Archive | Sitizone RSS feed for this section

Besar ertinya 1 April

1 Apr

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Tarikh yang amat besar ertinya buat kerja seni Siti iaitu hari ini, 1 April 2010. Siti berasa seperti tidak percaya bahawa perjalanan seni Siti sudah menjangkau usia 15 tahun. Banyak perkara yang telah Siti lalui, pengalaman yang bermacam-macam, keseronokan, kegembiraan, kesedihan, kedukaan namun semuanya menjadi amat manis pada hari ini kerana ia telah memberikan sesuatu yang amat besar dan tinggi maknanya dalam kehidupan Siti.

Siti berbangga kerana mempunyai anda, SitiZoners dan peminat-peminat Siti yang lain selama ini. Andalah punca mengapa Siti berada di sini hari ini. Tanpa anda mungkin Siti bukan siapa-siapa. Siti akui banyak mendapat sokongan dan kekuatan daripada anda semua untuk terus bertahan.

Siti mengambil kesempatan di sini untuk berterima kasih kepada setiap seorang daripada anda yang telah bersama-sama Siti selama ini, kepada keluarga, suami, peminat,pihak media, pihak-pihak dalam industri muzik dan sesiapa sahaja yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam kerjaya Siti. Siti akui terlalu besar jasa anda pada Siti dan tidak terbalas dengan apa jua namun seperti biasa, Siti akan terus berusaha memberikan yang terbaik buat anda. InsyaAllah selagi dipanjangkan usia dan diberikan kudrat olehNYa.

Di laman ini (SitiZone), Siti telah mengumpul anda semua, begitu juga di facebook Siti, dan inilah ‘keluarga’ Siti.

Ke mana-mana sahaja Siti pergi, Siti tidak pernah berasa sunyi kerana `keluarga’ ini sentiasa ada bersama Siti. Anda menjadi satu dalam kehidupan dan kerjaya Siti, anda bersama-sama Siti dalam susah dan senang, anda memahami adakalanya Siti juga seperti orang lain memerlukan ruang sendiri dan adakala Siti berkongsi segalanya dengan anda. InsyaAllah, besar harapan Siti agar jalinan yang baik ini akan kekal sampai bila-bila.

15 tahun kekal dalam industri dan masih mencuba, belajar dan menerokai untuk menjadi yang lebih baik. Dua hari lepas Siti melancarkan produk Siti, Simply Siti dan ia adalah langkah untuk mengembangkan bidang perniagaan dan bergelar usahawanita. Inilah antara pengorbanan yang Siti buat kerana sebagai anak seni, Siti mahu membuktikan bahawa dengan kerjaya ini, InsyaAllah Siti juga mampu berjaya seperti orang lain.
Terima kasih atas sokongan selama 15 tahun ini, terima kasih setulusnya daripada hati Siti. Siti menghargai dan menyayangi anda semua.

Salam sayang.

Album Kontemporari Tradisional Sudah Siap…

4 Dec

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini. Harapan Siti agar anda semua dilimpahkan kebahagiaan selalu.
Kepada adik-adik yang berjaya dalam UPSR baru-baru ini, Kak Siti ingin mengucapkan tahniah dan teruskan usaha untuk menjadi insan yang berguna. Kepada yang telah menduduki SPM dan STPM baru-baru ini, bersama-samalah kita berdoa agar anda semua diberikan kejayaan dan dapat keputusan yang cemerlang nanti.

Pada kesempatan ini juga, Siti ingin mengucapkan selamat berangkat kepada semua jemaah haji ke Mekah dan juga selamat menyambut hari raya korban buat semua umat Islam di mana saja anda berada. Kita doakan agar semua jemaah diberikan kelancaran selama berada di tanah suci dan mendapat haji yang mabrur, InsyaAllah.

Berita gembira buat semua, album kontemporari tradisional Siti sudahpun siap rakamannya. Sekarang ini hanya tinggal proses mastering saja. Siti amat teruja menantikan kelahiran album ini dan Siti telah berusaha menghasilkan sebuah album yang terbaik untuk anda semua dan besar harapan Siti agar album ini memberikan kepuasan kepada semua peminat. Mengenai kualiti, Siti memang tidak pandang sebelah mata, malah seluruh komposer dan produser telah memberikan yang terbaik. Keseluruhan lagu dalam album ini juga iaitu 11 lagu menggunakan live strings dan ini merupakan satu pengorbanan Siti dan SNP buat kepuasan peminat muzik semua.

Bagi Siti usaha ini akan memberikan kegembiraan apabila setiap seorang daripada anda menyokong dan mendapatkan album ini menerusi saluran yang betul.
Saranan Siti dan SNP, bermula dengan SitiZone dan tenaga yang ada dalam SitiZone (iaitu anda semua), sasaran album ini menjangkau jualan 100 ribu unit akan tercapai. Bolehkah anda bersama-sama Siti? Ini adalah program tidak rasmi SitiZone iatu mencapai sasaran 100 ribu unit album ini kerana ia akan memberikan cahaya kepada industri muzik semula. Semua perkembangan terbaru mengenai album ini akan Siti war-warkan nanti dan ada ruangan khas tentang album baru ini kelak.

Perkembangan terbaru pula, Siti amat bersyukur kerana syarikat filem dari Indonesia iaitu Starvision (yang sebelum ini menerbitkan filem Ayat-Ayat Cinta), telah memilih Siti menyanyikan dua buah lagu tema untuk filem terbaru mereka iaitu Perempuan Berkalong Sorban. Siti telah siap merakamkan lagu Ketika Cinta (ciptaan Opick) dan Batasku Asaku (ciptaan Siti sendiri) dan video klip lagu Ketika Cinta juga sudahpun siap penggambarannya. Filem ini akan mula ditayangkan di Indonesia akhir bulan Disember atau awal Januari nanti. Bagi Siti ini satu penghormatan buat Siti dan hendaknya berita ini turut memberi kegembiraan buat peminat Siti di Indonesia.

InsyaAllah jika ada yang terbaru akan Siti ceritakan lagi nanti. Salam sayang buat semua. Terima kasih kerana memberi sokongan yang tidak pernah putus.

Siti Nurhaliza

Majlis Hari Raya Yang Lalu…

31 Oct

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Seperti biasa Siti mendoakan agar anda semua berada dalam keadaan yang baik dan dikurniakan kebahagiaan selalu.

Rasanya masih belum terlambat untuk Siti mengucapkan terima kasih di atas kehadiran warga Sitizone yang berkesempatan datang berhari raya bersama-sama tempohari. Pertama sekali Siti minta maaf jika ianya diadakan agak tergesa-gesa memandangkan Siti memang ada urusan lain selepas tarikh itu. Namun kehadiran warga Sitizone hari itu amat menggembirakan Siti walaupun Siti difahamkan warga Sitizone yang lama tidak sempat mendaftar dan ada di antara mereka yang tidak mendapat undangan kerananya. Siti mohon maaf kerana majlis yang buat pertama kali diadakan ini adalah khusus untuk warga Sitizone yang mendaftar sahaja (pendaftaran di Sitizone baru).

InsyaAllah jika ada rezeki, di masa akan datang majlis seumpama ini boleh diadakan lagi. Siti berharap agar semua yang datang hari itu berpuas hati dengan majlis yang seadanya itu dan terhibur dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan. Cuma Siti perhatikan ada warga Sitizone yang malu-malu dan ada juga di antara mereka yang tidak mengambil bahagian tetapi hanya menyokong dari belakang. Selepas ini Siti berharap agar semua warga Sitizone akan bekerjasama, tidak hanya ada kelompok tertentu kerana laman ini dibuka khusus untuk merapatkan hubungan di antara kita semua.

Selepas mesej ini anda baca, Siti sudah sibuk dengan persediaan rakaman vokal. Sekarang ini muzik untuk album sudah siap dan Siti sudah bersedia ke studio. Doakan agar album ini akan dapat disiapkan dengan baik. Siti juga ada sasaran tertentu untuk album ini, besar harapan Siti agar Sitizone dan peminat semua dapat bekerjasama bagi memastikan album ini akan menjadi penanda aras industri muzik Malaysia terus berkembang.

Buat semua, semoga gembira dan bagi yang menduduki peperiksaan semoga berjaya. Kepada yang telahpun menduduki peperiksaan, doa Siti agar anda juga akan berjaya.
Sekian, salam mesra selalu.
Siti Nurhaliza

Sokongan peminat…

15 Jul

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Harapan Siti agar semuanya sihat seperti biasa dan berada dalam keadaan yang baik-baik belaka.

Nampaknya agak lama juga Siti tak menulis di sini tetapi tidak mengapalah kerana Siti sentiasa mengikuti perkembangan anda di sini termasuklah permintaan anda untuk tidak memaparkan message board kepada bukan ahli di sini buat sementara waktu.

Apa pun yang anda rancangkan, yang anda fikirkan dan anda lakukan, Siti di sini sentiasa menyokong kerana laman ini adalah tempat kita dan semestinya Siti akan selalu mendengar apa jua permintaan anda kerana di sinilah kita dipertemukan dan persaudaraan itu terjalin.

Mungkin karier Siti senyap seketika tetapi bukan bermakna goyang kaki kerana banyak perkara sedang bergerak. Siti juga gembira kerana SNP sudah mengeluarkan single Sairah berjudul Hero Wayang yang sudahpun dimainkan di radio, bakal menyusul nanti single Saida dan seterusnya album Coda. Segalanya akan berlaku tidak lama lagi dan harapan Siti agar anda semua menyokong artis2 SNP yang lain kerana ini adalah usaha Siti untuk memberikan sesuatu kepada industri muzik kita.

Siti juga sudah tidak sabar melaksanakan pelbagai rancangan yang terdapat dalam agenda SNP, bagi Siti semua ini berkaitan dengan sokongan anda selama ini. Semangat anda membuatkan SIti tidak mudah mengalah untuk meneruskan sesuatu yang boleh dikongsi bersama anda. Doakan agar apa jua yang kami akan jayakan akan mendapat keberkatanNya dan juga sokongan and serta pihak-pihak lain juga.

Setakat ini buat masa ini.Nantikan kahabar Siti lagi.

Salam mesra buat semua, Siti Nurhaliza

Terima Kasih Kerana Prihatin…

16 Jun

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam penuh keceriaan buat semua dan harapan Siti agar semuanya akan mendapat apa yang dihajatkan dalam hidup.

Tidak sangka pula mesej Siti yang sebelum ini menimbulkan banyak persoalan dan juga jadi bualan walaupun sewaktu menghantar mesej tersebut Siti memang tidak memikirkan apa-apa kerana merasakan ia satu mesej yang biasa dihantar. Nampaknya peminat Siti amat prihatin dan Siti juga tidak mahu lagi ada tanda tanya cuma adakala dengan satu mesej, suasana akan bertukar menjadi lebih baik dan juga yang sebaliknya. Harapan Siti agar semuanya akan jadi baik-baik sahaja.

Jangan bimbangkan Siti kerana memang Siti akui sebagai manusia biasa adakala kita juga rasa untuk berkongsi sesuatu dengan orang lain tapi kita tidak boleh mengharapkan orang memahami kita. Namun buat anda semua, Siti tahu bagaimana sokongan anda kepada Siti selama ini dan Siti amat menghargainya.

Masa terus berlalu, memang banyak rancangan yang mahu dilaksanakan. Bukan untuk diri Siti sahaja tetapi syarikat Siti juga. InsyaAllah, Siti juga tidak lama lagi akan memulakan produksi album tradisional kontemporari dan InsyaAllah akan merakamkan vokal bila semuanya sudah sedia. Begitu juga dengan artis SNP yang lain, akan ada produk yang akan dikeluarkan di samping rancangan-rancangan lain. Maklumlah, tahun ini SNP sudah genap 10 tahun. InsyaAllah berkat sokongan semua kami akan melakukan apa yang terbaik untuk industri. Segalanya perlu perancangan yang betul kerana industri hiburan sekarang tidaklah sehebat zaman 90-an dulu. Siti harap dengan usaha yang kami taburkan selama ini akan dapat sentiasa memuaskan dan menghiburkan hati anda semua.

InsyaAllah seperti biasa, jika segalanya sudah pasti Siti akan umumkan kepada semua. Doakan agar semuanya berjalan dengan baik.

Terima kasih atas semua yang telah anda lakukan di belakang Siti, menjalinkan hubungan yang baik, mengadakan pertemuan dan juga memanjangkan silratulrahim. Itulah matlamat SZ kerana ia bukan hanya menghubungkan Siti dengan anda tetapi di antara anda juga. Maaf jika ada pelawaan yang tidak dapat ditunaikanm, tidak banyak masa dapat diluangkan tapi adakala penghargaan tak dapat diluahkan dengan perbuatan dan perkataan kerana hati yang boleh menyampaikan kebenaran dan kenyataan.

Salam sayang buat semua. Jumpa lagi.
Siti Nurhaliza

Salam semuanya…

23 May

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam buat warga pekerja, warga belia, warga ibu, warga guru dan sesiapa yang menyambut hari Wesak baru-baru ini, nampaknya bulan Mei banyak hari-hari yang diraikan.

Seperti biasa Siti mendoakan agar semua yang dijalani akan dapat dilalui dengan baik. Siti juga berdoa agar hari-hari yang bererti buat setiap seorang daripada kita akan menjadi detik yang bermakna dalam hidup.

Hidup hanya sekali, itu yang memang kita tahu. Menghargainya setiap detik akan memberikan kita kelegaan kerana kita akan dapat mensyukuri apa yang telah kita miliki. Tidak kira siapa kita, apa status kita, di manakah asal kita, keturunan, bangsa , agama mahupun negara, kita harus tahu erti saling menghormati dan menghargai.

Siti kira terlalu banyak yang telah Siti lalui dan depani, ambil saja yang manis untuk jadikan kenangan terindah dan yang pahit jadikan pedoman untuk ditongkah. Tidak mudah menjadi seorang seperti Siti tetapi Siti bertanggungjawab atas apa yang telah Siti jalani sebagai insan malah Siti tidak mahu mengeluh dan melatah jika ada kata-kata tidak benar dilempar, ada umpatan dan kejian, ada rasa tidak puas hati pelbagai pihak, ada rasa kurang senang mahupun sesuatu yang sampai ke telinga pihak lain adalah sebaliknya daripada cerita atau kisah sebenarnya.

Siti tahu tanggungjawab Siti besar kerana Siti telah melalui hari Siti sebagai orang yang dikenali, pasti apa jua akan diperkatakan. Tapi dalam Siti cuba dan mencuba malah telah lama menerimanya dengan dada terbuka tapi Siti harus akui bahawa Siti juga manusia biasa. Sebagaimana orang lain punya hati dan rasa, punya pertimbangan, akhirnya harus diakui bahawa kita semua adalah sama. Bagaimana ada yang sanggup menyakiti sesama kita, menuding jari ke arah sini dan sana malah melontarkan kata-kata yang mungkin membuatkan ada yang terluka. Apakah di laman ini sudah hilang kepercayaan dan keharmonian? Sudah timbul andaian yang seolah2 menggambarkan diri Siti ini adalah sebaliknya daripada apa yang pernah dikenali?

Beradalah sekejap di tempat Siti, pasti anda tidak sanggup duduk lama. Tapi inilah yang Siti pegang selama ini, bertahan semampu mungkin. Cukuplah… jangan ada andaian lagi. Semua yang berlaku baik-baik belaka. Siti masih ada rasa dan harga. Masih ada maruah dan juga masih punya hati yang seperti dulu. Tidak berubah, tidak ada kesanggupan untuk melukai sesiapa malah tidak pula menonong mengikut telunjuk sesiapa.

Maaf catatan ini merangkumi semuanya. Cukuplah jika selama ini Siti harus berkias dan masih menghormati perasaan orang lain dan kini Siti masih berkias kerana itulah cara Siti.

Semoga masih ada kedamaian dan keceriaan.Doa Siti yang berpanjangan.

Salam mesra buat semua.
Siti Nurhaliza

Terima Kasih Kepada Semua

28 Apr

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Semoga hari-hari yang dilalui tetap ceria dan membahagiakan. Biarlah apa saja dugaan mendatang, kita tempuh dengan tabah hati kerana semua yang tersurat itu adalah ujian. InsyaAllah akan ada hari-hari indah yang menanti.

Pertama sekali, terima kasih atas segala mesej yang disampaikan di laman ini. Tidak kira nasihat, teguran, salam, ucapan tahniah atau apa saja, Siti terima dengan hati yang terbuka. Sebagai manusia biasa, banyak yang telah Siti lalui dan insyaAllah apa yang baik itu akan Siti kejar dalam jalan Siti sendiri, dengan cara Siti sendiri, semoga segalanya akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Terima kasih kepada semua peminat yang mengundi Siti sewaktu Anugerah Planet Muzik baru-baru ini dan membolehkan anugerah Penyanyi Wanita Popular Siti kongsi bersama anda. Sokongan dan kesetiaan anda begitu membuatkan Siti terharu dan terima kasih sekali lagi.

Alhamdulillah, dalam cabaran dan rintangan, 2008 juga mencatatkan yang manis-manis juga buat Siti dan peminat. InsyaAllah apa yang terlakar ini akan menjadi kekuatan untuk Siti terus berusaha.

Tidak lama lagi AIM akan menjelang dan ini merupakan majlis anugerah yang ditunggu oelh seluruh karyawan seni tanahair. Bukan Siti mempertaruhkan diri Siti seorang tetapi semua yang bekerja di belakang tabir Hadiah Daripada Hati juga turut menerima penghargaan. Menjadi 5 calon terbaik dalam beberapa kategori menerusi Hadiah Daripada Hati (HDH) membuktikan bahawa album itu Siti hasilkan dengan berhati-hati dan mementingkan kualiti. Mungkin masih ada perbandingan dengan Transkripsi tapi HDH mempunyai kekuatan tersendiri.

Semoga catatan kali ini berjaya mengubat rindu para peminat semua.
Salam sayang daripada Siti.Moga bertemu lagi.

Siti Nurhaliza