DEPAN MATA: Mereka Cemburui Kita?

23 Nov

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MULA-MULA kumpulan ST12 memilih karya komposer Malaysia melalui lagu popular Search, Isabella untuk dimuatkan dalam album kedua mereka, P.U.S.P.A. Kemudian anggota Dewa 19, Ahmad Dhani, memilih lagu popular Tan Sri P Ramlee, Madu 3 untuk album solonya, Muhammad Dhani & The Swinger.

Semua yang berlaku di dunia ini ikut pusingan roda. Kalau kita imbas semula ke tahun 90-an, kumpulan Search, Iklim, Exists, Slam dan Datuk Sheila Majid pernah mengecapi zaman kegemilangan di Indonesia.

Mereka berjaya menembusi tembok dasar tertutup karyawan Indonesia walaupun dikenakan pelbagai sekatan seperti mensyaratkan liriknya diubah suai mengikut bahasa yang mereka fahami.

Senyap seketika, tembok itu diruntuhkan pula Datuk Siti Nurhaliza dengan kejayaan lagu irama Malaysia, Cindai. Tapi yang masuk ke negara mereka boleh dibilang dengan sebelah jari tapi artis mereka ke sini, cukup ramai hingga tidak cukup dibilang dengan jari tangan dan kaki.

Sekadar menyebut nama popular seperti Kris Dayanti, Rossa, Melly Goeslaw, Agnes Monica, Acha Septriasa, Irwansyah, Sheila On 7 (SO7), Padi, Dewa 19, Gigi, Peterpan, Samsons, Radja, Kerispatih, Letto, Ungu dan Nidji.

Kini karyawan mereka mula tertarik dengan -lagu kita. Tapi baru dua lagu, sudah nampak rasa cemburu dan takut mereka apabila kumpulan Naif yang popular dengan lagu Juwita Malam, dengan terang-terang meluahkan rasa kurang senangnya dengan perkembangan ini.

Dalam satu konsert LA Lights Up Your Soul di Gedung Samantha Krida, Universitas Brawijaya, Malang pada 16 November lalu, vokalis kumpulan itu, David, mengatakan dia amat menghargai muzik Indonesia dan meminta peminat Naif mengangkat lagu Indonesia.

Memetik kata-kata David sebagaimana disiarkan dalam Kapanlagi.com, katanya, marilah melestarikan lagu Indonesia yang indah-indah dan jangan lagi menyanyikan lagu Malaysia. Kata-kata David itu disambut dengan teriakan setuju daripada penonton.

David juga sempat menyanyikan serangkap lagu Isabella. Tidak tahulah apa tujuannya, mungkin mahu melepaskan gian atau geram. Pastinya, ia satu sindiran buat ST12 yang memilih karya Malaysia.

Tindakan Ahmad Dhani menyanyikan Madu Tiga juga mendapat respons kurang menyenangkan daripada masyarakat di sana. Malah pemimpin persatuan memperjuangkan hak wanita mengatakan lagu itu menggalakkan poligami. Kata mereka, tiada apa yang istimewanya lagu itu, malah lebih kepada menghina wanita.

 

 

Begitulah sensitifnya orang di seberang sana hingga akhir-akhir ini pelbagai isu dibangkitkan bukan saja soal lagu, malah hingga sempadan, makanan dan tarian.

Seharusnya mereka merenung seketika betapa kerajaan kita membuka pintu seluasnya untuk karyawan seni mereka. Kalau mereka dengar stesen radio kita, betapa lagu dendangan artis Indonesia menguasai siaran radio popular kita dari pagi sampai petang hingga ke malam.

Kalau buka televisyen pula, ada saja sinetron Indonesia disiarkan televisyen kerajaan, swasta hinggalah yang berbayar. Setiap kali muncul album baru, mereka berkunjung ke Malaysia mempromosikan album. Tidak cukup dengan itu, diundang mengadakan konsert.

Hakikatnya, artis tempatan hendak keluarkan album baru perlu keluar belanja, hendak dengar lagu diputarkan di radio perlu merayu dan mengharap. Berbuih juga mulut artis kita meluahkan rasa terkilan dengan keterbukaan kerajaan terhadap lagu dan drama mereka.

Begitu juga rasa kesal mereka terhadap sikap stesen radio popular yang memberi keutamaan kepada lagu seberang hingga Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tampil dengan kempen 9:1 untuk lagu tempatan yang diputarkan di radio dan bukan sebaliknya 9:1 untuk lagu Indonesia.

Dalam artikel ST12 Bawa ‘Isabella’ Tur Asia yang disiarkan Kapanlagi.com pada 18 November lalu, kumpulan itu mengakui betapa beruntungnya mereka kerana membawakan lagu Isabella. ST12 bukan saja dikenali kerana lagu popular Search itu, malah membuka jalan untuk mengadakan konsert bergerak di Asia kerana tuah lagu Malaysia.

Selepas singgah di Hong Kong, baru-baru ini, mereka selang-seli konsert di Indonesia membabitkan 30 kota besar. Selepas Palembang bulan ini, mereka ke Singapura pula bulan depan.

Kumpulan dianggotai Ilham Febry atau Pepep (dram), Dedy Sudrajat (Pepeng/gitar) dan Muhammad Charly Van Houten (Charly/vokalis) itu mengatakan, mereka sedikit pun tidak risau dengan isu berbangkit apabila menyanyikan lagu Malaysia. Kata Pepep, niat mereka ikhlas mahu mempereratkan hubungan antara dua negara.

“Kita memang ditawarkan syarikat rakaman di Malaysia untuk menyanyikan lagu itu. Saya tidak berfikir macam-macam, sebaliknya bangga diberi kesempatan menyanyikan lagu popular di Malaysia.

“Apa yang penting, kami berkarya dan pererat hubungan antara pemuzik kerana muzik juga boleh mempererat hubungan antara negara. Saya melihat Search itu sebagai band legenda dan lagu mereka diakui. Isabella yang kami hasilkan berbeza dengan yang asal, sesuai dengan konsep ST12. Kami buat lebih moden,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: