18 Drama Terbaik Bersaing

24 Oct

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
ACARA berprestij, Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008) yang akan berlangsung jam 9 malam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 7 November ini menyaksikan persaingan sengit 18 drama yang dicalonkan ke peringkat akhir sekali gus merebut trofi Drama Terbaik ASK 2008.

Daripada 18 drama yang dicalonkan, drama yang disebut mengungguli trofi kategori utama itu, Kehangatan Lantana arahan pengarah Feroz Khan.

Kehangatan Lantana mengisahkan Juwita, bekas Ratu Cantik Malaysia 1994 yang dihantui perasaan fobia kecantikan miliknya kian pudar hingga sanggup tunduk pada ilmu hitam. Telefilem yang menampilkan Nur Fasha Sandha Hassan dan Adi Putra ini mencatat rating tertinggi iaitu 3.6 juta penonton sejak disiarkan kali pertama di stesen TV3, 31 Mei lalu.

Selain kategori Drama Terbaik, Kehangatan Lantana juga dicalonkan untuk dua lagi kategori utama, Pelakon Lelaki Terbaik Drama (Adi Putra) dan Pelakon Wanita Terbaik Drama (Fasha Sandha).

Feroz berkata, drama itu tersenarai ke peringkat akhir ASK 2008 sudah cukup bermakna buatnya.

“Ia membuktikan orang menghargai karya kita. Apatah lagi, ini drama pertama terbitan produksi Neon Entertainment yang tercalon dalam ASK.

“Selain pengarah, saya juga penerbit drama ini bersama dua abang, Mohd Rafiq dan Mohd Iskandar serta rakan kongsi, Abdul Kalam Pakkir. Kehangatan Lantana mempunyai kekuatan dari segi jalan cerita dan mesej yang mahu disampaikan kepada penonton.

“Setiap perbuatan yang kita lakukan akan mendapat balasannya. Sebagai pengarah, saya hanya buat yang terbaik dan berdasarkan maklum balas penonton, ramai menangis apabila menonton cerita ini.

“Namun, saya tidak menaruh harapan tinggi kerana drama lain juga hebat. Setiap drama yang bakal tercalon ke peringkat akhir juga mempunyai kualiti dan kekuatan tersendiri,” katanya.

Ini juga pencalonan ketiga buat Feroz. Sebelum ini, drama arahannya, telefilem Rendang Untuk Mentua dan DNA Jasmin tercalon pada ASK 2006 dan Mya Zara (ASK 2005).

Drama lain yang disenaraikan ke peringkat akhir, Ihsan, Tuhan Pun Tahu, Cinta Si Rempit, Suara Saleha dan Cari, yang semuanya disiarkan TV3.

Selain itu, Pulanglah Di Aidilfitri, Nasi Lemak Lebaran, Kebun Pisang Tok Mudim, Calon Madu dan Wasiat Fitrah, disiarkan di RTM1 dan RTM2.

TV9 menyandarkan kehebatan telefilem Raya Sedondon, Abang! Mak Panggil Balik dan Relung Kasih. Manakala ntv7 menghantar dua drama, Aku Bukan Buaya (GBSB) serta Jangan Lupa (Phosumpro). Astro Ria dengan dua penyertaan, drama Hang 2 dan Kembalikan Amanda.

Bagi kategori Drama Rantaian pula, 13 drama yang berjaya, Jelatang, Iris, Manjalara dan Bella yang ditayangkan di TV3.

Selain itu, Takdir Yang Terindah, Bicara Aur Dengan Tebing, Tangisan Bulan Madu, Bilik No 13 yang disiarkan di RTM1 dan RTM2.

Tidak ketinggalan, Akademi Polis, Pendekar Lima (TV9), Elly (ntv7), Ghost (8TV) dan Jangan Main Belakang (Astro Ria).

Untuk kategori Drama Komedi, Mr Mama (TV3), Bujang Antik (RTM1), Depan Rumah Sebelah Kedai (TV2), Pak Pandir Moden (TV9), Gaia (Astro Ria) dan Di Bawah Ketiak Isteri (Prima).

Bagi kategori Filem Terbaik ASK 2008 pula, filem Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) arahan Mamat Khalid dijangka mengulangi kejayaannya pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21), baru-baru ini. Filem KMBM antara 22 filem yang disenaraikan ke peringkat akhir ASK 2008. Mamat mengakui dia gembira dengan pencalonan KMBM ke peringkat akhir ASK 2008.

“ASK selalunya menilai populariti sesebuah filem dan apabila KMBM berjaya ke peringkat akhir, ia membanggakan saya. Kalah atau menang bukan persoalan. Apa yang penting, anugerah ini galakan kepada pembikin filem untuk menghasilkan produk bermutu dan penuh tanggungjawab.

“Kejayaan KMBM pada FFM21 begitu besar maknanya. Jika KMBM mengulangi semula kejayaan itu pada ASK 2008, ia menyuntik semangat saya menghasilkan karya lebih bagus.

“Daripada 22 filem yang bertanding, saya melihat KMBM menghadapi saingan sengit dengan 1957: Hati Malaya,” katanya.

Sebelum ini, Mamat pernah mengungguli trofi Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin-Panca Delima 2001 (drama Pinang Durian).

Empat lagi filem bersaing sengit dengan KMBM dan dijangka mara ke Top 5 ASK 2008, 1957: Hati Malaya, Anak Halal, Cuci dan Pensil.

Filem lain yang disenaraikan ke peringkat akhir ialah Cinta Yang Satu, Haru Biru, Kayangan, Impak Maksima, Otai, 9 September, Misteri Orang Minyak, Nana Tanjung 2, Dunia Baru The Movie, Anak, Duyung, Akhirat, Evolusi KL Drift, Congkak, Cinta U-Turn, Apa Kata Hati? dan Sepi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata, ASK 2008 menyaksikan 22 kategori berbanding 20 kategori dipertandingkan tahun lalu membabitkan drama, filem dan penerbitan dalaman.

“Dua lagi kategori diperkenalkan bagi kategori filem, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

“Secara keseluruhan, sembilan kategori dipertandingkan bagi kategori drama, drama rantaian dan drama komedi. Selain itu, tujuh kategori dari filem dan enam kategori bagi penerbitan dalaman.

“Calon yang dipertandingkan untuk 22 kategori ini membabitkan terbitan yang ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2007 hingga 30 Jun 2008. Pencalonan drama berdasarkan rating jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen berdasarkan genre masing-masing.

“Manakala, penilaian untuk peringkat kedua bagi memilih senarai Top 5 pula diputuskan juri profesional sebelum menjelang malam anugerah itu nanti.

“Bagi kategori drama yang dipertandingkan, siaran ulangan drama itu ditayangkan di slot Cerekarama bermula 16 Ogos hingga 26 Oktober ini,” katanya.

Amrin berkata, ASK 2008 dihangatkan lagi persembahan hebat daripada Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Nor, Lah, Noryn Aziz dan Nikki.

“Selain itu, kemunculan pelakon seperti Erry Putra, Emelda Rosmila dan Faradhiya yang buat kali pertama bergandingan menyampaikan medley istimewa sambil berdansa dibawah tunjuk ajar koreografi terkenal, Sazlan Mat Adnan dan Pat Ibrahim.

“Persembahan mereka diiringi kumpulan muzik bimbingan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito. Acara malam itu dihoskan Adlin Aman Ramli dan Nurul Syuhada,” katanya.

ASK 2008 meneruskan tradisi apabila Anugerah Khas Juri diberikan kepada penerima bertuah yang akan diumumkan pada malam itu.

Calon untuk anugerah khas penaja, Anugerah Pantene Shine ASK 2008, Jue Aziz (Jangan main Belakang) Ayu Raudah (Pulanglah Di Aidilfitri), Wan Sharmila (Abang Mak Panggil Balik), Carmen Soo (Ghost) dan Sherry Ibrahim (Elly). Beliau berkata demikian ketika pelancaran ASK 2008 di One World Hotel di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Datuk Anthony Firdauz Bujang, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Adilah Shek Omar, Pengurus Rangkaian Astro Ria, Khairul Mizan, Pengurus Rangkaian Astro Prima, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Media Asean, Procter & Gamble, Ivy Sam.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: