Pencarian AF8 Bermula 10 Januari 2010

31 Dec

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
PROGRAM realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia kembali lagi dengan produksi berkualiti dan format lebih mantap pada musim kelapan (AF8), sekali gus menjanjikan sajian hiburan terbaik buat penonton setianya tahun depan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pihaknya juga meneruskan inisiatif dengan membuka peluang penyertaan AF8 kepada warga Singapura sama seperti tahun lalu.

“Pada musim lalu, pihak kami dapat sambutan menggalakkan dari peserta yang berminat untuk menyertai program realiti TV ini.

“Kami percaya dengan terus memberi peluang kepada mereka, kami mampu terus menyemarakkan industri seni tanah air melalui platform disediakan.

“Penyertaan juga dibuka kepada artis yang sudah ada nama, tetapi tidak terikat dengan sebarang rakaman mahupun pengurusan,” katanya ketika ditemui di sidang media AF8, baru-baru ini.

Hadir sama, Penerbit Eksekutif AF8, Norazian Mohd Zahir. Kata Azlin, pihaknya juga bukan sekadar mencari penyanyi dalam program AF sebaliknya penghibur dalam industri seni tanah air.

“Pada masa sama, kami juga tetap mementingkan aspek vokal yang ditampilkan peserta terbabit seperti pencarian sebelumnya.

“Tahun ini, pihak produksi akan mengunjungi lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mengenal pasti peserta yang dilihat layak untuk diketengahkan dan diberi bimbingan melalui kelas ditetapkan akademi.

“Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga jam 1 tengah hari dan peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Kategori umur ialah antara 18 hingga 45 tahun pada Januari 2010 dan mereka perlu membawa salinan kad pengenalan serta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) serta menyanyi secara acapella lagu pilihan seperti untuk wanita iaitu Gagap – Stacey (pop), Jika Kau Ubah Fikirasn-Mila (Rock), Tak Mungkin Kerana Sayang -Alyah (Ballad), Dan Sebenarnya -Yuna (Ballad), Di Taman Teman -Datuk Siti Nurhaliza (irama Malaysia) dan When You’re Gone -Avril Lavigne (rock).

 

 

“Manakala, lagu pilihan untuk peserta wanita ialah Situasi – Bunkface (Pop), Hujan -Sudirman (Ballad), Ada Untukmu -Nubhan (Ballad), Berdendang Dalam Tangisan -Jamal Abdillah (irama Malaysia), Fikirlah -Aizat (pop) dan I’M Yours -Jason Mraz (ballad).

“Sesi uji bakat bagi mencari juara baru akan diadakan di lokasi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (9 dan 10 Januari/30 dan 31 Januari 2010), The Zon, Johor Bahru, Johor (16 dan 17 Januari), Redbox Gurney, Plaza Gurney, Pulau Pinang (16 dan 17 Januari), Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah (22-24 Januari) dan Hotel Merdeka Palace, Kuching (23 dan 24 Januari),” katanya.

Pada peringkat uji bakat, peserta harus melepasi tiga pusingan saringan sebelum disenarai pendek. Barisan juri yang dipilih akan mengenal pasti kebolehan peserta jika mereka boleh diasah dan diberi bimbingan terutama sekali dalam bentuk vokal yang dapat mengimbangi setiap persembahan mereka kelak.

Peserta yang berminat dinasihatkan untuk hadir dalam keadaan bersedia dan meyakinkan barisan juri bahawa mereka layak untuk dibimbing dan diketengahkan sebagai bintang AF yang baru.

Barisan juri yang bergilir dalam sesi uji bakat ialah mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti Lah VE, Deja Moss, Fairus Hussin dan guru vokal berpengalaman membentuk pelajar AF iaitu Syafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi, Shahrol Bahri Shaarani dan Shaiful Rizal Kamarudin.

Dua pakar motivasi yang diundang untuk mengenali perwatakan pelajar ialah Ahmad Fadzli Yaakob atau Dr Fazley dan Azahari Othman yang juga dikenali sebagai Dr Luv di kalangan pelajar AF5.

Bagi Syafizawati yang sudah empat tahun terbabit dalam program AF berkata, dia akan menitikberatkan aspek kesedaran sivik peserta ketika sesi uji bakat untuk tahap kedua peserta nanti.

“Kami bukan saja ingin mencari peserta berbakat, malah peserta yang tidak malas, ada kesungguhan dan bertanggungjawab pada diri sendiri serta bersikap positif.

“Saya sasar peserta lepasan SPM untuk menghadiri sesi uji bakat ini.

“Saya juga akan melihat dari dua aspek iaitu pakaian dan imej yang ditampilkan peserta pada sesi uji bakat itu nanti. Peserta juga perlu menjadi diri mereka sendiri atau menjadi luar biasa. Tapi, janganlah jadi seperti Mawi atau Stacy ketika uji bakat itu nanti.

“Sepanjang empat tahun saya terbabit dalam program ini, saya melihat setiap peserta yang terpilih juga berbeza saban tahun.

“Sebenarnya, saya hanya membantu mereka memperbaiki aspek nyanyian, tetapi nampaknya saya buat lebih dari itu dalam AF.

Saya juga menyokong komen yang diberikan pengkritik dalam AF kerana ia bagus buat peserta memperbaiki prestasi mereka,” katanya.

Fazley yang terbabit pada tahap ketiga sesi uji bakat AF8 berkata, dia akan melihat seseorang peserta sudah bersedia untuk menjadi pelajar akademi ataupun sebaliknya.

“Selain dari bakat menyanyi, peserta juga perlu mempunyai personaliti yang baik untuk menjadi pelajar AF. Tapisan yang ketiga dalam sesi uji bakat ini juga bagi melihat peserta supaya tampilkan diri mereka yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, persembahan pentas istimewa diadakan untuk menghangatkan lagi sesi uji bakat di Johor pada 16 dan 17 Januari. Artis terbabit dalam persembahan ini ialah Mawi, Hafiz, Aishah, Yazid dan Isma.

Sila layari laman web http://www.astro.com.my/akademifantasia untuk maklumat lanjut.

Peserta digalakkan untuk membuat prapendaftaran di laman web tertera bagi mendapatkan keistimewaan laluan pantas ketika pendaftaran pada hari uji bakat.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: