Archive | Kosmo RSS feed for this section

Siti Beralah Dengan Suami

28 Aug

Oleh AQMAR ALLADAD aqmar.alladad@kosmo.com.my

MEMIKUL tugas menghiburkan peminat lebih sedekad membuatkan dirinya saban hari semakin matang dan bijak berbanding dengan kemunculan awalnya dulu.

Tidak dengan kelebihan itu sahaja, penampilan yang sopan diterapkan sejak dulu lagi telah membuat peminat berasa selesa berada di sisinya.

Lantas selepas mendirikan rumah tangga pula semakin banyak perubahan drastik ditonjolkan semata-mata untuk bersesuaian dengan statusnya yang bergelar isteri.

Kepuasan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dalam menghiburkan peminatnya tidak pernah terbatas malah jiwanya seringkali mencuba untuk memberi sesuatu perubahan yang menampakkan dirinya itu berada di hadapan.

Walaupun sudah pernah mempunyai pengalaman mengadakan konsert di merata-rata tetapi Siti masih lagi tidak jemu-jemu mengidamkan konsert terbarunya yang sudah tentu peminat juga mula merindukan lenggok Siti di pentas.

“Memang Siti teringin sangat. Tidak buat konsert pun tak apa, secara eksklusif pun Siti setuju,” katanya sebelum memulakan rakaman Eksklusif….Siti Nurhaliza Bersama Peminat terbitan RTM baru-baru ini.

KANAK-KANAK sentiasa dekat di hati diva yang satu ini.

Dalam pada itu, Siti turut mengakui tidak sabar untuk melaksanakan impiannya itu malah bersedia berusaha sepenuhnya melunaskannya dalam masa terdekat.

Malah akuinya lagi dengan jujur, empunya diri sendiri juga rindu untuk menghiburkan peminat dengan lebih dekat kerana dengan cara begini dia boleh dekatkan hati bersama mereka.

“Dan mengenai konsert yang bakal diadakan nanti, Siti sudah pun menghantar kertas kerja untuk mencari penaja dan kalau rezeki itu diterima maka ia akan dilaksanakan tahun ini juga mungkin selepas Hari Raya,” ulasnya lagi sambil tersenyum manis.

Siti yang tidak meminta untuk mengadakan persembahannya secara besar-besaran tetapi mempunyai niat tersendiri untuk mengadakan konsertnya itu sebagai persembahan amal sahaja.

“Secara tidak besar-besaran pun tak apa yang penting niat saya untuk menolong golongan yang tidak mampu terutama artis-artis yang uzur,” katanya sentiasa merendah diri

Ditanya bagi lokasi projek terbarunya itu, adakah Siti mengidamkan untuk mengadakannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) memandangkan pentas di situ begitu gah.

Siti dengan nada bersederhana memberitahu, buat masa kini tidak pernah terlintas di benak fikirannya untuk mengadakan di dewan eksklusif itu tetapi paling utama keselesaan peminat dan dirinya jua.

KEKAL anggun dan bergaya dalaman persalinan bersopan.

Sentuh pula soal album terbarunya, Siti kali ini turut menggunakan tenaga pencipta muda iaitu Radhi OAG yang menyumbangkan sebuah lagu.

Konsep album yang diterbitkan kelak juga tidak terlalu jauh menyimpang seperti mana konsep albumnya sebelum ini. Masih juga menggunakan sentuhan kreatif Pak Ngah terutama untuk lagu-lagu berirama melayu.

“Konsep melayu yang dipilih ini perlu perhatian serius kerana muzik tersebut turut diselitkan alunan muzik moden,” kata Siti serius.

Ramadan bersama suamiSaat indah dalam kehidupan si jelita ini ialah saat menantikan bulan Ramadan yang tidak lama lagi akan menjelang tiba.

Mengecapi kemeriahan Ramadan bersama suami tercinta Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K buat kali kedua merupakan saat paling manis jua.

Sambutan Ramadan kali ini juga Siti akan menolak untuk mengadakan persembahan di mana-mana sahaja melainkan hanya menerima majlis berbuka puasa sahaja.

Selain itu, sempat jua ditanya persiapan sebagai isteri menjelang sambutan Ramadan, Siti yang tersenyum manja menyatakan tidak ada apa-apa perubahan malah ia seperti tahun lalu.

“Sepanjang bulan Ramadan nanti tidak ada apa-apa perubahan sama juga macam sebelum ini. Siti kena sediakan makanan untuk suami. Siti pun kena buat banyak lagi kerja yang biasa dilakukan oleh isteri lain juga,” kata Siti yang bergelar isteri orang sejak Ogos 2006.

Tidak lupa juga menyentuh soal rumah tangganya yang baru saja memasuki usia dua tahun, Siti menggunakan konsep perlu mengalah sekiranya mempunyai sebarang masalah antara dia dan suami.

SITI menerima kucupan manja daripada peminat veterennya.

Dengan sikap berkenaan barulah sesuatu masalah atau apa juga yang berlaku tidak akan berpanjangan. Sikap mengalah juga membawa kepada permuafakatan dan menjadikan kasih sayang bertambah erat dari semasa ke semasa.

“Itulah sebenarnya yang penting dalam hubungan. Perlu ada tolak ansur. Siti percaya kepada sikap bertolak ansur mampu menyelesaikan banyak perkara” jelasnya tersenyum manja.

Pada usia setahun perkahwinannya dulu, Siti ketika itu masih mempelajari dan mengenal hati budi masing-masing apa yang digemari dan tidak digemari oleh suami yang dicintainya itu.

“Syukur, Siti sudah belajar kenal hati masing-masing. Setakat ini tidak ada sebarang perkara besar yang menyebabkan kami bergaduh,” katanya yang juga akan mengerjakan Umrah pada Awal Ramadan ini.

Hibur Unit BeruniformRakaman Eksklusif…. Siti Nurhaliza Bersama Peminat baru-baru ini yang merupakan siaran untuk Hari Raya Aidilfitri nanti cukup terhibur dengan berkonsepkan santai sahaja.

Mendendangkan sebanyak tujuh buah lagu di hadapan peminat yang terdiri daripada golongan unit beruniform seperti polis, jururawat, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan tidak lupa juga golongan kurang bernasib baik.

SEMPAT menghiburkan golongan peminat daripada pelbagai latar belakang status.

Menonjolkan Siti seorang penghibur serba boleh turut tidak mengecewakan penonton yang membanjiri auditorium kerana Siti tidak kekok sekali ke tempat audiens untuk bermesra bersama walaupun hanya sekejap.

Menampilkan vokal hebat Siti pada sesi rakaman itu, Siti yang dilabelkan penyanyi nombor satu itu memilih lagu seperti Ku Mahu, Ketahuan, Wanita, Kau Ku Sayang dan medley Si Baju Hijau.

“Siti memang sudah lama berhajat untuk menghiburkan audiens unit beruniform dan golongan kurang bernasib baik yang dijemput khas oleh penganjur,” katanya yang anggun mengenakan busana berwarna biru.

Malah lagu-lagu yang dinyanyikan juga bersesuaian dengan para tetamu yang hadir misalnya saat Siti menyanyikan lagu Kau Ku Sayang amat menyentuh jiwa.

Kerana penyanyi jelita ini turut menjemput kanak-kanak kurang bernasib baik dan warga tua menemaninya dipentas lantas mengusik hati audiens.

Kosmo

Siti: Bahagia, Aset RM50 Juta & Berhenti Menyanyi

17 Aug


BAKAL muncul dengan album tradisional sebagai inisiatif memelihara warisan lagu Melayu.

Lama tidak bertemu, Datin Seri Siti Nurhaliza masih seperti biasa – mesra dan tinggi budi bahasa. Namun sosoknya tampak sedikit kurus. “Sedang diet,” katanya tersenyum menampakkan baris gigi putih bersih sebelum menyambung: “Sekarang sudah turun dua kilogram.”

Dan Siti tetap Siti. Tidak pernah meletakkan dirinya jauh mencapai kayangan. Sederhana dan sedar diri serta tidak mengkelaskan sesiapa adalah prinsip yang diamalkan wanita ini. Sebab itu, Siti masih di sini. Masih dipuja dan kekal dihormati selama 12 tahun ini.

Hari itu, saya ajak wanita berusia 29 tahun ini berkongsi persepsi tentang kemerdekaan. Merdeka buat negara, merdeka buat industri juga merdeka buat dirinya.

Adakah Siti berasa merdeka apabila berkahwin dengan usahawan Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa dan bagaimana dia mentafsir erti kemerdekaan ini dalam konteks cinta.

Tidak ada satu jawapan lolos begitu sahaja. Semua dijawab penuh bernas oleh Siti. Seperti katanya: “Cinta dan kemerdekaan bagi Siti berkait rapat kerana pada bulan kemerdekaan inilah kami disatukan. Namun secara umum, Ogos ini dikhususkan cinta buat negara.”

Kemerdekaan, dari perspektif Siti juga adalah apabila seseorang itu berjaya memberi anjakan yang membawa kepada perubahan.

“Bagi Siti, Siti merdeka bila mampu mengharumkan nama negara dan bila Siti dapat mencapai sesuatu visi. Itu merdeka bagi Siti,” katanya.

Sementara dalam beberapa soalan terutama berkaitan rumah tangga yang kini menuju usia dua tahun pada tanggal 21 Ogos depan, Siti mengait jawapan dengan cermat.

Tetapi isi jawapannya penuh jujur. Dan tidak terlepas meminta Siti mengulas tentang dia memiliki aset RM50 juta seperti yang diuar-uarkan.

‘Siti bukan cakap besar’

Kami berbicara tentang cemuhan, asmara juga pergolakan rumah tangganya bersama Datuk K sejak berkongsi jiwa dalam tempoh 730 hari.

Siti ketawa manja. Bertenang dan kemudian mula melontarkan perasaan yang dirasa sepanjang menikahi Datuk K, juga menjadi ibu segera kepada zuriat terdahulu suaminya itu.


SITI bahagia dengan keseimbangan hidupnya kini.

Tegas Siti, dia tidak pernah menyesal dengan liku hidup yang pernah dilaluinya.

Kesukaran mencari ruang privasi kerana dirinya selebriti dan kemudian mengejutkan peminat dengan mengahwini seorang duda, dia tahu keputusannya itu mengundang cemuh disulam doa daripada pelbagai lapisan khalayak.

Mengakui biar sempat lelah dengan kembara yang ditempuh, namun ranjau yang mencucuk kembaranya itulah membuat dia semakin matang.

Luah Siti: “Ikhlas Siti katakan, Siti bukan cakap besar, Siti bukan tak takut, tapi dari awal Siti sudah bersedia dengan risiko kepada keputusan Siti. Siti tahu perkara ini akan ada impaknya.

“Sebab itu Siti sudah bersedia dan tidak risau kerana niat Siti berkahwin ikhlas. Siti percaya selagi Siti berpijak di bumi nyata, semua kesukaran akan mampu Siti hadapi dengan baik. Insya-Allah.”

Berpegang pada kekuatan itu, Siti kini bahagia menjadi suri hidup Datuk K. Dan tempoh dua tahun berkongsi hidup juga kata Siti banyak mengajar dia menjadi seorang wanita yang lebih sempurna. Dalam dua tahun ini juga mereka saling belajar menyesuaikan diri dengan keadaan masing-masing.

Siti tertawa kecil mengenang betapa Ogos akan selalu membuatkan dia berdebar kerana media dan khalayak mula bertanyakan tentang sambutan ulang tahun perkahwinan mereka.

“Tahun ini tak ada majlis, tapi Siti buat kenduri doa selamat sahaja. Insya-Allah kami akan menunaikan umrah pada awal Ramadan nanti,” kata Siti yang sudah enam kali menunaikan umrah.

Dan Siti mengulas tentang usia perkahwinannya yang masih basah: “Siti selalu melihat, pada masa akan datang, ada situasi berbeza yang lebih mencabar.

“Bila Siti pejam mata, Siti bayangkan kehidupan 20 hingga 30 tahun akan datang, perkongsian hidup kami masih jauh lagi. Masih banyak cabaran.

“Tapi jangka dua tahun ini, Siti bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik. Biar dunia kami berbeza, kami belajar untuk saling memahami dan berpesan. Suami adalah panduan Siti.”

Menjawab isu dicemuh pula, Siti tenang mendefinisikan khalayak mempunyai hak untuk berbuat demikian, juga sebaliknya. Cemuhan ulas Siti penuh makna: “Akan membuatkan darjat kami berdua diangkat oleh Tuhan kepada tingkat yang lebih mulia.”

Disogok dengan dakwaan berita negatif rumah tangganya seperti Siti kerap berendam air mata, juga dipukul, Siti menjawab: “Siti tak pernah menangis. Dipukul? Tak masuk akal!

“Bila baca cerita negatif tentang kerukunan rumah tangga kami, Siti senyum. Kemudian kami berdoa.”

Berhenti menyanyi & aset RM50 juta

Kebahagiaan yang diperoleh Siti telah membawa dirinya masuk ke satu liga lain. Pola pemikiran dan cara Siti memandang perjalanan masa depan juga sudah jauh lebih matang.

Bicara Siti kini cenderung mengangkat hal rumah tangga dan bisnes. Dia memasang mimpi untuk mempunyai produk label sendiri, juga mengembangkan bisnes dalam bidang hiburan.

Dan dalam bicara kami, Siti umpama memberi signal bahawa dia tidak teragak-agak melepaskan status penyanyi tersohor negara apabila tiba waktunya kelak – semuanya demi menjadi suri rumah tangga yang sempurna.

Saya katakan pada Siti, industri dan negara akan kerugian jika dia bertindak demikian. Mengapa Siti berfikir sejauh itu?

Jawapan Siti: “Tak mustahil Siti berhenti menyanyi. Tapi Siti tak boleh tentukan bila kerana manusia berubah. Barangkali apabila Siti ada komitmen untuk anak-anak kelak, pada waktu itu ia (berhenti) tak mustahil terjadi.”

Tidak menjadikan isu ingin berhenti menyanyi sebagai satu debat kerana menghormati pola pemikirannya, saya pantas beralih kepada isu aset RM50 juta seperti yang dicanang.

Siti ketawa besar sambil mengakui siapa yang tidak mahu bergelar jutawan dan memiliki aset sebanyak itu. Malah dia sempat kaget dengan pernyataan tidak benar tersebut.

“Siti terkejut bila dengar Siti ada aset RM50 juta. Tak tahu macam mana mereka menilai. Itu tidak benar. Tapi Siti selalu berdoa untuk mempunyai aset sebanyak itu,” katanya ketawa.

Bagaimanapun Siti mengaku kalau asetnya mencecah jutaan ringgit, sambil berkata, jika kita bijak mengurus kewangan dengan baik, tidak mustahil kita mampu menjadi seorang jutawan.

Kosmo

Sinis Dan Lucu Di FFM21

12 Aug

Oleh JESSABELL SOO & TENGKU SUZANA RAJA HAMAT hiburan@kosmo.com.my


GANDINGAN lama dan baru, dari kiri, Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira dan Salih Yaacob berjaya menyuntik tenaga pada malam anugerah FFM21.

MEMILIH kota pentadbiran kerajaan Malaysia, Putrajaya sebagai medan persinggahan ke-21 Festival Filem Malaysia (FFM21) yang melabuhkan layarnya hujung minggu lalu, boleh disifatkan satu percaturan yang tidak merugikan buat penganjur tahun ini.

Tahun hadapan, FFM22 memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai destinasi seterusnya. Elok juga pemilihan yang dibuat itu memandangkan orang di Sabah dan Sarawak dikatakan masih kehausan hiburan.

Di Putrajaya baru-baru ini, walaupun ada majlis pelancaran FFM21 tetapi ia tidaklah begitu diendahkan oleh orang ramai meskipun telah memilih pusat membeli-belah Alamanda Putrajaya yang dilihat sebagai lokasi strategik. Orang Kuala Lumpur juga dikatakan terlalu muak dengan acara hiburan.

Terpanggil untuk memperihal lagi apa yang berlaku menjelang malam kemuncak pada hujung minggu lalu.

Segala-galanya berlangsung mengikut perancangan yang walaupun berpuluh kilometer dari Kuala Lumpur, kunjungan para karyawan filem dan kehadiran nama-nama yang menggelarkan status diri masing-masing sebagai pelakon juga tidaklah sangat mengecewakan.

Ibarat rumah siap pahat masih berbunyi, ketika para penerima trofi anugerah FFM21 mungkin sedang bernafas dengan lega kerana segala percaturan yang telah mereka lalui telah mendapat habuan yang setimpal, acara yang memberi hak eksklusif Astro ini masih diperkatakan ramai.

Benar apa yang lebih penting pada FFM21 adalah meraikan para karyawan yang dengan anugerah bagi kategori yang dipertandingkan, namun janganlah acara tahunan ini dicacatkan dengan perkara yang sepatutnya boleh dielakkan.

Kerana ini siaran milik Astro, tidak semesti semuanya harus bertitik-tolak daripada Astro itu sendiri. FFM acara global jadi Astro jangan menjadikan itu alasannya.

Pemilihan Linda Onn dan Bob Lokman memang tidak salah. Masing-masing ada profil sebagai pengacara di majlis anugerah yang besar, misalnya Anugerah Era dan Anugerah Industri Muzik misalnya. Tetapi maaflah, gandingan mereka berdua ini di PICC, Sabtu lalu kelihatan tidak begitu meninggalkan kesan.

Semuanya lesu dan tidak mencipta tarikan baik kepada penonton di Dewan Plenari PICC mahupun di rumah. Siapa di antara Linda dan Bob yang menghilangkan ‘mood’ tontonan malam FFM21 baru-baru ini tidak perlu dibangkitkan. Semua sudah maklum, Astro juga harus maklum. Jangan semata-mata kerana statik di satu tahap, acara milik Malaysia ini jadi tawar dan hambar!

Begitu juga dengan pemilihan nama-nama penghibur yang menjadi sandaran persembahan FFM21 yang diisi dengan lagu-lagu daripada filem.

Malam berkenaan adalah malam untuk meraikan karyawan dan anak seni yang telah mengharumkan persada filem tanah air. Sepatutnya, para penghibur yang dipilih juga haruslah bukan sekadar yang bergelar menyanyi, namun walaupun masih baru, Bob dan Yazer disifatkan menunjukkan persembahan cemerlang.


KEMUNCULAN semula Melissa Saila di pentas sebagai penyanyi bergandingan bersama Ahmad Fauzi.

Dalam tempoh lebih dua jam, paling membosankan adalah pada separuh masa pertama majlis berlangsung. Nasib baik ada tenaga dan vokal berhantu daripada Datuk Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu Hati, lagu tema filem 1957 Hati Malaya dan Sabar Menanti daripada filem Hapuslah Air Matamu, kalau tidak pasti ramai yang tertidur.

Persembahan yang boleh disifatkan penyelamat acara hiburan FFM21 termasuklah gandingan Erra Fazira dan Nabil yang menyanyikan lagu daripada filem Ali Baba Bujang Lapok, Apek dengan lagu Aspalela, serta gandingan Melissa Saila dan Ahmad Fauzi dengan lagu daripada filem Kolej 56.

Jika FFM22 tahun depan, masih lagi dipegang oleh Astro, tanggungjawab stesen TV berbayar ini nampaknya semakin besar.

FFM21 meninggalkan kita semua dengan coretan suka, duka, lucu dan manis. Berikut beberapa adegan semasa FFM21 yang mungkin tidak dapat dilihat menerusi kaca televisyen.

* Sungguhpun tempat duduk di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) penuh dengan tetamu tetapi kelihatan kosong di kaca televisyen kerana tempat duduknya bersaiz agak besar.

* Disebabkan FFM21 disiarkan secara langsung tepat pada pukul 9.00 malam, ramai artis terpaksa menunggu di tepi pintu disebabkan gagal memasuki dewan pada masa yang ditetapkan. Ini menyebabkan sejumlah besar artis terpaksa menunggu sehingga waktu rehat iklan pertama sebelum ke tempat duduk masing-masing.

* Penggunaan kertas-kertas kecil berwarna-warni semasa persembahan tarian daripada filem Estet pada permulaan majlis menyebabkan keseluruhan pentas dipenuhi dengan kertas-kertas tersebut. Pihak penganjur pula menggunakan masa yang agak lama untuk membersihkan pentas yang berserabut itu.

* Hiburan pada malam FFM21 didominasi oleh bintang-bintang AF termasuk Zahid, Bob, Stacy, Burn, Yazer, Riz, Farah dan Sahri. Okeylah juga, sekurang-kurangnya bolehlah nampak nama-nama yang sudah lama menyepi.

* Kesilapan juara AF6, Stacy yang berkali-kali ‘salah masuk’ ketika ingin menyampaikan lagu Wajah Rahsia Hati. Dia terpaksa menunggu isyarat daripada penyanyi latar. Hai, tak datang latihan ke dik?Ada juga yang mendakwa itu bukan salah Stacy sebaliknya salah pemuzik yang memainkan muzik korus terlebih dahulu. Ya ke?

* Dewan jadi gamat kerana kesalahan kecil penulis lirik tersohor, Kassim Mosdor mengumumkan hadiah wang tunai untuk kategori Skor Muzik Asal Terbaik. Hadiah anugerah tersebut adalah RM10,000 tetapi disebut RM10 sahaja.

* Letupan bunga api kononnya untuk mencipta gempak akhirnya membawa malang. Ramai artis wanita yang duduk di bahagian depan balik dengan muka masam kerana gaun cantik mereka rosak terkena percikan bunga api. Antara yang menjadi mangsa, gaun pelakon terkenal Vanida Imran dan Zahida Rafik. Lebih malang lagi, gaun berkenaan merupakan gaun tajaan pereka fesyen masing-masing. Siapa nak bayar tu? Boleh minta ganti rugi dengan penganjur ke?

* Alahai Yatt. Penonton yang berada di rumah ada yang mempersoalkan persembahan pengacara muda ni di acara karpet merah. Ada ke Erra Fazira dipanggil Yatt sebagai ‘si gadis manis dan jelita’? Hello, Erra tu gadis lagi ke cik adik? Ini termasuklah Yatt ‘mengenakan’ Afdlin Shauki yang bukan saja badan besar tetap juga menghasilkan kerja besar. Afdlin pun nampak macam kurang seronok dengan cara pengacara itu. Itu belum lagi soalan Yatt yang macam kereta api panjangnya, tapi artis yang ditemu bual hanya dapat menjawab dengan beberapa patah saja. Dah tu, soalan lebih panjang sampaikan Afdlin sendiri macam tak mahu jawab soalan Yatt.

Kosmo

Serasi Bersama Raja Farah

9 Aug

Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my

JUSTIN TIMBERLAKE ‘berteman’ dengan pelakon remaja popular tempatan, Raja Farah Raja Aziz? Pasti kenyataan ini mengejutkan banyak pihak, malah tidak kurangnya ada yang sukar mempercayai dan menganggap ia tidak ubah seperti kata-kata nakal sahaja.

Hakikatnya, pelakon jelita berusia 20 tahun itu bersahabat baik dengan lelaki yang digelar Justin Timberlake Indonesia, Ressa Herlambang yang terkenal menerusi lagu hitnya, The Real Me.

Tiada hembusan angin bertiup kencang, malah tiada pepohon bergoyang, tahu-tahu hubungan ‘intim’ antara Ressa bersama Raja Farah sudah terjalin sejak dua tahun lalu.

Tempoh dua tahun mereka berkawan, tiada sesiapa pun tahu keakraban Ressa sehinggalah wanita itu turut kelihatan dalam majlis beramah mesra di antara Ressa dan pihak media tempatan yang berlangsung di Planet Hollywood, Selasa lalu.

Sudah terang lagi bersuluh, apakah ini suatu petanda Ressa dan Raja Farah sedang dilanda cinta yang direntasi oleh dua garisan negara ini?

Peluang bertemu mata dengan Ressa tidak dilepaskan begitu sahaja. Bersikap terbuka dan sentiasa tersenyum, Ressa mengaku dia memang berkawan dengan Raja Farah sejak tahun 2006.

“Saya anggap Raja Farah sebagai teman rapat saya,” luah Ressa lalu menelanjangkan rahsia yang tersemat erat di dadanya selama ini.

Mengimbau kembali pertemuan dua sahabat akrab ini, Ressa dan Raja Farah mula berkenalan semasa mereka menjayakan sesi fotografi untuk sebuah majalah yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor.

Dari situlah ikatan persahabatan dua insan ini mulai terpupuk dan mekar indah.

Dalam diam, rupa-rupanya Raja Farah sempat melawat ke sebuah laman web terkenal di internet semata-mata mahu mengetahui lebih lanjut tentang Ressa.

PERKENALAN Ressa dan Raja Farah bermula sejak mereka bersatu untuk sesi fotografi sebuah majalah tempatan.

Dan Ressa juga tidak terkecuali bagi melakukan penyelidikan tentang Raja Farah sebelum mereka boleh ‘disatukan’ dalam sesi fotografi itu.

Hurai Ressa lagi, memang ada individu yang paling rapat dan disayangi dalam hidup ini sekali gus dapat bertukar idea dan masalah antara satu sama lain.

“Raja Farah merupakan kawan terdekat di Malaysia yang begitu memahami tentang saya, malah dia juga merupakan seorang wanita yang boleh dikategori gadis berpendidikan.

“Kebiasaannya kami akan berborak dan bincangkan senario yang berlaku dalam industri seni di Malaysia dan Indonesia sambil duduk di kafe kopi.

“Atas faktor itu yang menjadikan saya dan Raja Farah serasi bersama, cuma jangan salah sangka dengan kemesraan kami berdua.

“Selain Raja Farah, saya juga mengenali beberapa rakan artis di Malaysia,” akui Ressa mohon dimengertikan agar hubungan yang terjalin itu tidak disalah anggap peminat.

Hanya mengagumi

Tidak henti-henti membutir bicara tentang kawan baiknya, Ressa menganggap Raja Farah sebagai pelakon yang hebat tatkala muncul di kaca TV mahupun layar lebar.

“Sebelum ini ada sekali saya pernah menonton lakonan Raja Farah. Selepas itu dia juga beberapa kali menunjukkan kepada saya drama dan filem yang dijayakan.

RAJA FARAH akui seronok berkawan dengan Ressa.

“Saya menganggap Raja Farah sebagai pelakon yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Dia juga boleh ditafsirkan sebagai artis yang hebat.

“Dengan sikap yang sentiasa rendah diri, ramah dan tidak sombong membuatkan saya dan Raja Farah serasi sebagai teman,” ungkap anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini.

Sementara itu, Raja Farah ketika dihubungi Kosmo! hanya tertawa tatkala diaju sejauh mana perhubungannya dengan Ressa.

“Kalau tak silap, saya mula kenal dengan dia dua tahun lalu. Saya akui bersahabat dengan Ressa, tetapi hubungan kami berdua hanyalah sebagai kawan saja.

“Ressa adalah salah seorang kawan artis yang saya ada. Dia dianggap sebagai individu yang seronok untuk berkawan dan merupakan lelaki yang baik,” katanya.

Sambung Farah, jika orang lain tanya tentang keistimewaan Ressa sebagai penyanyi, dia akan bercakap Ressa merupakan seorang pemuda yang berbakat.

“Saya juga berpendapat Ressa adalah Justin Timberlake Indonesia. Dia boleh menyanyi sambil menari dengan baik.

“Dia juga merupakan aktor terkenal di Indonesia. Saya amat mengagumi bakat yang dimiliki pada Ressa.

“Kalau dihurai sebagai seorang kawan, saya boleh katakan Ressa sangat periang dan boleh kongsi apa saja ilmu serta pengalaman yang dia miliki.

“Hubungan kami sekadar kawan. Kalau Ressa datang KL, dia akan beritahu saya. Saya mengaku, kami memang pernah keluar bersama, namun perjumpaan kami bukanlah berdua, sebaliknya saya ditemani ibu,” jelas Raja Farah berterus-terang.

Bantu ‘pasarkan’ artis Malaysia

Dek begitu mengagumi Raja Farah, Ressa sanggup menghulur bantuan untuk memasar bakat dan kebolehan yang dimiliki temannya itu ke Indonesia.

“Saya punya perancangan untuk memperkenal Raja Farah untuk berlakon dalam sinetron di negara saya. Belum menetapkan lagi waktu sesuai, namun saya sudah merencana perkara tersebut.

SEDIA membantu penyanyi Malaysia yang mahu mencipta nama di Indonesia.

“Selain Raja Farah, saya sudi untuk membuka peluang kepada artis Malaysia lain untuk mengembangkan bakat yang mereka ada.

“Saya ingin membuang persepsi negatif yang mengatakan karyawan seni di Indonesia mengamal sikap berat sebelah sekiranya ada artis Malaysia mahu membina nama di negara saya.

“Sebenarnya tiada istilah penggiat seni Indonesia yang menutup kemasukan orang Malaysia untuk bergelar pelakon ataupun penyanyi di sana.

“Kalau ada penyanyi Malaysia yang mahu menerbitkan album di Indonesia atau mendapatkan bantuan komposer kami, saya sedia membantu, malah menerima seadanya.

“Itu janji saya. Lagipun saya lihat banyak artis tempatan yang sudah berjaya membina kemasyhuran di Indonesia. Selain Datuk Siti Nurhaliza, saya perhatikan Anuar Zain, Dafi AF5 dan beberapa nama lagi sudah melakar nama di negara kami,” tutur Ressa yang berpayung dengan Ressa Herlambang Management.

Kedudukan bukan soal utama Kedudukan Ressa sebagai selebriti terkenal di Indonesia tidak harus dipertikai lebih-lebih lagi dia sudah mengecap deretan kejayaan.

Begitu pun, Ressa tidak memandang soal populariti sebagai penanda aras yang menentukan representasi dirinya dalam hierarki seni Indonesia.

“Saya tidak anggap kedudukan menjadi perkara penting. Saya ceburi bidang nyanyian kerana miliki minat mendalam terhadap bidang ini.

“Popular dicongak menerusi penilaian peminat yang selama ini menyokong perjalanan seni saya.

“Saya tidak tekankan aspek kedudukan di tangga seni Indonesia, cuma apa yang boleh saya kata, seluruh rakyat di negara saya mengenali dan tahu Ressa Herlambang,” jelas pemuja jalur muzik R&B ini.

Anak sulung daripada tiga bersaudara ini menjelaskan, tiada apa yang lebih membahagiakan apabila dapat melakukan apa yang dicintai dalam hidupnya.

“Setelah jadi artis dan apabila terjaga daripada tidur pada setiap pagi, ternyata saya cukup teruja untuk meneruskan hari.

“Tugas sebagai penyanyi dan menghiburkan peminat menjadi tanggungjawab yang hebat. Terima kasih kepada Tuhan yang memberi anugerah semulajadi ini buat saya.

“Saya begitu mencintai bidang muzik, saya berdiri di pentas menghiburkan khalayak bukan diminta pujian, cukup hanya melampiaskan bakat yang ada,” tingkah Ressa menoktahkan bicara.

Kosmo

Belum Tetap Tarikh – Sambutan Ulang Tahun Kedua Perkahwinan

5 Aug

Oleh FAIZAL SAHARUNI

MASA deras berlalu. Diam tak diam penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hampir melangkaui waktu dua tahun melayari bahtera nan indah perkahwinan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K.

Kalau ulang tahun pertama perkahwinan pasangan merpati dua sejoli ini diadakan penuh meriah di Hotel One World, Petaling Jaya setahun lalu, pastinya ada peminat ingin mengetahui sambutan kedua mereka.

Siti mengakui belum membuat sebarang perancangan untuk meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya dengan Datuk K yang akan muncul pada 21 Ogos ini.

“Siti masih belum menetapkan tentang sambutan itu, tetapi Insya-Allah majlis ulang tahun itu tetap akan diadakan tidak kiralah sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.

“Sambutan ulang tahun memang tengah difikirkan, cuma Siti dan suami belum duduk bersama untuk berbincang lebih lanjut tentang perkara ini,” luah Siti pantas tersenyum manis memperlihat dirinya sedang bahagia serta dilanda asmara dengan Datuk K.


KAKAK Siti, Saida turut muncul dalam program Teratak Siti Nurhaliza

Menyambung bicara, Siti selalu berdoa agar hubungan yang terjalin bersama si suami yang senantiasa menyokong karier seninya itu direstui Tuhan.

“Selalu berdoa kepada Allah supaya Siti dan suami diberikan kesihatan yang baik serta kebahagiaan berpanjangan apatah lagi kami sering menempuhi banyak dugaan dalam kehidupan,” jelasnya lagi.

Kekok nyanyi lagu tradisonal

Setelah sekian lama suara merdunya tidak melantunkan lagu berkonsepkan tradisional, wanita jelita berusia 29 tahun ini dengan rendah diri mengaku kekok tatkala mahu melagukan karya dengan genre tersebut.

Siapa sahaja yang tidak mengetahui kewibawaan Siti. Dia boleh membawa apa jua lagu dengan baik tanpa ada tolok bandingnya.

Namun, itulah sikap sebenar yang sukar terhakis di dalam diri anak jati Kuala Lipis, Pahang ini semasa berbicara. Santun kata dan masih berpijak di bumi nyata menjadikan Siti terus punya profil dan kelas tersendiri di mata umum.


SITI sudah lama tidak mendendangkan lagu-lagu tradisional.

Siti menjayakan Teratak Siti Nurhaliza, sebuah program muzikal selama satu jam untuk disiar semasa Hari Raya ini sambil berdendang dengan lagu corak tradisional bersama adik-beradiknya, Saida dan Saerah.

Siti memberitahu, dia berasa kekok semasa menjalani latihan Teratak Siti Nurhaliza disebabkan sudah lama dia tidak menyanyikan lagu-lagu berunsur tradisional.

“Siti rasa kekok sikit semasa latihan sebab sudah lama tidak nyanyi lagu tradisional. Perkara ini tidaklah teruk sangat, Siti cuma nak biasakan lentur dan lenggok suara saja.

“Alhamdulillah, suara Siti agak biasa dengan lagu tradisonal, jadi masalah itu tidaklah terlampau merisaukan saya,” ungkap Siti yang ayu mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaimi pada majlis itu.


PENUH emosi saat berduet bersama adiknya, Saerah.

Ayie tolak tawaran

Menyusun bait katanya satu persatu, Siti menjelaskan Teratak Siti Nurhaliza pada awalnya mahu mengenengahkan empat beradik iaitu Siti, Saida, Saerah dan Ayie di pentas sama.

“Ayie bagaimanapun menolak dengan baik tawaran itu. Dia kata tak apa dan tidak mahu terlibat dengan program berkenaan.

“Lantaran itu, Siti teruskan dengan dua beradik lain untuk jayakan program ini dengan menampilkan pelbagai kelainan buat tatapan audiens.

“Siti harap sangat rancangan Hari Raya dengan nyanyi lagu tradisional ini dapat membiasakan diri untuk masuk studio rakaman bagi album kontemporari dan fusion Siti kelak.

“Tak sabar rasanya Siti nak buat rakaman album baru. Kalau boleh hendak rakam awal sebelum puasa ini, tetapi Siti kena tengok dulu jadual dan tarikh kelapangan Siti.

“Siti memang harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin, kalau boleh album ini dapat dipasarkan sebelum penghujung tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti memberitahu niatnya untuk kembali ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.

“Kalau ikut perancangan, Siti akan tunaikan umrah bersama suami dan ibu mertua pada awal bulan Ramadan ini.

“Siti akan melakukan ibadah di sana selama seminggu,” ungkapnya lagi.

Kosmo

Artis Malaysia Dipinggirkan? – MTV Asia Awards 2008 Di Genting Highlands

4 Aug

Oleh FERIDE HIKMET ATAK feride.hikmet@kosmo.com.my


LEONA LEWIS menyuntik aura kesegaran pada MTV Asia Awards 2008.

TAHUN ini, buat pertama kalinya majlis anugerah hiburan yang dikatakan bertaraf antarabangsa, MTV Asia Awards berlangsung di Malaysia.

Menariknya, antara artis yang hadir baik sebagai calon, mahupun membuat persembahan adalah nama-nama terkenal dunia hiburan global seperti The Pussycat Dolls, Leona Lewis dan Jared Leto.

Justeru, apa pandangan umum apabila dapat menyaksikan MTV Asia Awards 2008 berlangsung di negara ini?

Dari pandangan mata kasar, pasti ramai yang berbangga kerana dalam banyak-banyak negara Asia, Malaysia dipilih sebagai lokasi untuk majlis penuh glamor itu diadakan dan sekali gus ia boleh dijadikan platform untuk mengiktiraf anugerah muzik Malaysia di peta dunia.

MEMUKAU. The Pussycat Dolls mengotakan janji mereka untuk tidak mencetuskan kontroversi menerusi persembahan mereka.

Dengan penganjuran anugerah ini juga ia kononnya membawa satu kejayaan yang cukup besar buat Malaysia kerana mampu mencatat sejarah baru dengan buat pertama kalinya menganjurkan acara yang membawakan satu ‘jenama’ besar dalam dunia muzik.

Namun, ramai yang tidak sedar, dari segi apa yang tersirat, mungkinkah negara kita menjadi pilihan di saat-saat akhir?

Persoalannya di manakah gerangan artis-artis terkenal Malaysia pada MTV Asia Awards 2008 ini?

Pada kebiasaannya, jika sesebuah penganjuran majlis anugerah diadakan di sesebuah negara, pastinya artis-artis tempatan menjadi tumpuan utama baik dari segi persembahan di atas pentas mahupun penyampai anugerah.

YOVIE & NUNO menang berkat album terbaru mereka yang berjaya menarik perhatian khalayak.

Sebaliknya, apa yang berlaku pada MTV Asia Awards 2008, artis-artis Malaysia yang dijemput penganjur seperti Hujan, Faizal Tahir, Hannah Tan, Jaclyn Victor dan lain-lain ‘dicampakkan’ ke luar daripada lokasi majlis anugerah tersebut iaitu Arena Of Stars di Genting Highland untuk mengadakan persembahan hanya di luar majlis anugerah tersebut.

Hanya Pop Shuvit ‘terselamat’, dan dengan membawakan lagu Mara Bahaya, persembahan mereka di atas pentas MTV Asia 2008 begitu hebat dan sekali gus mampu melontarkan persepsi bahawa artis-artis tempatan juga mampu membuat persembahan bertaraf antarabangsa.

Apa pun, pada keseluruhannya, acara ini tidaklah sehebat seperti yang dibayangkan sebelum ini. Cuma perjalanan anugerah ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

STEFANIE SUN (kanan) dan Show Lo masing-masing menjadi pilihan Singapura dan Taiwan.

Leona permata yang bersinar Walaupun begitu, Leona Lewis bagaikan menjadi permata dalam majlis anugerah kali ini. Hampir semua mata tertumpu pada gadis tinggi lampai ini pada acara karpet merah.

Lebih-lebih lagi saat dia membuat persembahan di pentas anugerah, dengan menyanyikan lagu hit, Bleeding Love dan Better In Time, kemunculan Leona telah membawa aura kesegaran pada pertengahan majlis itu.

Kemudian, sejurus dia diumumkan sebagai pemenang Anugerah Artis Harapan, dirinya semakin menjadi titik fokus.

Begitu juga dengan The Pussycat Dolls, penonton yang hadir menjadi histeria tatkala mereka muncul membuat persembahan pembukaan majlis anugerah ini dengan mengalunkan lagu Buttons dan Stop And Stare.

LEO KU artis pilihan Hong Kong.

Persembahan mereka bijak kerana tidak tampil terlalu seksi kerana menurut mereka, apa yang ingin dipersembahkan adalah lagu-lagu mereka dan bukan keseksian diri mereka.

Pussycat Dolls ternyata mengotakan janji mereka untuk menghormati adat dan budaya negara ini.

Nicholas tewaskan Siti Sementara selain itu, bintang realiti Astro Talent Quest 2002, Nicholas Teo berjaya menewaskan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan dua calon lain, Faizal Tahir dan Pop Shuvit bagi Anugerah Artis Pilihan Malaysia pada malam itu.

Penyanyi yang menempa nama di Taiwan ini mempunyai peminat yang begitu ramai di sana.

“Malaysia dan Taiwan adalah sama sahaja. Saya harap dengan kejayaan ini, kerjaya saya akan berkembang dengan lebih mudah lagi.

KEMUNCULAN sekali lagi The Click Five di Genting Highlands.

“Akhirnya, saya dapat juga anugerah idaman ini. Tentang saya dapat mengalahkan Datuk Siti Nurhaliza, minta maaf Datuk!. Saya merupakan peminat setia anda!,” tuturnya selepas menerima anugerah Artis Pilihan Malaysia.

Pemenang anugerah Artis Pilihan Indonesia, Yovie & Nuno pula mengulas, “Kami gembira kerana album terbaru kami lebih bagus berbanding album pertama dan kedua, justeru sejak itu kami raih banyak peminat. Inilah faktor kejayaan kami ini.”

Dalam pada itu, Leo Ku yang meraih anugerah Artis Pilihan Taiwan menegaskan inilah pencapaian pertama kali dirinya meraih anugerah pada MTV Asia Awards kali ini.

AKSI girang Jared Leto (kiri) dan artis terkenal Hong Kong, Karen Mok di pentas.

“Kemenangan ini bakal menaikkan lagi karier saya. Berita gembira ialah pada akhir tahun ini, saya akan membuat konsert di Malaysia,” ujarnya.

Selain Leona Lewis, The Pussycat Dolls dan Pop Shuvit, pentas MTV Asia Awards 2008 turut dihangatkan dengan persembahan The Click Five, Panic At The Disco, Stefanie Sun yang berduet dengan band Electrico, One Republic dan ramai lagi.

Kosmo

Malam Prestij Untuk FFM21

31 Jul

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT


PRIMADONA filem Melayu moden, Erra Fazira juga akan menjadi tetamu penting di FFM21. Selain itu, Umie Aida, Fazura juga akan muncul dengan gaya yang mempersonakan. Sean Ghazi akan memunculkan suara emasnya di pentas persembahan acara kemuncak.

Untuk malam anugerah kemuncak Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang bakal berlangsung pada 9 Ogos nanti, sudah pasti tidak seorangpun yang mahukan sebarang kesilapan, kecacatan mahupun salah perhitungan yang tidak disengajakan.

Pendirian pihak penganjur, Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) mahupun penyiar rasmi, Astro yang bertindak sebagai saluran rasmi agar FFM21 ini menjadi satu titik yang bersinar adalah tanda dunia perfileman Malaysia sudah berada diprestij yang utuh, yang tidak menjunam jika dijentik seribu tohmahan.

Pada penganjuran, khususnya malam kemuncak pada FFM20 dan 19 yang sejak dua tahun sudah dikendalikan Astro sebagai penyiar, banyak yang cuba dan telah dilakukan untuk memanggil khalayak ramai sebagai penonton.


REKAAN pentas yang cukup kreatif menjadi salah satu tarikan utama kepada tetamu yang hadir memeriahkan acara.

Dan pada pukul 8.30 malam, 9 Ogos nanti, sekali lagi sokongan seluruh khalayak yang mengaku mereka sebagai pencinta filem diseru agar tidak melepaskan peluang sekali setahun ini.

“Jika dua tahun ada kesilapan atau perkara yang tidak memuaskan hati banyak pihak tentang malam anugerah FFM, untuk kali ini, kita harap segalanya boleh diatasi,” ujar Presiden Gafim, Datuk Mustapha Maarof yang bertindak sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk FFM21.

Tidak mahu malam anugerah sekadar meraikan para karyawan dan filem terbaik dengan pengagihan trofi semata-mata, FFM21 ada agenda supaya malam kemuncak yang bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disemadikan sebagai acara penuh prestij dalam sejarah penganjuran FFM yang sudah bermula sejak tahun 1980.

KHAIRUL MIZAN SHAGUL.

“Bukan sahaja menjanjikan satu produksi yang menarik, berbanding tahun lepas, tahun ini ada kelainan yang cuba kami lakukan.

“Yang paling ketara, acara penyampaian anugerah bagi para pemenang tahun ini akan disampaikan oleh barisan pemenang anugerah FFM terdahulu.

“Sebagai contoh, Azean Irdawaty yang pernah diangkat sebagai Aktres Terbaik pada FFM yang pertama akan dijemput sebagai penyampai bagi anugerah Pelakon Wanita Terbaik tahun ini,” beritahu Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada majlis sidang media FFM21, baru-baru ini.

Antara barisan penyampai anugerah yang dijangka memeriahkan malam kemuncak FFM21 adalah, Umie Aida, Erra Fazira, Eman Manan, Rusdi Ramli, Vanida Imran, Zamarul Hisham, Fazura, Aziz M. Osman, Shuhaimi Baba, Daruk Rahim Razali, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Jins Shamsuddin, Saiful Apek, Erma Fatima, Badaruddin Azmi serta ramai lagi.

Tidak sekadar diserikan oleh muka-muka terbaik yang pernah menjulang trofi FFM, elemen persembahan yang menjadi pemanas bahkan dilihat sebagai kemuncak juga dititik-beratkan.

Selain 23 anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mencakupi filem cereka, animasi, iklan, pendek dan digital, malam kemuncak FFM21 juga akan memberi penghormatan dengan penyampaian anugerah khas juri.

Turut disampaikan empat lagi anugerah khas iaitu Anugerah Box-office, Anugerah Belakang Tabir, Anugerah Veteran Wanita dan Anugerah Veteran Lelaki.

Masih juga seperti tahun-tahun sebelum ini, hiburan malam kemuncak tidak kosong tetapi diisi lagu-lagu yang pernah menjadi ‘penyedap santapan telinga’ menerusi filem-filem yang pernah kita semua saksikan sejak tahun 60-an hinggalah ke hari ini.

Menggunakan khidmat Shah Slam sebagai Pengarah Muzik, pastinya dendangan Datuk Siti Nurhaliza, Dina, Afdlin Shauki, Zaf & Lah VE, Sean Ghazi, Liza Hanim, Musly Ramlee, Atilia, Ben, Misha Omar, Erra Fazira serta bintang-bintang kelahiran AF seperti Stacy, Bob, Yazer, Zahid, Riz dan Ben pada malam kemuncak nanti sudah cukup untuk menjanjikan satu bentuk persembahan bervariasi dan penuh tenaga untuk membakar semangat FFM21 ini.


BARISAN jawatankuasa yang bertungkus lumus mahu memastikan FFM21 berlangsung tanpa sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan nama mana-mana pihak.

Tidak meletakkan sebarang tema khusus untuk busana para bintang dan karyawan yang bakal melintas di karpet merah, tetapi sudah lumrah acara anugerah sebegini, para karyawan yang hadir pastinya sudah bersedia dengan tuksedo atau gaun malam yang ditempah khas.

Tetapi alangkah manisnya, jika setiap butir bintang mahupun karyawan yang dijemput ini hadir dalam wajah santun orang berbudaya bangsa kerana namapun ini festival filem Malaysia.

Secara keseluruhannya, acara malam anugerah FFM21 yang akan disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam hingga 12.30 tengah malam, di saluran Astro Ria, 9 Ogos nanti akan dibahagikan kepada tiga segmen, Karpet Merah (8.30 malam – 9 malam), Malam Anugerah FFM21 (9 – 11.30 malam) dan Pasca FFM21 (11.30 malam hingga 12.30 tengah malam).

Kosmo

Semakin Cerewet,pentingkan Kualiti

28 Jul

Oleh HARYATI KARIM


MENGAKUI menghadapi kesukaran berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia.

USIANYA dalam lapangan seni baru menjangkau lima tahun, sungguhpun kelihatan seperti satu jangka masa yang pendek, sebenarnya sudah berpuluh-puluh drama menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Paling menyerlah ialah ketika dia menjayakan watak gadis obes dalam drama bersiri Manjalara yang sekali gus meletakkan dirinya pada kelas yang berbeza daripada sebelumnya

Kewibaannya sebagai pelakon terbukti apabila terpilih untuk menjayakan pementasan teater berprestij iaitu P.Ramlee The Musical 2, menerusi watak Azizah menggantikan Siti Nurhaliza yang muncul pada musim pertama.

Semua ini membuatkan nama Emelda Rosmila Abdul Hamid mula dikenali di landasan arus perdana.

Oleh kerana itu, sebagai pelakon dia kini sudah boleh mula memilih tawaran produksi lakonan manakah yang dirasakan mempunyai kualiti daripada segi jalan cerita, pengarah dan juga produksi itu sendiri.

Menurutnya, pemilihan itu wajar kerana dia kini bukan berlakon atas tiket mahu menimba pengalaman kerana itu sudah dilalui di awal pembabitannya dalam bidang lakonan.

Kini, apa yang dimahukan Emelda adalah kualiti dan kepuasan yang hanya akan di perolehi dengan bekerja dalam produksi yang benar-benar menjaga mutu produk keluaran mereka.

Ini kerana dia sudah mempunyai pengalaman bekerja dengan antara mereka yang terbaik dalam industri seni tempatan.

“Memang sekarang saya sudah mula pilih tawaran yang berkualiti sahaja. Saya akan pertimbangkan pertama sekali skrip, jika jalan cerita bagus, seronoklah sikit berlakon.

“Kalau asyik dapat watak dan cerita yang lebih kurang sama, bukan saya saja yang bosan, penonton pun bosan tengok lakonan saya,” ujarnya.

Katanya lagi, pemilihan harus dilakukan untuk memastikan kerjayanya sebagai pelakon terus berkembang kerana bagi Emelda, dia sudah puas berlakon dalam drama yang menonjolkan jalan cerita yang lebih kurang sama berulang kali.

“Saya bukan demand, saya tidak pernah dengar cerita macam itu tentang diri saya tetapi saya memilih yang berpatutan.

“Kalau orang kata saya mula memilih tawaran itu memang benar sebab saya rasa sekarang ini masa yang sesuai untuk saya berbuat demikian,” tambahnya.

Tanpa berselindung, Emelda menyatakan rasa syukurnya kerana sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan dia sudah berjaya berlakon di samping beberapa pelakon terkenal seperti yang diidamkannya selama ini.

“Saya rasa bertuah kerana dapat berlakon dengan orang yang hebat dalam bidang lakonan, dan mereka sendiri menasihati saya supaya mula memilih tawaran yang datang.

“Bukan untuk berlagak atau pun demand, sebab ada produksi yang memberikan jalan cerita yang bagus pun memberi bayaran murah. Sekarang, saya pentingkan kualiti dan juga kepuasan diri bukannya wang semata-mata,” tegasnya.

Beritahu Emelda lagi, soal memilih tawaran lakonan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ramai juga pelakon yang lain berbuat demikian dan menegaskan pemilihan itu adalah hak masing-masing dan tidak perlu dipertikaikan oleh pihak lain.

“Saya bukan berlakon sebab tidak ada duit kerana itu akan menyebabkan saya berlakon main tangkap muat sahaja, tetapi saya mahu berlakon dengan penuh kesungguhan barulah watak yang saya lakonkan akan meninggalkan kesan,” bicaranya lagi mengenai pendiriannya.

Walaupun namanya semakin mekar dalam industri seni tempatan, adik kepada pelakon Emelia Rosnaida ini memberitahu, selain perubahan positif kerjayanya, dirinya tidak pernah berubah untuk menjadi orang lain.

“Kerjaya semakin berkembang, saya rasa biasa saja, masih seperti dulu, masih juga melepak dengan rakan-rakan, jika ada masa, masih buat kerja grafik seperti kad perkahwinan jika ada permintaan. Semuanya sama tidak ada yang berubah,” katanya.

Berlakon seorang diri

Seakan mahu lari daripada imejnya yang begitu sinonim sebagai Manja dalam drama Manjalara, Emelda mengambil keputusan berlakon buat pertama kalinya menerusi produksi drama genre seram, Kasihku Seru yang mula ditayangkan di TV3 pada 24 Julai lalu.

Biarpun begitu, seperti juga dalam Manjalara, drama arahan Kabir Bhatia ini mempertaruhkan sekali lagi bakat gadis berusia 28 tahun ini menerusi dua watak.

EMELDA kini berada di landasan arus perdana.

“Cerita ini agak unik sebab saya kena pegang dua watak sekali gus, sebagai orang dari zaman silam iaitu sebagai Mastura dan satu lagi watak ialah sebagai pelajar perubatan pada masa kini iaitu sebagai Marisa.

“Apa yang saya boleh katakan memang agak sukar untuk saya bawa dua watak ini, tetapi atas bantuan Kabir semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Bukan kerana memikul bebanan dua watak sahaja yang menyebabkan Emelda terpaksa memikul tanggungjawab yang berat sebagai pelakon utama tetapi dia juga harus berlakon seorang diri dalam kebanyakan babak.

“Dalam drama ini, banyak babak saya kena berlakon seorang diri dan membayangkan benda yang tidak ada depan mata. Itu yang susahnya sebab efek hanya akan dimasukkan semasa suntingan nanti.

“Saya juga alami beberapa kecederaan kecil kerana buat adegan lagak ngeri sendiri, jadi saya alami sakit badan dan lebam-lebam. Sakit memang sakit tetapi bila tengok hasilnya, semua kesakitan itu hilang,” luahnya lagi.

Kesusahan, kepenatan terbayar

Meskipun ini kali kedua bekerja di bawah arahan Kabir selepas Manjalara, Emelda menjelaskan masih terdapat kesukaran ketika bekerja dengan pengarahkreatif ini.

“Sebenarnya setiap benda baru susah untuk dilakukan. Sama juga dengan saya, walaupun pernah bekerja dengan Kabir tetapi ini drama serama pertama saya, sebab itu bagi saya ia agak susah.

“Selain itu, dia (Kabir) agak cerewet, kalau tidak dapat apa yang diinginkan susahlah kami sebagai pelakon (ketawa). Ini kerana dia pernah mengarah filem, jadi cara dia mengarah drama pun seakan-akan filem dan kerana ketelitiannya drama ini mengambil masa yang panjang.

“Pernah juga ada ketika kami tidak jadi lakukan pengambaran hanya kerana props untuk drama ini tidak ada. Kabir memang ambil kira, daripada solekan, mutu lakonan dan segalanya dalam drama ini. Saya rasa seronok sebab dapat bekerja dengan produksi yang sungguh profesional,” ujarnya.

Malah, Emelda sempat memberitahu lokasi penggambaran drama ini yang bertempat di Kampung Janda Baik yang dikatakan antara tempat yang agak ‘keras’, tetapi sehingga kini tiada perkara buruk yang berlaku sepanjang penggambaran berlangsung.

“Ramai juga kawan cerita, kalau berlakon drama seram kena hati-hati sebab benda-benda halus ini akan ikut kita dan mengganggu, tetapi syukur semuanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Turut membintangi drama seram ini ialah Fizz Fairuz, Umie Aida, Hairi Othman, Kuza dan Rose Iskandar.

Tamatkan zaman bujang

Bukan kisah kerjayanya sahaja yang menjadi perhatian, tetapi juga kisah cintanya bersama pelakon, pengarah dan pengacara terkenal Adlin Aman Ramli.


BERSAMA Fizz Fairuz yang turut membintangi Kasihku Seru.

Emelda mengakui dengan umurnya yang semakin bertambah, pastinya dia inginkan satu ikatan kukuh, iaitu ikatan perkahwinan. Cuma buat masa ini gadis ini masih mengunci mulut bilakah hari bahagia buat dirinya itu akan tiba.

“Kami memang rancang tidak mahu kawan lama-lama sangat, kalau kawan lama takut nanti perasaan cinta itu hilang, tetapi sekarang ini belum lagi sebab bapa saya pun baru meninggal.

“Setakat ini, saya senang dengannya sebab dia faham tentang kerjaya dan diri saya seadanya, jika hari bahagia itu muncul saya akan beritahu,” tuturnya menutup bicara.

Kosmo

Bukan Wayang Saerah

27 Jul

Oleh MALIAH SURIP maliah.surip@kosmo.com.my

SENYUMNYA manis, mekar dan nampak segar. Sesekali memandangnya, saling tak tumpah seperti kakaknya, Siti Nurhaliza.

“Dah darah daging. Saya tak boleh lari,” begitu luah gadis yang baru menginjak usia 25 tahun dengan matang sambil tersenyum.

Dia, Siti Saerah Tarudin pagi itu duduk didandan rapi khusus untuk fotografi kami. Saerah muncul dengan single perdananya berjudul Hero Wayang.

Sebenarnya siapa yang tidak kenal Saerah. Dia juga mempunyai profil kerjaya yang tersendiri. Sejak dahulu, semua orang juga tahu Saerah memang berkeinginan menjadi seorang penyanyi.

Lantas kelibatnya pernah dilihat dalam pertandingan realiti televisyen One In A Million (OIAM) tidak lama dulu. Namun dia terkandas separuh jalan.

Sesekali dia juga menghias pentas dengan vokal dan persembahannya yang tersendiri. Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Cerita tentang kepayahan membina perisai kerjaya sendiri.

Hari ini, Saerah sudah boleh tersenyum. Impiannya menjadi seorang penyanyi yang sebenar telah terlaksana. Single perdana dengan nama Hero Wayang telah mula mencuri perhatian. Semuanya dilakukan sendiri, tanpa menumpang populariti si kakak, kecuali menjadi artis di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).

“Alhamdulillah, tiga tahun saya tunggu saat untuk mempunyai lagu sendiri. Hari ini, Hero Wayang merupakan anak pertama saya. Dan saya harap langkah baru ini tidak terhenti separuh jalan,” ujar Saerah penuh harapan.

Dihasilkan sendiri atas bantuan tenaga profesional dengan lirik tersebut dihasilkan oleh bekas penulis lirik terbaik negara, arwah Loloq, Hero Wayang kata Saerah mengisahkan tentang perjalanan penuh liku anak seni. Namun ia dihasilkan dalam jalur moderate.

“Jiwa saya lebih rock, malah jalur pop pun disadurkan dengan rock, bukan balada. Jadi saya kira orang senang untuk membezakan saya dengan Kak Siti,” katanya.

Dia menambah: “Saya kira jika buah tangan saya bagus, peminat pun tak pertikai saya ialah adik Siti. Sebaliknya saya adalah Saerah yang berdiri atas kaki sendiri.”

Banyak agenda yang telah dirangka SNP untuk Saerah. Serius dan optimis dia memberitahu bakal muncul secara duo bersama kakaknya, Siti Saida.

Mereka akan bergabung dalam sebuah album yang menyaksikan mereka menyanyi secara solo dan berduet. Satu kolaborasi adik-beradik yang mahu dijadikan label masa depan.

Seiring single yang sedang diputarkan di radio, penampilan Saerah kini juga sudah banyak berubah – lebih matang dalam berbicara dan satu hal yang paling ketara berubah ialah berat badannya.

Tak segan dia memberitahu, sudah lebih empat bulan selera makannya hilang terutama pada nasi. Sehingga kini, berat yang dahulu 77 kilogram sudah mencecah 55 kilogram.

“Makan hati,” ringkas dia menjawab dalam senyuman tawar dan mengaku pula: “Sejak putus tunang dulu, selera makan jatuh terus. Jadi sekarang macam sudah terbiasa tak makan. Saya lebih banyak minum air dan makan roti sahaja.”

Cuba menggali lebih dalam perihal sebenar dia putus tunang dengan jejaka seusianya itu, Saerah menepis dengan tenang. Enggan merobek hati sesiapa katanya.

Cukup dia menekankan, perpisahannya dengan lelaki yang kini masih menjadi temannya itu sebagai satu rahsia yang kekal dalam hidupnya.

Kosmo

Relevan Konsert Percuma

13 Jul

Oleh MALIAH SURIP & SOFIATUL SHIMA WAN CHIK hiburan@kosmo.com.my

KONSERT Jom Heboh, Hot FM Big Jam, Suria FM Rancak Road Tour dan banyak lagi pesta percuma yang silih berganti saban minggu kini menjadi satu trend dalam industri hiburan tanah air.

Pada satu sisi, ia memberi pulangan terbaik kepada khalayak kerana mereka tidak perlu mengeluarkan kos untuk menikmati variasi persembahan bintang terkenal tanah air.

Sementara dari sisi lain, ia hampir melenyapkan nilai eksklusif, apresiasi karya bahkan boleh membunuh pasaran apabila khalayak semakin tidak lagi mahu mengeluarkan untuk menyaksikan konsert berbayar.

VAZZ mendapatkan pelbagai persepsi daripada barisan artis sendiri, penganjur dan pemerhati seni mengenai penganjuran pesta percuma tentang pro dan kontranya.

DATIN SERI SITI NURHALIZA, Penyanyi solo

SITI NURHALIZA yang kerap menjayakan karnival mahupun konsert percuma mempunyai persepsi tersendiri.

“Kontranya, jika terlalu kerap menyertai konsert percuma, seseorang artis akan hilang nilai eksklusif.

“Pronya pula ialah ia medan terbaik untuk mempromosikan diri dan produk.

“Kadang-kadang peminat juga memerlukan sebuah persembahan tanpa bayaran, jadi inilah medan terbaik untuk artis berinteraksi dengan mereka,” jelas Siti.

Penyanyi tersohor ini juga menolak menyalahkan trend masa kini yang menyaksikan saban minggu khalayak disajikan dengan pelbagai konsert percuma daripada pihak stesen televisyen mahupun radio.

Jelasnya: “Ini semua bisnes dan mereka tentu ada strategi sendiri. Sebagai artis, kita juga perlu bijak memasang strategi sendiri. Tak salah jika kita membuat persembahan percuma, tapi kemudian kita perlu tahu bagaimana nak memasarkan diri sendiri.”

Justeru, kerana itu akui Siti, dia hanya akan terlibat dengan pesta percuma jika ia memberi pulangan kepada masyarakat, misalnya sebuah konsert amal mahupun meraikan sesuatu perayaan seperti bulan kemerdekaan dan hari raya.

SHERINA NORDIN Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3

SELAKU tulang belakang penganjuran konsert Jom Heboh, Sherina menyifatkan pesta percuma ini sebagai medan terbaik bagi artis mendapat lebih banyak pendedahan.

“Sebenarnya kita mendapat kemenangan setara. Kami membawa mereka ke hadapan dan membuat promosi. Artis pula akan mendapat lebih pendedahan dan mereka mungkin memperoleh tawaran persembahan hasil pendedahan dalam konsert percuma ini,” jelasnya.

Sherina menambah, pendedahan ini juga akan membuat khalayak ingin mengenali artis itu secara eksklusif.

SEELAN PAUL Pengurus Rangkaian Hot.FM

SEELAN mendefinisikan hal ini sebagai menang setara dan bergantung kepada penerimaan semua pihak.

“Kami akui, kami memberi sesuatu yang percuma secara langsung kepada khalayak. Tapi penganjur dan artis berada dalam situasi menang-menang.

“Bagi penganjur, ini adalah bisnes dan pada masa yang sama, ia menjadi medan artis mempromosikan diri mereka.

“Artis juga menggunakan kami untuk membuat promosi lagu baru dan mendekatkan diri dengan peminat.

“Siapa tahu daripada konsert percuma ini, artis kemudian mendapat undangan persembahan berbayar kerana mereka kerap dilihat,” ujar Seelan yang mengajak semua pihak melihat isu ini dari sisi positif.

Tambah Seelan, jika ada yang bimbang pesta percuma akan merosakkan nilai apresiasi khalayak terhadap artis, ia harus berbalik kepada keteguhan diri sendiri.

Katanya: “Jika seseorang peminat itu setia menyokong artis pujaannya, dia tetap akan membayar untuk sebuah konsert besar kerana ia lebih eksklusif.

“Konsert percuma hanya menyaksikan artis sekadar menyanyikan dua buah lagu sahaja.”

AHMAD IZHAM OMAR Ketua Pegawai Operasi 8TV

MENJADI antara individu yang terlibat dalam beberapa siri konsert percuma, Izham berkata: “Konsert secara percuma tidak boleh diadakan secara kerap.

“Konsert percuma juga haruslah mempunyai makna. Contoh terbaik adalah konsert Woodstock atau Live 8 yang tersirat makna di sebalik pembikinannya.”

Izham turut menjelaskan, Kami The Gig yang merupakan kolaborasi antara Maxis dan Monkey Bone merupakan salah satu cara menggerakkan revolusi muzik tanah air.

Konsert percuma yang menaikkan nama-nama anak band indie ini adalah salah satu lapangan untuk mempromosikan mereka dan proses muat turun Internet yang berjalan seiring dengan gig ini adalah cara yang lebih baik daripada menjual tiket.

AMY SEARCH, Vokalis Search

SAAT isu ini dilontarkan kepada Amy, vokalis Search ini menjawab, pesta percuma mampu membunuh industri. Pesta percuma yang berlangsung berterusan saban minggu akan melupuskan nilai eksklusif artis dan tidak adil jika para artis tidak dibayar pada harga yang setimpal untuk menghiburkan khalayak secara percuma.

“Bila terlalu banyak konsert percuma, artis hilang kelas, nilai eksklusif dan konsert itu sendiri sekadar untuk mengaut keuntungan,” kata Amy.

Pernah terlibat dengan pesta percuma, Amy tidak menolak keperluannya sebagai platform mempromosi diri. Hanya katanya, seseorang artis itu perlu tahu bila dia harus berhenti dan jangan sampai dieksploitasi.

Luah Amy: “Kita sama-sama bisnes. Artis bisnes, penganjur pun sama. Jadi masing-masing perlu tahu nilai bisnes yang dijalankan. Kita harus bisnes secara serata.

“Jangan sampai industri terbunuh kerana khalayak sudah tidak teruja dan melihat artis kita mahal.”

JENNIFER THOMPSON Pengurus Besar Persatuan Industri Muzik Malaysia

WANITA yang tidak pernah lelah memperjuangkan nasib para artis ini tidak menyalahkan kitaran yang sedang berlaku. Jennifer juga akur kalau pesta percuma memberi kemenangan setara kepada artis dan penganjur. Namun tegasnya, situasi ini mempunyai kesan jangka panjang – industri hiburan akan mati.

“Betul, dua-dua pihak ada alasan tersendiri untuk sama terlibat. Tapi untuk masa panjang, ia memang memberi kesan pada industri. Sebab terlalu kerap dihiburkan tanpa bayaran, peminat tak mahu membayar lagi untuk konsert berbayar.

“Secara tak langsung artis tidak lagi bernilai pada mereka. Tak ada sifat fanatik artis dan apresiasi terhadap mereka pun kurang. Dan paling membimbangkan pada zaman sekarang artis menjadi pihak yang paling tercicir dalam bisnes muzik sebab orang gunakan mereka untuk keuntungan dan artis tak sedar itu,” katanya yang turut menyifatkan pada akhirnya artis miskin harta tapi kaya glamor.

RAMLI MS Konduktor dan pengarah muzik

“PERKARA ini terletak pada artis sendiri,” begitu komen pemerhati seni, Ramli MS.

Biar menegaskan tidak perlu ada perkara yang percuma, Ramli menjelaskan, artis harus bijak memperdagangkan diri mereka secara eksklusif dan jangan menuding jari kepada pihak penganjur kerana objektif penganjur adalah bisnes yang menguntungkan.

Ujar Ramli: “Jadi ia berbalik kepada artis bagaimana mahu membezakan antara permintaan ihsan atau mengambil kesempatan mempromosikan diri. Artis sendiri kena matang berdagang karya.

“Mereka perlu tahu meletakkan diri dalam nilai eksklusif. Jangan sampai khalayak sudah tidak mahu membayar untuk mereka kerana berasa sudah mendapat hiburan percuma saban minggu dengan persembahan total.”

Kosmo

Candy Ingin Hidup Berdikari – Ulas Gosip Bergaduh Dengan Mila

3 Jul

Oleh FAIZAL SAHARUNI

SETELAH melangkahkan kaki keluar daripada program realiti Akademi Fantasia 5 (AF5) setahun lalu, dua gadis kecil-molek dengan bakat besar ini, Mila dan Candy terus menjadi sahabat baik dan tinggal serumah.

Punyai keserasian dan saling memahami antara satu sama lain, persahabatan mereka bertambah erat hinggalah Mila mengambil keputusan ‘mengangkat’ kaki keluar rumah dan tinggal bersama kedua ibunya.

Dari situlah, timbulnya desas-desus kononnya Candy dan Mila mula bermasam muka dan bersengketa antara satu sama lain.

Khabar angin itu terus diperkata umum, malah berterbangan bebas ke sana ke mari sehingga singgah ke telinga Candy dan Mila.

“Mana ada saya bergaduh dengan Mila. Saya pun tidak tahu bagaimana cerita ini boleh tersebar luas sampai saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya buat kesimpulan, barangkali kisah saya berselisihan faham dengan juara sulung wanita AF5 itu gara-gara Mila berpindah dari rumah kami di Subang Jaya, Selangor.

“Padahal semua pihak tahu dan mengerti yang Mila kini bawa seluruh keluarganya dari Pulau Pinang dan tinggal bersama di sekitar kawasan di pinggir ibu kota,” kata Candy menjelaskan situasi sebenar ketika ditemui pada Remix Anniversary Bash 2008 di Borneo Baruk Club, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Sambung penyanyi yang terkenal menerusi lagu Demam ini, setelah menerima perkhabaran kurang enak itu, dia terus menghubungi Mila.

“Mila terus tergelak besar dengar apa yang saya katakan. Bayangkan, selama ini kami baik-baik saja, malah tak pernah pun bergaduh, tiba-tiba kami dikaitkan bermasam muka dan ada perasaan tak puas hati antara satu sama lain.

“Khabar angin itu saya baca daripada sebuah majalah hiburan yang mengatakan Candy dan Mila bergaduh sesama kami dan membuatkan Mila nekad pindah rumah.

“Kalau betul saya dan Mila bergaduh, tak mungkin Mila ajak saya tinggal sekali bersama keluarganya di rumah baru Mila.

“Sebab ingin hidup berdikari, saya ambil keputusan untuk menolak dengan baik pelawaan Mila. Saya cuba berusaha dengan keringat dan titik peluh sendiri untuk meneruskan kehidupan.

“Kini saya tinggal bersama-sama Nora AF5. Baru saja pindah, malah rumah kami sekarang pun tengah bersepah dek belum sempat mengemas,” kata Candy lagi.


CANDY mahu menjadikan karier nyanyian sebagai mata pencarian untuk membantu keluarganya.

Tidak mudah melatah apatah lagi melenting dengan kisah ‘persengketaan’ dirinya dengan Mila, Candy hanya mampu bersabar apatah lagi perkara yang diuar-uarkan itu tidak pernah pun terjadi.

“Saya malas hendak ingat isu tersebut. Lagipun ia tak pernah berlaku. Daripada pening kepala fikir gosip itu, lebih baik saya tumpukan perhatian pada karier.

“Andai dibiarkan saja, gosip itu akan hilang sendiri,” kata Candy optimis dengan ranjau berduri dalam dunia seni ini.

Lahirkan album DusunKalau Mila terus meraih perhatian umum dan makin dikenali ramai, lain pula ceritanya dengan Candy. Dia bagaikan ‘hilang’ ditelan kemunculan bekas pelajar AF6, malah jarang benar peminat melihat cerita terbaru Candy sama ada dalam media cetak mahu pun elektronik.

“Saya masih ada di sini, bukannya pergi ke mana-mana atau pun menghilang,” luah Candy sedikit tegas tatkala diaju pertanyaan dirinya yang senyap daripada pemerhatian dan pandangan industri seni.

Perlahan butir bicaranya, Candy mengakui dia kini sibuk berlatih memperbaiki mutu serta kualiti vokalnya yang dipelajari menerusi buku dan cakera padat.

“Saya dalam perancangan untuk menghasilkan album Dusun untuk pasaran khalayak di Sabah. Ia dijangka akan bermula penghujung tahun ini.

“Saya keluarkan duit sendiri untuk hasilkan album istimewa ini. Sebelum buat apa-apa, saya dah bincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan Maestro untuk melahirkan album Dusun.

“Ia bukannya datang daripada duit saya seorang sendiri, sebaliknya hasil perkongsian bersama sepupu yang mahu membantu perjalanan kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Lagi pun album Dusun tidaklah terlalu mahal atau menelan kos terlampau tinggi. Ia biasa-biasa saja dan cukup ringkas berbanding album genre lain,” tutur Candy atau nama sebenarnya Candra Clement.

Gadis berusia 18 tahun ini menambah, sebelum ini ramai yang bertanya bila dia akan menghasilkan album sulung, malah ada peminat mula menyuarakan rasa kebimbangan andai namanya makin tenggelam.

“Setelah betul-betul yakin, malah punyai bajet sendiri, saya pilih untuk terbitkan album berkonsep lagu Dusun. Saya tak mahu terburu-buru bikin album tersebut.

“Semuanya berkait-rapat dengan kualiti, kalau dibuat secara kelam-kabut, maka tiadalah orang yang nak beli album saya.

“Oleh itu saya perlu buat keputusan tepat. Sebelum 2008 berakhir, saya akan mula cari lagu-lagu bersesuaian untuk dimuatkan dalam album ini.

“Kalau dapat sambutan baik dan positif, album Dusun itu akan diterjemah dalam bahasa Melayu untuk saya pasarkan kepada peminat di sini.

“Saya sudah ada senarai komposer, tapi nama mereka masih dirahsiakan,” ungkap Candy yang dilahirkan pada 11 Mei 1989 terus berteka-teki.

Bina rumah buat familiTempoh setahun bergelar penyanyi, anak kelahiran Tambunan, Sabah ini berhasil memberi wang belanja kepada keluarga di kampung halaman bagi meringan beban kedua orang tua.

“Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada dan wang yang saya kumpul hasil nyanyian, saya dapat membantu famili dengan memberikan wang bulanan kepada mereka.

“Memang keluarga tak pernah meminta-minta daripada saya, tapi sebagai anak, saya tolong selagi mampu. Saya dah biasa hidup susah sejak kecil, justeru saya hendak membahagiakan mereka,” jelas Candy yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya.


KEMUNCULAN Candy dalam AF5 membuka ruang untuk dia dikenali ramai.

Sambung gadis dengan ketinggian 153 sentimeter ini, dia juga ada memberi sumbangan kewangan buat keluarga untuk membesarkan rumahnya di kampung.

“Kalau ada yang perasan, rumah saya sebelum ini kelihatan agak daif. Sekarang ini, kediaman saya dah lebih elok sikit berbanding sebelumnya.

“Baru-baru ini pun saya ada pulang ke kampung untuk lihat perkembangan rumah itu. Syukur sangat sebab saya tengok rumah saya dah nampak macam sebuah rumah yang betul.

“Setiap ruang sudah dibahagi-bahagikan. Lalu nampaklah ada pembahagian tiap ruang untuk membezakan bahagian dapur, bilik dan ruang tamu.

“Saya tak mahu orang mengutuk belakang cakap sebagai anak dan dikenali ramai, saya tak nak bantu keluarga.

“Saya tahu tanggungjawab sebagai anak. Kalau boleh saya ingin memberi kemewahan kepada keluarga yang selama ini hidup susah membesarkan kami adik-beradik.

“Selagi terdaya, saya akan tolong mereka. Itulah janji saya,” ucap Candy dengan semangat membara tertanam di dadanya.

Kosmo

Cinta Jangan Hanyut

22 Jun

LEBIH 11 tahun menjadi anak seni, Datin Seri Siti Nurhaliza masih berada dalam kelasnya tersendiri. Saban hari, tidak pernah surut daripada dugaan termasuk paling hebat dilanda ribut asmara sebelum menikahi Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa, dua tahun lalu.

Namun, Siti, 29, tetap menghadapinya dengan tenang. Tenang – inilah rahsia kejayaan penyanyi berprofil tinggi ini.

Sementara di lapangan seni, bersama syarikat miliknya, Siti Nurhaliza Productions, kerjayanya diurus dengan cemerlang. Usai suksesnya album Hadiah Daripada Siti yang merangkul banyak pengiktirafan pada Anugerah Industri Muzik Ke-15 lalu, Siti merencana untuk mengadakan sebuah konsert mega di ibu kota yang setaraf persembahannya di Royal Albert Hall, London, beberapa tahun lalu.

“Insya-Allah, Siti mahu mengadakan sebuah konsert mega dan eksklusif buat peminat Siti selewat-lewatnya hujung tahun ini. Ini sasaran Siti sekarang,” ujar Siti penuh teruja saat dihubungi VAZZ minggu ini.

Ekonomi negara Merisaukan. Harga barang semua naik dan bahangnya cukup terasa kepada semua isi rumah. Apa yang akan terjadi ke atas ekonomi kita nanti ya? Jadi Siti berdoa agar semuanya baik. Siti juga berharap tidak akan berlaku rusuhan atau protes yang boleh menyebabkan negara tidak aman.

Minyak (Ketawa). Isu yang satu ini kita kena akur kerana ini masalah global. Namun Siti akui, kenaikan harga minyak memang membebankan golongan bawahan. Siti kasihan pada rakyat berpendapatan rendah dan Siti harap semua pihak bertimbang rasa terhadap isu ini.

Bagaimanapun Siti yakin isu ini pasti ada hikmahnya. Misalnya, sekarang Siti lihat jalan raya tidak begitu sesak kerana mungkin lebih ramai yang memilih pengangkutan alternatif untuk berjimat.

Percutian Kalau cuti singkat, selalunya Siti habiskan di rumah saja bersama suami. Jika panjang, baru kami akan keluar bercuti sama ada di dalam atau luar negara. Namun kini kalau nak bercuti, Siti tunggu musim cuti sekolah sebab nak bawa anak-anak sekali bercuti, baru meriah!

Lokasi percutian kesukaan Siti sebenarnya di tanah tinggi. Suami pula sukakan pantai. Jadi kadang-kadang kami bergilir bercuti di tempat kegemaran masing-masing. Bercuti di pantai pun seronok sebab ada banyak aktiviti sukan air yang boleh dilakukan.

Bencana alam Sudah terlalu banyak berlaku kebelakangan ini. Isu pemanasan global, gempa bumi, ribut, banjir dan banyak lagi. Seharusnya kita sama-sama sayangi bumi dan tidak lupa menghulurkan bantuan kepada insan malang yang diuji dengan bencana alam.

Cinta Alhamdulillah, cinta untuk insan yang Siti idam sudah dimakbulkan. Pun saban hari Siti berusaha untuk mencintai agama dan negara dengan lebih baik lagi. Hanya menjadi manusia, kita jangan hanyut dengan alam percintaan.

Pangkat Tidak menjanjikan apa-apa. Ya, ia satu anugerah buat kerja keras dan kita dihargai dengan status tersebut. Namun Siti percaya setiap manusia adalah sama, terutama di sisi Tuhan.

Powered by Kosmo

Artis Dan Fesyen

22 Jun

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK sofiatul.chik@kosmo.com.my


IZWAN, Amylia dan Hatta tidak pernah menyesal dengan penampilan masing-masing walaupun pernah dikritik.

SENTUH hal fesyen, ia tidak dapat lari daripada memerhati pakaian artis-artis pada acara besar mahupun penampilan seharian. Silap pakai, mereka pasti menjadi bahan kritikan.

VAZZ kali ini menampilkan seorang pereka fesyen dan dua artis muda untuk bercakap tentang topik ini. Amelia dan Izwan Pilus walau pernah dikritik, masih melihatnya sebagai satu proses pembelajaran. Dan Hatta Dolmat menyampaikan apa yang dirasakan oleh seorang yang bertugas mencantikkan artis kita.

Definisi fesyen untuk kalian? H: Fesyen merupakan sesuatu yang universal. Bila cakap tentangnya, ramai yang keliru sama ada dia suka berfesyen atau dia seorang fashionable. Kedua-duanya berbeza dan luas maknanya. Ada suka yang cantik dan ada suka yang ganjil.

I: Fesyen adalah apa yang kita tampilkan bersesuaian dengan identiti. Tidak semua orang boleh pakai semua. Ia juga lambang peribadi. Seperti kata Hatta, ia universal. Ada yang suka fesyen yang pelik. Sebenarnya kita kena betulkan minda tentang fesyen.

Sebagai artis, saya boleh dikategorikan sebagai seorang yang mempunyai krisis identiti. Saya ada dua kehidupan iaitu sebagai artis dan sebagai orang biasa.

Bila keluar sebagai orang biasa, saya pakai yang biasa saja. Sebagai artis, saya suka gaya yang orang mudah ingat iaitu ada ciri-ciri saya sendiri. Fesyen juga merangkumi tata rias, rambut dan cara berjalan.

A: Bagi saya, fesyen adalah personaliti. Adakala saya mahu feminin, kadang-kadang bergantung dengan warna yang saya bawakan. Ala-ala feng shui juga. Membawa pakaian adalah seperti membawa mood saya.

Pernahkah kamu dikategorikan sebagai mangsa fesyen? A: Ia satu perkataan yang zalim bagi saya. Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri. Siapa peduli apa yang nak saya bawakan. Saya pakai bukan untuk puaskan hati sesiapa.

H: Pandangan setiap manusia tak sama. Kadangkala seseorang pakai, ada yang rasa cantik dan ada yang tidak. Kita tidak boleh salahkan orang. Tidak ada kesalahan dalam berfesyen. Kita kena suka apa yang kita pakai.

I: Tak salah kalau dilabelkan begitu, ia satu teguran yang perlu untuk kita tahu apa konsep yang sesuai dengan diri kita. Sebagai artis baru, saya mencuba sehabis daya untuk kelihatan elok.

Tetapi ada perkara yang kita terlepas pandang. Semua ini proses trial and error. Saya pernah digelar fashion disaster tapi saya menerimanya secara positif. Kini saya faham walaupun mahu kelihatan kreatif, kita tetap kena ingat dengan sensitiviti orang kita.

A: Tapi kekadang saya rasa tidak adil. Ada juga artis yang tidak kena gaya pemakaiannya tetapi kerana dia disukai, lalu dia tidak ditegur,

I: Tapi Datin Seri Siti Nurhaliza pun pernah dikritik tentang fesyennya. Ini semua proses pembelajaran juga. Kita jangan takut mencuba.

H: Kadangkala kalau salah gaya, reputasi seseorang pereka fesyen itu akan jatuh.

NASHA sentiasa menarik perhatian lensa.

Ada tak seingat kamu, kamu rasa kamu salah gaya dan menyesal kerana mengenakan gaya tersebut? I: Tidak pernah kerana saya rasa semuanya adalah proses percubaan juga. Saya akan pakai apa yang saya suka dan selesa.

Seingat saya, sewaktu AIM lepas, saya tampil dengan imej gothik dengan warna mata yang gelap. Itu idea untuk konsep persembahan saya, bukan saja-saja hadir dengan imej tersebut.

Bila di atas pentas, saya mewakili diri saya sebagai artis baru. Saya dikritik teruk malah ibu saya juga turut mengkritik pakaian saya. Walau dikritik, orang ingat saya dengan gaya tersebut. Baik atau buruk, ia adalah satu publisiti buat saya dan saya belajar.

H: Orang kita terlalu sensitif. Ada yang tidak boleh terima sesuatu fesyen. Masih ada yang mengatakan cantik itu harus sopan dan kemas. Bila pelik saja, mereka kutuk.

A: Artis kita masih ramai yang mahu berada di zon selesa apabila menyentuh tentang fesyen. Mereka mengamalkan konsep selamat.

Seingat saya, pernah saya tidak ada pilihan baju pada tahun 2006 tetapi saya tidak boleh buat apa-apa. Saya tidak suka dengan baju saya. Pengalaman itu mengajar saya supaya memilih baju saya sendiri.

H: Pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2005, saya masih baru dan sedang bersemangat untuk mereka baju. Saya reka untuk Fasha Sandha dan Jaclyn Victor. Tapi saya tak sanggup tengok semula gambar baju itu.

TRANSFORMASI Dayang mengagumkan.

Dan pakaian yang paling kamu bangga merekanya? H: ABP 2007, saya reka pakaian untuk Erra Fazira dan mendapat Anugerah Pakaian Terbaik. Mengenali seorang Hatta Dolmat, dia sukakan detailing yang berlebihan dan ala couture. Tapi masa ABP tu saya tampil dengan sesuatu yang simple. Ketika itu saya tahu pasaran kita sukakan sesuatu yang simple, classy dan elegan.

Apakah rujukan kamu tentang fesyen? H: Boleh dikatakan saya seorang yang gemar melihat ke Barat apabila mereka fesyen. Saya lebih suka sesuatu yang klasik. Tapi kita harus ikut musim dan trend. Saya akan rujuk Internet dan lihat apa yang mereka lakukan pada musim itu dari segi warna, fabrik dan banyak aspek lagi.

I: Ikon saya adalah Amy Search sebab dialah satu-satunya artis yang berani berfesyen. Dan apa salahnya jika saya menjadi yang kedua, kan? Amy pakai apa pun orang tidak kisah kerana dia ada stail. Kalau orang cakap pun tidak menjadi kudis. Saya mahu cuba menjadi begitu.

Paling penting adalah berani mencuba. Kritikan akan datang lebih banyak daripada pujian. Dari segi gaya, saya berpaksikan mild gothic yang dicampur dengan pengaruh Korea. Dan saya suka detail sebab itu saya suka rekaan Hatta Dolmat.

A: Saya suka Alicia Keys. Bagi saya dia berkembang dengan cara yang konservatif. Dia tidak mendedahkan diri tetapi dia tetap nampak seksi. Saya sukakan gayanya yang seperti memberi pernyataan bahawa dia ialah seorang wanita yang hot!

H: Saya suka stail Camelia, Nasha Aziz dan Maya Karin

CAMELIA terus anggun membawa gelaran fashionista.

Apa pula yang cantik di mata kamu dan transformasi siapa yang kamu suka? I: Saya suka wanita yang berkulit sawo matang, kurus dan tinggi. Bagi saya wanita yang berambut pendek itu cantik. Saya suka transformasi Dayang Nurfaizah yang kini sangat elegan. Dan rambut pendeknya kini sesuai dengan dirinya.

H: Dayang dulu pun seperti ada krisis identiti. Ada satu masa rambutnya berwarna. Kini dia sangat cantik. Itulah proses pembelajaran dan mencari identiti.

I: Itu kecantikan yang sebenar. Apa yang Dayang tunjukkan adalah apa yang dia belajar.

H: Cantik adalah Maya Karin. Saya suka stail dia. Dan ya, setiap orang adalah cantik.

A: Saya ajar diri saya untuk tidak melihat fizikal. Pada saya semua ada keistimewaan tersendiri dan itulah yang akan membuatkan seseorang itu terserlah.

Hatta, bagaimana pula dengan fesyen untuk seorang pereka fesyen? H: Ada orang berpendapat apa saja yang dipakai seorang pereka fesyen adalah betul. Itu salah. Mereka juga manusia. Cuma saya suka gaya Marc Jacobs dan Roberto Cavalli.

MAYA tidak pernah salah berfesyen.

Ada pendapat yang salah lagi? H: Saya tidak faham apabila seseorang artis tidak dapat membawa sesuatu pakaian atau persembahan, mereka salahkan pereka fesyen. Mereka salahkan baju. Saya pernah mengalami keadaan begitu kerana tampil dengan gaya berbeza.

A: Takkan tak pergi fitting kan? Yang penting adalah selesa. Kalau ikutkan hati, memanglah nak menyanyi pakai kasut sukan saja. Tapi tak boleh. Saya yang kecil ni kena pakai kasut yang lebih tiga inci untuk nampak tinggi!

Kosmo

Apabila Nubhan Lupa Lirik

17 Jun


NUBHAN

ADUH! Kasihan Marilyn tengok bintang program realiti Akademi Fantasia 6 (AF6), Nubhan membuat persembahan live baru-baru ini.

Masa penonton tengah layan lagu yang dinyanyikannya, Mungkin Nanti oleh Peterpan, tiba-tiba Nubhan terlupa lirik! Tak fasal-fasal orang ramai ‘boo’ kat dia.

Ingatkan dia nak sambunglah nyanyiannya untuk tutup balik kesilapan, tapi tidak. Dia malu dan terus turun pentas. Janganlah macam tu Nubhan.

Tapi yang penting, walaupun lupa lirik, ‘suara angsa’nya langsung tak keluar tau. Jadi satu pujian harus diberikan kepadanya.

Tak apa dik, itu baru permulaan. Biasalah, Siti Nurhaliza pun pernah terkantoi masa awal-awal menyanyi dulu, tetapi lihatlah sekarang, ‘meletup’ gitu.

Marilyn: Anggaplah kesilapan itu sebagai pengajaran.

Kosmo

Siti Akhirnya Menghuni Banglo RM6 Juta

22 May

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN ent_editor@kosmo.com.my


INILAH dia rumah Datuk K yang kini dihuni Siti Nurhaliza yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Gambar kecil, Datuk K dan Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Setelah beberapa bulan sepi, banglo mewah bernilai lebih RM6 juta di Bukit Antarabangsa yang pernah diduduki Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa dan bekas isterinya, kini menerima kehadiran penyanyi Datuk Siti Nurhaliza sebagai penghuni baru.

Banglo berkenaan yang sebelum itu diduduki bekas isteri Khalid (Datuk K), Tengku Zawyah Tengku Izham bersama anak-anaknya selepas perceraian mereka, dikatakan mula diduduki Siti sejak awal bulan ini.

“Memang benar Siti selalu berada di banglo ini semenjak bekas isteri saya pindah beberapa bulan lalu,” jelas Khalid kepada Kosmo!.

Nak Anak

13 Apr

Oleh MALIAH SURIP & SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

ImageShack
DATIN SERI Siti Nurhaliza sudah kerapkali ditanyakan soalan ini: “Bila hendak menimang cahaya mata?”

Dan minggu ini, dalam pengakuan eksklusifnya kepada VAZZ, dia mengaku telah bertemu beberapa pakar kesihatan sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan anak. Kata Siti, dia inginkan anak daripada benihnya sendiri termasuk tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF).

Ini mungkin berbeza daripada Erra Fazira yang telah mencongak untuk mengambil anak angkat dalam tempoh lima tahun mendatang seandainya belum diizinkan mempunyai zuriat sendiri.

Amy Search dan Ziana Zain yang sudah mempunyai zuriat pula seirama untuk menjaga tahap kesihatan demi mencapai sasaran mereka untuk memperoleh dua orang cahaya mata lagi.

Sebenarnya, dari segi perubatan, tahap kesuburan seorang wanita boleh bertahan selama 36 tahun bermula dari usia akil baligh (sekitar 12 tahun) sehingga umur 48 tahun.

Sementara bagi lelaki, biar tahap kesuburan boleh menurun, rata-rata mereka masih dianggap subur hingga ke akhir hayat selagi sperma dapat dihasilkan.

VAZZ meneropong pasangan selebriti yang baru mahu menimang cahaya mata atau yang ingin menambah bilangan anak.

Siti mungkin cuba kaedah tabung uji

ImageShack
BERCAKAP mengenai zuriat para selebriti, penyanyi tersohor tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin sentiasa diperhatikan sejak bernikah dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada Ogos 2006.

Serangan soalan yang sama dan sesekali disulam persepsi nakal termasuk mereka merancang zuriat selain sempat difitnah sebagai tidak subur, sudah lama hinggap dan ditelan pahit oleh pasangan bahagia ini.

Sementelah, Siti telah mempunyai empat orang cahaya mata ’segera’ hasil perkongsian hidup suaminya yang kali terakhir mempunyai zuriat 10 tahun lalu dengan bekas isteri.

Namun baik Siti, 29, mahupun Khalid yang terkenal dengan gelaran Datuk K, 49, tetap menyambut kata-kata nakal tersebut dengan tahap kesabaran yang tinggi biar tiada siapa yang tahu jauh di sudut hati, nista itu cukup mengguris.

Tanpa lelah juga, Siti, dalam banyak pertemuan dengan media memberitahu sopan: “Siti belum mengandung,” atau, “Kami sedang berusaha, doakan kami segera menimang cahaya mata.”

Tidak berasa tertekan kerana belum berpeluang mengandung dan menganggap situasi ini normal kerana usia perkahwinannya baru ingin mencecah dua tahun, Siti optimis usaha yang berterusan bersama berkat doa, dia dan suami pasti mampu memperoleh zuriat.

Pokoknya kata Siti ringkas: “Mesti usaha dan jangan putus asa.”

Sementara saat diajukan tentang memilih alternatif memperoleh zuriat, sama ada mengambil anak angkat atau melalui proses pensenyawaan in vitro atau bayi tabung uji (disebut juga bayi biologikal) yang kini menjadi trend bagi selebriti Hollywood, Siti mempunyai pilihannya sendiri.

“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.

“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,” ujar Siti yang bagaimanapun berkali-kali memberitahu belum terdesak untuk mendapatkan zuriat. Dia juga menekankan sudah cukup ‘meriah’ dengan keletah anak-anak tiri yang dianggap sebagai anak sendirinya.

Seiring itu, kata Siti juga, sejak mendirikan rumah tangga dia telah beberapa kali bertemu pakar sakit puan bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa stabil.

Tambah Siti: “Selain menjaga pemakanan dan mengambil vitamin kesihatan, melakukan pemeriksaan kesihatan bagi seorang wanita adalah penting.”

Info

Pasangan: Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, & Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49. Nikah: 21 Ogos 2006 Zuriat:Tiada

Siti Tidak Tolak Zuriat Tabung Uji

13 Apr

ImageShack
SITI NURHALIZA

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datin Seri Siti Nurhaliza yang kerap ditanya mengenai zuriat, tidak pernah berasa tertekan untuk segera menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, jika diberi pilihan, Siti, 29, tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF) berbanding mengambil anak angkat.

“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.

“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,” ujar Siti yang bagaimanapun menegaskan beliau belum terdesak melakukan kaedah tabung uji buat masa ini.

Tambah Siti yang menikahi usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49, pada 21 Ogos 2006, beliau juga gembira berkongsi kasih dengan empat anak tirinya hasil perkongsian hidup suaminya dahulu iaitu Mohamed Anas Zawawi, 21, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14, dan Mohamaed Aazief, 10.

Siti nafi pindah ke banglo

20 Mar

ImageShack
SITI dan suami tersayang di sarang cinta mereka, sebuah penthouse di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“RUMAH Siti sekarang sudah cukup besar,” itu yang dijelaskan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menafikan cakap-cakap yang mengatakan dia bakal berpindah dari rumah yang diduduki sekarang ke mahligai yang lebih besar dan tersergam indah.

Meskipun Siti dan suami Datuk Khalid Jiwa (Datuk K) ketika ini menduduki kediaman jenis penthouse, penyanyi ini merasakan rumah berkenaan sudah cukup besar untuk dirinya dan suami serta anak-anak tirinya.

“Siti bersyukur dengan apa yang ada sekarang. Dalam hati Siti, rumah yang Siti diami sekarang sudah cukup besar dan tidak bercadang untuk berpindah ke mana-mana. Siti bahagia di sini,” katanya lagi.

Akhir-akhir ini, kencang sekali khabar menyampaikan pasangan romantis yang cukup popular ini bakal berpindah ke rumah besar yang pernah didiami oleh Datuk K dan bekas isterinya yang terletak di Bukit Antarabangsa.

Rumah mewah bagaikan mahligai bernilai lebih RM6 juta itu diserahkan kepada empat anak Datuk K, selepas bercerai dengan Tengku Zawyah Tengku Izham.

Bagaimanapun baru-baru ini, tercetus khabar kononnya Siti bakal menduduki mahligai berkenaan bersama suami dan anak-anak tirinya.

Menurut Siti, dia sendiri tidak faham kenapa berita mengenai hasrat untuk berpindah ini boleh timbul sedangkan dia tidak pernah mempunyai sebarang hasrat berbuat demikian.

ImageShack
SITI dan suami tersayang di sarang cinta mereka, sebuah penthouse di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Juga tidak ada sebarang perbincangan dibuat mengenai perpindahan berkenaan.

“Siti tidak tahu apa-apa. Tetapi diri Siti juga yang kena. Tak apalah, mungkin ada yang suka bercakap dan mereka berhak untuk kata apa saja.

“Soal suami dan kehidupan yang terdahulu, Siti tidak mahu campur. Sejak dulu lagi Siti cakap yang Siti hanya boleh campur dalam urusan keluarga Siti sahaja, bukan kisah masa lampau suami,” katanya mohon dimengertikan.

Malah biarpun rumah berkenaan tidak ‘segah’ mahligai di Bukit Antarabangsa itu, Siti tidak pernah menganggap ia kecil.

“Siti tak rasa rumah yang Siti duduk sekarang ni kecil. Malah rumah ni sudah cukup besar untuk Siti. Kalau anak-anak balik, adalah bilik seorang satu, cukuplah bagi Siti,” katanya.

Kata Siti, dia sendiri tidak pernah meminta lebih daripada suaminya. Cukup sekadar tempat yang selesa untuk berteduh dia dan keluarganya, itu saja.

“Apapun Siti sudah cukup sangat selesa dengan pemberian Tuhan. Siti bersyukur sangat,” katanya lagi.

Diterjah dengan soalan bagaimana sekiranya di masa depan ada keperluan untuk dia berpindah ke tempat lain, Siti menyerahkan urusan berkenaan kepada suaminya.

ImageShack
SITI menyerahkan segala perancangan kehidupan rumah tangga kepada suami.

Sebagai isteri dia hanya perlu berada di sisi suami dan mengikut apa saja yang difikirkan molek dan terbaik untuk rumah tangga mereka.

“Urusan itu di luar bidang kuasa Siti. Sebagai isteri, Siti ikut saja apa yang suami sudah aturkan. Tetapi kalau suami hendak balik ke rumah lama, Siti berat hati juga sebab tak mahu orang bercakap macam-macam.

“Siti serahkan semua komen atau apa saja pada suami. Dia yang lebih mengetahui apa yang berlaku,” katanya.

Apa yang penting kata Siti dia mahu memberi tumpuan kepada perjalanan kehidupannya bersama keluarga dengan sebaik mungkin.

Selain memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian yang masih memuncak, Siti akan memastikan dia mampu membahagikan masa antara kehidupan peribadinya dan kerjaya yang dijulang.

JUMPA PAKAR SAKIT PUAN

15 Nov

Sorry, the contents you are searching had moved here.

CLICK HERE TO SIGNUP FOR GLOBAT.COM NOW.

SITI ‘BOS’ YANG TEGAS

1 Jan

Sorry, the contents you are searching had moved here.

CLICK HERE TO SIGNUP FOR HOSTGATOR.COM NOW.