Sedia Redah Cabaran

25 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Indah Ruhaila

Indah Ruhaila pastinya puas kerana lagu single pertamanya Dengarlah Kekasih menjadi lagu tema drama di TV3

SEINDAH namanya, Indah Ruhaila atau bernama penuh Siti Ruhailah Hussein, 21, tetap tegar untuk muncul di persada seni menerusi album sulung menggunakan judul nama komersialnya sendiri. Di bawah kepercayaan dan kesinambungan syarikat rakaman Suria Records (SRC) melahirkan artis baru, Indah bangkit pada tahun ini biarpun sudah hampir setahun berada dalam bidang ini.

Penyanyi ini sudah muncul dengan album sulungnya berjudul Dengarlah Kekasih yang berada di pasaran sejak 13 Oktober alu. Malahan lagu Dengarlah Kekasih ciptaan Aiman dan seni katanya ditulis oleh Zimi Sofaz menjadi pilihan sebagai single pertamanya.

Menariknya, single Dengarlah Kekasih itu menjadi lagu tema untuk drama Obsesi arahan Zeel Productions. Drama araham Muhammad Murali Abdullah itu sudah disiarkan sejak 5 November lalu menerusi slot Samarinda di TV3.

Muhammad Murali juga turut bertanggungjawab menyiapkan klip video lagu nyanyian Indah Ruhaila ini yang dilakukan di Pulau Kapas, Terengganu.

Awal permulaan kerjayanya dipacu sesudah berjaya menjuarai pertandingan KIP Idol anjuran SRC di Johor pada tahun 2005. Sebelum tampil dengan album penuh, Indah sudah merakamkan lagu raya berjudul Di Lebaran Yang Ini yang dimuatkan dalam album kompilasi raya SRC termasuklah album raya Lebaran Siti dan Teman-Teman pada tahun ini.

Jika ada yang masih mengingati, namanya pernah dihinggap kontroversi kononnya menjalinkan hubungan dengan lelaki orang. Lebih teruk mereka dikatakan sudah berkahwin dengan anggota kumpulan 2By2, Zul. Menafikan kisah itu sekeras-kerasnya, Indah mengakui Zul memang sangat rapat dengan keluarganya.

“Itu hanya gosip. Indah mula kenal dia sejak memenangi pertandingan KIP Idol dan masa itu, dia salah seorang daripada juri yang terbabit. Selain keluarga Indah, Zul sudah lama kenal dengan abang Indah sendiri,” katanya awal bicara sebelum fotografi berlangsung di Balai Berita.

Mengakui masih solo dan hanya kerjaya yang menjadi tumpuannya, Indah enggan menjejaskan kisah kerjayanya dihantui dengan kisah peribadi, apatah lagi enjin kerjayanya baru saja bermula dan belum sempat panas.

Bangga dapat memanjangkan warisan seni arwah moyangnya, Rosiah Chik dan juga bapa saudaranya, Ayai iaitu vokalis kumpulan Illusi, Indah sudah bersiap sedia berdepan dengan apa juga kemungkinan yang mungkin dihadapinya seiring dengan langkah pertamanya menjadi penyanyi rakaman.

“Indah kena berdepan dengan apa juga gosip mahupun kritikan kerana itu adalah sebahagian daripada rencah dunia hiburan. Kalau tiada hal-hal itu, maka bukan dunia artis jadinya. Sedikit sebanyak, hal demikian boleh membantu menaikkan nama artis dan biarpun pahit untuk ditelan bagi mana-mana kontroversi atau gosip yang negatif.

“Indah bersyukur kerana keluarga dan teman-teman sangat positif memberi sokongan dan semangat untuk Indah meneruskan perjuangan seni. Begitu juga dengan pakcik Ayai pun turut memberi sokongan. Indah harap akan terus mendapat sokongan daripada pihak media dan peminat. Semoga album sulung Indah akan mendapat tempat dan sekali gus memeriahkan suasana industri,” ungkap Indah yang bijak bergaya di depan kamera.

Percaya kepada bakat dan ketentuan Yang Maha Esa, rezeki pasti ada di mana-mana. Nama Indah Ruhailah juga dipilih atas perbincangan syarikat rakamannya kerana enggan menggunakan nama awalan sebagai Siti kerana sudah banyak penyanyi yang menggunakan nama Siti antaranya seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Siti Sarah.

Menurut Indah, niatnya menjadi penyanyi bukan mengejar adalah atas paduan kerjasama diri sendiri serta bantuan syarikat rakaman.

“Keyakinan itu perlu ada di dalam diri dan percaya kepada soal rezeki. Yang penting, Indah perlu jaga nama baik sebagai satu jenama untuk terus kekal. Bukan semua orang sukakan kita dan begitulah sebaliknya. Indah kena berpijak kepada bumi nyata.

“Nama Indah ini juga menjadi nama timangan sejak kecil. Nama itu diberi arwah nenek Indah, Asmah Ahmad. Ia diberi sebab Indah dikatakan kuat melalak dan merengek, jadi pesan orang tua ialah dengan menukar nama panggilan. Nama Indah kekal sehingga Indah belajar di darjah dua,” kata Indah mengakhiri bicara.

Info Indah Ruhailah

Kontrak bersama SRC selama lima tahun.

Album sulungnya dipasarkan sejak 13 Oktober lalu dan lagu Dengarlah Kekasih ciptaan Aiman dan liriknya, Zimi Sofaz menjadi pilihan sebagai single pertama.

Indah Ruhailah dan Erra Fazira kini menjadi artis perempuan di bawah naungan SRC. Artis lelaki pula iaitu Sofaz dan Newboyz. Mana kala artis Indonesia yang mana album mereka diedarkan SRC ialah Rossa, Ungu dan Peterpan.

Mengagumi Datuk Siti Nurhaliza dan bercita-cita ingin menjadi serta mengikut jejak langkah penyanyi tersohor itu.

Single pertamanya juga menjadi lagu tema drama Obsesi terbitan Zeel Production sdn Bhd. Drama arahan Muhammad Murali Abdullah ini akan disiarkan mulai 5 November ini mengisi slot Samarinda di TV3.

Muhammad Murali Abdullah turut mengarahkan klip video lagu itu di Pulau Kapas pada Ramadan lalu.

Profil Indah Ruhailah

Nama sebenar: Siti Ruhailah Hussein

Tarikh lahir: 30 Julai 1987

Tempat lahir: Kota Tinggi, Johor

Hobi: Menari, memasak dan menyanyi

Emel atau Facebook: indahruhaila@popstar.com

Berita Harian

Leave a comment