'Beri Peluang Artis Senior'

21 Nov

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SUATU ketika dulu, stesen TV tempatan meriah dengan pelbagai program hiburan seperti Hiburan Minggu Ini (HMI), Bintang RTM dan Muzik-Muzik yang diperkenalkan sejak zaman 70-an dan 80-an. Nama penyanyi seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Rohana Jalil dan Ramlah Ram antara bakat yang dicungkil menerusi Bintang RTM.

Begitu juga dengan Muzik-Muzik yang menampilkan Anugerah Juara Lagu buat pertama kali pada 1986 mengangkat lagu Sekadar Di Pinggiran nyanyian Francesca Peter sebagai juara. Lagu lain yang turut mencipta sejarah menerusi program ini adalah Menaruh Harapan (Zaiton Sameon, 1987), Isabella (Search, 1989), Janji Manismu (Aishah, 1990) dan Jerat Percintaan (Datuk Siti Nurhaliza, 1996).

Pengenalan lagu dan penyanyi menerusi program sebegini berjaya mencipta kemeriahan dalam kalangan penonton. Namun, apabila masa berlalu, ketika ini kebanyakan program hiburan sedia ada lebih memfokuskan konsep realiti yang memberi peluang kepada bakat muda mencuba nasib.

Bagi penyanyi berpengalaman, Datuk Khadijah Ibrahim atau mesra dengan panggilan Khaty, senario program hiburan TV ketika ini tidak lagi semeriah dulu biarpun banyak program hiburan baru yang membawa konsep realiti diterbitkan. Beliau yang ditemui pada majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bersama Restoran Puteri yang diadakan di Sungai Penchala, Selangor baru-baru ini menyatakan hasrat untuk melihat kegemilangan penyanyi zaman 70-an dan 80-an dipersembahkan kepada khalayak ketika ini.

“Tidak banyak program kini yang memberi peluang kepada artis senior yang pernah popular pada zaman 70-an mahupun 80-an membuat persembahan semula. Saya percaya Karyawan adalah satu-satunya persatuan artis yang mampu memperjuangkan nasib golongan penyanyi ini untuk meraih peluang muncul di TV pada masa kini.

“Apa yang saya harapkan, selepas ini lebih banyak program hiburan TV yang beri peluang kepada artis tempatan pelbagai peringkat usia untuk turut sama menghiburkan peminat,” katanya.

Cadangan Khaty itu nyata disambut baik Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang menyatakan selama persatuan itu ditubuhkan sejak 2000, beliau masih meneruskan agenda yang sama untuk membantu artis mendapatkan peluang membuat persembahan dan meraih pendapatan.

“Apa yang dicadangkan beliau adalah suatu yang baik untuk masa depan artis dan persada muzik tanah air. Sebelum ini, kita dapat melihat banyak peluang diberikan pada artis untuk muncul di TV mahupun mengadakan persembahan pentas.

“Bagaimanapun, sejak kegawatan ekonomi yang berlaku kebelakangan ini ia turut memberi kesan pada nasib artis untuk mencari rezeki. Apa yang berlaku, jemputan persembahan pentas juga berkurangan.

“Menerusi Karyawan, kami sentiasa berusaha membantu artis tidak kira usia mahupun populariti meraih peluang menjana pendapatan. Untuk itu, dalam apa jua persembahan yang membabitkan Karyawan, kami sebolehnya memberi peluang ini pada ramai artis termasuk senior atau kurang popular.

 

 

“Artis golongan ini juga menjadi kepentingan pada perkembangan dan masa depan hiburan tempatan. Mereka sepatutnya diberi peluang untuk terus menyanyi dan bukannya dipinggirkan begitu saja,” katanya.

Freddie berkata menerusi pembabitan ramai artis pada persembahan pentas atau program TV, ia secara tidak langsung memberi publisiti kepada artis itu untuk mendapat tawaran baru yang lain. Untuk artis, pembabitan seperti ini dianggap penting dalam mempromosi diri.

“Mungkin Karyawan boleh mencadangkan stesen TV tempatan dapat menerbitkan program baru yang dapat menggabungkan artis senior dan baru. Mungkin gandingan seperti bekas peserta Akademi Fantasia 4, Haziq dengan Datuk Ahmad Jais memberi tarikan baru pada penonton.

“Tidak dinafikan ada penganjur yang membuat permintaan kepada artis tertentu untuk menjayakan sesuatu acara hingga segelintir artis berkecil hati. Bagaimanapun, Karyawan tetap mencari jalan untuk membantu artis lain.

“Sebagai usaha akan datang, Karyawan merancang untuk menerbitkan single penyanyi senior sebagai mempromosikan mereka semula pada peminat. Buat masa ini, dana Karyawan belum cukup kerana kami turut bertanggungjawab mengagih Skim Pencen pada artis tempatan.

“Jika usaha ini berjaya, ia memerlukan kerjasama ramai pihak untuk tampil membantu,” katanya.

Pada majlis berkenaan, hampir 30 artis yang menjadi ahli Karyawan tampil memeriahkan acara bersama persembahan pentas. Acara yang bermula jam 8 malam, meninggalkan kenangan manis pada tetamu yang hadir apabila dihiburkan dengan seleksi lagu nostalgia dan lebih menarik, tetamu berpeluang bermesra dengan artis dengan lebih dekat.

Bermula dengan persembahan Jaafar Onn duet bersama Rohana Jalil menerusi lagu Malam Ku Bermimpi, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Dayang Nurfaizah menerusi dua lagu, Penawar Rindu dan Unforgettable.

Memberi tarikan, persembahan berkonsep 1Malaysia disampaikan menerusi Datuk Yusni Hamid dengan lagu Mandarin, Men In The Net, Andre Goh menyanyikan lagu Melayu, Hiburkan Hatiku, V Sarangabanie dengan Sinaran Cinta serta Iqwal menerusi lagu Tamil, Oru Malai.

Yusni juga menyampaikan dua lagu termasuk Bisikan Hati. Menariknya, bila tiba giliran Datin Paduka Julie Sudiro, suasana tambah meriah dengan gelak tawa tetamu apabila diusik ketika beliau menyanyikan lagu Can’t Take My Eyes On You.

Dalam persembahan itu, Julie ambil kesempatan untuk bertemu tetamu dengan lebih dekat sambil mengajak mereka menyanyi bersama. Khaty juga ambil peluang menghiburkan tetamu dengan lagu Doa Buat Kekasih.

Tidak ketinggalan, tetamu dihiburkan dengan persembahan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang (Ahmad Jais), Malam Gemilang (Nassier Wahab duet bersama Salwa Abd Rahman), Mohon Kasih (Haziq), Siapa Gerangan (Shasha), Darah Muda (Wanie) dan Doa Buat Kekasih (Khaty).

Bagi Habsah Hassan yang menjadi pemilik bersama rakan baiknya, Rubiah Suparman yang bertanggungjawab menguruskan Restoran Puteri, dia gembira dengan sambutan tetamu dan artis yang hadir pada malam itu. Katanya, idea asal acara ini datang daripada Rubiah yang berhasrat membantu golongan artis yang tidak bernasib baik.

“Sambutan yang diberikan amat menggalakkan bila 12 meja untuk 120 tetamu habis dijual. Acara ini diadakan atas rasa simpati pada artis seperti yang uzur agar terus mendapat bantuan menerusi Karyawan.

“Sebelum ini, Karyawan mempunyai Skim Pencen yang diberikan secara konsisten tetapi dana mereka terbatas. Lalu, saya bersama Rubiah berharap acara ini sedikit sebanyak dapat membantu usaha Karyawan ini.

“Sebagai rakan artis, kami berdua menyokong peranan yang dimainkan Karyawan dalam membantu nasib artis. Untuk acara ini, kami hanya mampu menaja makan minum manakala persembahan dibuat Karyawan.

“Menariknya, persembahan artis senior ini membuktikan mereka masih mampu menghiburkan tetamu yang hadir. Tidak lupa, sumbangan artis muda untuk menyanyi secara amal memberi makna pada kejayaan acara ini.

“Acara ini berjaya meninggalkan kenangan manis buat semua. Mungkin jika ada kemampuan pada masa akan datang, kami akan tampil adakan acara seperti ini,” katanya.

Berkongsi kenangan manis pada malam itu, ramai tetamu kehormat hadir antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammad Mohd Daud, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Siti Azizah Abot dan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid.

Tetamu dijamu dengan sajian masakan Melayu seperti ayam masak lemak cili api, kari ikan, sambal udang, daging deng-deng, sayur campur dan pencuci mulut, lompat tikam. Pada majlis itu, Salwa juga dikejutkan dengan majlis hari jadinya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: