Imej Unik Ana

15 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

MINAT terhadap gitar mendorong pendatang baru dunia seni suara, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali berusaha menguasainya ketika berusia 18 tahun. Lantas tanpa bimbingan dan dorongan sesiapa Ana Raffali gigih mempelajari teknik bermain alat muzik bertali itu.

Sehingga kini gadis yang sering tampil menjayakan persembahan dengan imej unik berpakaian tradisi sambil bermain gitar itu sudah mempunyai tiga koleksi gitar peribadi. Kebolehannya menyanyi lagu ciptaan sendiri sambil bermain gitar mencuri perhatian ramai.

Pencipta lagu dan penyanyi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini, memilih untuk memberi tumpuan serius dalam menerusi dunia seni tanah air. Dorongan keluarga dan rakan membuatkan gadis ayu ini semakin gigih mencipta nama.

Di samping persembahan solo, gadis yang cenderung kepada genre pop alternatif turut tampil bersama kumpulan The Marhaens yang terdiri daripada Aidit Alfian (gitar akustik), Andy Flop Poppy (bass), GG (gitar), Iqbal (pemain cello) dan Mie Flop Poopy (dram). Single ciptaannya Hujan Bunga di Kuala Lumpur dan Cuba Jangan kini mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Menurut gadis yang mesra disapa Ana ini, minat menulis lagu bermula secara suka-suka selepas tamat sekolah menengah malah idea menulis lirik itu kerap datang secara spontan. Menerusi penulisan lagu juga dia dapat menyampaikan perasaan dan cerita berkaitan kehidupan di sekelilingnya.

“Saya selalu berangan menulis lagu ketika menuntut di sekolah menengah. Ada saja perkara atau cerita yang mahu saya tulis sehinggalah timbul idea untuk menulis lirik lagu dengan bantuan rakan yang mahir bermain gitar. Lama kelamaan minat untuk bermain gitar itu timbul. Melalui bantuan rakan saya mula belajar bermain gitar pertama yang dibeli dengan wang saku sendiri bernilai RM139.

“Untuk menguasai permainan gitar, saya membeli buku mahir bermain gitar dalam masa 30 hari. Alhamdulillah latihan dan tunjuk ajar rakan membolehkan saya mahir bermain gitar. Saya sendiri tidak menyangka minat bermain gitar dan menulis lagu secara suka-suka akhirnya menjadi serius.

“Minat menulis lagu ini juga mungkin didorong minat menulis dan aktif menyertai pelbagai aktiviti termasuk debat.

“Ketika menyertai program pertukaran pelajar di Jepun, saya berpeluang menyaksikan persembahan John Mayer, dari situ juga minat menyanyi sambil bermain gitar semakin kuat,” katanya.

Bakat menyanyi dan menulis lagu turut mendapat perhatian komposer berbakat, Aidit Alfian yang melamar Ana sebagai artis pertama di bawah naungan Aidit Alfian. Ana yang mempunyai beberapa himpunan lagu berpotensi dan menarik dijangka tampil bersama album solo yang mengandungi enam lagu pada Januari tahun depan.

 

 

Ana yang aktif menjayakan persembahan terbuka sejak dua tahun lalu kini mula tampil bersama kumpulan dan penyanyi indie (bergerak bebas). Selain bakat nyanyian mirip beberapa artis tempatan seperti Yuna dan Alanis Morissette versi Malaysia.

Bagi Ana peluang mendapat bimbingan dan bernaung di bawah komposer berbakat seperti Aidit memang sentiasa dinantikan artis baru sepertinya. Apatah lagi diberi kebebasan menyanyikan lagu ciptaan sendiri.

“Semuanya bermula apabila seorang saudara saya menghantar klip lagu kepada Aidit. Malah selepas menyaksikan persembahan itu, Aidit memberi dorongan untuk terus terbabit dalam dunia seni. Sokongan daripada Aidit membuatkan saya berasa bakat seni diiktiraf. Sehinggalah pada satu hari saya mendapat tahu Aidit mengadakan uji bakat mencari artis untuk syarikat rakamannya.

“Saya kemudian menghubungi Aidit dan memaklumkan hasrat untuk menyertai uji bakat berkenaan. Alhamdulillah saya diterima sebagai ‘anak’ pertama di bawah syarikatnya. Malah saya menganggap Aidit dan kakitangannya termasuk isterinya merangkap pengurus saya (Azura Haniza) bagaikan satu keluarga.

“Sebelum ini Aidit sibuk dengan komitmennya bersama beberapa syarikat rakaman dan artis. Kebebasan yang diberikan kepada saya untuk menyanyikan lagu ciptaan sendiri juga membuatkan saya berasa lebih selesa,” kata Ana yang selesa menyampaikan lagu sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana rentak muzik.

Apabila ditanya mengenai penampilan berbaju kurung atau kebaya ketika tampil menjayakan persembahan pentas, Ana memberitahu dia cukup selesa dengan pakaian tradisi itu walaupun pada masa yang sama bermain gitar. Setakat ini Ana mempunyai lebih 20 koleksi lagu yang semuanya ditulis sendiri berkisar kepada pengalaman hidup, persekitaran dan mengenai rakan-rakan.

Dia mengakui minat bercerita membuatkan timbul ilham mencipta lagu. Tidak dinafikan keluarga memainkan pengaruh besar pembabitan dalam dunia seni tanah air.

“Saya mempunyai keluarga yang besar kebanyakannya meminati muzik. Ada abang yang minat menyanyi. Antara pendorong utama ialah arwah kakak, Kak Ina (Wilma Halira). Ibu bapa juga percaya selain memberi sokongan dan dorongan penuh pembabitan saya dalam bidang ini,” katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Ana Nur Hidayah Mohd Raffali

NAMA SINGKATAN: Ana Raffali

TARIKH LAHIR: 4 November 1985

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

ADIK-BERADIK: Anak ke sembilan daripada 11 beradik

KARIER: Penyanyi dan penggubah lagu

PENDIDIKAN: Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

MUZIK YANG DIGEMARI: Rock, alternatif, pop & klasik

ALAT MUZIK: Gitar Martin & Co 000-15

IDOLA: M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza

LAGU YANG DICIPTA: Hujan Bunga di Kuala Lumpur, Mekanika, Cuba Jangan, Ketika Aku Kecil, Ingatkan Aku, Tingkap Kaca, My Darling, Ghost, Lovely Lovely Scene dan Paint Me

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: