Tiada Lagi Kerdipan Bintang

31 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
ESOK kita menyambut ketibaan tahun baru 2010, tetapi seharusnya kita jangan lupa kenangan manis dan pahit sepanjang 2009.

Dalam kegembiraan dan kegemilangan dunia glamor hiburan, insan bergelar artis juga tidak terkecuali daripada suratan takdir menyahut panggilan Ilahi kerana setiap yang hidup pasti akan mati,

Pastinya pemergian pengarah terkenal. Yasmin Ahmad pada 25 Julai lalu selepas tiga hari koma, mengejutkan masyarakat. Begitu juga kehilangan vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim pada 13 Ogos cukup dirasai kerana suara merdunya bukan saja mengalunkan lagu yang membawa keinsafan, malah laungan azan memanggil umat Islam menunaikan solat lima waktu dan setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha, suaranya meruntun perasaan dengan laungan takbir.

Dunia seni tanah air juga kehilangan komposer Zubir Ali, Osman Ghani, penyanyi Zainal Cugat, pelakon Shukery Hashim, pelawak Param, pelakon Dayana Kamal dan komposer Ismail Fariz Ali.

Ismail yang dikenali menerusi lagu popular Datuk Khatijah Ibrahim, Ku Pendam Sebuah Duka, meninggal dunia 24 Disember lalu.

Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza pula kehilangan bapa tersayang, Tarudin Ismail, 67, yang disifatkannya sebagai insan yang paling bermakna dalam kerjayanya kerana menjadi pendorong dan pemberi semangat kepadanya setiap kali berhadapan cabaran dan dugaan dunia seni.

Tarudin meninggal dunia pada 15 Februari lalu jam 11.50 pagi akibat serangan jantung.

Di pentas antarabangsa, satu dunia gempar dengan pemergian Raja Pop, Michael Jackson yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu di UCLA Medical Center, Los Angeles akibat masalah jantung.

Jackson, 50, yang sepatutnya mengadakan konsert solo di London pernah singgah di Malaysia menerusi History Tour In Concert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1996. Nyata, kematian Raja Pop itu diratapi ramai peminatnya di seluruh dunia termasuk peminatnya di Malaysia.

 

 

Zubir Ali

Komposer

6 Mac 2009

TERKENAL sebagai komposer dan penulis lirik lagu puisi, kehilangan Zubir Ali yang meninggal dunia pada 6 Mac lalu mengejutkan ramai rakan artis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 10.30 pagi di sisi semua anggota keluarga di Hospital Pakar Damansara.

Kata isterinya, Fauziah Ismail, suaminya itu kelihatan sihat dan mampu berbual selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Namun, ketika sakit kembali Allahyarham sempat bergurau mahu dia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara yang akhirnya menjadi kenyataan tempatnya disemadikan.

Sepanjang hayatnya, Zubir pernah bekerja sebagai pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya (UM).

Allahyarham pernah mencipta nama bersama kumpulan Harmoni menerusi lagu popular seperti Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.

Antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah Pencipta Lagu Terbaik, Balada Seorang Gadis Kecil pada Pesta Lagu Malaysia 1983, Penulis Lirik Terbaik (Maal Hijrah) pada Pesta Lagu Maal Hijrah 1994 dan Pencipta Lagu Terbaik (Kau Tahu) pada Pesta Lagu Ma’al Hijrah 1995.

Zubir, 60, meninggalkan tiga anak, Fauzul Azhan, 30, Badiatul Adawiyah, 25 dan Raihan Nurani, 23.

Zainal Cugat

Penyanyi

15 Mac 2009

DI kalangan peminat muzik latin tempatan, nama Zainal Cugat cukup dikenali ramai.

Zainal atau nama sebenar Zainal Abidin Yassin mempunyai kemahiran menguasai tujuh bahasa – Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Brazil, Jepun dan Tagalog (Filipina).

Namun, perjuangan seninya terhenti apabila menghembus nafas terakhir pada 15 Mac lalu di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) jam 10.10 pagi akibat serangan angin ahmar.

Mengimbas pengalaman seninya, arwah yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur mencipta populariti di kelab malam sekitar 60-an. Namanya menjadi sebutan ramai selepas menjuarai Talentime di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur dua tahun berturut-turut bermula 1954.

Antara lagu popular yang pernah dinyanyikan adalah Lagu Vollare (Dean Martin) dan Come Closer To Me (Nat King Cole) membuktikan kehebatannya sebagai penyanyi tempatan yang berbakat besar.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak termasuk Raizan yang dikenali Neves, vokalis kumpulan Pretty Ugly.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang.

Osman Ghani

Komposer

19 Mei 2009

LAGU Lizawati yang dipopularkan Rahim Maarof mengingatkan peminat dengan komposer Osman Ghani. Biarpun Osman dikenali pada era 70-an, tetapi cintanya pada muzik tidak pernah padam hingga ke akhir hayatnya.

Osman, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, Perak, 19 Mei lalu kerana asma. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan isteri, Husna Nor Md Habibi, 45, dan lapan anak, Suraya, Mohd Hazwan, Mohd Hairi, Mohd Azwan, Mohd Ridzuan, Siti Norashikin, Mohd Azlan dan Mohd Bunyamin.

Kata Husna, keadaan kesihatan suaminya itu kritikal selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan. Ketika masih hidup, arwah mempunyai projek menerbitkan album pelukis Wan Jaafar yang ingin menjadi penyanyi serta satu projek album bersama Akhil Hayy. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak dapat ditunaikan.

Shukery Hashim

Pelakon

10 Jun 2009

PENAMPILAN pelakon Shukery Hashim cukup sinonim dengan pelbagai drama TV. Namun, hasratnya untuk terus memberi sumbangan pada bidang lakonan hanya tinggal kenangan selepas dia pergi buat selamanya pada 10 Jun lalu.

Shukery, 55, atau nama sebenar Mohamad Shukery Hashim meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat barah pankreas.

Allahyarham yang dilahirkan pada 25 Januari 1954 di Langkawi, Kedah, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, Kuala Lumpur, selepas solat Asar.

Arwah meninggalkan balu, Faridah Mat Desa, 51 bersama lima anak iaitu Norshikin, 28, Norizety, 26, Mohd Firdza, 25, Mohd Aidil, 22, dan Mohd Amirul, 14, serta tiga cucu,

Mula berlakon pada 1984, tetapi Shukery terlebih dulu aktif menerusi drama radio di RTM sejak 1975. Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, Allahyarham pernah meraih tiga anugerah iaitu Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990,

Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular Berita Harian (1995).

Antara filemnya yang masih diingati penonton adalah Rahsia pada 1987, Ujang (1989), Syahadat (1992), Seri Dewi Malam (2001), Janji Diana (2003) dan terbaru, Shh… Dia Datang yang belum ditayangkan.

Antara ratusan drama dibintangi ialah Airmata Maria, A.D.A.M, Hadiah Pengorbanan, Cinta Keropok Lekor, Manjalara, Cinta Gila dan Rempit Vs Impak Maksima.

Yasmin Ahmad

Pengarah/pelakon

25 Julai 2009

BERITA pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad pengsan ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor pada 23 Julai mengejutkan rakan dan ramai peminat.

Yasmin, 51, kemudian terpaksa menjalani pembedahan membuang pendarahan dalam otak akibat strok di Hospital Pakar Damansara.

Bagaimanapun, selepas dua hari koma akhirnya Yasmin meninggal dunia jam 11.25 malam.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, SS 22, Subang Jaya Selangor keesokan harinya.

Ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah bukan saja kalangan umat Islam, malah pelbagai bangsa.

Rakan arwah, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Seri Farid Ridzuan, menyatakan Allahyarham mempunyai bakat yang dianggap luar biasa dan sukar dicari ganti.

Mengenai perbincangan kertas kerja yang menjadi karya terakhir Yasmin sebelum tidak sedarkan diri, Farid menyatakan ia adalah projek bersama yang mempunyai kaitan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Allahyarham sebelum ini sering terbabit dalam pembikinan iklan Petronas dan sempat menghasilkan lima filem iaitu Sepet pada 2005 diikuti Gubra, Mukhsin, Talentime dan Muallaf. Muallaf yang mencetuskan kontroversi kerana babak Sharifah Amani dibotakkan kepala, ditayangkan di pawagam tanah air pada 24 Disember lalu.

Menariknya, filem karyanya pernah menang pelbagai anugerah, dipertandingkan atau ditayangkan di festival antarabangsa antaranya di Berlin, Cannes, Venice, San Francisco, New York, Tokyo, Pusan, Manila dan Jakarta.

Mohd Asri Ibrahim

Vokalis Rabbani

13 Ogos 2009

SUASANA rakaman program Syahadah di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu bertukar suram apabila vokalis kumpulan nasyid popular, Rabbani iaitu Mohd Asri Ibrahim jatuh pengsan. Asri, 40, kemudian disahkan meninggal dunia jam 11 pagi ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Menurut adik iparnya, Adha Buyong, Allahyarham mengadu tidak sihat dan muntah pada pagi sehari sebelum kejadian. Pemergian Asri meninggalkan balu, Nurul Jannah Shahadan, 39, dan enam anak.

Dalam karier seni, Allahyarham terbabit sebagai pengasas Rabbani bersama lapan anggota lain sejak ditubuhkan pada 1 Mac 1997. Allahyarham berdakwah menerusi lagu iaitu irama nasyid sejak 25 tahun dan pernah menganggotai kumpulan Nada Murni selama 15 tahun. Sepanjang bersama Rabbani, kumpulan ini menerbitkan 19 album antaranya Rabbani, Arah Dari Mana… Ke Mana… (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000) dan Maulana (2007).

Arwah yang dilahirkan di Klang, Selangor pada 3 Ogos 1969, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lancong, Seksyen 28,
Shah Alam selepas solat Asar.

Param

Pelakon

14 Ogos 2009

POPULARITINYA sebagai pelakon kerdil menerusi beberapa filem antaranya Si Badul, Penagih Dadah, Panglima Badul, Si Luncai, Anak Tunggal dan Penyamun Tarbus melonjak na
ma Param sebagai pelakon berbakat besar.

Bagaimanapun, Param, 55, meninggal dunia jam 6 pagi pada 14 Ogos lalu akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Setia ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

Menurut kakak mendiang, Sara, Param sempat mengumpul keratan akhbar dan majalah mengenai dirinya dalam satu album iaitu seminggu sebelum meninggal dunia. Param sempat berseloroh dia mahu album itu menjadi rujukan pada wartawan yang hadir apabila dia sudah tiada.

Kata Sara, adiknya itu mengadu sukar bernafas jam 5 pagi sebelum dibawa ke HKL. Param yang sepatutnya mempunyai temujanji untuk rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) jam 9 pagi tetapi tidak berkesempatan.

Param atau nama sebenar P Paramasivam menghidap sakit jantung sejak 1992.

Dia pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh dalam satu kemalangan yang berlaku lebih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Param tidak lagi aktif berlakon sejak mengalami masalah kesihatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Biarpun berdepan masalah kesihatan, Param sering meluangkan masa menghadiri pelbagai acara hiburan. Keadaan kesihatannya bertambah baik selepas mendapat rawatan di IJN, tetapi mengadu sesak nafas.

Param memulakan karier seni bersama RTM Melaka pada tahun 1976. Ketika itu dia masih berkhidmat dengan Pejabat Belia di Tampin.

Sepanjang terbabit dalam bidang lakonan, Param sudah membintangi lebih 25 filem dan 40 drama. Drama Hang Setia yang ditayangkan menerusi RTM sejak 1988 selama empat tahun antara drama yang mengangkat namanya sebagai pelakon dan pelawak. Mayat mendiang Param dibakar di Hindu Krematorium, Cheras.

Dayana Kamal

Pelakon/model

18 Oktober 2009

BERITA pelakon dan model, Wan Nurdiyana Mohd Kamarul Zaman, 22, atau lebih dikenali Dayana Kamal terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Bunut Payung pada 18 Oktober lalu menarik perhatian ramai apabila dia terbunuh bersama dua rakannya yang lain.

Dayana, 22, pernah mencipta nama dalam bidang lakon menerusi filem Black Maria dan beberapa drama seperti Rumah Itu Duniaku, Sumaiyyah, Raya Dengan Tok, Selamat Tinggal Noni, Ayah Kami dan Matahari. Sebelum itu, Dayana pernah menyertai Pencarian Gadis Metro 2004 dan layak ke pusingan April pada tahun itu.

Mengenai kehidupan peribadi, arwah pernah mendirikan rumah tangga bersama vokalis kumpulan The Times iaitu Natazar Mohamad (Naza) pada Disember 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Dayang Fatihah Amanda, empat tahun. Namun, pasangan ini bercerai tiga tahun selepas itu.

Ibu Dayana, Wan Nor Hayati Ismail, 47, menyatakan arwah tampil dengan imej bertudung sejak Ramadan lalu dan sepatutnya berpakaian serba biru dalam satu pertandingan pakaian Muslimah. Bagaimanapun, pada saat akhir arwah mahu berpakaian putih.

Dayana yang juga anak sulung daripada empat beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mata Pasir, Kampung Chempaka.

Ismail Fariz Ali

Komposer

24 Disember 2009

NAMA komposer Ismail Fariz Ali mungkin agak kurang dikenali generasi baru, tetapi namanya pasti akan terus diingati sebagai pencipta lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Ismail, 47, kembali ke rahmatullah jam 4.30 pagi pada 24 Disember lalu di Pusat Perubatan Gleneagles, Ampang, Selangor akibat barah perut.

Allahyarham yang juga tokoh korporat mendapatkan rawatan susulan di hospital itu sejak empat bulan lalu.

Menurut seorang saudara sebelah ibunya, arwah kerap mengadu sakit perut sejak pulang dari luar negara. Selepas mendapatkan pemeriksaan di hospital berkenaan, doktor pakar mengesahkan barah yang dihidapi arwah merebak ke tahap serius.

Mengenai kerjaya seni, arwah meminati muzik dan bermain piano sejak zaman kanak-kanak hingga menceburi bidang nyanyian pada 90-an.

Ismail, anak bongsu tiga beradik, meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 14 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum solat Zuhur.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: