Pengorbanan Siti & Kris

28 Nov

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SAMBUTAN Aidiladha yang diraikan umat Islam di seluruh dunia bermula semalam memberi pengertian tersendiri buat dua nama besar dalam industri seni – penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi popular dari Indonesia, Kris Dayanti.

Ketibaan Aidiladha atau hari raya korban adalah masanya untuk umat Islam mengingati semula serta mengambil iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya, Hajar dan Nabi Ismail.

Sebagai insan biasa, baik Siti, 30, mahupun Kris, 34, mengakui mereka tidak terlepas untuk melakukan pengorbanan apabila berhadapan dengan ujian Allah, sekali gus menguji sejauh mana keimanan setiap hamba-Nya di dunia yang fana ini.

Bagi Siti, pengorbanannya mungkin tidak sehebat apa yang dilalui Kris selepas kegagalan rumah tangga bersama bekas suaminya yang juga komposer terkenal, Anang Hermansyah (Anang), baru-baru ini.

“Pengorbanan saya yang paling besar ialah dengan menjadi anak seni pada usia muda lagi sehingga tidak dapat menikmati zaman remaja seperti orang lain. Tapi, saya tidak melihat pengorbanan itu dari sudut yang negatif kerana cinta saya begitu mendalam pada bidang seni.

“Saya percaya kita perlu ikhlas untuk menghambakan diri pada bidang seni untuk mendapat ganjaran yang lebih besar dari-Nya,” katanya.

Siti yang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah bersama suami yang juga usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K pada 2007 berkata, setiap kali tibanya musim haji, dia berasa rindu untuk menikmati semula kelebihan berdoa di padang Arafah pada musim haji.

“Saya masih ingat lagi, saya dan suami berada di padang Arafah selepas solat Asar hinggalah Maghrib. Ketika menjalankan ibadah wukuf, saya boleh berdoa untuk meminta apa saja yang dihajati ketika itu. Itulah saat yang paling indah dan sukar dilupakan sepanjang di sana,” katanya.

Jika diizinkan Allah, kata Siti, dia dan suami merancang untuk mengerjakan ibadah haji sekali lagi.

“Sebelum ini, saya sudah bawa mak saya untuk mengerjakan haji dan kini, kami merancang membawa mak mentua pula nanti.

 

 

“Insya-Allah, saya dan Kris juga merancang untuk mengerjakan umrah bersama-sama apabila tiba masanya nanti,” katanya.

Tahun ini, kata Siti, dia juga membuat upah haji untuk arwah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail.

“Saya juga buat korban dengan menyembelih seekor unta untuk arwah bapa di sana. Saya juga buat korban tiga hingga empat ekor lembu di Kuala Lipis, Pahang, Taiping, Perak dan di Kedah (pihak suami).

“Sebenarnya, setiap kali tibanya musim haji, saya memang teringat untuk melakukan ibadah korban untuk golongan miskin dan mereka yang memerlukan di luar sana. Saya juga berdoa semoga dikurniakan rezeki yang lebih supaya saya dapat membantu mereka,” katanya.

Pengorbanan paling besar bagi Kris ialah terpaksa berpisah dengan dua anak kesayangannya iaitu Titania Aurelie Nurhermansyah (Aurel), 11, dan Azriel Akbar Hermansyah (Azriel), 9.

Maklumlah, selepas bercerai dengan Anang, kata Kris, anak-anaknya kini tinggal dengan bekas suaminya itu di Indonesia.

“Perceraian yang berlaku adalah ujian yang paling besar dalam hidup saya. Saya juga boleh ‘bernafas’ dan mendapat kekuatan semula untuk meneruskan kehidupan bermula 1 November lalu.

“Buat masa ini, anak-anak tinggal dengan bekas suami kerana mahkamah belum memutuskan lagi hak penjagaan mereka,” katanya.

Kris mengakui hubungannya dengan anak-anak tidak lagi serapat dulu.

“Saya pernah ditegur guru sekolah Azriel kerana dia belum boleh menghafal ayat dalam al-Quran sebelum ini.

“Mungkin kerana kami jarang berjumpa sekarang. Tapi, kasih sayang saya pada anak-anak tidak pernah luntur.

“Saya juga terpaksa akur apabila bekas suami tidak membenarkan saya untuk membeli barang-barang yang mahal untuk anak-anak,” katanya.

Kris yang mengerjakan ibadah haji bersama bekas suaminya pada 2005 berkata, pengertian ibadah korban baginya adalah belajar untuk ikhlas menerima ujian daripada Allah.

“Antara kenangan yang sukar dilupakan ialah ketika mengerjakan ibadah haji bersama bekas suami dulu. Bagaimanapun, selepas menunaikan umrah sebelum ini, saya juga mendapat kekuatan untuk bercerai dengan suami,” katanya.

Tahun ini, Kris berkata, dia menunaikan solat sunat Aidiladha bersama keluarganya di Bali, Indonesia.

“Pada sebelah malamnya, saya ada persembahan di sana. Saya juga membuat korban sebanyak 20 ekor kambing di Jogja dan Jakarta tahun ini,” katanya.

Siti dan Kris ditemui ketika menjayakan rakaman lagu duet berjudul Dalam Diamku yang juga ciptaan Audi Mok di Fuse Studio milik komposer itu di Petaling Jaya, malam Rabu lalu.

Berkongsi cerita perkembangan album duet mereka yang berjaya direalisasikan selepas setahun itu, Siti berkata, lirik lagu dalam album berkenaan juga adalah luahan hati mereka berdua pada kehidupan yang dilalui ketika ini.

“Lirik lagu dalam album ini memang menceritakan kisah hidup Kris dan luahan hati saya sendiri pada suami serta persahabatan yang terjalin antara kami berdua. Tidak dinafikan, saya antara teman yang paling rapat dengan Kris dan banyak suka duka yang kami kongsi bersama.

“Tapi, saya tidak pula campur tangan dalam kehidupan peribadinya. Tapi kalau Kris ingin meluahkannya, saya bersedia mendengarnya,” katanya.

Siti berkata, mereka bukan sekadar menyanyi bersama sebaliknya turut menyumbang bakat dalam penulisan lirik untuk album duet berkenaan.

“Kris menulis lagu ciptaan Audi yang berjudul Jika Kau Tak Datang dan menulis bersama Siti untuk lagu Amarahku. Lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Hanya (Aubrey Suwito) dan Teman (Sharon Paul),” katanya.

Sementara itu, selepas rakaman lima lagu itu, Siti berkata, dia akan berlepas ke Jakarta pada 30 November ini untuk merakamkan lagu terakhir mereka berjudul Sayang, ciptaan Charli dari kumpulan ST12.

“Selain rakaman lagu ini, kami juga buat klip video dan kulit album sekali. Album ini akan disiapkan sebelum penghujung tahun dan akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia. Ia diedarkan Siti Nurhaliza Productions dan KD Records (Indonesia).

“Selepas album ini selesai, kami juga merancang untuk mengadakan konsert pula nanti,” katanya.

Harian Metro

One Response to “Pengorbanan Siti & Kris”

  1. bina badan December 10, 2009 at 1:42 pm #

    dapatkan panduan untuk bina badan berotot agar anda tough dan dikagumi…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: