1,000 Warna Siti

21 Nov

Oleh IZWAN MOHAMAD DAN
metahad@hmetro.com.my

Rap
HUJAN lebat tidak menghalang kemeriahan Konsert Seribu Warna Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, malam Sabtu lalu yang dihadiri kira-kira 10,000 penonton.

Aura penyanyi nombor satu negara itu sejak dari awal dapat dirasai percikannya, apatah lagi bukan selalu dapat melihat anak kelahiran Pahang itu membuat persembahan dalam skala besar.

Yang pasti persembahannya tidak menghampakan, malah mengubat rindu ramai dengan lagu popular pelbagai genre, termasuk kejutan persembahan yang penuh warna-warni seiring dengan tema konsert tajaan Hai-O Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions itu.

Tampil menari, lagak Siti mengundang sorakan ramai sebelum diteruskan dengan Ku Milikmu yang menampilkan gaya ala persembahan Las Vegas disertai penari berpakaian aneka warna.

Lebih menarik, pengarah muzik, Aubrey Suwito menyelit baris muzik yang dipetik daripada lagu popular Beyonce, Crazy In Love.

‘Siti ada di sini untuk menghiburkan anda,’ kata Siti secara berjenaka dan memberitahu dia juga antara mereka yang kecewa dengan ketidakhadiran penyanyi kulit hitam itu.

Konsert yang berkonsep santai dan funky juga menggamit nostalgia apabila Siti menyelitkan lagu berirama tradisional, Nirmala, yang pernah membawanya memenangi Voice Of Asia di Kazakhstan satu ketika dulu, diikuti Di Taman Teman dan Biarlah Rahsia.

Siti turut memilih dua lagu penyanyi lelaki pujaannya, Anuar Zain dan Faizal Tahir menerusi lagu Lelaki Ini dan Mahakarya Cinta sambil gambar kedua-dua penyanyi itu melayari skrin latar belakang pentas, termasuk ketika Anuar menjadi pelakon latar sewaktu penyanyi itu memenangi Anugerah Juara Lagu menerusi Jerat Percintaan.

‘Lagu ini kenangan ketika kami sama-sama terjerat dalam percintaan. Sorry B,’ gurau Siti merujuk kepada suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa yang turut menyaksikan konsert itu sekali gus mendapat sorakan penonton.

Slot kedua diteruskan dengan persembahan Siti, Saida dan Saerah menerusi Hey Ladies, Buaya Darat dan Pudar.

 

 

Diiringi pemain seruling tersohor, Mohar (Mohram) menerusi Bukan Cinta Biasa, Siti kembali merancakkan pentas dengan Pendirianku yang disertai penari daripada EE Dancer sebelum lagu ciptaan Pongky, Seindah Biasa yang ditujukan kepada peminat.

Tidak cukup itu, Siti yang bakal mengadakan konsert di Esplanade, Singapura bersama M Nasir, 1 Januari depan, menghadiahkan peminat dengan lagu bonus, Destinasi Cinta.

Siti yang ditanya ketika sidang media selepas itu mengakui persembahannya kali ini lebih berunsur teaterikal dan menggunakan skrin tayangan gambar selingan bertujuan berinteraksi menerusi kaedah visual.

Mengenai pemilihan lagu Anuar dan Faizal, penyanyi itu mengakui kagum dengan bakat semula jadi mereka sementelah lagu disukai ramai.

‘Faizal misalnya mempunyai bakat dan mampu melangkah lebih jauh dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan.

‘Anuar pula kenalan lama yang saya suka vokal dan lagunya,’ kata Siti yang mengenakan pakaian rekaan Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini.

Mengulas pembabitan adik-beradiknya dalam konsert kali ini, Siti berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan mereka.

Saerah yang berjaya menonjolkan bakat sebenarnya malam itu turut gembira dengan penerimaan ramai, khususnya mereka yang selama ini meragui bakatnya sebagai penyanyi lantaran dilihat tidak berapa fokus.

‘Sebenarnya bukan saya tidak serius, tetapi saya tidak diberi peluang dan hanya memendam bakat yang ada, menyebabkan saya tidak dilihat sebagai penyanyi.

‘Album yang menampilkan saya dengan Kak Saida juga akan muncul penghujung tahun ini,’ kata Saerah.

Perasaan sama turut dikongsi Saida yang dilihat paling muda menyertai dunia nyanyian sehingga berjaya menyertai Akademi Fantasia.

‘Beza saya dulu dan sekarang memang jauh, tetapi saya tertanya-tanya sama ada orang puas hati atau tidak dengan persembahan saya,’ katanya.

‘Yang penting, saya masih berusaha menghilangkan sifat malu yang ada dalam diri,’ katanya.

Konsert itu dianjurkan untuk menghargai usahawan Hai-O sempena ulang tahun ke-17 syarikat jualan langsung turut disaksikan penonton secara langsung menerusi laman sesawang http://www.guild.my/snp.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: