untuk membincangkan tentang masalah degupan jantung ini tetapi saya hendak kongsi dengan anda tentang waktu yang biasanya degupan ini boleh didengari.

Takut itulah waktunya. Kadangkala, saya berasa agak hairan mengapa kita berasa takut. Perasaan takut terhadap Pencipta alam maya ini mestilah ada dalam setiap diri seorang Islam. Buktinya, kita melakukan perintahnya dan meninggalkan larangannya. Walau bagaimanapun, saya bukan hendak perkatakan tentang takut terhadap Tuhan. Bukanlah tidak mahu tetapi ‘takut-takut’ tersalah. Iyalah, belum cukup kemahiran tersebut.

HANTU. Saya sengaja besarkan huruf-hurufnya. Itulah yang akan saya bincangkan pada kali ini.

Mungkin ada yang menganggap mauduk ini remeh untuk diperbualkan kerana tidak semua yang percaya kewujudannya tetapi tidak apalah. Pernahkah anda berdepan dengannya?

Walaupun saya belum pernah berdepan dari mata ke mata dengannya, perasaan seram tetap ada sampaikan pernah demam gara-gara tengok cerita hantu!

Gigi bertaring, muka bernanah, baju koyak rabak lagi berdarah, ulat keluar sana sini, rambut macam mi maggi, jalan terlompat-lompat dan macam-macam lagi.

Itulah dia gambaran atau imej sebuah lembaga. Takutkah anda padanya? Saya… err… boleh tahanlah.

Sebenarnya, faktor inilah yang boleh dikatakan punca terhadap takutnya kita pada hantu itu. Faktor yang dimaksudkan itu ialah daya fikir kita sendiri. Cuba anda bayangkan hantu itu secantik Siti Nurhaliza ataupun sekacak Anuar Zain.

Saya confirm, anda pasti tidak takut dengan hantu seperti itu. Bahkan, saya rasa, hantu yang takut dengan manusia. Bukannya apa. Manusia akan terkejar-kejarkan hantu-hantu seperti itu. He… he… he…

Selain daripada daya fikir kita, satu lagi faktor punca ketakutan adalah kegelapan. Kadang-kadang saya terfikir juga, mengapa agaknya hantu keluar pada malam hari? Mungkin waktu malam akan lebih membuat kita berasa seram dan takut!

Menurut Paul Arden dalam bukunya, God Explained In A Taxi Ride, ‘People are scared of the dark because they don’t know what’s there. As soon as they put the light on, they can see and feel safe.’

Jika diterjemahkan, ia bermaksud: ‘Manusia berasa takut terhadap kegelapan kerana mereka tidak tahu apa yang ada dalam kegelapan itu. Sejurus mereka membuka lampu, mereka boleh melihat dan berasa lebih selamat.’ Mungkin, ada benarnya kata-kata beliau. Kegelapanlah yang membuat kita berasa takut.

Daripada rencana saya yang pendek, sebahagian daripada pembaca mungkin menyatakan ‘Ia mengarut atau merapik…’ Tetapi mesej yang ingin saya sampaikan adalah fikiran kitalah yang menguasai kita.

Seperti dalam masalah takut dengan hantu ini, fikiran kita sudah dicemari dengan tanggapan bahawa hantu itu menggerunkan sebab itulah kita berasa takut.

Sekiranya kita tidak tahu-menahu tentangnya, tentu sekali kita tidak akan berasa takut.

Begitulah fikiran kita. Jika kita berkeyakinan dan berfikir bahawa kita boleh melakukan sesuatu itu walaupun sesukar manapun rintangannya atau halangan yang terpaksa dihadapi, kita pasti boleh melakukannnya dan ia berlaku sebaliknya jika kita rasa diri kita terlalu lemah dan tidak berdaya.

Jadi, mulalah untuk berfikiran positif!

Cyberita

Siti Letak Harapan Tinggi Pada Album Terbaru

2 Feb

DATUK Siti Nurhaliza meletakkan harapan dan sasaran yang tinggi agar album terbarunya, ‘Lentera Timur’ yang memuatkan lagu-lagu etnik akan diterima baik oleh masyarakat.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Siti berkata:

‘Album ini amat unik dan pada pandangan saya ia merupakan khazanah yang cukup berharga. Saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan album sebegini di kala industri muzik semakin kelam.

‘Namun, disebabkan jati diri dan semangat yang menebal untuk muzik warisan nenek moyang kita, saya teruskan juga.’

Album itu mengandungi 11 buah lagu. Sebanyak 10 daripadanya merupakan usaha komposer dan penulis lirik tempatan yang telah menghadiri ‘Bengkel Cipta Ekspres – Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza’ yang diadakan pada pertengahan tahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sebuah lagi lagu ialah ‘Cinta Ini’ ciptaan komposer Katon Bagaskara.

Siti menambah: ‘Album ini tidak menampilkan irama muzik Melayu asli 100 peratus kerana saya begitu faham dengan senario industri muzik masa kini. Disebabkan itu, saya lebih suka menamakan album ini sebagai kontemporari tradisional kerana muziknya yang disulami dengan muzik moden.’

Cyberita

Sedia Ambil Tindakan Guaman

17 Jan

Siti dan ‘Datuk K’ tertekan dek penyebaran fitnah

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza, dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, yang mengaku tertekan dengan pelbagai fitnah dan gosip mengenai perkahwinan mereka, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan pembohongan itu.

Malahan, Siti juga berkata bahawa beliau rela berhenti menyanyi jika memang itu kehendak suaminya dan demi kerukunan rumah tangga mereka, demikian menurut laporan-laporan terbaru media Malaysia.

Akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) semalam melaporkan bahawa pasangan tersebut merayu supaya penyebar gosip melalui Internet dan juga akhbar sejak kebelakangan ini kononnya rumah tangga mereka yang dibina sejak dua tahun lalu sedang bergolak menghentikan segera perbuatan itu.

‘Jikalau gosip seperti ini berterusan disiarkan, saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada dalang yang menjadi penyebar fitnah itu. Mereka harus membayar harga atas perbuatan itu,’ kata Datuk Khalid atau ‘Datuk K’, yang ditemani Siti, dalam satu sidang akhbar kelmarin.

Oktober lalu, pasangan itu menarik perhatian apabila tersebar berita kononnya Datuk K berkahwin dengan seorang pramugari.

Sebelum itu, ‘Datuk K’ pernah membuat laporan polis mengenai fitnah kononnya beliau memukul Siti.

Terbaru pula, gosip tersebar luas di Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya rumah tangga mereka di ambang keruntuhan.

‘Datuk K’ berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain jika gosip seumpama itu berterusan kecuali mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya dan memastikan kehidupan mereka tidak diganggu.

‘Saya ahli perniagaan dan bukan artis. Apabila gosip seperti ini timbul, reputasi saya turut tercemar. Apabila berurusan mengenai perniagaan saya dapat rasakan ada memandang serong seolah-olah saya suami yang jahat. Saya harap cukuplah menabur fitnah terhadap saya. Letih rasanya apabila terpaksa membuat penjelasan setiap kali gosip tidak berasas ini tersebar,’ katanya lagi.

Siti pula dilaporkan dalam akhbar Harian Metro semalam sebagai berkata bahawa beliau rela meninggalkan dunia seninya jika itu yang dikehendaki suaminya dan dapat menenteramkan rumah tangga mereka daripada gosip liar.

‘Sebagai isteri, saya harus menuruti kata suami walaupun sebenarnya belum sedia berhenti menyanyi,’ katanya.

‘Bagaimanapun, saya perlu mematuhi keputusan suami jika itu dirasakan tepat dan terbaik untuk menghentikan segala fitnah ditaburkan terhadap rumah tangga kami. ‘Datuk K’ ada menyuarakan pandangan kepada saya supaya berhenti menjadi ‘public figure’ Rabu lalu tetapi saya memujuk dan memintanya bertenang.

‘Kemudian kami berbincang bagaimana cara terbaik menghentikan sebarang gosip,’ kata Siti dalam sidang akhbar yang sama.

Siti, yang baru melancarkan album tradisional, Lentera Timur, turut melahirkan simpati terhadap suaminya gara-gara gosip tersebut yang mencalarkan imej serta kredibiliti ‘Datuk K’ sebagai seorang ahli perniagaan.

‘Datuk K’ pula mengakui bahawa beliau meluahkan pandangannya itu kepada isterinya kerana tertekan dengan spekulasi mengenai rumah tangga mereka.

Cyberita

Siti Nafi 'Buang Lemak'

25 Dec

SEKEJAP ‘kembang’, sekejap ‘kuncup’.

Apabila dirinya mengembang, ia dikatakan mungkin ekoran pembawaan budak. Hakikatnya, tidak ada budak yang dibawa atau cakap ringkasnya, dirinya tidak hamil.

Jadi apabila penampilan jelitawan dari seberang, Siti Nurhaliza, tiba-tiba ‘menguncup’ atau ramping mendadak baru-baru ini, timbul pula desas-desus lain.

Siti, yang muncul dalam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 baru-baru ini, dikatakan berjaya mengembalikan susuk tubuh asalnya ekoran rawatan pembedahan buang lemak!

‘Memang Siti ada terbaca gosip artis buang lemak. Begitu juga dengan khabar angin kononnya artis sedut lemak di Klang… Siti sumpah, Siti tak pernah buat benda tu (buang lemak).

‘Orang tak tahu betapa susahnya Siti nak dapatkan balik badan kurus ni. Sejak Ramadan lalu, Siti tak makan nasi! Siti lebihkan makan buah-buahan dan sayur saja.

‘Pun begitu, Siti tak nafikan awal tahun ini memang Siti ada mendapatkan rawatan urutan muka di sebuah pusat kecantikan di Klang, tapi bukannya buang atau sedut lemak seperti yang dicanang dalam gosip itu.

‘Biarlah apa orang nak cakap. Lagi Siti difitnah, lagi murah rezeki Siti,’ ujar Siti dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia.

Soal kehamilan pula, Siti mengakui beliau belum ‘berisi’.

Cyberita

Dr 'K' Nafi Nikah Lagi Di London

22 Sep

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk ‘K’ kelmarin menafikan bahawa beliau telah bernikah lagi.

‘Boleh dikatakan 99 peratus masa saya dihabiskan bersama Siti (Datuk Siti Nurhaliza Taruddin). Ke mana saya pergi dia pasti ada bersama,’ kata Datuk Seri Khalid, menafikan gosip perkahwinan keduanya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan artis baru bernaung di bawah Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd (SNPSB) di Menara Yayasan Tun Razak di sini, kelmarin, ahli perniagaan itu, berkata gosip disebarkan itu tidak berasas sama sekali.

Siti Nurhaliza turut hadir di majlis itu.

Datuk ‘K’ turut menegaskan bahawa cerita mengenai majlis pernikahannya dengan seorang pramugari di London awal Ogos lalu dibuat dengan niat mengganggu kebahagiaan rumah tangganya.

‘Saya tidak tahu mengapa pihak media boleh menyiarkan gosip itu. Apabila ia dibaca ramai menyebabkan berita menjadi bertambah hangat. Bila masa saya ke London tanpa Siti di sisi?’ katanya bertanya kembali.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui gosip itu beberapa hari sebelum disiarkan di akhbar dan tidak terlalu memikirkan sangat tentangnya, hinggalah gosip itu tersebar meluas.

‘Bayangkan ada rakan saya dari Johor dan Kedah menghubungi dan bertanya adakah benar saya sudah bernikah satu lagi? Bagi saya tidak baik orang membuat fitnah mengenai saya dan Siti. Pada saya cukuplah cerita tidak baik dibuat mengenai kami sebelum ini. Tambahan pula sekarang bulan puasa (Ramadan). Sudah-sudahlah,’ katanya.

Sebelum ini, Siti sendiri menerusi laporan disiarkan Metro Ahad, menafikan gosip yang disebarkan itu. — Harian Metro.

Cyberita

Siti Ke Umrah Dibayangi Gosip Dimadu

8 Sep

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, berlepas ke tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah Ramadan kelmarin.

Beliau ditemani suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, anak tiri bongsunya, ibu mentua, kakak ipar dan seorang teman.

Sudah lima kali Siti Nurhaliza menunaikan umrah Ramadan di tanah suci Makkah. Tarikannya begitu kuat sejak beliau menunai umrah Ramadan pertama kali beberapa tahun dulu.

‘Sukar Siti jelaskan. Mereka yang pernah merasai pengalaman berpuasa di sana tentu lebih faham.

‘Siti amat seronok di sana bersama umat Islam lain, berpusu-pusu ke masjid tatkala azan berkumandang,’ kata beliau seperti ditukil akhbar Metro Ahad.

‘Indahnya pengalaman itu sukar digambarkan!’ kata Siti Nurhaliza kepada pemberita sehari sebelum bertolak ke Madinah.

Menurut Siti, beliau mahu merebut keberkatan Ramadan Al-Mubarak dan kelebihan bersolat dan bertarawih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Beliau akan berada di sana cuma 10 hari dan selebihnya menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Malaysia.

Namun, pemergian beliau kali ini dibayangi gosip konon beliau telah dimadu.

Siti Nurhaliza cuma tergelak dengan cerita itu, selepas tersebar khabar angin berkaitan suaminya di Internet dan akhbar.

‘Biarlah orang nak bercerita. Siti tak rasa cerita itu ada kaitan dengan Siti dan suami Siti, sebab ia tidak berlaku kepada kami,’ katanya.

‘Cuma, kalau berita begitu keluar, orang ramai akan membuat tekaan.

‘Yang penting, cerita itu tiada kaitan dengan kami,’ tegas Siti. — Metro Ahad.

Cyberita

Belum Sekaya Rm50 Juta!

27 Aug

HARAP-HARAP mulut wartawan itu masin!

Begitulah seloroh penyanyi popular Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza, semasa mengulas laporan Utusan Malaysia yang menyatakan hartanya kini mencecah RM50 juta ($21.2 juta).

‘Saya agak terkejut mendengar cerita itu dan pelik juga dari mana mereka mendapat sumbernya. Setakat ini, saya bersyukur dengan apa yang saya miliki dan sejujurnya, aset saya belum lagi sampai ke tahap itu,’ katanya.

Siti sempat ‘bermimpi’ khabar soal kekayaan dirinya itu jadi kenyataan. Menurutnya, untuk mendapatkan kekayaan sebesar itu tidaklah mudah.

‘Insya-Allah, mana tahu masin mulut anda semua, dapatlah saya memiliki aset seperti yang dikatakan itu,’ katanya seraya tertawa.

Siti yang lama tidak muncul rupa-rupanya sibuk mempersiap dirinya untuk satu lagi konsert.

‘Seandainya semua berjalan lancar, saya berharap dapat melaksanakan konsert ini sebelum penghujung tahun ini,’ tambahnya.

Cyberita

Hasrat Bertudung Terlaksana

20 Aug

PEREDARAN masa boleh membawa pembaharuan kepada diri seseorang dan ini yang berlaku juga kepada penyanyi bersuara gemersik, Nora, yang kini sudah bertudung.

Penampilan baru penyanyi asal Kelantan ini terlihat pada majlis Anugerah Stail EH! (sebuah majalah) 2008 di seberang Tambak.

Perubahan bak menjejaki Datuk Siti Nurhaliza itu dibuat Nora sempena ulang tahunnya yang ke-35 pada 26 Julai lalu, lapor Utusan Malaysia.

Namun, menurut Nora, keinginannya bertudung telah dipendamkan sejak 10 tahun lalu.

‘Tetapi masa itu saya masih belum bersedia dan keputusan ingin tampil dengan imej sebegini juga tidak dipaksa oleh sesiapa. Semuanya lahir daripada hati saya yang tulus.

‘Pendirian saya ialah selagi saya tidak bersedia, saya tidak akan melaksanakannya,’ terang Nora.

Beliau, yang ditemani suaminya, komposer dan penulis lirik terkenal, Johan Nawawi, menjelaskan bahawa buat masa ini beliau agak selesa dengan penampilan barunya dan beliau juga tidak mahu melakukan perubahan yang drastik.

‘Perubahan ini biarlah dilakukan secara perlahan-lahan dan saya mahu melakukannya satu demi satu.

‘Apa yang penting bagi saya adalah sokongan dan restu daripada suami dan anak-anak yang ternyata gembira dengan perubahan diri saya sekarang,’ kata pemenang Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik Malaysia 1994 ini penuh makna.

Nora turut memberitahu, dengan imej barunya itu, beliau akan mencari lagu-lagu yang sesuai.

‘Selepas ini pun saya sudah perlu menjaga tingkah laku saya di atas pentas dan tidak boleh seperti dulu lagi,’ katanya sambil ketawa manja.

Nora telah menceburi dunia seni suara selama 15 tahun. Antara lagunya yang popular ialah Di Persimpangan Dilema dan Menyemai Cinta Bersamamu.

Walaupun kurang muncul di arena seni suara sejak kebelakangan ini, Nora, atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin, berkata perjalanan kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa.

Beliau turut melahirkan hasrat untuk merakamkan album studionya yang terbaru selepas album terakhirnya Nora Nora diterbitkan pada 2002.

Cyberita

Harta Datuk Siti Rm50 Juta

13 Aug

REZEKI artis popular, Datuk Siti Nurhaliza, semakin murah sejak kebelakangan ini.

Jika benarlah apa yang dilaporkan dalam laman web rasmi Anugerah MTV Asia 2008, beliau dikatakan memiliki aset bernilai RM50 juta ($21.2 juta).

Kekayaan Siti ini terkumpul sejak beliau menjadi anak seni 13 tahun lalu. Sejak itu beliau telah mendaki satu-persatu anak tangga untuk berada di kedudukannya pada hari ini.

Pencapaian Siti, yang turut disenarai sebagai antara tiga artis terkaya di Asia Tenggara) itu, dipetik daripada laman web rasmi tersebut dalam nota pengenalan mengenai latar belakang penghibur yang baru-baru ini disenaraikan sebagai calon Artis Wanita Popular (Malaysia) bagi Anugerah MTV Asia 2008.

Cyberita

'Maaf Datuk Siti'

5 Aug

Nicholas Teo catat kejutan manis dipilih Artis M’sia Paling Digemari

OlehHaryani Ismail

DARI ARENA OF STARS, GENTING HIGHLANDS — APABILA ada wartawan dengan selambanya mengulas: ‘Tetapi awak tak popular di Malaysia…’ sekitar 10 minit selepas Nicholas Teo menjulang piala Anugerah MTV Asia (Artis Malaysia Paling Digemari), pemuda berusia 26 tahun itu cepat ‘menepisnya’.

‘Siapa kata? Walaupun saya lebih dikenali di Taiwan, saya tetap ada penyokong setia di negara kelahiran saya, Malaysia. Saya terkejut tetapi gembira tampil sebagai artis pop Mandarin pertama di Malaysia untuk memenangi anugerah ini,’ katanya di sidang akhbar di Hotel Theme Park, Genting Highlands, Sabtu lalu.

Nicholas, anak kelahiran Kuching, Sarawak, yang bakatnya mula dikesan selepas menjuarai satu pertandingan adubakat antara mahasiswa di Taiwan, mencipta sejarah, bahkan, menewaskan ikon Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza.

Dua lagi calon bagi kategori tersebut ialah Faizal Tahir dan kumpulan Pop Shuvit.

Sedang Datuk Siti dijangka menang pada awalnya, wartawan- wartawan pop Mandarin telah menduga kemenangan Nicholas sebab menurut mereka, ‘beliau besar di pasaran Taiwan!’

Lungsuri saja laman Internet. Banyak laman mengenainya yang aktif menyanyi sejak 2004.

Ditanya perasaannya mengatasi Datuk Siti, Nicholas tersengih dan berkata: ‘Saya memang peminat ‘gila’ Datuk Siti. Justeru, saya nak kata: Minta maaf banyak-banyak Datuk! Saya minta maaf (kerana merampas takhta anda).’

Kemenangan Nicholas ternyata tidak menggugat semangat Datuk Siti, yang tidak hadir di majlis yang julung-julung kalinya dihoskan Malaysia atas sebab undangan lain yang perlu dipenuhi.

‘Siti percaya pada rezeki masing-masing dan memang menjangkakan kemenangan Nicholas. Populariti dan peminat Nicholas bukan tertumpu di Malaysia tetapi di China dan Taiwan.

‘Siti yakin beliau meraih sokongan peminat dari kedua-dua negara ini. Tahniah daripada Siti buat Nicholas,’ ujar Datuk Siti, menerusi SMS-nya kepada Ekstra.

Sedang Datuk Siti harus mengalah kepada Nicholas, ‘Puteri Pop Singapura’, Stefanie Sun, pula merebut Anugerah MTV Asia (Artis Singapura Paling Digemari) semula selepas gagal mempertahankan takhtanya tahun lalu.

Antara 2002 dengan 2005, Stefanie tidak mampu ditandingi tetapi di puncak fenomena Idola Singapura, Taufik Batisah, mengatasi Stefanie pada 2006 sebagai ‘Artis Singapura Paling Digemari’.

Tahun ini, Taufik tidak dicalonkan.

Stefanie, 30 tahun, yang menewaskan Electrico, JJ Lin dan Tanya Chua, dengan yakin berkata:

‘Setiap artis yang datang ke anugerah ini harus tampil dengan keyakinan dia akan menang. Kekalahan tidak terlintas di minda saya. Namun, bagi saya, rakan-rakan lain yang dicalonkan tetap mempunyai bakat yang menakjubkan.’

Yovie & Nuno, band Indonesia ’empat sekawan’ yang popular dengan lagu-lagu seperti Janji Suci, Dia Milikku dan Menjaga Hati, pula menyifatkan faktor perbezaan bahasa (antara penutur Malaysia/Singapura dan Indonesia) sebagai benteng untuk mereka menembusi pasaran di Malaysia dan Singapura.

Lagu-lagu daripada album ketiga mereka, The Special One, ternyata begitu popular sehingga dimuatturunkan sebanyak sejuta kali untuk nada deringan telefon bimbit pendengar serata Indonesia.

Nota: Klip video Anugerah MTV Asia 2008 boleh ditontoni menerusi laman http://www.mtv.com.sg. Tontoni di saluran MTV Asia (Saluran 20) pada 1.30 petang ini atau 2.30 petang, Sabtu ini.

Cyberita

Mabuk 'Shopping'

23 Jul

Terpegun, terpekik dan terpukau di Hongkong

OlehSuryani Omar

BERGAMBAR dengan selebriti, shopping sakan, makan dim sum ‘asli’ tapi halal dan lari daripada dikejar psycho!

Di mana lagi boleh seseorang melalui pengalaman itu semua jika bukan di Hongkong?

Walaupun lawatan penulis ke Hongkong baru-baru ini disambut cuaca buruk – hujan setiap hari – masih bermacam aktiviti dapat dilakukan.

Pendek kata, Hongkong adalah destinasi pelancongan seronok tidak mengira musim!

Hendak bergambar dengan Angelina Jolie dan Brad Pitt atau bergaya dengan Ayumi Hamasaki atau peluk Aaron Kwok? Pilih sahaja selebriti-selebriti yang menanti di Muzium Lilin Madame Tussaud’s di Hongkong.

Saya seronok mendampingi ‘Aaron’ yang kacak, sehinggakan ada teman menyangka saya benar-benar bertemu ’empat mata’ dengannya!

Muzium tersebut adalah cawangan Madame Tussaud’s yang pertama di Asia. Ia terletak di The Peak. Cara paling nyaman untuk sampai ke atas adalah dengan menaiki Peak Tram. Harganya cuma HK$22 ($3.80) sehala bagi orang dewasa.

Terdapat sekitar 100 patung selebriti di Madame Tussaud’s Hongkong.

Jurucakap Madame Tussaud’s Hongkong, Cik Bobo Yu, berkata setiap tahun pihaknya mendapatkan maklum balas daripada pengunjung mengenai selebriti mana yang ingin dilihat.

Jadi, janganlah terperanjat jika dalam masa akan datang, Siti Nurhaliza akan disertakan dalam koleksi patung lilin Madame Tussaud’s.

Dalam pada itu, rasanya tidak sah kalau tak terjerit-jerit di pameran terbaru Madame Tussaud iaitu Scream!

Saya sendiri terjerit macam orang gila walaupun mata dipejamkan sepanjang pengalaman selama tiga hingga lima minit itu.

Namun, mungkin bagi mereka yang gemar cerita seram, tidak takut langsung.

Ada beberapa teman yang keluar dari pameran tersebut sambil tergelak. Sebabnya, kami dikejutkan dengan kehadiran ‘pelakon’ psycho di ruang pameran yang tugasnya hanya untuk membuat pengunjung melonjak gerun.

Lawatan ke SkyTower @ The Peak tidak harus ditinggalkan juga.

Kalau cuaca baik, ia menjanjikan panorama yang cukup indah kerana anda berada di paras tertinggi di Hongkong.

Selepas puas bergambar dan terjerit-jerit, masanya untuk mengecas semula tenaga dengan menikmati juadah Hongkong yang asli tetapi halal tersedia.

Di 21A Ashley Road, Tsim Sha Tsui (disebut Chim Sa Chui) terdapat restoran makanan halal milik anak Melayu Singapura, Encik Abdul Kader Caffoor dan seorang warga Hongkong, Encik Andy Cheng.

Restorannya menjual pelbagai hidangan termasuk snek ala Hongkong iaitu roti bakar.

Menurut Encik Abdul Kader, terdapat pelbagai tempat makan menjual makanan Timur Tengah dan India. Namun, anda harus berhati-hati kerana walaupun halal, ada yang menjual minuman keras.

Satu lagi tempat yang tidak boleh anda lepaskan ialah Islamic Centre Canteen di Masjid Ammar and Osman Ramju Sadick Islamic Centre, 40 Oi Kwan Road, Wan Chai.

Ia menjual pelbagai juadah Hongkong asli seperti Dim Sum, dumpling dan sebagainya. Ia dimiliki pasangan Cina Hongkong beragama Islam, Encik Jaman Markar, 55 tahun, dan isteri, Cik Maryam Markar.

Ia terletak di antara stesen MTR Wan Chai dan Causeway Bay.

Setelah puas makan, bakar lemak-lemak (dan kocek) dengan membeli-belah. Hongkong memang terkenal dengan deretan kedai-kedai yang dibuka sehingga larut malam.

Mereka yang gemar pakaian, kasut dan beg, saya syorkan ke Granville Road (turun di MTR Tsim Sha Tsui).

Membeli-belah di ruang factory outlet juga satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Tempat terbaik untuk membeli-belah ialah di Citygate Mall, di depan MTR Tung Chung.

Daripada Esprit, Club 21, Nike, Timberland, BodyShop, Joy hinggalah Adidas – rambang mata saya!

Mereka yang memang suka shopping boleh menghabiskan setengah hari di sini. Pendek kata, ‘mabuk shopping’ di Hongkong.

Minggu depan, nantikan sekilas liputan saya tentang pasar-pasar malam serta taman bertema di Hongkong pula.

Nota: Lawatan penulis ditaja AirAsia, Lembaga Pelancongan Hongkong (HKTB) dan Uni Asia Tours. Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur (KL), Malaysia, ke Hongkong ditawarkan setiap hari. AirAsia terbang dari Singapura ke KL, dua kali sehari.

Cyberita

Muka Mirip Ella, Gemar Tonton Filem Epik Dan Aksi

14 Jul

OlehNurul Arini Junaidi & Erdiah Samad Pelajar Maktab Rendah Tampines

SEKALI pandang, wajahnya seperti ‘Puteri Rok’ Malaysia yang kekal bertahan, Ella.

Bagaimanapun, Sheila Abdull, 20 tahun, atau nama sebenarnya Nursheila Abdullah, bukanlah penyanyi rok.

Sebaliknya, gadis dari seberang tambak ini pernah menjadi penyanyi latar Siti Nurhaliza dan kini popular di corong radio dengan lagunya, Mungkinkah.

Lagu itu sekali gus telah merealisasikan impiannya sebagai seorang penyanyi.

Bakat menyanyi dipupuk sejak kecil lagi setelah beliau memasuki bermacam pertandingan termasuk pertandingan lagu-lagu tradisional di Johor.

Sheila berjaya menyandang tempat ketiga dalam salah sebuah peraduan itu.

Menurutnya lagi, beliau juga pernah mewakili sekolahnya dalam pelbagai pertandingan.

‘Bohonglah kalau saya katakan saya tidak gementar di atas pentas. Ia sesuatu yang saya tidak dapat elakkan.

‘Memandangkan sekarang menyanyi sudah menjadi satu kerjaya, maka saya perlu berikan fokus dan berfikir secara positif setiap kali di atas pentas.

‘Bagi saya, sama ada orang suka atau tidak suka pada lagu saya bukanlah jadi persoalan. Semangat saya tidak akan luntur sebab saya akur kita tidak boleh memuaskan hati semua orang,’ tambah Sheila, dalam satu interviu di News Centre baru-baru ini.

Sheila ke sini untuk persembahan amal di Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Darul Ma’wa.

Apabila ditanya sama ada kerjaya nyanyian ini menjejas kehidupannya sebagai remaja, Sheila – yang juga bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah muzik – berkata beliau masih mempunyai masa melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menonton wayang.

‘Saya suka sekali filem-filem epik dan aksi. Epic Movie, Hancook dan Wanted adalah antara filem yang saya dapati menarik. Ada babak bergasak.

‘Kalau menyentuh soal hero kegemaran, hmmm… saya tak minat Brad Pitt atau Orlando Bloom, sebaliknya saya lebih sukakan George Clooney!’ jelasnya dengan nada selamba.

Nafas Terhenti adalah lagu dalam album sulungnya yang menjadi kegemaran. Ia menyentuh perasaan dan membolehkannya mempelbagaikan nada suaranya.

Adakah Sheila jenis yang ‘memilih bulu’ dalam soal membeli barangan?

‘Er… saya tidak materialistik. Saya tidak membeli barangan mewah. Saya akan pilih yang berjenama untuk kepuasan dan yang tidak berjenama demi kepelbagaian,’ tambahnya.

Anak bongsu dalam tiga beradik ini amat gemarkan warna hitam dan putih.

Apakah Sheila akan tersinggung kalau remaja masa kini lebih sukakan lagu-lagu Inggeris?

Katanya:

‘Tidak salah untuk menyukai lagu Inggeris. Saya juga meminati lagu-lagu Inggeris, khususnya yang didendangkan oleh Whitney Houston.

‘Saya tidak berkecil hati, cuma saya harapkan lagu-lagu Melayu akan tetap dihayati remaja kita sepenuhnya.’

Salah sebuah keratan lagunya, Bahang Asmara, malahan, disisipkan dengan korus dalam bahasa Inggeris.

‘Saya sarankan kepada penerbit album saya, Abang Adnan Abu Hassan. Saya terfikir mengapa tidak wujudkan kelainan?’ ujarnya lagi.

Soalan cepu emas kami – bagaimana pula ciri-ciri lelaki idaman Sheila?

‘Saya tidak menetapkan ciri-ciri yang saya inginkan. Bimbang kecewa atau tidak dapat apa yang dihajatkan.

‘Namun, tentunya kalau boleh, saya nak yang kelakar, bertanggungjawab dan mampu menjadi ketua yang baik.

‘Cuma, jangan Datuk-Datuk pula!’ tambahnya, disambut dengan senyuman ibunya yang lebih rela anaknya kelak membina mahligai dengan orang biasa.

Bagaimanapun, buat masa ini, Sheila ingin perlahan-lahan belajar bermain piano dan mempertingkatkan mutu vokalnya.

Dengan usianya baru 20 tahun, pasti banyak lagi album yang akan dirakamkan Sheila pada masa-masa akan datang.

Cyberita

Calon-Calon Anugerah Mtv Asia

8 Jul

SELEPAS menyepi tahun lalu, Anugerah MTV Asia 2008 kembali dengan penampilan lebih gah di Arena of Stars, Genting Highlands pada 2 Ogos ini.

Lebih 50 artis setempat dan antarabangsa akan diraikan di dalam majlis tahunan ini.

Sejak 14 Jun hingga 25 Julai ini, undian akan dibuat serantau oleh penonton saluran MTV melalui laman Internet.

Anugerah untuk 16 kategori akan diumumkan, dengan 10 daripadanya ditentukan oleh undian penonton MTV.

Mereka yang dicalonkan adalah yang mencipta nama dan menggegarkan industri seni untuk tahun ini. Enam lagi anugerah adalah yang khusus, iaitu Anugerah Bintang Video, Artis dengan Pencapaian Menakjubkan, Anugerah Inovasi, Anugerah Gandingan Kerjasama Terbaik, Anugerah Menggegarkan dan Anugerah Stailedc.

Antara yang dicalonkan ialah:

Kategori Artis Singapura Pujaan Ramai

1. Electrico

2. JJ Lin

3. Stefanie Sun

4. Tanya Chua

Kategori Artis Indonesia Pujaan Ramai

1. Andra & The Backbone

2. Mulan Jameela

3. Nidji

4. Yovie & Nuno

Kategori Artis Malaysia Pujaan Ramai

1. Faizal Tahir

2. Nicholas Teo

3. Pop Shuvit

4. Datuk Siti Nurhaliza

Kategori Artis Korea Pujaan Ramai

1. Big Bang

2. Girls Generation

3. Super Junior

4. Wonder Girls

Kategori Artis Antarabangsa Pujaan Ramai di Asia

1. Avril Lavigne

2. Fergie

3. Justin Timberlake

4. Linkin Park

Cyberita

Dicalon Lagi

7 Jul

Datuk Siti kini ‘bos’ boyband, kakak
dan adik

OlehHaryani Ismail

PULUHAN anugerah dirangkulnya sejak lebih sedekad yang lalu mencurahkan keringatnya di dalam bidang seni.

Sehinggakan apabila ditanya berapa jumlah anugerah mahupun berapa kali beliau dicalonkan untuk Anugerah MTV Asia, Datuk Siti Nurhaliza, tertawa kecil dan penuh merendah diri berkata:

‘Entahlah, tak ingat pula. Tak dikira. Tahun lalu, tak ada sebarang pencalonan kerana Anugerah MTV Asia tidak diadakan.

‘Justeru, Siti bersyukur kerana walaupun Siti kini bukan lagi single dan sudah berkahwin, masih ada yang mengingati Siti dan menghargai diri ini. Siti yakin ia berdasarkan album terbaru yang Siti lancarkan.

‘Ia juga penghargaan bukan saja daripada peminat Siti di Malaysia tetapi di Singapura, Brunei, Indonesia dan rantau ini.’

Berdasarkan rekod MTV, Datuk Siti memenangi Anugerah MTV Asia bagi kategori Artis Malaysia Pujaan Ramai sebanyak empat kali berturut-turut (2002-2005).

Pada 2006, seorang lagi penyanyi sensasi Malaysia, Mawi menggantikan takhtanya di Royal Paragon Hall, Bangkok, Thailand.

Dalam pada itu, Datuk Siti dapat membayangkan perasaan yang memenuhi benak calon-calon lain meskipun ada di antara mereka masih baru dalam industri seni Malaysia.

Selain beliau, Faizal Tahir, Nicholas Teo dan kumpulan Pop Shuvit dicalonkan di acara yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 2 Ogos ini.

‘Bagi Siti, tidak kira kalau calon itu artis mapan atau artis baru. Ia merupakan persaingan sihat.

‘Siti kini melihat artis-artis baru yang dicalonkan seiringan dengan Siti sebagai pencetus semangat. Mereka mendorong Siti untuk bekerja lebih keras lagi.

‘Kalau dulu, semasa Siti masih baru lagi, perasaan dicalonkan bersaing dengan artis mapan membuatkan Siti ingin mencontohi artis itu. Siti yakin industri kita memerlukan seberapa ramai artis untuk mewarnai dan memekarkan lagi industri ini dengan pelbagai genre muzik,’ katanya, ketika dihubungi melalui panggilan jauh.

Ditanya mengenai perkembangan terkininya, Datuk Siti menambah beliau rindu menghasilkan album kontemporari yang dijangka siap hujung tahun ini.

‘Album ini ada keistimewaannya dan iramanya berunsurkan irama fusion. Siti akan menggabungkan semula khidmat komposerkomposer seperti A.Ali, Adnan Abu Hassan, M.Nasir dan Fauzi Marzuki – mereka yang banyak berjasa menghasilkan lagu-lagu indah untuk Siti,’ katanya.

Terbetik pula di fikiran penulis, tidakkah Siti bercadang untuk mengurus artis, bersandarkan pengalamannya menjadi anak seni yang banyak mengharungi jerih- payah dunia seni.

‘Buat masa ini, di bawah Siti Nurhaliza Productions (SNP), terdapat tiga artis – satu boyband, Coda; kakak Siti, Siti Nursaidah dan adik Siti, Siti Saerah.

‘Coda ini terdiri daripada lima anak muda. Mereka boleh bermain muzik dan ada bakat tersendiri yang Siti yakin akan menarik minat pendengar,’ tambah Datuk Siti mengenai perkembangan SNP.

Beliau melahirkan rasa gembiranya, bahkan, tidak menduga akan berkongsi tip dengan kakak dan adiknya sendiri.

‘Tak sangka Saidah juga akan menceburi bidang ini. Beliau menyertai Akademi Fantasia, sebuah program realiti dan ternyata ada pengikutnya sendiri. Orangnya ni pemalu, lebih pemalu daripada dik-adiknya.

‘Kalau Saerah tu, memang bakatnya dah nampak daripada dulu. Suaranya parau dan ada identiti tersendiri. Dia boleh pergi jauh kerana vokalnya itu. Cuma Siti harap dia tabah menjadi anak seni dan tekankan soal disiplin serta kemantapan vokal,’ jelas bintang yang sentiasa menyambut soalan wartawan dengan penuh ketenangan dan keceriaan.

Mungkinkah kita melihat Datuk Siti menjayakan bidang lakonan pentas lagi sepertimana yang dihidupkannya melalui watak Azizah di dalam P.Ramlee the Musical?

Katanya: ‘Berilah orang lain peluang. Masa tu, Siti setakat mencuba sebagai tanda penghormatan kepada legenda kita, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

‘Namun, bidang ini memerlukan tumpuan masa dan selepas berumah tangga, Siti perlu fikir tentang keluarga dan harus fokus dalam satu cabang seni.

‘Justeru, cukuplah dulu setakat itu penampilan Siti di pentas.’

Cyberita

Calon-Calon Anugerah Mtv Asia

7 Jul

RINGKAS
Calon-Calon Anugerah
MTV Asia

SELEPAS menyepi tahun lalu, Anugerah MTV Asia 2008 kembali dengan penampilan lebih gah di Arena of Stars, Genting Highlands pada 2 Ogos ini.

Lebih 50 artis setempat dan antarabangsa akan diraikan di dalam majlis tahunan ini.

Sejak 14 Jun hingga 25 Julai ini, undian akan dibuat serantau oleh penonton saluran MTV melalui laman Internet.

Anugerah untuk 16 kategori akan diumumkan, dengan 10 daripadanya ditentukan oleh undian penonton MTV.

Mereka yang dicalonkan adalah yang mencipta nama dan menggegarkan industri seni untuk tahun ini. Enam lagi anugerah adalah yang khusus, iaitu Anugerah Bintang Video, Artis dengan Pencapaian Menakjubkan, Anugerah Inovasi, Anugerah Gandingan Kerjasama Terbaik, Anugerah Menggegarkan dan Anugerah Stailedc.

Antara yang dicalonkan ialah:

Kategori Artis Singapura Pujaan Ramai

1. Electrico

2. JJ Lin

3. Stefanie Sun

4. Tanya Chua

Kategori Artis Indonesia Pujaan Ramai

1. Andra & The Backbone

2. Mulan Jameela

3. Nidji

4. Yovie & Nuno

Kategori Artis Malaysia Pujaan Ramai

1. Faizal Tahir

2. Nicholas Teo

3. Pop Shuvit

4. Datuk Siti Nurhaliza

Kategori Artis Korea Pujaan Ramai

1. Big Bang

2. Girls Generation

3. Super Junior

4. Wonder Girls

Kategori Artis Antarabangsa Pujaan Ramai di Asia

1. Avril Lavigne

2. Fergie

3. Justin Timberlake

4. Linkin Park

Cyberita

Cindai Itu Kain Sutera, Si Cindai Pula Puntianak

4 Jun

OlehMohd Gani Ahmad

KETIKA keluar daripada dewan solat Masjid Al-Muttaqin pada Jumaat lalu, Haji Ismail, jiran lama, yang sering bercanda, tiba-tiba bertanya, ‘Apa itu cindai, ya, Pak Gani?’

Mendengar pertanyaan ini tercetus dalam minda saya, mungkin beliau teringat akan wajah ayu dan suara merdu Datuk Siti Nurhaliza ketika mendendangkan lagunya, Cindai.

Lagu ini dicipta Pak Ngah dan liriknya oleh Hairul Anwar Harun. Ia pernah dipersembahkan Datuk Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London, pada 2005.

Hayati rangkap pertama lirik lagu ini:

Cindailah mana tidak berkias,

jalinnya lalu rentak beribu;

Bagaimanalah hendak berhias,

cerminku retak seribu.

Saya nyatakan kepadanya apa yang terlintas di luar kepala: bahawa cindai itu ialah sejenis kain sutera yang coraknya berbunga-bunga.

Kain ini biasanya menyerupai warna kulit ular sawa. Kain ini dipercayai berasal di daerah Sind, Pakistan.

Maka berkemungkinanlah kosa kata ini juga ambilan daripada bahasa asal tempat kelahiran kain ini, Sind, Pakistan.

Dalam sastera Melayu klasik, sering terdapat penggunaan perkataan kain cindai ini. Sila baca petikan bahasa berirama daripada Hikayat Malim Dewa:

Baju beladu ainul banat,

Kain kembung kampuh pelangi,

Bukannya kain di bawah angin,

Kain kelambu rasul Allah,

Berikat pinggang kain cindai

Dalam bahasa berirama ini menunjukkan bahawa kain cindai dijadikan pengikat pinggang; maksudnya tentulah bengkung atau sabuk.

Menurut Allahyarham Haji Buang Bahar, Guru Kanan, Perguruan Silat Seni Gayong, dalam sembang silatnya di Sekolah Melayu Kota Raja pada akhir 1960-an:

‘Perkataan cindai ini digunakan bagi ijazah tahap tertinggi permainan seni silat yang menggunakan selendang atau bengkung; silat cindai namanya.

‘Tak ramai pesilat yang dapat menguasai atau mahir ke peringkat silat cindai ini.’

Daripada fakta yang terpapar, bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa cindai tidak sahaja merupakan kain sutera yang bermutu atau tahap seni silat yang terunggul tetapi juga boleh diibaratkan sesuatu yang istimewa dan bermutu.

Anehnya, pada sesetengah masyarakat di Sumatera, terutama sekali suku Minangkabau, apabila perkataan ini diimbuh dengan kata sandang ‘si’ menjadi Si Cindai, maka maknanya sudah jauh menyimpang daripada makna sebenarnya.

Si Cindai tidak lagi bermakna apa yang dibincangkan tetapi bererti perempuan yang meninggal dunia semasa bersalin; yang kemudiannya menjadi puntianak atau kuntianak.

Satu-satunya peribahasa yang menggunakan kata cindai ialah ‘Mati berkapan kain cindai’. Maknanya seseorang yang meninggal dunia dengan nama yang baik, dipuji dan dihormati.

Umpama pepatah yang berbunyi: Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.

Powered by Cyberita

Bintang Tampan

26 May

TETAMU misteri Kem Obor ini sering dilihat sebagai jejaka penggugat hati gadis.

Beliau akan hadir pada hari kedua Kem Obor, yang sebahagian sesinya dikendalikan di Kebun Bunga.

Selain suka meronda ke pulau-pulau sekitar Indonesia serta merupakan pencinta alam, VJ ini pernah mewarnai klip video Datuk Siti Nurhaliza, Debaran Cinta.

Beliau, bahkan dianggap antara bintang yang membuat Datuk Siti ‘cair’.

Untuk ketahui kisahnya yang memulakan kerjaya dalam bidang hiburan pada usia remaja, ikuti laporan Obor minggu depan.

Powered by Cyberita

Detik Bersejarah Buat 'Dua Mel…'

24 May

APABILA Emelda Rosmila naik ke pentas di Dewan Teater Esplanade hari ini, ia menjadi detik sejarah tersendiri bagi dirinya – kerana ia adalah pertama kali beliau berhadapan dengan penonton dalam persembahan teater.

Emelda, yang membawa watak Azizah, kekasih Allahyarham P.Ramlee, bahkan akan turut menyanyi.

‘Memang saya rasa cukup tertekan kerana inilah pertama kali saya naik pentas, menyanyi dan berlakon sekali gus. Saya hanya berharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan tidak mengecewakan semua orang,’ kata Emelda, 28 tahun, yang mesra dengan panggilan Mel saja.

Satu lagi cabaran yang dihadapi pelakon yang popular menerusi watak Manja dalam siri drama Manjalara ini ialah kemungkinan beliau akan dibandingkan dengan penyanyi Siti Nurhaliza, yang membawa watak Azizah dalam musim pertama Muzikal P.Ramlee ketika dipentaskan di Kuala Lumpur, tahun lalu.

‘Kalau nak bandingkan suara, tentu tidak adil sebab saya bukan penyanyi. Setakat menyanyi suka-suka dalam majlis korporat itu, adalah. Tetapi memandangkan ini sebuah muzikal, menghidupkan watak yang menyanyi itu sendiri merupakan satu cabaran. Saya cuba memberi persembahan yang menyakinkan,’ kata pelakon.

Beliau akui, beliau terdorong menjalani uji bakat membawa watak Azizah atas saranan pengarah muzikal, Adlin Aman Ramli, yang juga diketahui umum sebagai kekasihnya. Namun Emelda menegaskan pemilihannya tidak kena mengena dengan soal peribadi, sebaliknya beliau menjalani prosedur biasa secara profesional.

‘Tak ada perbezaan layanan Adlin terhadap saya berbanding dengan pelakon lain. Kami semua bekerja secara profesional,’ kata beliau lagi.

Sementara itu, seorang lagi pelakon, Melissa Saila, pada awal minggu ini memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Anugerah Seni BOH Cameron kerana wataknya sebagai isteri kedua P.Ramlee, Allahyarhamha Norizan dalam muzikal tersebut.

Ketika ditemui, anak seniwati Mariani itu berkata anugerah yang diterimanya sungguh bermakna kerana ia mengiktiraf kemampuannya dalam bidang teater.

‘Saya bukan seperti Melissa dulu yang main terima apa saja watak diberikan. Kini saya amat memilih dalam soal kerja. Sebab itu saya lebih banyak tumpukan perhatian kepada teater.

‘Saya hanya mahu berlakon dalam persembahan yang saya anggap bermutu dan watak yang mencabar,’ kata Melissa, 36 tahun, yang kini sudah bergelar ibu dua anak.

Powered by Cyberita

Adlin Tekad Jaga Reputasi

10 May

MUZIKAL P.RAMLEE
Adlin tekad jaga reputasi

By Hanim Mohd Saleh

ADLIN Aman Ramli cukup memahami betapa era kegemilangan filem Melayu di zaman Allahyarham P.Ramlee cukup istimewa di hati orang Singapura.

Justeru, beliau bertekad, apabila kru dan pemain Muzikal P.Ramlee tiba di Singapura pada hujung minggu ini, mereka masuk ke tempat persembahan, Dewan Teater Esplanade dengan penuh bergaya dan keluar dengan reputasi yang lebih tinggi.

‘Saya ingatkan para pemain bahawa membawa muzikal ini ke Singapura sebenarnya seperti balik kampung.

‘Jadi orang kampung nak tengok apa yang kita tahu dan faham tentang mereka. Sebab itu, kami menganggap kehadiran kami di Singapura begitu penting untuk memenuhi jangkaan itu,’ kata Adlin, aktivis teater yang semakin menjadi sebutan sejak menjayakan Puteri Gunung Ledang The Movie, membawa watak Sultan Melaka.

Beliau juga merupakan anak Allahyarham A.R. Tompel dan pelakon Ruminah Sidek (Mak Mah).

Berbeza daripada muzikal musim pertama, Adlin menghadapi cabaran mengendalikan beberapa pembaharuan yang dikenalkan dalam muzikal yang pertama kali dibawa ke Singapura.

Antaranya termasuk membimbing Musly Ramli, orang lama yang selama ini gemar menyanyikan lagu- lagu P.Ramlee, tetapi pertama kali diberi tanggungjawab besar membawa watak P.Ramlee, menggantikan tempat Sean Ghazi.

‘Kalau dalam musim pertama dulu kami memberi tumpuan kepada bentuk luaran muzikal itu, kali ini kami memberi perhatian lebih kepada bentuk dalamannya, iaitu menghidupkan jiwa P.Ramlee,’ ujarnya.

Selain pemain, turut berubah ialah sentuhan muziknya, yang kini diterajui Roslan Aziz.

‘Kami tidak bertujuan mengubah semuanya tetapi memberi suntikan yang dapat membangkitkan semangat muzikal itu secara keseluruhan,’ kata Adlin lagi.

Adlin akui, sejak kejayaan filem PGL, diikuti dengan versi muzikalnya, hubungan kerjanya dengan penerbit dari Enfiniti Productions, Datin Seri Tiara Jacquelina, semakin mesra.

Adlin yang dikenali sebagai hos rancangan Wakenabeb mengakui mengenali Tiara sebagai ‘insan yang bercita-cita besar untuk berbuat sesuatu kepada industri seni’ dan beliau sama-sama berkongsi impian itu.

Bagaimana pula, Adlin sebagai pengarah, menangani kehadiran temanitanya, Emelda Rosmila, yang terpilih membawa watak Azizah (menggantikan Siti Nurhaliza) kali kini?

Pertama, Adlin menegaskan, Emelda mendapat tawaran watak itu menerusi prosedur yang dilalui semua pemain tanpa layanan istimewa.

‘Zahim Bakri dan Tiara menilai persembahan Emelda beberapa kali menerusi pita rakaman dan mereka yang membuat pilihan secara profesional.

‘Saya sendiri, kalau bekerja, saya bukan seorang yang peramah. Kalau orang kata dengan kehadiran Emelda, nanti berlaku pepatah ‘gajah di depan mata tak nampak’, jangan bimbang… gajah ke, semut di seberang, kalau saya nampak, saya cakap.’

Muzikal P.Ramlee berlangsung dari 17 hingga 19 Mei ini di Dewan Teater Esplanade. Tiket-tiket berharga $100, $80, $60 dan $40 boleh didapatkan di Esplanade Box Office atau di kaunter Sistic atau laman http://www.sistic.com.

Powered by Cyberita

Siti Di Esplanade

23 Feb

Peluang saksi Siti beraksi lepas tukar kepada imej bertudung

Oleh
Hanim Mohd Saleh

MENURUT bisik-bisik pasaran pementasan, bukan mudah untuk mendapatkan diva muda, Datin Seri Siti Nurhaliza, memenuhi undangan menyanyi sejak bergelar isteri.

Kalau semasa zaman anak daranya, sesetengah pemaju konsert terpaksa membuat tempahan setahun lebih awal jika mahu mendapatkan penyanyi tersohor itu, sekarang keadaannya terbalik.

Siti enggan memberi kepastian jika tarikhnya masih terlalu lama. Paling tidak, tiga bulan!

Sebabnya? Siti dikatakan bersungguh-sungguh menyiapkan diri untuk menjadi ibu dan tidak mahu terperangkap dengan undangan seandainya beliau didapati hamil.

Tetapi setelah pasti kemungkinan kehamilan itu belum menunjukkan tanda, Siti akhirnya bersetuju untuk mengadakan konsert solonya yang pertama di Esplanade Teater Di Pesisiran dalam jangka masa terdekat ini – 21 Mac (cuti umum Good Friday).

Ia konsert solo besar pertama Siti di sini sejak 2005 dan sejak berumah tangga dengan usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Ia juga merupakan konsert pertamanya di sini dengan keadaan Siti berimej tudung.

Eksekutif Perancangan Esplanade, Cik Norhayati Yusoff, ketika mengesahkan konsert tersebut kepada Berita Harian, berkata pihaknya gembira kerana akhirnya berjaya mendapatkan persetujuan daripada pihak Siti untuk mengadakan konsert solo tersebut.

Konsert itu merupakan sebahagian daripada siri Pentas, acara Melayu setiap empat bulan yang dianjurkan Esplanade sepanjang tahun.

Ia akan diadakan di Dewan Teater Esplanade yang boleh menampung 1,800 tempat duduk.

‘Memang agak tergesa-gesa konsert ini diadakan tetapi kami tidak dapat elakkan kerana pihak Siti sendiri yang sukar memberikan kata putus.

‘Ini memandangkan Siti tidak mahu membuat komitmen projek yang dijadualkan lebih daripada tempoh tiga bulan,’ kata Cik Norhayati.

Beliau menambah, pihak Esplanade yakin Siti masih mempunyai daya tarikan yang kuat biarpun sudah berumah tangga, bahkan menilaikannya sebagai penyanyi yang semakin matang.

Berbeza daripada konsert Siti yang biasanya sarat dengan penari latar moden dan tradisional, Cik Norhayati berkata persembahan kali ini lebih bersifat mesra penonton, dengan tumpuan diberi kepada vokal dan muzik akoustik saja.

‘Kami berharap, menerusi konsert itu, Siti dakan dapat memperlihatkan kematangannya sebagai seorang seniwati secara menyeluruh.

‘Kami yakin Siti sudah bersedia berinteraksi dengan penonton dengan hanya menggunakan kekuatan vokal, penjiwaan dan pengalamannya menguasai pentas,’ tambah pegawai itu lagi.

Dengan konsep mesra penonton itu, pihak Esplanade memberi penyanyi tersebut kebebasan memilih lagu, tanpa perlu terikat dengan sebarang tema.

‘Kami yakin, Siti akan menyentuh hati penonton dengan lagu-lagu yang banyak meninggalkan kenangan manis dan pengalaman kerjayanya dalam bidang seni,’ tambah beliau lagi.

Selain konsert Siti, Esplanade juga bakal membawa sekali lagi muzikal Puteri Gunung Ledang pada Mei ini dengan barisan pelakon yang sama kecuali watak Hang Tuah (yang sebelum ini dijayakan oleh Stephen Rahman-Hughes). Siapa pengganti watak itu, belum dapat dipastikan.

‘Kami juga masih berbincang untuk membawa ke sini muzikal My Name Is Remy, muzikal mengenai riwayat hidup Allahyarham P.Ramlee. Kemungkinan ia hanya dapat dilakukan tahun depan kerana pihak penerbit sendiri belum bersedia untuk membawanya ke Singapura,’ kata Cik Norhayati lagi.

Tiket konsert berharga $60, $80, $120, $160, $220 dan $300 (tempat duduk VIP) boleh dibeli di kaunter Sistic (hotline 65-6348-5555) atau menerusi http://www.sistic.com atau http://www.esplanade.com.