Cinta Kedai Telefon Bimbit

24 Nov

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
SIAPA sangka perkenalan singkat di kedai telefon bimbit membawa jodoh kepada penyampai berita TV3, Azwaliza Azman, 29, dan Abdul Kadir Abdul Rashid, 31.

Selepas tiga tahun berkasih, cinta mereka dibuktikan dengan kesediaan melangkah ke fasa perkahwinan.

Pada Sabtu lalu, Azwaliza Azman atau mesra panggilan Wawa secara rasminya menjadi tunangan Kadir yang merupakan pengarah eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Wawa berkata, keputusan untuk bertunang sesudah tiga tahun berkasih dibuat atas dasar masa dan kesibukan. Katanya, masing-masing sibuk dengan tugas bahkan jarang keluar berpacaran.

Disebabkan masa juga, majlis pertunangan yang dirancang pada 20 Disember 2008 terpaksa ditunda.

“Bagaimanapun, hari ini, Alhamdulillah, semua yang dirancangkan berjalan dengan lancar dan seluruh ahli keluarga gembira meraikan pertunangan kami,” katanya yang manis dengan persalinan rekaan Freda.

Kata Wawa, tarikh perkahwinan masih dibincangkan keluarga kedua belah pihak, tetapi mereka berharap ia dapat dilangsungkan pada pertengahan 2010.

“Kalau boleh memanglah ingin mempercepatkan pernikahan, tetapi saya dan Kadir berpendapat pandangan keluarga adalah yang paling penting.

“Mereka mengimpikan kami melangsungkan perkahwinan yang dirancang dengan teliti. Tambahan pula sekarang ini kami belum menentukan lokasi perkahwinan,” katanya.

Menyingkap detik perkenalan Wawa dan Kadir, semuanya sudah direncanakan Yang Maha Esa dengan begitu indah. Kadir berkata, kali pertama bertemu Wawa sewaktu dia mengunjungi kedai telefon bimbit di Bangsar.

 

 

“Saya mahu membeli telefon bimbit dan kebetulan Wawa yang ditemani abangnya, Azreen Azman berada di kedai sama.

“Pada waktu itu, saya memang tidak tahu Wawa seorang pembaca berita TV3. Saya menegurnya kerana mahu meminta pandangan Wawa apakah telefon bimbit yang saya ingin beli itu cantik.

“Kami tidak sempat pun bertukar telefon sewaktu meninggalkan kedai itu. Tapi sekali-sekali saya teringatkan Wawa dan nak dijadikan cerita suatu hari saya menonton Buletin Utama dan terkejut pembaca berita itu mirip gadis yang saya ditemui di kedai telefon bimbit. Bila diperhatikan namanya, rupa-rupanya dia adalah Wawa,” katanya.

Kadir menambah setahun selepas pertemuan itu mereka kembali bersua di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Masa tu Wawa membuat lintas langsung dari PWTC manakala Kadir datang bersama ibunya.

“Sewaktu memperkenalkan ibu saya pada Wawa, saya lihat dia seorang yang cukup hormat dengan orang tua dan dari situlah hati saya mula terpaut. Terus-terang, saya sukakan Wawa dan mahu memperisterikannya bukan kerana dia selebriti, tetapi jatuh cinta dengan keperibadian dan budi bahasa seorang yang bernama Azwaliza Azman,” katanya.

Sementara itu, Wawa pula menyifatkan Kadir pemuda yang tinggi budi bahasa selain menghormati orang tua. Katanya, perkara utama yang membuatkan hatinya terpaut pada Kadir kerana dia menghormati orang tuanya.

“Bapa saya seorang yang garang dan tegas, maklumlah bekas polis, tetapi dengan Kadir dia boleh menjadi rapat. Kebetulan, saya anak kesayangan bapa, justeru, lelaki yang ingin mendampingi saya itu mestilah pandai mengambil hati orang tua saya lebih-lebih lagi bapa.

“Ibu bapa saya sendiri merasakan Kadir adalah pilihan yang tepat untuk saya. Malah, saya tidak nafikan Kadir seorang yang bertanggungjawab, dia juga kekasih setia tempat saya boleh bergantung harap serta berkongsi suka dan suka,” katanya.

Majlis pertunangan Wawa yang diadakan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, bertemakan merah hati yang dilimpahi mawar merah dan daisy. Rombongan lelaki membawa tujuh dulang hantaran berupa cincin pertunangan, sirih junjung, jam tangan, tas tangan Louis Vuitton, kek, buah-buahan, kosmetik dan komputer riba.

Pihak perempuan membalas sembilan dulang iaitu sirih junjung, cincin, kamera, jam tangan, telefon bimbit, sepersalinan baju, pewangi, buah-buahan dan kek.

Wang hantaran tidak disebutkan, Begitupun, bapa dan ibu Wawa, Azman Abdullah, 68, serta Jamilah Ahmad, 63, menetapkan senaskhah al-Quran sebagai pemberian paling bermakna bagi menggambarkan harga diri anak perempuan kesayangannya.

Bagi memenuhi adat, ibu Kadir, Aileen Jamaluddin, 52, menyarungkan cincin ke jari manis Wawa sebelum menyuapnya dengan manisan gula.

Menghadiri majlis itu juga bagaikan berada di pesta 1Malaysia apabila turut dihadiri saudara-mara kedua-dua bakal mempelai yang berbangsa Cina dan India.

Ini kerana bapa Wawa campuran India dan Cina dan dia seorang mualaf manakala ibunya campuran Cina Melayu.

Kata Wawa, istimewanya keluarga Kadir campuran Melayu India, sebab itulah hari pertunangannya menyaksikan wajah 1Malaysia.

“Sudah bertahun kami hidup harmoni dalam suasana majmuk. Nenek saya, K Tan Lilawathy, 94, juga hadir malam ini. Dia sebenarnya Cina sebelum bertukar agama Hindu,” kata Wawa tidak lekang dengan senyuman.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin serta personaliti TV3 antaranya, Datin Norazlina Redzuan, Nurfarahin Jamsari, Fedri Yahya, Mohd Izwan Azir dan Sheliza Shahadan.

Tidak ketinggalan, Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh, penghibur tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon Sari Yanti.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: