Image

Join BitCoin Investment Now!

5 Nov

Image

Jewelry–Add that defining touch Up to 50% off. Latest Style

29 Oct

Besar ertinya 1 April

1 Apr

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Tarikh yang amat besar ertinya buat kerja seni Siti iaitu hari ini, 1 April 2010. Siti berasa seperti tidak percaya bahawa perjalanan seni Siti sudah menjangkau usia 15 tahun. Banyak perkara yang telah Siti lalui, pengalaman yang bermacam-macam, keseronokan, kegembiraan, kesedihan, kedukaan namun semuanya menjadi amat manis pada hari ini kerana ia telah memberikan sesuatu yang amat besar dan tinggi maknanya dalam kehidupan Siti.

Siti berbangga kerana mempunyai anda, SitiZoners dan peminat-peminat Siti yang lain selama ini. Andalah punca mengapa Siti berada di sini hari ini. Tanpa anda mungkin Siti bukan siapa-siapa. Siti akui banyak mendapat sokongan dan kekuatan daripada anda semua untuk terus bertahan.

Siti mengambil kesempatan di sini untuk berterima kasih kepada setiap seorang daripada anda yang telah bersama-sama Siti selama ini, kepada keluarga, suami, peminat,pihak media, pihak-pihak dalam industri muzik dan sesiapa sahaja yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam kerjaya Siti. Siti akui terlalu besar jasa anda pada Siti dan tidak terbalas dengan apa jua namun seperti biasa, Siti akan terus berusaha memberikan yang terbaik buat anda. InsyaAllah selagi dipanjangkan usia dan diberikan kudrat olehNYa.

Di laman ini (SitiZone), Siti telah mengumpul anda semua, begitu juga di facebook Siti, dan inilah ‘keluarga’ Siti.

Ke mana-mana sahaja Siti pergi, Siti tidak pernah berasa sunyi kerana `keluarga’ ini sentiasa ada bersama Siti. Anda menjadi satu dalam kehidupan dan kerjaya Siti, anda bersama-sama Siti dalam susah dan senang, anda memahami adakalanya Siti juga seperti orang lain memerlukan ruang sendiri dan adakala Siti berkongsi segalanya dengan anda. InsyaAllah, besar harapan Siti agar jalinan yang baik ini akan kekal sampai bila-bila.

15 tahun kekal dalam industri dan masih mencuba, belajar dan menerokai untuk menjadi yang lebih baik. Dua hari lepas Siti melancarkan produk Siti, Simply Siti dan ia adalah langkah untuk mengembangkan bidang perniagaan dan bergelar usahawanita. Inilah antara pengorbanan yang Siti buat kerana sebagai anak seni, Siti mahu membuktikan bahawa dengan kerjaya ini, InsyaAllah Siti juga mampu berjaya seperti orang lain.
Terima kasih atas sokongan selama 15 tahun ini, terima kasih setulusnya daripada hati Siti. Siti menghargai dan menyayangi anda semua.

Salam sayang.

Analisis Undian ABPBH 2009

10 Mar

JADUAL artis memang selalu padat terutama mereka yang sudah masuk kategori popular. Lebih padat jika masuk pula senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Jadi tidak hairanlah jika agar sukar mendapatkan komitmen mereka dalam menjayakan sesi siri jelajah ABPBH2009. Bukan isu asing kerana saban tahun senario ini bagaikan diulang tayang.

Tetapi lazimnya juga, artis yang menghormati usaha Berita Harian dalam menganjurkan sebuah majlis untuk memartabatkan penggiat seni tanah air akan sedaya upaya memastikan mereka dapat turut serta dalam sebarang promosi yang disediakan. Ini termasuklah siri jelajah promosi yang diadakan untuk mendekatkan calon Top 5 dengan pembaca Berita Harian serta pelbagai sesi fotografi dengan penaja ABPBH.

Berita Harian memang senang hati dengan sikap dan komitmen artis sebegini terutama mereka yang ikhlas dan senang hati menghulurkan kerjasama itu. Bukan tiada impak siri jelajah promosi ABPBH atau sebarang fotografi itu kerana undian setiap artis yang muncul di lokasi road tour boleh dilihat peningkatannya. Misalnya, hujung minggu lalu ABPBH berada di Village Mall, Sungai Petani, Kedah.

Undi paling ketara naik mendadak bagi artis yang sebelum ini undian mereka agak perlahan berbanding calon Top 5 yang lain. Misalnya, undian untuk Meet Uncle Hussain & Black dalam kategori Penyanyi Duo/Kumpulan Popular naik mendadak dan semakin kejar mengejar undi dengan Bunkface dan Hujan.

Nampaknya, tanpa Lan sebagai vokalis, sokongan terhadap Meet Uncle Hussain tidak pernah pudar. Peminat dan penyokong setia Adam & Stacy serta 6ixth Sense perlu lebih agresif kalau mahu melihat mereka bersaing dalam kategori ini.

Kemunculan Rozita Che Wan di Sungai Petani juga turut mengubah senario undian dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular. Kalau selama ini, Rozita dilihat sukar didekati peminat, ternyata kehadirannya pada siri jelajah ABPBH2009 mengubah persepsi itu. Peminat sudah mula membuka mata seterusnya meletakkan undian dalam kategori ini tidak lagi tertumpu kepada calon pilihan iaitu Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.

Perkara sama juga berlaku kepada Isma bagi kategori Artis Baru Wanita Popular. Jika selama ini, masih ada peminat tertanya-tanya siapa Isma sebenarnya, tetapi apabila bakat muda ini turun pandang, keadaan mula berubah. Undinya dalam kategori juga sudah menunjukkan kelainan. Isma mula diberi perhatian untuk menjadi pencabar utama kepada Tiz, Yuna mahupun Putri Mardiana.

Hal yang sama juga berlaku kepada Akim. Jelas sekali kehadiran Akim di Sungai Petani membuatkan undiannya dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular berubah secara mendadak. Mungkin kerana kemesraannya ketika bersama peminat ketika itu menyebabkan kedudukan undiannya semakin baik.

Perkembangan semasa juga turut mempengaruhi pola pengundian. Publisiti filem V3: Samseng Jalanan sedikit sebanyak mengubah kedudukan undian Farid Kamil bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Begitu juga dengan Lisa Surihani yang undiannya semakin menunjukkan peningkatan untuk memberi cabaran sengit kepada kedudukan Liyana Jasmay, Maya Karin dan Diana Danielle dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Kontroversi Nabil yang menghadapi kes saman memberi impak agak ketara. Peminat bersimpati dengan nasibnya. Ini jelas membantu undian Nabil sebagai tanda sokongan moral kepada pelakon dan bekas raja lawak ini dalam kedua-dua kategori yang menyenaraikan namanya iaitu Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

Kemunculan Ally Iskandar sebagai pengacara Top Host di TV3 menjadikan persaingan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular semakin terbuka. Dengan Aznil mula turun padang untuk sesi jelajah ABPBH2009 di Sungai Petani, Kedah minggu lalu, manakala Nabil pula dilanda kontroversi menjadikan kedudukan undian antara mereka semakin rancak.

Kedudukan undi Raja Azura dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular menunjukkan peningkatan amat positif. Ini mungkin hasil daripada kemesraannya bersama peminat di Sungai Petani minggu lalu. Ini membuatkan kategori pengacara TV wanita menyaksikan persaingan tiga penjuru iaitu antara Raja Azura, Fara Fauzana dan Sarimah Ibrahim.

Paling menarik jumlah undian antara Enot, Didie Alias dan Kenchana Dewi dalam Artis Komedi Wanita Popular yang saling bersaing antara satu sama lain. Walaupun setakat ini, Kechana masih mendahului undi, jumlah undiannya masih diekori dengan rapat oleh Enot dan Didie.

Jadi, kehadiran artis yang terbabit mendekati peminat dalam siri jelajah promosi ABPBH2009 peringkat kedua di Kemaman, Terengganu pada hujung minggu ini mungkin sekali lagi menyebabkan kedudukan jumlah undian boleh berubah secara dramatik.

INFO: Berikut analisis undian sebahagian daripada kategori dalam ABPBH2009 sehingga 7 Mac Aizat dan Faizal Ismail masih kekal saling bersaing sengit bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular. Walaupun undian Mawi juga meningkat tetapi belum dapat mengejar kedudukan Aizat dan Faizal. Sesuatu perlu dilakukan oleh peminat Mawi. Begitu juga dengan Adam.

Nampaknya kedudukan Datuk Siti Nurhaliza melebarkan jarak jumlah undiannya untuk Penyanyi Wanita Popular. Hasrat peminat Stacy untuk mengejar Siti masih sukar. Tapi belum terlambat kerana masih ada masa lagi untuk terus mengundi.

Penyanyi Nasyid Popular – Undian ke atas kumpulan Hijjaz semakin meningkat walaupun sebelum ini banyak tertumpu kepada Rabbani. Hijjaz perlu menggiatkan lagi promosi dan publisiti. Mengekori rapat ialah Raihan dan In-team.

Pelakon TV Lelaki Popular – Apabila Fizz Fairuz dan Fizo Omar menyertai siri jelajah promosi di Sungai Petani, sudah ada peningkatan undi. Mungkin peminat sudah mula mengenali mereka dengan lebih dekat. Adakah ini boleh menyebabkan kedudukan Aaron Aziz dan Fahrin Ahmad tergugat?

Penyampai Radio Wanita Popular – Peminat Linda Onn nampaknya sudah mula buka mata. Undian terhadapnya meningkat meninggalkan calon pilihan Fara Fauzana. Walaupun Fara mempunyai peminat Facebook yang tinggi, tapi dari aspek undian ABPBH ini, masih belum mengatasi Linda Onn. Abby Fana masih mengintai ruang dan boleh membuat kejutan pada saat akhir.

Penyampai Radio Lelaki Popular – Perbezaan jumlah undian antara Aznil Nawawi dan Faizal Ismail amat kecil. Walaupun Faizal menjadi pendahulu kategori ini, tetapi jumlah undinya belum selamat.

Berita Harian

Top 10 Calon Bintang Paling Popular

3 Mar


DARI kiri, Aizat, Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

KETIKA ini sudah ada kalangan artis yang melahirkan rasa kurang senang apabila pihak Berita Harian mengadakan analisis setiap minggu mengenai undian Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009). Ada yang mendakwa adakah ini semua muslihat BH untuk menaikkan undian sesetengah artis atau cara penganjur untuk memikat pembaca dan peminat menghantar undi.

Ada juga yang mendakwa, analisis yang disiarkan setiap Rabu itu sekadar ‘propa’ dan tidak tepat sedangkan undian sebenarnya masih rahsia. Untuk rekod, biarlah dicatatkan bahawa apa yang dipaparkan inilah adalah sekadar analisis berdasarkan pola pengundian yang diterima dan tidak ada elemen ‘propa’ atau sengaja menukar undian sebenar.

Paling tidak pun, analisis ini dapat menjadi garis panduan kepada peminat untuk terus mengundi artis kesayangan mereka. Bukan apa, acap kali peminat bagaikan ‘lalai’ untuk mengundi kerana beranggapan artis favourite berada dalam zon selesa sehinggalah apabila diumumkan pada malam kemuncak, mereka baru perasan bahawa calon mereka tercicir.

Baiklah, minggu ini analisis yang mahu dipaparkan adalah mengenai siapakah artis Top 10 calon Bintang Paling Popular. Mengikut undian yang diterima setakat 1 Mac 2010, mereka yang menduduki senarai ini adalah Aizat, Siti Nurhaliza, Nabil, Black, Aznil Nawawi, Faizal Tahir, Remy Ishak, Fara Fauzana, Tiz Zaqyah dan Mawi. Saingan paling sengit adalah antara Aizat, Faizal Tahir, Siti Nurhaliza dan Remy Ishak.

Artis yang berpotensi untuk menduduki senarai ini berdasarkan undian semasa adalah Stacy, Akim, Yuna, Liyana Jasmay dan Noorkhiriah.

Bagaimanapun, senarai ini boleh berubah bila-bila masa kerana semuanya bergantung kepada undi pembaca dan peminat. Ingatlah, dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian semuanya boleh berlaku kerana undian 100 peratus adalah di tangan mereka dan kuasa penentu bukanlah di tangan penganjur. Jadi gunakanlah, kuasa itu sebaik-baiknya. Jika anda rasa sudah ‘muak’ dengan senarai pemenang sebelum ini, maka gunakanlah hak anda itu untuk mengubahnya.


ZAINURI (kiri) dan Akmal Abdullah, Pengarang BiPop (berdiri), melihat proses pengiraan undi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH), di Balai Berita, Bangsar.

Acap kali selesai saja pengumuman pemenang, soalan yang sering dilontarkan kepada penganjur adalah mengapakah senarai pemenang tidak banyak berubah. Sukar untuk menjawab soalan ini kerana, penentu siapa paling popular dalam setiap kategori dan juga Bintang Paling Popular adalah hak pembaca.

Meneliti undian setiap kategori pula, bagi Penyanyi Lelaki Popular, minggu ini saingan adalah di antara Faizal Tahir dan Aizat berbanding minggu sebelumnya di mana penyanyi yang lahir daripada program realiti iaitu Akim, Adam dan Mawi menguasainya. Dalam kategori Penyanyi Wanita Popular pula, ia tetap milik Siti Nurhaliza seperti minggu-minggu sebelumnya. Untuk penyanyi duo/kumpulan pula, minggu ini saingan begitu sengit untuk Bunkface dan Meet Uncle Hussain (MUH). Beberapa minggu sebelum ini, Bunkface mendapat tentangan hebat daripada peminat Adam & Stacy.

Jika beberapa minggu sebelum ini, kategori Pelakon Filem Lelaki Popular bagaikan milik Aaron Aziz tetapi minggu ini, peminat Afdlin Shauki bagaikan bangkit daripada lena yang panjang dan mengetepikan aktor kacak itu. Tetapi peminat Que Haidar bagaikan tidak duduk diam dan terus mengundi untuk menyatakan sokongan kepada aktor yang baru saja bergelar bapa ini.

Seperti yang dikatakan minggu lalu, undian terhadap Liyana Jasmay semakin konsisten. Pelakon filem Niyang Rapik yang sedang ligat berputar di pawagam ini, terus mendapat kepercayaan peminat untuk menggenggam trofi itu. Namun, jangan sesekali menidakkan calon lain yang tidak kurang hebatnya terutama Maya Karin yang sedang berdepan dengan soal hati.

Untuk kategori Pelakon Drama Lelaki Popular pula, minggu ini menyaksikan kembali saingan Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Undi untuk Fahrin Ahmad tidak ada peningkatan berbanding ketika dilanda kontroversi dengan Linda Onn. Manakala bagi kategori wanita, undian untuk Scha Alyahya terus konsisten dan jika berterusan sehingga undian tamat pada 19 Mac ini, trofi mungkin menjadi milik pelakon berbakat ini.

Dalam kategori Penyampai TV Lelaki Popular, Ally Iskandar yang mula sibuk dengan Top Host 2010 yang akan bersiaran mulai malam ini, semakin menunjukkan peningkatan. Malah dia semakin menjadi saingan kepada Aznil Nawawi yang beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan tiada tandingannya. Sesuatu yang menarik minggu ini, undian terhadap Cheryl Samad semakin meningkat dan boleh menggugat Sarimah Ibrahim yang sibuk dengan Biggest Looser Asia iaitu sebuah program realiti mengenai peserta gemuk yang mahu menurunkan berat badan.

INFO: Berikut adalah analisis undian terkini beberapa kategori lain:

Penyampai Radio Lelaki Popular – saingan di antara Faizal Ismail dan Aznil Nawawi.

Penyampai Radio Wanita Popular – saingan di antara Fara Fauzana dan Linda Onn.

Artis Komedi Lelaki Popular – saingan di antara Nabil dan Saiful Apek.

Artis Komedi Wanita Popular – saingan di antara Noorkhiriah dan Kenchana Dewi

Artis Baru Lelaki Popular – saingan di antara Black dan Akim. Minggu lalu saingan sengit di antara Hafiz dan Black.

Artis Baru Wanita Popular – saingan di antara Tiz Zaqyah dan Yuna.

Berita Harian

Undi Jangan Tak Undi! Faizal Tahir Dan Fahrin Ahmad

2 Mar

Faizal Tahir

Nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohd Tahir dan dilahirkan pada 26 Oktober 1978.

Berpendidikan Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Baru saja terbabit dengan konsert Satu Suara bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Aizat di Istana Budaya pada 12 Februari lalu.

Bakal muncul dengan album keduanya diberi judul Adrenalin (selepas album Aku.Muzik.Kamu) sekitar bulan ini. Album itu memuatkan lapan lagu baru termasuk Bencinta dan single terbaru, Selamat Malam serta satu lagu versi akustik bagi album ini menjadikannya sembilan trek semuanya.

Diuruskan The 8 Unit dan bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone

Antara pencapaiannya: Naib juara One In A Million (OIAM) musim pertama (2006); Artis Baru Lelaki Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2008; Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) dan tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) menerusi lagu Bencinta.

Pernah menganggotai kumpulan nasyid Mirwana dan mengacarakan GangStarz musim pertama.

Sudah berkahwin dengan Siti Raihanim Noran dan dikurniakan tiga orang anak, Ahmad Mikaeel Zidane, 5; Siti Raudhah Nur Iman, 4 dan Ahmad Rifa’ie Zidane, setahun.

Antara lagu popularnya seperti Sampai Syurga, Mahakarya Cinta, Kasih Tercipta, Cuba dan Gemuruh.

Fahrin Ahmad

Lahir pada 9 Mei 1979 di Johor Bahru.

Pernah bergelar pemain ragbi di peringkat negeri.

Kali pertama menyertai uji bakat di Astro dan terpilih mengacarakan program bual bicara sulung kendaliannya, XY. Ia diikuti Nadi KL dan Famili Penyayang.

Selepas mengacara, Fahrin melebarkan sayapnya sebagai pelakon selepas diberi peluang pengarah Rashid Sibir menerusi drama Salina di TV3.

Filem Qaisy dan Laila menjadi pertaruhan pertamanya di layar perak.

Pelakon berbadan sasa ini baru saja muncul dengan teater Antara… yang dipentaskan di Istana Budaya bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Pernah menjalin hubungan cinta dengan dua bintang jelita, Linda Onn dan Scha Alyahya, bagaimanapun hubungan itu tak kekal lama.

Bergelar duta Kempen Penjimatan Minyak Shell selama setahun

Mengacarakan program Sehati Berdansa selama tiga musim bersiaran di Astro Ria. Dua musim pertama bersama Linda Onn dan musim ketiga bersama Scha Alyahya.

Berita Harian

Ruang Peribadi Kak Cham: Lidah Pun Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri

1 Mar

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my

Maya Karin

GARA-GARA bergaduh dengan mentua, nama Shidee meletup kembali. Bagi generasi baru, nama itu tidak langsung memberi impak. “Siapa Shidee tu Ma?” tanya anak dara teman yang begitu menggilai Jason Mraz dan yang sewaktu dengannya. Tetapi mereka yang pernah tangkap lentok dengan lagu Sayangnya Semua Sudah Terlambat, pasti ingat sangat Shidee ni. Sementelah pula dia pernah menggenggam trofi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular pada tahun 1987.

Tup… tup… sejak berkahwin dengan gadis yang lebih kurang 30 tahun lebih muda, nama dan wajah Shidee ada di mana-mana. Teman tumpang gembira juga kerana setelah sekian lama membujang, akhirnya naik pelamin dan bergelar suami juga. Tetapi alih-alih timbul kontroversi kerana timbul cerita kononnya wujud elemen ‘cinta tiga segi’. Namun, Shidee dan isterinya yang tidak kurang cantiknya itu, Siti Fairunnissa Aziz, menafikannya. Sudah empat tahun bercinta dalam diam dan Shidee pula memang tidak langsung menaruh hati dengan Jamaliah Hassan. Dalam lain perkataan, mentua boleh, tetapi nak jadi isteri susahlah.

Dalam pada kebanyakan kita gembira dengan berita pernikahan Shidee yang bakal menjadi penyampai trofi dalam ABPBH 2009 pada malam kemuncak 4 April ini di Genting Highlands bergandingan dengan anak Normadiah, Azlina Aziz, ramai juga yang tidak berapa berkenan apabila Shidee mengeluarkan kata kurang manis tatkala mengulas perkara ini sehingga mengguris hati sesetengah wanita yang sudah bergelar janda.

Teman rasa Shidee tak berniat pun mengeluarkan kata-kata sebegitu, maklumlah sudah lama tidak berdepan dengan kontroversi cinta, kahwin, amarah dan air mata. Saat dia sewajarnya berbulan madu dengan isteri, cerita hangat pula yang timbul. Jadi sebelum semuanya sudah terlambat dan mendapat kecaman lebih baik minta maaf saja. Tak luak pun kalau kita minta maaf, janji ikhlas. Jangan jadi macam sesetengah orang, minta maaf di mulut saja sedangkan hati masih berbulu. Apabila hati tak ikhlas terpancarlah nur tak ikhlas pada wajah.

Seperti teman mengharapkan perang Shidee dan ibu mentuanya berakhir, begitulah juga dengan kemelut yang dihadapi aktres cantik lagi jelita, Maya Karin. Kecoh juga kisahnya kerana tiba-tiba saja timbul cerita rumah tangga Maya berantakan. Kalau dalam internet lagilah sensasinya sehingga ada yang kata ia berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Remy Ishaklah, VIP kacak itu lagilah.

Biasalah tu Maya… apabila wujud pergeseran dalam rumah tangga artis, cepat sajalah mulut bercerita. Apatah lagi jika ia berlaku kepada artis yang popular macam Maya. Nasihat teman, jangan peduli sangat apa orang kata kerana ikut kata orang memang macam-macam cerita. Tengok Siti Nurhaliza, apa orang tak kata mengenai rumah tangganya. Banyaklah yang nak jadi ahli nujum dan ramailah yang membuat spekulasi, tetapi alhamdulillah mereka semakin bahagia. Malah gosip dan spekulasi itulah yang sebenarnya menguatkan cinta pasangan popular ini.

Kisah rumah tangga ini ada baiknya disimpan saja kerana kalau banyak sangat campur tangannya boleh jadi lain cerita. Lagi pun kisah rumah tangga juga memang tak berkesudahannya. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri yang sahih memiliki dua personaliti dan cita rasa berbeza. Duduk pula dalam satu rumah, bukan calang-calang cabarannya. Yang itu kata ini, yang ini kata itu. Ada yang boleh bergaduh gara-gara berebut bilik air. Tak kurang yang berperang kerana perkara remeh seperti memilih warna bilik dan ruang tamu.

Banyak bertolak ansur, itulah yang sebaik-baiknya. Ada perkara yang boleh dicerita, ada perkara yang ada baik disimpan saja. Cerita seks, kelambu, katil dan posisi paling baik adalah antara perkara yang tak payahlah nak kongsi dengan mana-mana orang pun. Tak juga dalam Facebook. Tetapi ada orang bagi tahu teman, ada seorang artis yang sudah agak senja suka sangat bercerita soal seks. Apabila bercerita hal ini kata sumber itu, seri wajahnya memang semacam saja.

Begitulah rencah dunia artis yang tidak pernah sunyi. Oh ya… untuk merancakkan lagi dunia artis, kalau tiada aral melintang teman akan berada di Village Mall, Sungai Petani pada 5 dan 6 Mac ini untuk bersama-sama menjayakan jelajah promosi ABPBH 2009. Kalau kebetulan anda pembaca budiman berada di Sungai Petani, datanglah meraikan kedatangan Hujan, Aznil Nawawi, Fizz Fairuz, Mawi, Raja Azura, Meet Uncle Hussain, Akim, Rozita Che Wan, Isma AF, Along Raja Lawak, Didie Alias, Enot dan Bintang Idola, Farlyana.

Macam-macam aktiviti yang team teman sediakan untuk memeriahkan lagi siri roadtour itu. Kalau rasanya hendak tunjukkan bakat menyanyi, sertai saja Bintang Idola. Sesi uji bakat akan bermula selepas solat Jumaat di Village Mall itu sendiri. Kalau sekadar hendak berhibur dan melihat dengan dekat artis pujaan anda datang saja pada 6 Mac itu mulai jam 3 petang kerana mereka akan membuat persembahan. Sesi road tour bukan saja sekadar promosi tetapi lebih sebagai platform artis meraih undi daripada peminat mereka. Tetapi ada juga yang buat tak kisah saja. Soal itu lain kali saja teman cerita. Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Berita Harian

Cetusan Warna

1 Mar

Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my

Faizal Tahir, Scha Alyahya, Liyana Jasmay dan Ainul Aishah mahu melaram sakan di permaidani merah ABPBH 2009 pada 4 April dengan busana sentuhan pereka muda dan aksesori Habib Jewels

‘Oh warna-warna, pada dunia, ku terpesona, kau teristimewa’

BEGITULAH antara lirik lagu Warna yang dinyanyikan bekas finalis Bintang Idola Berita Harian 2008, Syazwani ketika majlis sidang media ketiga Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 berlangsung di Palace Of The Golden Horses, petang Rabu lalu.

Melodi yang pernah dipopularkan Datuk Sheila Majid itu menggambarkan keindahan warna, sekali gus menterjemahkan erti warna dalam kehidupan seharian.

Betapa dekatnya warna dengan kita sehingga perasaan pun boleh digambarkan menerusi warna. Dan kerana istimewanya warna dalam kehidupan manusia membuatkan ABPBH 2009 mengangkat konsep cetusan warna sebagai tema pilihan tahun ini.

Mengulas pemilihan tema itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Pengelola ABPBH 2009, Hanizam Abdullah berkata tema itu menjadi pilihan kerana ia mampu memberi kelainan kepada majlis berprestij itu serta menguji daya kreativiti pereka fesyen untuk menghasilkan rekaan terbaik.


WARNA rekaan ini menarik dan menepati tema ABPBH 2009, tetapi fesyen begini tidak sesuai dan nampak kelakar untuk digayakan artis kerana ia kelihatan seperti pakaian badut.

“Tema yang dipilih itu memberi peluang kepada pereka untuk bermain dengan warna sekali gus menterjemahkannya mengikut kreativiti masing-masing. Mereka bebas sama ada mahu mengikut konsep moden atau tradisional. Itu semua terpulang kepada mereka asalkan tidak lari dari konsep tuksedo untuk lelaki dan gaun petang yang glamor untuk artis wanita,” kata Hanizam yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian ketika ditemui pada majlis pra kemuncak ABPBH 2009.

Sebelum ini, katanya ABPBH pernah menobatkan khazanah seni budaya Melayu dengan mempromosikan penggunaan batik dan tenunan menerusi busana yang digayakan finalis pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Kelainan konsep yang ditonjolkan membuatkan ramai artis bersetuju dan menyambut baik tema cetusan warna yang diperkenalkan dalam penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2009) pada tahun ini. Tahun ini juga menyaksikan kebangkitan pereka fesyen baru bersaing dengan pereka fesyen lama bagi merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular.

Cetusan warna itu sendiri bakal menterjemahkan keupayaan dan kreativiti pereka fesyen dalam memastikan gaya finalis dan selebriti yang akan hadir memeriahkan kemuncak ABPBH 2009 pada 4 April nanti. Tahun ini juga menyaksikan peningkatan jumlah pereka fesyen yang bakal terbabit mencecah lebih 30 orang.


SACHA dan Liyana turut bergaya dengan baju rekaan Rizman Ruzaini dan aksesori tajaan Habib Jewels.

Tahun lalu lebih 25 orang pereka fesyen terbabit dan tahun sebelumnya sewaktu anugerah ini diperkenalkan ia hanya membabitkan 18 orang. Apapun, berbalik kepada cetusan warna ini, diharap konsep dan pemahaman pereka fesyen serta artis yang bakal melaram mengikut tema ini lebih jelas supaya ia tidak tersasar.

Mainan atau kombinasi warna tidak kira hanya pada satu warna atau pelbagai mampu memberi dimensi kepada refleksi warna yang dipersembahkan. Gandingan Faizal Tahir, Scha Alyahya, Liyana Jasmay (LJ) dan Ainul Aishah ini jelas menepati tema yang dipilih pada tahun ini.

Persalinan rona merah menjerit rekaan Rizman Ruzaini sangat melekat di tubuh Scha dan LJ. Ia sekali gus memaparkan aura hebat dua pelakon ini. Padanan hitam merah juga begitu tersendiri apabila digayakan Ainul Aishah dan Faizal Tahir. Faizal menggayakan rekaan Hazwani Osman manakala Ainul pula sentuhan Anizam Yusof.

‘Tak salah cuba sesuatu yang baru’

“APABILA penganjur memutuskan untuk memilih cetusan warna sebagai tema, saya rasa itu sesuatu yang menarik kerana belum pernah ada majlis anugerah yang berkonsepkan sedemikian. Biasanya mereka lebih senang memilih warna penuh misteri iaitu hitam untuk menjadi tema. Kalau kita lihat, kumpulan muzik dari luar negara sendiri sudah mula berani menggayakan pakaian yang berwarna -warni.

“Secara peribadi, saya sebenarnya lebih selesa menggunakan warna yang tidak begitu garang seperti warna tanah untuk pakaian saya. Apapun, saya percaya pereka saya Hazwani lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Tak salah kalau kita nak cuba sesuatu yang baru,” kata Faizal yang semakin pulih dari sakit kaki.

Fotografi segera ini sebenarnya berjalan dengan pantas disaksikan langit biru berlatarkan lokasi pilihan, Hotel Palace of the Golden Horses. Menambah seri tiga bunga, mereka cukup anggun mengenakan tajaan Habib Jewels. Sesekali Faizal yang sudah bergelar bapa kepada tiga orang anak ini mula mengusik tiga dara pingitan itu.

Lagak Faizal kononnya seperti aktor Hollywood Tom Cruise dan Scha pula dianggapnya seperti bekas isterinya, Nicole Kidman kerana faktor ketinggian. Manakala LJ pula seperti isterinya Katie Holmes dan Ainul pula seperti Penelope Cruz yang pernah dicintainya.

Beralih kepada Scha, calon Pelakon TV Wanita Popular ini menyifatkan tema yang dipilih pada tahun ini cukup istimewa dan akan menjadi lebih menarik jika bijak mengadukan warna. Selain menjadi finalis akhir ABPBH 2009, Scha juga akan memikul mandat sebagai penyampai trofi pada malam itu.

Barangkali Scha harus mula memikirkan dua persalinan yang perlu digayakan nanti. Selepas menggunakan khidmat Anizam Yusof pada ABPBH 2008, tahun ini teman rapat kepada Awal Ashaari ini memilih Rizman Ruzaini. Hip difahamkan Scha mengintai peluang itu sejak hujung tahun lalu.

“Selepas memberi peluang kepada pereka fesyen baru tahun lalu, Scha ingin beralih arah pula kepada pereka fesyen yang semakin meningkat naik. Selain Scha, Datuk Siti Nurhaliza, Liyana Jasmay dan Dafi juga sudah mengesahkan untuk mengenakan rekaan Rizman Ruzaini.

“Scha sangat teruja dengan tema pada tahun ini dan pelbagai konsep boleh dilahirkan daripada warna. Ideanya sangat menarik dan apa juga tema yang diketengahkan secara tak langsung mencabar kreativiti pereka fesyen dan pemakainya untuk memastikan ia kelihatan sempurna di permaidani merah dan pentas utama,” kata anak kelahiran Sungai Petani itu.

Mahu pasti busana nampak hidup

SEPERTI mana artis lain, LJ turut teruja dan gembira dengan pemilihan tema kali ni. LJ turut bersetuju dengan pandangan Scha. Calon kategori Pelakon Filem Wanita Popular yang baru saja muncul dengan filem Niyang Rapik ini percaya setiap tema yang ditetapkan bukan penghalang atau batasan untuk terus berkarya dalam fesyen.

“Warna dengan sendirinya membolehkan kita mempelbagaikan gaya. Ia boleh jadi apa saja. Penggunaan banyak warna juga contohnya seperti pelangi boleh diterima dek akal jika kena pada fabrik dan konsepnya. Ketika menghadiri Anugerah Juara Lagu awal tahun ini, saya mempraktikkan idea warna yang pelbagai.

“Bagi saya, pemakai dan pereka perlu seiring untuk memastikan ia nampak sempurna di mata yang memandang. Pemakai juga perlu bijak memastikan busana yang dipakai nampak hidup. Tahun ini saya meletakkan kepercayaan kepada Rizman untuk mereka pakaian saya,” katanya yang turut akan terbabit dalam sebuah persembahan istimewa pada malam kemuncak ABPBH 2009.

Sementara itu, Ainul Aishah juga tumpang seronok dan berkongsi keterujaan yang sama. Ini kerana ABPBH tahun ini dia bukan saja hadir sebagai tetamu yang memeriahkan majlis, sebaliknya buat julung kalinya pelakon berkulit hitam manis ini akan menyanyi di pentas berprestij itu.

“Saya sendiri tak sangka nama saya akan dipilih Berita Harian untuk membuat persembahan. Pada masa yang sama, saya juga gementar. Semestinya peluang ini tidak akan dihampakan. Saya akan cuba membuat persembahan itu nanti dengan sebaik mungkin,” katanya yang bakal menggayakan busana rekaan Anizam Yusof.

INFO: Anugerah Pereka Popular

Lebih 30 pereka fesyen yang turut serta. 22 daripadanya ialah pereka baru dan selebihnya ialah pereka yang pernah terbabit sejak anugerah ini diperkenalkan.

Antara muka baru tahun ini seperti Jezmine Zaidan (mereka pakaian untuk Intan Ladyana), Azurawaty Nawi (Noorkhiriah), Diana Azmi (Memey Suhaiza), Liza Azulkarnain (Watie Sadali), Nabella Erwani (Marsha), Farlez Isk (Zizie Ezette, Stacy dan Akim), Kheme Rosly, RD Idewani, Ezuwan Ismail, Rashid Omar, Ridzuan Ismail, Ariff Shukor, Jeffriey Raffiey, Hazree Wahid.

Pereka lama pula antaranya seperti Hazwani Osman (Faizal Tahir dan Aizat), Azura Mazaruddin (Nana XFM), Anizam Yusof (Lisa Surihani, Ainul Aishah, Sariyanti dan Wan Sharmila), Sya Syaharani (Norliana Shamsudin), Faizal Azraff (Putri Mardiana), Nik Erwan Roseli (Dilla Syahirah, Mila dan Mimi One Nation Emcees), Erwan Asbor, Hatta Dolmat (Diana Danielle), Rizman Ruzaini (Datuk Siti Nurhaliza, Scha Alyahya, Liyana Jasmay, Dafi).

Tahun ini juga anugerah ini membuka peluang untuk pereka fesyen wanita.

Berita Harian

ABPBH: 'Santau' Putri Mardiana Tidak Menjadi

24 Feb

KALAU ikutkan undian melalui Facebook, artis atau selebriti yang paling tinggi undiannya adalah Fara Fauzana, diikuti oleh Scha Alyahya, Yuna dan juga Fahrin Ahmad. Berdasarkan undian itu juga, penyampai radio Hot FM itu sebenarnya layak digelar Bintang Paling Popular. Scha, Yuna dan Fahrin pula ada potensi untuk bergelar paling popular.

Tetapi itu mengikut Facebook. Jika meneliti pula undian dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 yang proses pengiraan undinya sedang rancak berjalan di sebuah bilik rahsia di Balai Berita, keempat-empat nama itu langsung tak masuk senarai. Tetapi jika peminat mereka memilih untuk terus memperhebatkan undian, status mereka tidak mustahil boleh berubah.

Siapa pun pilihan pembaca, ingatlah biarlah ia PILIHAN ANDA dan bukan pilihan majoriti kerana hadiah yang menanti mereka yang bertuah BUKAN berdasarkan pilihan tepat. Hadiah untuk mereka yang mengundi melalui akhbar lebih lumayan berbanding melalui SMS iaitu sebuah kereta Grand Livina, motosikal Naza dan juga berlian Habib, pakej pelancongan ke Korea Selatan, perabot Empire Furniture Classic serta pelbagai hadiah lumayan lagi.

Cuma, pengundi melalui keratan borang di Berita Harian/Berita Minggu perlu menulis sebab mereka memilih seseorang calon untuk menjadi Bintang Paling Popular mereka. Ia bukanlah slogan cuma sedikit kata-kata kreatif dalam tidak lebih daripada 15 patah perkataan. Untuk pengundi melalui SMS pula, telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, iPod dan MP4 menanti mereka yang bertuah.

Baiklah, kita teruskan analisis undian sepanjang minggu ini. Beberapa artis dilihat seperti tiada peminat kerana undian untuk mereka begitu sedikit. Mengikut jejak Fasha Sandha seperti yang diperkatakan minggu lalu adalah Putri Mardiana. Nampak gayanya, ‘santau’ pelakon yang berbakat besar ini tidak menjadi dalam undian final ABPBH 2009.

Begitu juga dengan Dira yang kurang menyerlah dari segi undian. Bagaimanapun, undian untuk Yuna semakin meningkat. Jika konsisten tidak mustahil dia boleh memberi saingan kepada Tiz Zaqyah dalam kategori Artis Baru Wanita Popular. Dalam kategori lelakinya pula, artis baru yang kurang menyerlah adalah Aril dan Gambit. Saingan semakin sengit untuk Akim, Black dan Hafiz.

Dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular, undian Leya, penyampai Hot FM dan Nana, XFM tidak memberangsangkan langsung sedangkan undian untuk Linda Onn dan Fara Fauzana kembali sengit. Begitu juga dengan Din Beramboi dalam kategori lelakinya. Malah, rakan setugas yang meriuhkan Pagi Era, Aznil Nawawi jauh meninggalkan penyampai yang turut menjadi pengkritik Raja Lawak musim ini.

Dua lagi nama calon Top 5 yang kurang menyerlah dari segi undian adalah Nik Sayyidah atau lebih dikenali dengan nama Mek Su dan Aliza Abdullah (Enot). Hello, peminat Mek Su dan Enot, bangkitlah dari lena yang panjang kerana mereka ini sebenarnya memang berbakat. Dalam kategorinya lelakinya pula, undian untuk Saiful Apek semakin meningkat dan jauh meninggalkan AC Mizal. Entah mengapa dalam undian ABPBH tahun ini, bekas hos Akademi Fantasia ini seperti tidak menyerlah langsung berbanding sebelumnya. Tidak pasti sama ada ini adalah mesej daripada peminat/pembaca yang tidak lagi mahu menerimanya kerana sudah sibuk menguruskan perniagaan bernilai RM200 juta.

Dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, sesuatu yang menarik untuk diperkatakan adalah buat pertama kalinya Fahrin mula menjadi saingan kepada Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Malah, jika undian untuk Fahrin terus konsisten, tidak mustahil dia bakal diangkat menjadi Pelakon TV Lelaki Popular. Pendek kata, ia tidak lagi menjadi laluan mudah untuk pasangan adik-beradik ini.

Kontroversi yang melanda Tiz Zaqyah juga seolah-olah menjejaskan undian terhadapnya minggu ini. Ini bagaikan berita baik untuk Scha yang terus cemerlang. Undian untuk Rozita Che Wan dan Noorkhiriah masih tidak berubah kerana barangkali sejak akhir-akhir ini pula publisiti untuk kedua-duanya begitu kurang. Untuk Rozita barangkali juga peminat mual dengan ceritanya yang tak habis-habis mengenai cinta VIP. Tak salahkan pelakon cantik ini kerana soalan yang ditanya seringnya mengenai soal cinta kerana kebetulan pula dia juga memegang gelaran janda.

Berikut adalah analisis undian untuk kategori lain: Penyanyi Lelaki Popular – cabaran sengit di antara Mawi dan Akim. Peminat Aizat dan Faizal Tahir, di manakah anda? Penyanyi Wanita Popular – memang sah tiada saingan langsung untuk Datuk Siti Nurhaliza. Penyanyi Duo/Kumpulan Popular – Meet Uncle Hussain tanpa Lan bagaikan menjejaskan populariti mereka. Malah, kehadiran Black juga tidak mampu untuk menarik undi untuk mereka dalam kategori ini. Sixth Sense juga bagaikan tidak disedari kehadiran mereka. Ya… saingan sengit memang untuk Adam & Stacy dan Bunkface. Penyanyi Nasyid Popular – setakat ini sah milik Rabbani. Pelakon Filem Lelaki Popular – undian untuk Zul Huzaimy semakin meningkat meninggalkan Farid Kamil. Mungkin kehadiran V3: Samseng Jalanan di pawagam bakal meledakkan undian untuknya. Pelakon Filem Wanita Popular – saingan sengit di antara Maya Karin, Liyana Jasmay dan Lisa Surihani. Pengacara TV Wanita Popular – saingan masih di antara Fara Fauzana dan Sarimah Ibrahim.

Undian ini adalah setakat Selasa (23 Februari 2010) saja dan ia boleh berubah. Memanglah undian hak milik kekal peminat dan pembaca Berita Harian/Berita Minggu tetapi kehadiran calon Top 5 di lokasi promosi jelajah yang akan bermula 5 Mac ini sedikit sebanyak dapat membantu dari segi undian. Road tour adalah platform untuk artis mendekati dan beramah mesra dengan pembaca dan ABPBH menyediakan peluang itu.

Berita Harian

Pak Ngah Mula Cari Penari

19 Feb

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

ANGGOTA kumpulan penari di bawah kendalian Pak Ngah Production.

SWATARI kumpulan kebudayaan yang bernaung di bawah PakNgah Production Sdn Bhd kini membuka pengambilan baru untuk beberapa kursus kesenian bagi sesi 2010 untuk musim ke-10.

Swatari yang dikelolakan oleh Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan diasaskan isterinya Datin Sharifah Mahani Syed Kassim kini sudah mempunyai lebih 100 pelajar termasuk kanak-kanak sekitar Lembah Klang.

Menurut Pak Ngah, terdapat dua kursus disediakan bagi kanak-kanak dan dewasa mendalami kesenian tradisional yang semakin dilupai ini.

“Kita menyediakan dua kursus iaitu Asas dan Lanjutan yang dikendalikan sembilan tenaga pengajar sepenuh masa dan jemputan yang berpengalaman.

“Kepada mereka yang berminat dalam bidang teater dan lakonan, kami juga memperluaskan bidang pembelajaran ini untuk kelas asas teater kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun dan kelas Makyong di bawah bimbingan Norzizi Zulkifli,” katanya.

Artistari utama Swatari terdiri daripada 20 penari sepenuh masa di bawah bimbingan koreografer berpengalaman. Selain membuat persembahan kebudayaan di dalam dan luar negara, kumpulan ini juga memeterai kontrak bersama Kementerian Pelancongan Malaysia (MTC) selama enam tahun berturut-turut. Tujuannya adalah untuk menarik minat generasi masa kini mengenali lebih dekat mengenai kebudayaan seni tari Melayu melalui program pembelajaran asas tari joget, zapin dan inang.


PAK NGAH menerangkan sesuatu kepada isterinya, Sharifah Mahani.

“Kami mempunyai kumpulan pelapis dari kalangan peserta yang sudah menamatkan sesi pembelajaran yang dinamakan ‘core-group’. Mereka akan diberi pendedahan mengenai pelbagai jenis tarian untuk ke tahap yang lebih baik.

“TehKopi Swatari adalah satu projek kolaborasi pertama yang menggabungkan Swatari dengan PakNgah Production Sdn Bhd di mana membabitkan seluruh warga kerja kedua ini. Produksi kecil ini berjaya mencapai matlamat seperti yang dikehendaki dengan kehadiran ramai tetamu jemputan,” katanya.

Antara pencapaian yang membanggakan buat Swatari seperti memenangi Anugerah Persembahan Terbaik Juara Lagu ke-17 menerusi lagu Nirmala oleh Datuk Siti Nurhaliza. Selain memenangi piala emas dalam kategori persembahan terbaik dalam Asia Pasifik Youth Arts Festival yang berlangsung di Shen Zhen, China dan mewakili negara ke Dream Stage Of Asian Children Festival 2008, Tokyo, Jepun.

Kepada sesiapa yang berminat (kanak-kanak dan dewasa) untuk menyertai asas tari ini boleh mendaftar diri di PakNgah Production Sdn Bhd, Prima Setapak Business Centre, 30-1, Jalan Prima Setapak 3, Off Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur. Sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi 03-40237978 atau 019-3819349 (Mak Ngah).

Kelas akan diadakan setiap Sabtu dan Ahad jam 2.30 hingga 4.20 petang setiap minggu.

Berita Harian

Satu Suara Yang 'Gempak'!

17 Feb

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

SITI diapit Aizat (kiri) dan Faizal menghasilkan gandingan padu.

Gandingan vokal Siti, faizal dan Aizat di pentas IB tidak menghampakan

TIADA apa yang perlu dipertikaikan lagi. Segala persoalan mengapa Datuk Siti Nurhaliza menganjurkan konsert Satu Suara yang menampilkan Aizat dan Faizal Tahir akhirnya terjawab apabila dua penyanyi itu membuktikan bahawa mereka memang layak untuk menggalas tanggungjawab itu.

Mungkin sebelum ini ada yang bersikap skeptikal mengatakan apakah Faizal dan Aizat bersedia untuk menakluki tempat yang bukan calang-calang itu, sedangkan usia mereka dalam bidang seni tidaklah lama mana jika dibandingkan dengan ramai penyanyi senior lain.

Bagaimanapun, dalam nada tenang, Siti berkata dia percaya dan yakin kedua-dua penyanyi ini mampu menghiburkan pengunjung Istana Budaya (IB) dengan gaya dan persembahan mereka tersendiri.

Ternyata penilaian Siti terhadap dua penyanyi itu memang tidak tersasar. Selama lebih dua jam, persembahan Aizat dan Faizal nyata tidak menghampakan. Pentas penuh berprestij yang sebelum ini dilihat ‘suci’ kini sudah dicemari dengan irama rock yang cukup bertenaga dan menggegarkan suasana. Bukan tercemar dalam erti kata yang negatif, tetapi aura rock muzik rock sudah meresapi atmosfera IB.

Biarpun tidak sehebat tempat terbuka namun penonton masih boleh menghayati irama rock itu tanpa perlu segan dan ragu serta dibatasi dengan protokol yang mungkin tidak begitu sesuai untuk konsert rock. Mereka bebas menyanyi, menari dan mengikuti rentak lagu. Aizat dan Faizal berjaya menjadikan konsert mereka itu sebagai satu permulaan yang baik untuk tahun 2010 ini.


FAIZAL dan Aizat mempamerkan kehebatan masing-masing

Persembahan dibuka dengan lagu Saya Anak Malaysia, yang pernah dipopularkan oleh Dr Sam Rasputin suatu ketika dulu. Lagu yang disampaikan secara duet itu diubah sedikit liriknya untuk memperkenalkan asal usul kedua penyanyi berkenaan. Ketika lagi itu dinyanyikan, Aizat tampil keseorangan meneruskan persembahan.

Walaupun ini penampilan pertama dalam sebuah konsert berskala mega, Aizat bijak mengimbangi suasana. Tidak nampak gugup. Aizat santai ketika menyanyi. Tarikan utama penyanyi ini sudah pasti menerusi lagunya yang membuai perasaan serta vokalnya yang mantap. Satu demi satu lagu popularnya dinyanyikan. Ada ketika, dia menyanyi sambil memetik gitar ajaibnya.

Begitupun, Aizat perlu berbuat sesuatu bagi memantapkan lagi persembahannya iaitu memperbaiki teknik komunikasi bersama penonton.

“Aizat memang ada masalah dari segi komunikasi. Disebabkan itulah ketika kata-kata aluan, Aizat menggunakan teknik nyanyian dan memetik gitar sewaktu berbicara dengan penonton. Itu juga adalah satu kelainan,” katanya ketika ditemui selepas konsert itu berakhir.


DISEBALIK muzik rock, Siti tampil dengan imej feminin.

Selama 45 minit membuat persembahan, Aizat akui detik itu adalah kenangan manis buatnya.

“Ini pengalaman hebat dan tak mungkin dilupakan. Aizat tidak menyangka menempuh saat seperti ini. Selama 45 minit membuat persembahan, Aizat akui ia belum memuaskan. Mungkin untuk hari seterusnya nanti, Aizat akan beri yang lebih baik lagi,” katanya yang menyampaikan rangkaian lagu popularnya seperti Kau Aku, Fikirlah, Susun Silang Kata, Lagu Kita, Pergi dan Hanya Kau Yang Mampu. Kesempatan itu juga digunakan Aizat menyanyikan lagu secara medley dari kumpulan yang menjadi idolanya iaitu The Beatles.

Faizal lepas geram?

KALI terakhir membuat persembahan di khalayak ramai ketika Anugerah Juara Lagu lalu. Ketika itu, Faizal menyanyikan lagu Bencinta dalam keadaan bertongkat. Namun pada malam itu, tongkat itu tidak kelihatan. Dengan kudrat yang ada, Faizal memberikan hiburan terbaik buat penonton di IB yang sudah awal membeli tiket bagai menyaksikan konsert itu.

“Terus terang, kaki saya memang sakit. Saya mula terasa sewaktu naik ke pentas untuk menyanyikan rangkaian lagu popular Queen. Tapi saya tak mahu memikirkan kesakitan itu kerana tanggungjawab pada masa itu untuk menghiburkan mereka menyaksikan persembahan ini.

“Namun, saya tak mahu mengatakan yang sanggup mengambil risiko kerana menyanyi dalam keadaan sakit. Tapi, itu tanggungjawab saya pada penonton dan tidak ada apa yang lebih membuatkan saya gembira dan puas selain mendengar mereka terhibur,” kata Faizal yang masih belum pulih sepenuhnya itu.

Biarpun dikatakan sakit, namun melihat kepada aksi penyanyi lagu Mahakarya Cinta ini, dia tetap aktif dan dilihat seolah-olah melepaskan geram dengan membuat aksi yang inonim dengannya.

“Ini bukan lepas geram seperti yang sering disangkakan. Pada saya, ini adalah kerja saya dan saya harus lakukan dengan baik dan mengikut cita rasa dan muzik saya. Orang sering ingat yang saya sama macam di atas pentas. Kalau dipentas, memang aksi saya agak aktif atau macam ‘brutal’ tapi di luar tidak begitu,” jelasnya.

Sementara itu, persembahan yang ditunggu-tunggu penonton di konsert 1 Suara ini adalah kemunculan Siti yang menyanyikan lagu rock. Selain berduet dengan Aizat dan Faizal menerusi lagu yang pernah dipopularkan kumpulan penyanyi lain, dia juga menyanyikan lagu popularnya Biarlah Rahsia yang digubah kembali muziknya bagi menepati tema konsert itu.

Tak perlu bersuara serak ataupun menampilkan aksi agresif, Siti tetap mempunyai elemen rock. Malah, sehingga kini masih terngiang-ngiang lagu Sejati dari kumpulan Wings yang dibawakan dalam konsert itu.

‘Dari segi lagu, Siti berbincang dengan mereka dan selepas masing-masing bersetuju, barulah kita fikirkan rentak apa yang sesuai untuk dinyanyikan. Melihat persembahan malam ini, Siti gembira dan puas hati.

“Berdasarkan sambutan, itu sudah cukup menggambarkan satu kejayaan buat mereka. Harapan Siti moga mereka dapat buat yang lebih baik lagi selepas ini,” kata Siti.

Mengenai pakaiannya pada konsert ini yang hampir dengan konsert solo sebelumnya ini, Siti menjelaskan dia mahu muncul lebih feminin manakala Faizal dan Aizat pula dibiarkan dengan imej rock.

“Memang Siti minta pada pereka pakaian Siti supaya menampakkan Siti lebih feminin. Pada Siti, biarlah mereka saja yang tampil dengan imej rock,” katanya.

Konsert pembukaan yang juga Malam Gala Yayasan Malaysia itu turut dihadiri Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri serta mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Konsert terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP) dengan kerjasama IB ini diketuai oleh Jennifer Thompson dengan menggunakan tujuh pemuzik profesional. Ia dipimpin oleh pengarah muzik, Sze Wan diiringi 20 pemain muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Berita Harian

ABPBH 2009: Tiada Tempat Lagi Untuk Fasha?

17 Feb


Fasha Sandha

Undian untuk Scha Al Yahya, Fahrin Ahmad semakin meningkat

SEJAK terpalit dengan pelbagai kontroversi, ramai yang berpendapat bahawa Fasha Sandha tidak lagi popular apatah lagi dia bagaikan ‘digam’ media. Tetapi apabila namanya tersenarai dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, ramai yang agak terkejut. Namun setelah hampir empat minggu undian berjalan, jumlah undi terhadapnya nyata tidak langsung memberangsangkan berbanding pada minggu pertama.

Malah, undi terhadap calon Pelakon TV Wanita Popular ini adalah paling corot berbanding keseluruhan artis Top5 yang lain. Barangkali, impak pelbagai kontroversi yang melanda diri akhirnya mula memberi kesan. Pelakon cantik Rozita Che Wan juga mengalami nasib yang sama. Sejak undian terbuka, peminat hiburan bagaikan tidak nampak kehadiran aktres bermata galak dan bijak bergaya ini.

Undian paling memberangsangkan dalam kategori ini milik Scha Al Yahya. Wataknya sebagai Dania dalam drama bersiri popular Awan Dania begitu melekat di hati peminat. Jika undian sebegini berterusan, tidak mustahil trofi kategori ini bakal milik bekas teman wanita Fahrin Ahmad ini.

Bercakap mengenai Fahrin, berita baik mengenai calon kategori Pelakon TV Lelaki Popular ini adalah undian terhadapnya naik mendadak minggu ini dan jauh meninggalkan Fizo Omar. Tetapi saingan masih lagi milik Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Impak drama bersiri Nur Kasih begitu kuat sehingga sukar untuk calon lain mengatasinya. Malah Aaron Aziz yang tinggi undiannya dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular juga sukar untuk menyaingi pasangan ‘adik beradik’ ini.

Undian untuk calon lain dalam kategori ini seperti Afdlin Shauki dan Zul Huzaimy juga semakin baik. Tetapi saingan sengit masih milik wajah eksklusif Astro, Aaron dan cikgu baru Akademi Fantasia musim kelapan, Que Haidar.


DARI kiri, Faizal Tahir, Mawi, Liyana Jasmay dan Aizat.

Bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula, Diana Danielle dan Sharifah Amani belum mampu menarik perhatian pengundi. Undian mereka paling bawah berbanding Lisa Surihani yang semakin naik jumlah undiannya. Malah, aktres yang kononnya menjadi rebutan production house tetapi sukar dimiliki kerana menjadi milik Astro dan Metrowealth ini, menjadi saingan kuat kepada Maya Karin.

Minggu ini juga menyaksikan peningkatan jumlah undi yang semakin baik untuk Liyana Jasmay. Malah sejak beberapa hari ini undiannya dilihat begitu konsisten.

Dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, setakat ini Aznil Nawawi bagaikan tiada tandingan. Malah Ally Iskandar dan Faizal Ismail yang membantu melonjakkan rating Anugerah Juara Lagu ke-24 tidak mampu mengatasi Aznil. Dalam kategori wanita pula, jika minggu lalu ia menjadi milik Sarimah Ibrahim, yang kini diamanahkan untuk mengacarakan AF8 tetapi kini Fara Fauzana mula menunjukkan taringnya sedangkan Raja Azura semakin ketinggalan.

Begitu juga dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular, undian Fara mula mengatasi Linda Onn. Namun undian untuk penyampai radio XFM, Nana kurang memberangsangkan langsung. Untuk kategori lelaki pula, undian terhadap Faizal pula semakin baik. Malah jika berterusan, barangkali ia boleh terus kekal menjadi milik FBI. Tetapi perlu diingatkan bahawa peminat masih ada lebih kurang sebulan lagi untuk mengundi calon favourite mereka.


DARI kiri, Afdlin Shauki, Scha Al Yahya, Aznil dan Sarimah Ibrahim.

Sekali lagi diingatkan, pilihlah calon PILIHAN SENDIRI dan bukan PILIHAN MAJORITI.

Dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pula, undian terhadap Aizat dan Faizal Tahir semakin meningkat dan mungkin tidak lagi memberi laluan mudah untuk penyandang tahun lalu, Mawi. Bangkitlah peminat Mawi kerana jika undian sebegini berterusan, Mawi akan terus tersingkir dan hilang ‘World’nya. Undian untuk Akim dan Adam pula semakin menurun. Barangkali benarlah kata sesetengah pemerhati dunia muzik, ia bakal menjadi milik Aizat dan tidak mustahil juga Faizal Tahir. Atau Mawi sebagai juara bertahan.

Usah lagi berteka-teki mengenai kategori Penyanyi Wanita Popular kerana Siti Nurhaliza boleh dikatakan tiada saingan langsung. Mana perginya peminat Stacy yang khabarnya begitu beriya-iya mahu menggempur undian ABPBH kali ini? Undian ke atas Yuna pula tidak langsung meninggalkan impak walaupun dikatakan sudah menarik perhatian syarikat rakaman luar negara. Itu memang berita baik tetapi yang tidak baiknya adalah Yuna tidak dapat menyertai promosi jelajah ABPBH yang akan bermula 5 Mac ini. Malah, Yuna juga tidak akan bersama-sama pada malam kemuncak 4 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands.

INFO: Berikut adalah undian dalam kategori lain (sehingga 15 Februari):

Penyanyi Duo/Kumpulan Popular – saingan di antara Black Meet Uncle Hussain dan Adam & Stacy.

Penyanyi Nasyid Popular – saingan di antara Rabbani dan Hijjaz.

Artis Komedi Lelaki Popular – saingan di antara Nabil dan Afdlin Shauki.

Artis Komedi Wanita Popular – saingan di antara Kenchana dan Noorkhiriah.

Artis Baru Lelaki Popular – saingan di antara Hafiz dan Black (Mentor).

Artis Baru Wanita Popular – saingan Tiz Zaqyah dan Isma.

Berita Harian

Mahu Bukti 'Suara Jantan'

15 Feb

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Nabil

TIDAK salah sekiranya ingin mencuba sesuatu yang baru dalam hidup kerana orang kata belum cuba belum tahu hasilnya. Sebelum ini Nabil hebat di pentas sebagai pelakon komedi sehingga diiktiraf peminat dengan gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008.

Namun bagaimana pula percubaan pertamanya dalam bidang nyanyian? Hip difahamkan dia bakal menerbitkan album solo tidak lama lagi. Berbekalkan ‘suara jantan’ yang dimilikinya, bolehkah Nabil menyanyi?

Menurutnya, percubaannya dalam bidang nyanyian bukan kerana dia memiliki bakat untuk menyaingi penyanyi sedia ada tetapi berniat untuk mengembangkan cabang seni yang dilihat mempunyai ruang lingkup yang amat luas.

“Pada mulanya saya terfikir untuk membuatnya sebagai pelaburan dalam jangka panjang. Sebenarnya, saya bukanlah hebat sangat menyanyi tetapi selepas idea itu disuarakan dan berbincang dengan Ajai, dia memberi semangat untuk saya mencuba.

“Album ini adalah album komedi dan saya bukanlah menyanyi mengikut lenggok suara, sebutan dan ‘pitching’ yang betul tetapi hanya rap untuk menyampaikan penceritaan di dalam lagu itu.

“Sebenarnya sudah lama kita tidak mendengar lagu komedi seperti yang pernah dinyanyikan oleh Jalil Hamid, Salih Yaakob, Saiful Apek yang menyampaikan nasihat dalam bentuk jenaka,” katanya yang ditemui di studio milik Ajai, Wake The Baby baru-baru ini.

Menurut Nabil, sehingga kini tiga lagu sudah siap sepenuhnya dan sudah mula boleh didengar menerusi radio tempatan.

“Buat masa ini kami menyiapkan tiga lagu dulu dan saya memilih lagu Lu Pikirlah Sendiri sebagai single pertama. Lagu ini adalah ciptaan Ajai dan lirik saya sendiri. Ia menceritakan kehidupan saya dulu dan sekarang dalam bentuk rap.

“Saya bukanlah pemuzik rap tetapi suara saya sudah tidak boleh pergi jauh dan Ajai menasihatkan saya buat rap saja. Dua lagu lagi yang sudah siap iaitu Barang Baik dan Ambillah.

“Kesemua lagu ini adalah lirik saya sendiri yang dibuat secara spontan ketika bersembang-sembang dengan Ajai. Setiap lagu lebih kepada keadaan semasa dan nasihat.

“Dalam lagu ini juga saya bergandingan dengan Ajai dan Dali (Ahli Fikir) dan saya ada memasang impian untuk berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Adibah Noor suatu masa nanti,” katanya yang kini kembali sibuk dengan rakaman Ewah-Ewah yang dijangka menjalani penggambaran satu bulan setengah bermula Februari ini dan Pondok-Pondok (Mac) serta Simpang 3 (April).

Penerbit dan komposer, Ajai berkata, idea mengambil Nabil untuk merakamkan album di bawah syarikat miliknya tercetus sebaik saja Nabil keluar daripada program Raja Lawak.

“Sebaik saja program Raja Lawak musim kedua habis dan mengumumkan Nabil sebagai juaranya, saya sudah terfikir untuk membantu dia dalam bidang muzik ini.

“Namun saya juga memikirkan sekiranya populariti sedang melonjak tinggi, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa mengambil kesempatan untuk menarik dia dalam bidang muzik. Kini selepas dua tahun, saya rasa inilah masa yang sangat sesuai saya memulakan hasrat itu dan kebetulan dengan filem lakonannya Lu Pikirlah Sendiri de Movie yang akan ditayangkan pada 11 Februari ini.

“Saya juga nampak Nabil mempunyai satu kelebihan di dalam penghasilan lirik. Kebanyakan lirik yang dibuatnya adalah spontan dan realistik. Jika hendak ikutkan, Nabil perlu mengambil masa sedikit sekiranya dia betul-betul ingin menjadi penyanyi.

“Buat masa ini dia hanya rap saja dalam lagu itu tetapi ia menarik apabila ia menepati dengan sentuhan lirik dan muzik yang mengikut trend masa kini. Kerja saya adalah untuk mencantikkan dan saya cukup berpuashati dengan hasil kerja itu,” kata Ajai.

‘Serah kepada takdir untuk menang ABP’

SEBAIK diangkat sebagai juara Raja Lawak musim kedua pada 2007, populariti Nabil semakin melonjak dengan gelaran Artis Paling Popular ABPBH. Sejak itu rezekinya mencurah-curah diterima.

Nabil juga tidak menafikan, ABPBH adalah landasan terbaik buat artis tempatan dikenali disamping mudah untuk menerima pelbagai tawaran lakonannya.

Tahun ini sekali lagi Nabil dicalonkan untuk dua kategori iaitu Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

“Saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi ABPBH tahun ini, terserah kepada takdir, jika ada rezeki adalah.

“Kemenangan di ABPBH adalah satu bonus kepada saya dan juga calon yang lain kerana saya percaya setiap calon adalah yang terbaik. Pengiktirafan itu adalah Bintang Paling Popular dan bukannya kategori Artis Terbaik. Bagi saya Popular dan Terbaik itu adalah suatu yang berbeza.

“Mereka yang dicalon semuanya antara yang terbaik seperti Afdlin Shauki, AC Mizal, Saiful Apek dan tidak kurangnya Zizan. Bagi saya tidak perlu takut pada diri sendiri sekiranya saya tewas di tangan orang baru. Tidak ada benda yang kekal dalam dunia ini.

“Saya akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang ‘terbaik’ dan populariti itu membantu untuk saya menjadi yang terbaik,” katanya yang tidak mahu memikirkan langsung mengenai kemenangan.

Menurutnya, merasai berada di kemuncak kegemilangan adalah suatu yang tidak pernah dijangkakan lebih-lebih lagi dalam masa yang agak singkat berbanding artis lain.

“Saya sudah merasa bagaimana menjadi Bintang Paling Popular dan ia bukanlah suatu yang pernah saya jangkakan. Memang pengiktirafan itu adalah suatu yang terbesar diberikan pengundi kepada saya. Namun saya sedaya upaya mahu memberikan yang terbaik selepas menerima pengiktirafan itu,” katanya.

Berita Harian

Mahu Contohi Datuk Siti

11 Feb

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

FOUZIAH bersama rangkaian produk kecantikan Alaisyah

Fouziah Gous tidak mahu fikir soal saingan, setiap pelakon milik identiti sendiri

SUATU ketika dulu, dia dilihat sebagai antara bintang baru yang bakal bersinar dalam dunia lakonan. Apatah lagi pada masa itu, tawaran berlakon datang mencurah-curah membuatkan dia ada kalanya tak menang tangan untuk menerimanya. Malah, dalam senarai pelakon yang seangkatan dengannya, dialah antara yang menonjol.

Namun sejak kebelakangan ini, kerdipan bintang pelakon bernama Nor Fouziah Mohd Gous ini semakin pudar berbanding sewaktu zaman kemunculannya dulu. Maaf cakap, Fouziah bagaikan ditenggelami dengan kebanjiran pelakon baru yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Apakah aktres berdarah kacukan Melayu, Cina dan Pakistan ini sedar akan situasi itu ataupun dia masih lagi berada di alam khayalan?

Ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Fouziah menyedari hakikat itu. Namun dia melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif.

“Dalam hal ini saya langsung tidak memikirkan soal persaingan. Bagi saya, setiap pelakon itu mempunyai identiti mereka yang tersendiri. Saya mahu menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai contoh iaitu selama 15 tahun menjadi artis, dia masih mampu mengekalkan identiti dirinya walaupun sekarang ini dia sudah pun bergelar isteri.

“Dengan itu, biarlah saya menjadi diri saya sendiri tanpa perlu meniru orang lain. Apa yang anda lihat hari ini, adalah diri saya sendiri dan saya takkan mengubah diri saya semata-mata mahu memuaskan hati orang lain,” kata Fouziah ketika ditemui pada sidang akhbar pengumumannya sebagai duta terbaru produk Alaisyah di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TAK mahu gadai identiti tersendiri semata-mata untuk memuaskan hati pihak lain.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Tohtonku Sdn Bhd, Jasper Lim.

Katanya, untuk terus kekal dalam bidang ini, dia mengamalkan dua perkara iaitu sentiasa berdisiplin dan menjaga perlakuan diri kerana itulah benteng yang dapat menangkis gosip yang dilemparkan padanya.

Bukan saja dikatakan kemilau bintangnya sudah tidak berkelip lagi, tetapi mutu lakonannya juga sering menjadi bahan pertikaian ramai. Dia dikatakan tidak mempunyai ekspresi ketika berlakon, gagal menjiwai watak dan kejayaannya dalam bidang ini banyak dibantu oleh seraut wajah jelitanya saja.

Buktinya, lakonannya sebagai Lana menerusi buah tangan terbarunya yang berjudul 2 Hati 1 Jiwa membuatkan ramai pihak meluat kerana dia dilihat terlalu gedik dan mengada-ngada.

Biarpun kenyataan itu amat pahit untuk ditelan, namun bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini tetap tenang sewaktu menjawab pertanyaan nakal itu.

“Saya tak kisah apapun yang orang ingin cakap pasal saya. Pada saya, apapun pandangan yang diberikan, ia adalah satu kritikan yang membina untuk kemajuan karier saya. Lagipun, saya memang suka pada kritikan dan saya melihat apa yang dikatakan orang itu sebagai sesuatu yang positif.

“Mana-mana kritikan yang saya rasa mampu memperbaiki prestasi lakonan saya, saya akan ambil dan perbaiki mana yang perlu,” katanya yang menganggap setiap kritikan itu adalah satu proses pembelajaran buatnya.

Bagi menunjukkan komitmennya terhadap bidang lakonan, Fouziah berkata dia juga sedang dalam peringkat mempelajari mengenai hal ehwal belakang tabir sebuah produksi.

“Walaupun saya seorang pelakon tapi itu bukanlah bermakna saya hanya berada di depan kamera saja. Saya juga mengambil inisiatif untuk bertanyakan perkara di belakang tabir. Kebetulan saya diberi peluang untuk berlakon di bawah arahan ramai pengarah, jadi kesempatan itu saya gunakan untuk menimba pengalaman. Pengetahuan ini perlu untuk seorang aktres seperti saya,” kata aktres berambut cantik ini.

Amal petua tradisional untuk kecantikan

TAK siapa dapat menafikan kecantikan yang ada pada seraut wajah milik Fouziah. Keayuan wajahnya memang asli. Rambutnya yang hitam berkilat membuatkan ramai yang berasa cemburu terhadapnya. Namun tahukah bahawa semua itu tidak diperoleh dengan jalan mudah. Mula mengamalkan penjagaan sejak kecil lagi, dedah Fouziah, kecantikannya itu semuanya dari bahan semula jadi.

“Memang sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan petua turun temurun. Contohnya, rambut saya ini memang saya amalkan menyapu daun bunga raya yang ditumbuk. Sebab itu dia hitam, lebat dan berkilat. Dan saya juga kurang minum minuman yang berais kerana ia memang tidak baik untuk kesihatan dalaman,” katanya.

Mengenai tanggungjawab barunya sebagai duta produk kecantikan Alaisyah keluaran Tohtonku, Fouziah berkata dia mengambil masa yang agak lama sebelum bersetuju untuk menjadi jurucakap produk kecantikan itu.

“Saya didatangi syarikat kosmetik itu dua tahun lepas. Selepas mencubanya dan mendapati ia memberi kesan yang positif, jadi saya tak teragak-agak untuk menerima tawarannya itu.

“Saya tidak mahu sekadar menjadi penghias wajah dan menipu peminat. Jadi lebih baik saya menggunakannya terlebih dahulu sebelum saya meyakinkan pengguna terhadap kebaikan produk itu,” kata Fouziah yang mengikat kontrak dengan syarikat kosmetik itu selama dua tahun.

Berita Harian

Undian Linda, Sarimah Meningkat Mendadak

10 Feb


Linda Onn (kiri) dan Serimah Ibrahim

KONTROVERSI yang melanda penyampai radio yang beralih angin daripada Sinar FM ke Suria FM melonjakkan undian terhadapnya. Malah, kes dirinya yang bakal menghadapi tindakan Fahrin Ahmad gara-gara dakwaan aktor kacak itu mengasarinya, barangkali membuatkan peminat wanita Linda bersimpati terhadapnya lalu meluahkan sokongan mereka terhadapnya melalui undi.

Ini sekali gus menipiskan peluang penyampai Hot FM, Fara Fauzana yang sudah dua tahun berturut-turut memegang trofi Penyampai Radio Wanita Popular. Jika trend undian sebegini berterusan sehingga tarikh tutup kira-kira sebulan lagi, barangkali tidak mustahil Linda kembali menggenggam trofi itu.

Kali terakhir penyampai radio tinggi lampai itu memegang gelaran Penyampai Radio Wanita Popular adalah pada tahun 2006. Berita Harian memperkenalkan kategori ini mulai tahun 2001 dan sejak itu, Linda tidak pernah gagal mendapat undian tertinggi peminatnya. Enam tahun bergelar penyampai radio popular bukan calang-calang orang boleh menikmatinya, tetapi gadis ini ‘memang sesuatu’.

Bagaimanapun, undian terhadap Fahrin masih lagi di takuk lama. Malah, duta kepada beberapa produk popular itu tidak langsung memberi cabaran kepada calon lain seperti Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Fizo Omar dan Remy Ishak dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular. Jika minggu lalu, saingan setiap mereka adalah sengit, tetapi minggu ini sudah ketara, peminat Remy dan Fizz pula mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ saja.

Tidak mustahil, Aaron bakal menggenggam trofi ini seperti kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang turut membariskan namanya. Jika minggu lalu, undian terhadap Que Haidar sama naik dengan Aaron tetapi minggu ini, undiannya mula merosot. Peminat Zul Huzaimy, Afdlin Shauki dan Farid Kamil mula bangkit daripada lena yang panjang.

Barangkali hadiah yang ditawarkan Berita Harian kepada pembaca yang mengundi melalui surat khabar seperti kereta Nissan Grand Livina 1.6L, motosikal Naza Blade 250, barang kemas Habib Jewels dan pelbagai hadiah yang lain membuka mata mereka.


Bunkface

Seorang lagi artis yang undiannya ‘meletup’ adalah pengacara mulut becok, Sarimah Ibrahim yang bersaingan dengan Fara Fauzana, Cheryl Samad, Nurul Syuhada dan Raja Azura dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular. Silap hari bulan jika Fara baru-baru ini berkata saingannya adalah Raja Azura kerana undian setakat ini menunjukkan dia mendapat saingan hebat Sarimah yang menjadi hos Diari AF dan terbaru, sebuah program realiti Asian Biggest Losers.

Jika trend undian ini berterusan, nampak gayanya Fara mungkin akan kehilangan dua trofi dalam Anugerah Bintang Popular 2009 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 April ini. Bangkitlah peminat Fara! Buktikan sokongan anda terhadapnya. Mana perginya lebih 100,000 peminat yang kononnya menyatakan sokongan terhadap Fara melalui Hot FM?

Dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, tidak banyak perubahan undian yang menarik untuk diperkatakan minggu ini. Malah Datuk Siti Nurhaliza sudah jauh meninggalkan Stacy dan Yuna, apatah lagi Jaclyn Victor dan Mila. Begitu juga dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, bintang kelahiran Astro seperti Mawi, Adam dan Akim masih mendapat tempat di hati peminatnya. Sekali lagi, bangkitlah peminat Faizal Tahir dan Aizat!

Berikut adalah antara calon yang mendapat saingan mengikut kategori:

Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular
Bunkface adalah saingan Adam & Stacy, Meet Uncle Hussain

Penyanyi Nasyid Popular
Raihan adalah saingan Rabbani

Pelakon Filem Wanita Popular
Liyana Jasmay adalah saingan Maya Karin

Pelakon TV Wanita Popular
Fasha Sandha adalah saingan Rozita Che Wan

Pengacara TV Lelaki Popular
Aznil Nawawi adalah saingan Faizal Ismail, Ally Iskandar

Penyampai Radio Lelaki Popular
Faizal Ismail adalah saingan Aznil Nawawi, Kieran

Artis Komedi Lelaki Popular
Saiful Apek adalah saingan Zizan, Nabil

Artis Komedi Wanita Popular
Kenchana Dewi adalah saingan Noorkhiriah

Artis Baru Lelaki Popular
Akim adalah saingan Hafiz, Black

Artis Baru Wanita Popular
Isma adalah saingan Tiz Zaqyah

Berita Harian

Saingan Sengit Dalam Kategori Pelakon TV

3 Feb

MASUK minggu kedua undian Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang bermula sejak 22 Januari lalu, jelas menunjukkan saingan yang begitu sengit dalam kategori Pelakon TV Lelaki dan Wanita serta Pelakon Filem Lelaki sementara kategori yang langsung tidak menunjukkan saingan adalah dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

Datuk Siti Nurhaliza yang sudah memegang trofi itu selama 12 tahun jelas masih mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. Penyanyi yang terkenal dengan gelaran The Dancing Queen, Stacy pula langsung tidak menjadi saingan kepada Siti. Malah, undian yang diterima Stacy sangat jauh berbanding undian untuk Siti. Tidak juga Yuna yang baru saja menduduki tempat kedua dalam Anugerah Juara Lagu baru-baru ini ataupun si kecil molek Mila dan penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor. Jika peminat Stacy, Yuna, Mila

atau Jaclyn masih mengambil sikap tunggu dan lihat, maka jelas sekali gelaran Penyanyi Wanita Popular tetap menjadi milik Siti.

Bangkitlah peminat Faizal Tahir dan Aizat kerana setakat ini, undian tidak langsung memberangsangkan bagi kedua-dua penyanyi berbakat besar ini. Undian ternyata berpihak kepada Mawi, Akim dan Adam, penyanyi yang lahir daripada program Akademi Fantasia. Jika trend undian adalah seperti ini sehingga tarikh akhir penghantaran borang pada 19 Mac, trofi mungkin menjadi milik protege Datin Seri Tiara Jacquelina, Akim ataupun terus kekal di tangan Mawi yang mengungguli kategori itu selama empat tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, bagi kategori Pelakon Filem, dua calon yang sudah pun bergelar bapa iaitu Aaron Aziz dan Que Haidar masing-masing mendapat undian tinggi berbanding calon lain. Tahun lalu Que Haidar menjadi pilihan pembaca Berita Harian untuk kategori ini. Namun kedudukan itu boleh berubah jika peminat Afdlin Shauki, Farid Kamil dan Zul Huzaimy mengambil inisiatif untuk terus mengundi.

Dalam kategori Pelakon TV Lelaki pula, saingan yang hebat adalah daripada ‘adik beradik’ popular, Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Impak drama bersiri Nur Kasih arahan Kabir Bhatia yang mencatat rating 5 juta penonton memberi kelebihan kepada kedua-dua pelakon kacak ini. Bagaimanapun jangan menidakkan kelebihan tiga lagi calon – Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan juga Fizo Omar. Fahrin misalnya, undian mungkin bertambah kerana isu ‘menangis’ gara-gara Linda Onn membuatkan peminatnya bersimpati.

Dalam kategori Pelakon TV dan Filem Popular Wanita, saingan begitu sengit sehingga sukar untuk menentukan siapakah akhirnya yang akan mengungguli dua kategori ini. Calon yang barangkali berpeluang menggenggam trofi bagi Pelakon TV Wanita adalah Fasha Sandha yang tahun lalu bukan calon pilihan. Impak populariti Tiz Zaqyah melalui drama bersiri Nur Kasih tidak menjadi dalam ABPBH2009. Nampak gayanya, undian ‘benci Fasha Sandha’ yang diwujudkan sesetengah pihak dalam Facebook tidak menyekat kemaraan artis jelita ini. Bangkitlah peminat Tiz dan Scha Alyahya!

Manakala bagi filem pula, populariti Maya Karin belum terjejas. Tetapi undian untuk Liyana Jasmay semakin mencurah masuk. Mana perginya peminat Sharifah Amani, Diana Danielle dan yang memeranjatkan Lisa Surihani?

Sesuatu yang mengejutkan juga berlaku dalam undian kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, di mana undian lebih berpihak kepada Aznil Nawawi (Era) sedangkan tahun lalu kategori itu adalah milik Faizal Ismail (Hot FM). Begitu juga bagi penyampai radio wanita, Fara Fauzana (Hot FM) ketinggalan di belakang Linda Onn (yang sebelum ini bertanding atas tiket Sinar FM tetapi kini di Suria FM). Barangkali kontroversi Fahrin-Linda, memberikan undi simpati kepadanya. Bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular pula, sekali lagi Aznil terus mengungguli sementara bagi wanitanya pula, Fara Fauzana terus menjadi pilihan setakat ini. Tetapi jangan menafikan kemaraan Sarimah Ibrahim kerana ketika analisis ini ditulis, undian untuknya semakin bertambah.

Saingan sengit juga wujud dalam kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular tetapi undi lebih berpihak kepada juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz diikuti oleh Akim dan Black, juara program realiti Mentor terbitan TV3. Mengikut tradisi tiga, empat tahun kebelakangan ini, kategori ini selalunya menjadi milik juara AF. Tetapi tidak mustahil ia menjadi milik Black kerana kejayaannya dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dalam AJL baru-baru ini memberi satu kelebihan kepadanya. Sementara itu, bagi kategori wanitanya pula, setakat ini menyaksikan saingan hebat dua calon iaitu Tiz Zaqyah dan penyanyi Yang Sebenarnya, Yuna.

Dalam kategori Pelakon Komedi Lelaki, nasib tidak lagi menyebelahi Nabil setakat ini. Jika pola pengundian tidak berubah, tidak mustahil Bintang Paling Popular ABPBH2008 ini tidak lagi menjadi pilihan peminat. Kehadiran Saiful Apek dan AC Mizal dalam dunia hiburan terus mendapat perhatian khalayak peminat hiburan tanah air. Kehadiran Zizan, hos sebuah lagi program popular Raja Lawak terbitan Astro, juga semakin mendapat tempat di hati peminat. Bagi wanita pula, undian untuk Kenchana Dewi semakin meningkat meninggalkan calon lain iaitu Didie Alias, Enot, Nik Sayiddah dan paling memeranjatkan Noorkhiriah yang menang dalam kategori ini tahun lalu kurang mendapat undian.

Kategori nasyid? Ya… seperti tahun-tahun sebelumnya ia masih lagi diungguli kumpulan Rabbani. Jika anda mahukan memberi peluang kepada kumpulan lain untuk menggenggam trofi itu, undilah calon lain. Sementara itu, bagi kategori penyanyi kumpulan/duo popular, saingan sengit di antara Bunkface dan gandingan mantap Adam & Stacy. Ke mana perginya peminat Hujan, Meet Uncle Hussain dan 6ixth Sense?

Begitulah analisis undian awal dalam tempoh dua minggu ini. Keputusan undian boleh berubah bila-bila masa bergantung kepada kehendak pembaca dan peminat. Gunakanlah mandat yang sudah diberikan kepada anda itu untuk memilih artis pilihan anda sendiri dan bukan pilihan majoriti kerana pilihan pemenang BUKAN PILIHAN TEPAT. Undi jangan tak undi!

Berita Harian

Tom Juara My Starz LG

1 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Menang RM100,000, TV LCD 42 inci, kontrak rakaman

KUALA LUMPUR: Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom, 23, mengetepikan cabaran sengit dua finalis untuk muncul juara pertandingan nyanyian My Starz LG musim ketiga, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.

Selaku juara, peserta dari Taiping itu menerima hadiah wang tunai RM100,000, televisyen LCD LG 42 inci serta kontrak rakaman bersama syarikat Warner Music Malaysia.

Muhamad Hafidz Muhamed Kamal (Apiz), 22, dari Kuala Selangor memenangi tempat kedua seterusnya membawa pulang wang tunai RM15,000 dan telefon bimbit Chocolate LG, manakala pemenang tempat ketiga, Maisarah Ismail (Sarah), 22, menerima RM5,000 dan set teater rumah HT964PZ juga dari LG.

Dalam acara yang disiarkan secara langsung menerusi TV3, Tom menunjukkan kehebatannya di hadapan juri dan penonton dengan menyampaikan rangkaian lagu rock yang dipopularkan Search serta Bunkface, Isabella dan Revolusi, manakala bagi segmen duet pula beliau menyanyikan Senja Nan Merah bersama Mus May.

Apiz pula menampilkan Tia (Jinbara) dalam persembahan secara duet menyampaikan lagu Patri dan Farhana, serta rangkaian lagu Suci Dalam Debu dan Terharu untuk persembahan solo.

Sarah mempertaruhkan lagu Misha Omar, Bunga-Bunga Cinta dan lagu dendangan Mas Idayu, Senggol-Senggolan untuk persembahan solo, serta bergandingan dengan Adam ketika menyanyikan lagu Joget Lambak dan Gelora.

Selain berhibur dengan persembahan nyanyian peserta rancangan terbabit, penonton turut dihiburkan dengan kemunculan Jaclyn Victor yang membawa lagu tema, Gemuruh, dan lagu popular Bunkface, Situasi.

Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti juga menyerikan acara dengan menyampaikan lagu Aku Wanita Biasa, selain berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza ketika menyanyikan lagu Amarah petikan album bersama mereka, CTKD. Siti turut muncul menyanyikan lagu Cinta Ini.

Acara yang dilangsungkan di Dewan Merdeka itu diacarakan Nazruddin Habibur Rahman (Naz) dan Puteri Andreanna Syigim (Anne).

Pertandingan akhir diadili komposer Azmeer sebagai juri tetap, manakala Faizal Maas (Ajai) dan Mas Idayu pula hadir sebagai juri jemputan. Format pemarkahan untuk konsert akhir My Starz LG musim ketiga menyaksikan 50 peratus diberikan juri profesional, manakala 50 peratus lagi daripada undian penonton.

Berita Harian

Cantik Di Mata… Najeeb

30 Jan

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

LELAKI pandai make up? Kalau dibelek senarai pelanggannya – dari kerabat diraja, selebriti terkenal hingga golongan marhain, kebolehan Mohd Najeeb Mohamad Azami usah diperlekehkan… Ikuti kisah anak muda ini

MELIHAT satu persatu nama pelanggan jurusolek profesional ini, tidak dinafikan Mohd Najeeb Mohamad Azami layak berada dalam barisan jurusolek terbaik negara. Biarpun seorang lelaki, sentuhan kreativitinya pada wajah wanita ibarat pelukis yang bermain warna pada kanvas.

Bukanlah pelik melihat lelaki hari ini menguasai bidang yang dulunya medan wanita menunjukkan gah seperti dunia masakan. Hakikatnya, jadual tugasan dan tempahan yang diterima Mohd Najeeb hampir penuh hingga akhir tahun ini!

Persis pelanggan yang menunggu detik disolek jejaka ini, XY – Ikon Lelaki juga perlu menunggu giliran menemuramah Mohd Najeeb sebelum peluang bertentang empat mata bertandang, minggu lalu.

Dek kesibukan tugas, sesi fotografi dan temuramah dilakukan di kediaman Mohd Najeeb di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Lewat petang itu, anak muda ini terpaksa bergegas memenuhi tugasan menyolek bagi sesi penggambaran muka depan sebuah majalah terkemuka.

“Beginilah, saya sentiasa sibuk dengan tugasan menyolek. Andai tidak menyolek artis, ada juga permintaan menyolek golongan kenamaan serta pengantin. Setiap dari pelanggan memberi cabaran tersendiri dalam kerjaya saya ini.



ANTARA wajah hasil sentuhan solekan Najeeb.

“Biarpun ada ketikanya saya letih, semuanya bagai berbayar apabila melihat pelanggan gembira dengan hasil kerja saya,” katanya membuka bicara petang itu.

Tiga tahun bergiat secara serius dalam dunia solekan, jejaka berusia 29 tahun ini berasa cukup bertuah kerana bakatnya diterima kelompok individu berprofil tinggi yang sekaligus melonjakkan ‘sahamnya’.

Tidak mahu alpa dengan pujian, Mohd Najeeb cuba memberikan yang terbaik dan sambil merendah diri, beliau mahu terus belajar bagi meningkatkan kemahirannya dalam bidang solekan.

“Bukan mudah untuk berada di tahap sekarang. Ini kerana saya bermula daripada bawah dan banyak meminta tunjuk ajar daripada ramai makeup artist yang lebih berpengalaman.

“Jujur saya katakan, saya masih dalam proses belajar untuk mempelbagaikan variasi solekan,” katanya.

Datuk Siti Nurhaliza, Maya Karin, Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Deja Moss – itulah antara nama gah yang melengkapkan portfolio hebat Najeeb dalam bidang solekan.

Ikuti rahsia bekas pramugara yang semakin menggegar dunia solekan tanah air ini…

Boleh ceritakan kehidupan anda dalam dunia solekan yang cukup asing dalam dunia lelaki?

Umpama profesion perguruan, itulah yang dapat saya simpulkan mengenai tugas jurusolek. Kami bertanggungjawab mencantikkan pelanggan. Bukan saja mencantikkan mereka, malah umpama guru, saya perlu memberi panduan kepada pelanggan mengenai teknik betul dalam bersolek.

Sudah menjadi tabiat saya untuk berkongsi ilmu solekan kerana saya suka melihat wanita tampil cantik dan berkeyakinan.

Bagaimana semuanya bermula hingga anda mampu berdiri sama gah dengan jurusolek terkenal lain?

Semuanya berlaku tanpa dirancang. Malah, saya berasa cukup bersyukur kerana perjalanan hidup saya bagai diatur sempurna. Sebelum bergelar jurusolek, saya pernah menjadi model sebaik tamat persekolahan serta bertugas sebagai pramugara selama tujuh tahun.

Jadi cerita, disebabkan masalah tulang belakang dan diberi cuti dua tahun oleh syarikat penerbangan, saya berjinak-jinak dalam bidang solekan. Tidak sangka, ia menjadi kerjaya saya hari ini.

Sebegitu mudah bergelar jurusolek?

Oh, tidaklah semudah disangka. Saya banyak meminta tunjuk ajar daripada jurusolek terkenal tanah air termasuk makeup artist Chomel yang membawa saya menyertai bidang ini.

Tanyalah ramai makeup artist, siapa saja yang saya tidak bertanya tip? Ini kerana saya yakin pada kesungguhan dan tidak malu bertanya untuk memajukan diri sendiri.

Dalam tempoh kurang tiga tahun, anda sudah memiliki senarai pelanggan berprofil tinggi. Bagaimana anda mencapai tahap ini?

Peluang tidak datang bergolek di depan mata. Sebaliknya, terus terang saya katakan, bukan mudah meyakinkan pelanggan kerana saya tidak membawa apa-apa kecuali kesungguhan dan bakat.

Seingat saya, tugasan pertama yang membabitkan selebriti ialah ketika saya diminta menyolek Deja Moss bagi menggantikan Chomel. Dari sini, saya mendapat kepercayaan menyolek Misha Omar dan Adam hinggalah saya makin dikenali.

Apa pengalaman menarik sepanjang menjadi jurusolek?

Ketika saya masih menjadi pramugara, saya pernah menyapa Dery iaitu makeup artist terkenal Krisdayanti. Percaya atau tidak, beliau sudi mengajar saya bersolek ketika berada di Jakarta. Ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada untuk mendalami dunia solekan.

Tidak sangka, hari ini saya dan Dery masing-masing menyolek artis. Beliau menyolek Krisdayanti dan saya pula menyolek Siti Nurhaliza.

Bercerita mengenai Siti Nurhaliza, bagaimana kerjasama anda dan penyanyi No 1 negara ini terjalin?

Secara profesional, saya bertindak sebagai jurusolek kedua selepas Nurul Shukor. Saya dipertanggungjawabkan untuk menyolek Siti Nurhaliza jika Nurul sibuk.

Jika hendak bercerita pengalaman pertama menyolek Siti Nurhaliza, saya punyalah takut hingga patal pensil lip liner! Namun, saya gembira kerana Siti Nurhaliza mudah memberi kerjasama.

Siapakah jurusolek idola anda?

Wow, sukar untuk saya berikan nama. Ini kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Secara peribadi, saya mengagumi semua jurusolek senior seperti Khir Khalid, Chomel, Nurul Shukor, Am, Deq Sha dan ramai lagi yang memberi impak besar dalam dunia solekan tanah air.

Malah, saya cukup berbangga kerana di Kuala Lumpur, semakin ramai jurusolek baru dan senior yang gah mempelbagaikan seni solekan.

Mungkin ada perbezaan antara seni solekan anda dengan jurusolek lain di Malaysia?

Jika ramai yang perasan, saya lebih gemar bermain dengan solekan sederhana dan tidak suka menyolek tebal. Bagi saya tidak perlu bersolek tebal hingga mengubah penampilan termasuk melukis garis celak di bawah mata serta membuat shading pada batang hidung.

Apa yang anda tekankan sebelum sesi menyolek?

Saya gemar bertemu dulu dengan pelanggan sebelum sesi menyolek. Mungkin bagi bakal pengantin, saya sebolehnya mahu bertemu sebulan sebelum hari persandingan atau pernikahan berlangsung.

Lelaki dalam bidang solekan – apa pandangan anda sebagai jurusolek lelaki?

Sebenarnya, jurusolek perempuan ramai yang menyerlah tetapi tidak dinafikan, lelaki lebih menonjol hingga menjadi ‘orang kuat’ dalam menyolek selebriti tempatan.

Apa perancangan masa depan anda?

Saya dalam proses melancarkan pek bulu mata palsu atas nama Najeeb. Saya menawarkan pelbagai bentuk alis bulu mata palsu untuk digayakan sesiapa saja.

Adalah menjadi harapan saya untuk memasarkan lebih banyak aksesori dalam bidang solekan. Ini bagi membolehkan masyarakat berfantasi dengan kecantikan.

Cita-cita jadi penyanyi…

SIAPA sangka, darah seni yang mengalir dalam tubuh Mohd Najeeb bukan sekadar kebolehan menyapu gincu atau menempek bedak asas hingga mengubah penampilan pelanggan dengan teknik solekan hebat.

Suatu ketika dulu, Mohd Najeeb pernah mengejar impian menjadi penyanyi. Tanpa berselindung, Mohd Najeeb bercerita, beliau pernah menyertai pencarian bakat seperti Asia Bagus, Sinaran Pasport Kegemilangan dan Pujaan 10 Nescafe demi cita-cita merakamkam album.

“Banyak pertandingan nyanyian yang saya sertai semata-mata mahu memenuhi impian bergelar penyanyi. Namun, selepas banyak kali mencuba, saya sedar tidak mudah bergelar penyanyi,” katanya tertawa mengenangkan pengalaman menyertai pertandingan nyanyian sebaik tamat persekolahan.

Ditanya pula soal selebriti yang berwajah mulus dan mudah disolek, Mohd Najeeb berkata, ramai selebriti terkenal memiliki kulit wajah mulus termasuk Sarimah Ibrahim dan Siti Nurhaliza.

Bagi anak muda ini, kenangan paling indah pastinya detik menyolek Siti Nurhaliza bagi penggambaran kulit album duetnya bersama Krisdayanti di Jakarta, baru-baru ini.

“Ia menjadi job terbesar saya setakat ini… Siapa sangka bintang pujaan yang dulunya saya minati ketika sekolah sekarang menjadi pelanggan saya. Saya cukup terharu,” katanya dengan penuh bangga.

PROFIL: Mohd Najeeb Mohamad Azami
Umur: 29 tahun
Tarikh lahir: 24 Julai 1981
Tempat lahir: Lumut, Perak
Tinggi: 176 sentimeter
Berat: 70 kilogram
Profesion: Jurusolek artis.

Berita Harian

ABPBH2009: Peminat Tidak Setuju Siti Tarik Diri

27 Jan


Siti Nurhaliza

PEMINAT Datuk Siti Nurhaliza berasakan keputusan penyanyi itu untuk menarik daripada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun akan datang dianggap sebagai tidak wajar dan agak ‘menyedihkan’.

Walaupun menghormati tindakannya itu, namun bagi kebanyakan peminat, belum masanya untuk Siti menarik diri daripada mana-mana anugerah, lebih-lebih lagi seperti ABPBH yang membabitkan sokongan secara langsung daripada orang ramai.

Pengendali sesawang Sitizone, Muhamad Azwan Hashim, 24, berkata soal penarikan diri tidak patut dikeluarkan oleh Siti biarpun faham mengenai alasan penyanyi itu yang disifatkan sebagai terlalu baik hati kerana mahu memberi ruang kepada artis lain.

“Sebagai peminat, saya menerima dan menghormati keputusan Siti menarik diri daripada menyertai ABPBH mulai tahun depan. Tapi pada masa yang sama, saya tak nafikan berasa sedih dan kecewa. Melalui penganjuran ABPBHlah kami menunjukkan kesetiaan untuk terus mengundinya.

“Kalau betul Siti nekad dengan keputusannya, kami sebagai peminat akan melihat anugerah berprestij itu sebagai hambar atau seperti tidak cukup ramuan. Dengan produktiviti dan dirinya yang aktif pada tahun ini menerusi konsert dan album yang dihasilkannya, Siti boleh terus dicalonkan dan sepatutnya penyanyi itu tidak boleh menarik diri begitu saja,” katanya yang digelar sebagai Siti Zoners.

Pendapat yang sama turut dipersetujui oleh Zaffirah Zaini dari Lahad Datu, Sabah yang berpendapat Siti terlalu istimewa kepada kebanyakan peminatnya dan keputusan menarik diri daripada ABPBH nanti, pastinya akan menyebabkan ada berasa kecewa.



ROSYAM pernah mahu menarik diri daripada ABPBH tetapi ditolak penganjur.

Katanya, ini kerana sebagai peminat mereka akan sedaya upaya untuk mempertahankan undi dan populariti yang dikecapi Siti selepas lebih sedekad mengharungi dunia seni.

“Tapi semuanya terpulang kepada Siti. Sebagai peminat, kami akan terus menyokong kerjaya Siti. Saya menghormati tindakan Siti dan semestinya beliau sendiri tahu sebab berbuat demikian (menarik diri). Kalau Siti berundur diri sekalipun daripada terus bertanding, ia tak akan membawa impak yang ketara.

Sekurang-kurangnya, Siti terbuka dengan membuka laluan untuk artis lain termasuklah yang menjadi pelapis mewarnakan persada seni. Mungkin soal populariti itu, Siti sudah berada dalam kedudukannya yang tersendiri tanpa perlu bersaing dengan sesiapapun.

“Tapi dalam soal karya, Siti tidak boleh bertolak ansur kerana bakatnya cukup istimewa. Kalau tak disalurkan untuk ABPBH sekalipun, Siti boleh bersaing untuk Anugerah Industri Muzik. Bagaimanapun, rasa seperti malap industri muzik tempatan jika dia tidak mengeluarkan produk (album) atau terbabit dengan siri konsert,” katanya.

Siti Nurhaliza bukanlah orang pertama yang menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada ABPBH.

Tiga tahun lalu, Rosyam Nor pernah menyatakan hasrat untuk tidak mahu lagi disenaraikan dalam mana-mana kategori dalam ABPBH. Pelakon itu menyuarakan niatnya itu yang disiarkan secara langsung ketika selepas diumumkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular pada ABPBH2005.

Alasan Rosyam kerana sudah kerap menang dalam ABPBH dan berasakan sudah tiba masanya gelaran itu diberikan kepada pelakon lain pula. Rosyam menang sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular sebanyak tujuh kali, Pelakon TV Lelaki Popular (enam kali) dan Bintang Popular pada tahun 2002.

Dan, seperti Rosyam, Siti juga mahu menarik diri daripada ABPBH tahun depan kerana mahu memberi peluang kepada penyanyi lain memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular yang dimenanginya selama 12 kali berturut-turut. Siti juga dipilih sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH sebanyak enam kali.

Nama Siti akan tetap dicalonkan

PENGARANG Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid berkata elemen populariti adalah satu bonus dalam kerjaya artis dan ia menjadi nilai tambah untuk terus melonjakkan kerjaya itu ke satu peringkat yang lebih baik.

Populariti juga bersifat subjektif dan boleh hilang begitu saja jika tidak dijaga betul-betul.

“ABPBH adalah anugerah yang mempertaruhkan hak peminat dan Siti sebenarnya tidak boleh mempertikaikan hak itu secara dasarnya. Daripada sudut pihak penganjur, Siti juga tiada hak untuk menarik diri kerana semuanya bergantung kepada pilihan pembaca dan peminat.

“Siti boleh menarik diri dengan syarat dia tidak mengeluarkan atau mempunyai sebarang produk sepanjang tahun ini dan itu secara automatik namanya tidak akan dicalonkan dalam senarai pencalonan awal. Selagi ada produk, peminat berhak mengundinya untuk ke top 5 mahupun sehingga menang trofi.

“ABPBH memberi mandat kepada pembaca dan peminat untuk memilih artis kesukaan mereka. ABPBH tidak membabitkan juri profesional. Jelas, populariti boleh hilang dengan sendirinya dan tidak perlu mana-mana artis itu membuat keputusan untuk menarik diri,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks penganjuran ABPBH, jelas di sini tidak timbul soal dikuasai oleh mana-mana artis kerana semuanya sangat terbuka dan terserah kepada peminat yang mengundi.

Sekiranya mana-mana artis itu mempunyai produk, mereka layak untuk dicalonkan.

Melihat kepada produktifnya Siti pada tahun ini, tak mustahil dan tidak teragak-agak pihak penganjur untuk mencalonkan nama Siti dalam pencalonan awal ABPBH 2010. Sekalipun Siti tak mahu bertanding lagi pada tahun depan dan sekiranya Siti tercalon lagi dalam top 5, keputusan adalah muktamad.

Jika peminat menghormati keputusan Siti dan sepakat untuk tidak mengundi Siti, besar kemungkinan apa yang dimahukan Siti akan menjadi kenyataan. Persoalannya, apakah peminat Siti akan tegar untuk tidak terus mengundi penyanyi kesayangan mereka?

Berita Harian

Biarlah Bertahan Lama

26 Jan

Oleh Zaidi Mohamad

Aizat bersyukur kerjayanya semakin bersinar tetapi bimbang pencapaiannya dianggap terlalu pantas

PADA usia yang muda dan dalam tempoh hampir dua tahun, nama Aizat di atas pentas seni terus menyinar. Tahun lalu saja, anak muda ini mencipta kejayaan dalam beberapa siri anugerah yang dipertandingkan seperti Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik 2008 dan termasuk pertandingan nyanyian di luar negara.

Dan, pada awal tahun ini permulaan yang baik buat bagi Aizat lagu nyanyiannya, Pergi ciptaan Pete Teo dan seni kata daripada Amran Omar dipilih sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24. Malah lagu aksinya ketika membawakan lagu Kau Aku membuatkan dia diiktiraf layak menerima hadiah Persembahan Terbaik. Pastinya kejayaan demi kejayaan membakar semangatnya untuk terus berkarya.

Aizat juga bertuah kerana selain disokong peminat, keluarganya juga antara penyumbang utama di atas kejayaannya dalam bidang seni. Namun dalam keseronokan mengecapi kejayaan itu, Aizat tidak menafikan terbit juga kebimbangan di atas populariti yang diterimanya itu mungkin boleh memakan diri kelak.

“Ada kalanya Aizat dan keluarga berasakan apa yang dinikmati ini mungkin terlalu cepat. Risau juga orang selalu cakap, cepat naik, cepat turun. Aizat harap takkan lupa diri dan bersyukur keluarga terus memastikan diri berada di landasan yang betul.

“Aizat sentiasa bertawakal dan berdoa supaya boleh terus bertahan lama. Bagi Aizat apa yang diterima sekarang bukan kemuncak kepada segala-galanya. Ini baru sebahagian sahaja. Kemuncak tiada akhirnya kerana hidup ini bererti setiap hari adalah proses pembelajaran,” katanya yang ditemui Hip dalam satu majlis kesyukuran Aizat di AJL 24 anjuran Aizat dan syarikat keluarganya Kasi Gegar Entertainment (KGE) Sdn Bhd di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Majlis itu juga turut meraikan hari lahir Aizat ke-21. Katanya, pada usia 21 tahun, dia tidak boleh terus bermimpi dan kunci kebebasan yang yang baru dimilikinya bermakna dia perlu bekerja lebih gigih dan berdikari.

Menurutnya lagi, sambutan hari lahir tidak lebih daripada sekadar meraikan umur yang meningkat dan apa yang lebih penting akui penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu itu, dia masih seperti Aizat yang dulu.

“Aizat tetap Aizat yang sama. Apa yang lebih penting ialah misi Aizat untuk terus berkarya mencipta lagu yang didengari orang dan tersirat mesej tersendiri sudah memadai. Selebihnya adalah satu bonus.

“Pada akhirnya Aizat mula sedar bakat yang lebih dulu dilihat. Sama ada Aizat kurus atau berisi seperti sebelum ini bersifat subjektif. Dalam muzik juga tujuan asal Aizat bukan sekadar mahu menjadi penyanyi dan komposer saja, malah untuk belajar mendalami muzik contohnya seperti membuat skor muzik dan membuka studio.

“Aizat bercita-cita nak buka studio secanggih Abbey Road Studios di London. Di Malaysia kalau ada pun studio seperti itu hanya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tapi hanya terbatas untuk tujuan membuat persembahan saja. Insya-Allah mungkin pada penghujung tahun ini Aizat nak sambung belajar,” katanya yang bercadang mahu belajar di luar negara.

Sambut hari lahir di hospital, dapat hadiah jam daripada LJ

KATA Aizat, sehari sebelum hari lahirnya, dia terpaksa berada dalam wad di sebuah hospital di Ampang kerana mengalami masalah dalam perut yang memerlukan pembedahan kecil dilakukan dengan segera. Disebabkan masalah ini juga Aizat tidak sempat untuk menghadiri sidang media pengumuman senarai akhir Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 pada 20 Januari lalu.

“Keluarga Aizat datang melawat dan sempat membuat kejutan membawa kek, itu pun dalam pukul 2 pagi kerana terpaksa menunggu Aizat yang mengalami kesukaran melawas selama dua jam sejak sejak pukul 12 tengah malam lagi,” katanya ringkas.

Ketika ditemubual Aizat turut ditanya apakah hadiah yang diberikan Liyana kepadanya. Tanpa berselindung, Aizat menunjukkan pergelangan tangan kirinya yang memakai jam berwarna kuning jenama ToyWatch. Bererti Liyana menghadiahkannya seutas jam.

Teringin berduet dengan Siti Nurhaliza

MELIHAT kepada impak kejayaan Aizat, sudah ada yang meramal kategori Penyanyi Lelaki Popular yang mencalonkan namanya buat kali kedua pada tahun ini bakal menjadi miliknya. Jika tahun lalu, kategori itu dipegang Mawi. Malah selain Mawi, pada tahun ini juga Aizat bersaing dengan Adam, Akim dan Faizal Tahir.

“Melihat kepada calon lain, masing-masing mempunyai pengikut dan keputusan tertakluk kepada undian peminat. Aizat pernah melalui proses yang sama di di Akademi Fantasia dulu. Menang atau kalah bukan isu, sebaliknya kita terus menghidupkan persada seni,” katanya.

Dalam masa terdekat, ada beberapa siri persembahan yang akan membabitkan Aizat termasuklah Konsert Satu Suara yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 12 hingga 14 Februari depan. Konsert itu turut membabitkan Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

Ketika ini juga, Aizat dalam proses menerbitkan album keduanya. Setakat ini sudah 20 peratus siap dan diterbitkan 100 peratus oleh KGE. Akui Aizat, album terbarunya kali ini memang agak berbeza jika mahu dibandingkan dengan album sulungnya.

“Untuk album ini juga, saya terbuka untuk bergandingan atau berduet dengan mana-mana penyanyi. Besar kemungkinan akan ada lagu duet juga. Kalau dapat berduet dengan Datuk Siti pun menarik juga,” kata Aizat.

INFO: Trivia Aizat Pada tahun lalu saja Aizat meraih kejayaan beberapa pertandingan seperti Anugerah Industri Muzik 16, Festival Muzik Pop Antarabangsa – Discovery 2009 dan Anugerah Planet Muzik 2009. Tahun ini, tahun kedua Aizat bolos dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2009. Melihat Faizal Tahir sebagai seorang yang berani dan berbakat besar. Album pertamanya yang berjudul Percubaan Pertama cukup memberi impak kepada pacuan kerjayanya. Malah muat turun untuk lagu Hanya Kau Yang Mampu juga cukup hebat.

Berita Harian