Diana Sudah Sedia

25 Nov

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

WALAUPUN mengakui masih cetek pengalaman dalam dunia lakonan, namun Rusdiana Rusdi, 24, atau Diana sudah bersedia memikul tanggungjawab dan peranan sebagai pelakon utama dalam setiap drama yang bakal dilakonkannya.

Naib juara Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007 diperkenalkan menerusi drama televisyen, Wakaf terbitan RTM manakala Keranamu Anis Suraya, Kasih Suci dan Dilema Wanita arahan Erma Fatima.

Diana turut mendapat kepercayaan pihak pengurusan produksi Niche Films dan Primeworks Studio Sdn Bhd sebagai teraju utama bagi drama bersiri perubatan, Ampang Medikal yang disiarkan setiap Khamis, jam 8.30 malam.

Membawa watak Dr Siti dalam drama bersiri 13 episod itu, Diana sendiri seperti tidak percaya apabila dimaklumkan pihak pengurusan produksi diberi peranan utama menerusi drama itu.

“Ini pertama kali saya terbabit dengan watak utama. Pada peringkat awalnya, memang saya berdebar untuk membawa watak ini. Mujurlah ada bimbangan pengarah dan beberapa pelakon berpengalaman seperti Nur Aliah Lee, Azhar Sulaiman, Louisa Chong dan Bell (Ngasrizal Ngasri). Sedikit sebanyak perasaan takut itu dapat diatasi.

“Memang saya langsung tidak percaya diberikan peranan antara watak utama dalam drama bersiri ini. Memandangkan sebelum ini saya hanya tampil dengan watak pembantu.

“Begitupun, ini satu perkembangan yang baik dalam karier lakonan saya yang masih jauh perjalanannya. Sebelum ini, memang ada yang mahu memberi peluang dan tawaran berlakon cuma saya tidak berani menerimanya selain terbabit dengan komitmen lain,” katanya.

Mengulas watak sebagai Dr Siti, dia menyifatkan lakonan dalam drama itu ternyata berbeza daripada karakter sebenarnya.

Katanya, Dr Siti terlalu fokus kepada kerjaya kedoktorannya malah terbabit dalam konflik cinta. Walaupun sudah bertunang, dia memainkan perasaan tiga jejaka yang menagih cinta daripadanya.

“Siri drama ini sudah pun memasuki musim kedua, tambah menarik apabila ada perkembangan karakter Dr Siti. Siri yang bakal ditayangkan tahun depan ada beberapa perubahan seperti kehadiran beberapa karakter baru dan tidak ketinggalan juga beberapa watak yang akan meninggalkan drama itu,” katanya.

Pengalaman terbabit dalam merawat pesakit di bawah bimbingan pakar membuatkan Diana teruja untuk melakonkan drama mengenai kisah kedoktoran pertama tempatan itu.

Dia yang sebelum ini melakonkan watak gadis liar dalam drama Kasih Suci turut menyimpan impian membawa watak gadis gila atau bersikap antagonis.

Diana bukan saja berbakat dalam lakonan malah berkebolehan dalam bidang pengacaraan menerusi program informasi hiburan untuk kanak-kanak, Whoa! terbitan ntv7 yang disiarkan setiap hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Dia yang digandingkan bersama Hafiz sebagai perantara program itu mengakui seronok dapat menyediakan kandungan program untuk kanak-kanak bawah 14 tahun.

“Saya suka mengendalikan program kanak-kanak. Bagi saya tidak susah melayan kerenah kanak-kanak. Saya sendiri sudah mempunyai lima anak saudara. Sedikit sebanyak pengalaman bersama anak saudara banyak membantu ketika berurusan dengan kanak-kanak di luar. Kandungan program juga tidak sukar kerana ia hanya disiarkan tiga hingga lima minit setiap sejam.

“Saya mengacara bersama Hafiz namun terpaksa melepaskan sementara tugas itu ketika terbabit dalam penggambaran drama. Walaupun masih ada beberapa tawaran, saya mahu memberi tumpuan kepada rancangan ini pada tahun depan,” katanya.

Seperti selebriti lain yang dihambat pelbagai berita negatif, Diana tidak terkecuali menerima tempias gosip dunia hiburan apabila dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan suami orang dan mengarah pelakon lebih senior ketika di lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, sebagai individu matang, Diana menerima gosip berkenaan sebagai asam garam dalam dunia hiburan.

“Soal konflik bersama pelakon tidak wujud langsung. Saya berkawan dengan semua orang. Kru dan pelakon saya anggap seperti keluarga. Bayangkanlah, sesi penggambaran yang panjang dan membabitkan kebanyakan lokasi terhad menjadikan kami cepat mesra.

“Saya masih menetap dengan ibu bapa dan keluarga. Mereka tahu dengan siapa saya berkawan. Tidak timbul langsung soal saya menjalinkan hubungan dengan suami orang.

“Apabila berbicara soal gosip dunia hiburan saya sering bertanya atau mendapatkan pandangan daripada pelakon senior. Memandangkan gosip berkenaan tidak begitu besar dan saya pula masih baru dalam dunia seni berbanding mereka yang sudah puluhan tahun terbabit dalam industri. Mereka menasihatkan saya agar banyak bersabar dan membiarkan gosip yang tidak benar itu berlalu.

“Sebagai selebriti, saya juga perlu membiasakan diri menerima gosip. Sebelum bergelar artis saya sendiri menganggap gosip lebih kepada perkara yang benar-benar berlaku. Namun, selepas terbabit dalam bidang ini baru saya sedar gosip juga mempunyai dua kemungkinan,” katanya.

>Profil

TARIKH LAHIR: 26 Mei 1985

TEMPAT LAHIR: Den Hague, Belanda

ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Pengiklanan dan Pemasaran, Institut Latihan Komunikasi Pengiklanan (IACT)

EPNCAPAIAN: Naib juara, Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2007

PENGACARA: Whoa! (ntv7)

DRAMA: Wakaf, Keranamu Anis Suraya, Dilema Wanita, Kasih Suci dan Ampang Medikal

Harian Metro

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: