ABPBH2009: Kali Terakhir!

26 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Selama lebih satu dekad nama Siti Nurhaliza tidak pernah tercicir daripada ABPBH, tiba-tiba dia mengumumkan mahu tarik diri sedangkan ini adalah anugerah pilihan pembaca bukan pilihan juri

SUDAH sedekad namanya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan sepanjang tempoh itu juga, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menggenggam trofi Anugerah Bintang Paling Popular selama enam tahun berturut-turut. Malah, jika si empunya diri tidak lagi meraih gelaran itu, jarang dia pulang dengan tangan kosong.

Selama hampir 15 tahun menceburkan diri dalam bidang ini, nama Siti dan ABPBH cukup sinonim. Suara dan aksinya sering ditumpahkan di atas pentas ABPBH sebagai hiburan kepada penonton. Sukar menidakkan sumbangan Siti dalam merancakkan anugerah tahunan itu. Namun, untuk kemuncak ABPBH2009 di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 April nanti, pastinya meninggalkan kenangan manis buat penyanyi jelita dan bervokal mantap ini apabila ia bakal menjadi tahun terakhir Siti untuk hadir sebagai finalis.

“Siti sudah melalui acara ini dalam masa yang panjang, jadi Siti rasa sudah tiba masanya untuk berehat. Sebelum ini pun Siti sudah merasai pahit getir berkempen. Saban tahun Siti melihat ada peningkatan dari segi senarai finalis ABPBH dan ada ramai yang boleh jadi pelapis.

“Sebenarnya memang sudah lama Siti ingin berehat, malahan untuk tahun ini hampir saja Siti menarik diri tetapi mengenangkan nama Siti pun sudah dicalonkan dan sayang jika Siti berbuat demikian, jadi Siti putuskan, biarlah Siti mengambil tindakan itu untuk tahun depan pula,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Satu Suara yang menampilkan Aizat dan Faizal Tahir.

Konsert tiga hari bermula 12 Februari ini bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dan ia adalah terbitan Siti Nurhaliza Production (SNP) untuk tahun 2010 ini, selepas Konsert Seribu Warna penghujung tahun lalu.


Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Urusan AEON, Nagahisa Oyama.

Biarpun membuat keputusan untuk tidak lagi bertanding, Siti akan tetap memberi sokongan kepada acara itu dalam pelbagai cara.

“Kepada peminat, terima kasih mencalonkan saya sekali lagi untuk tahun ini. Tapi saya harap, sokongan itu akan berterusan walaupun Siti sudah tidak menyertai ABPBH pada masa akan datang. Siti hanya tidak mahu bertanding tetapi kalau diminta untuk membuat persembahan, Siti tidak menolak. Malah, Siti juga akan hadir menyaksikan acara itu bagi memberi sokongan kepada yang lain-lain.

“Dan ini juga bukan bererti ia adalah penamat kepada kerjaya seni Siti. Karier Siti masih seperti biasa. Cuma Siti hanya mahu memberi peluang kepada artis baru untuk melalui apa yang Siti lalui sebelum ini. Siti harap semua peminat Siti faham,” tutur penyanyi lagu Ku Percaya Ada Cinta ini sambil melemparkan senyuman manis.


DARI kiri; Faizal,
Mohamed Juhari, Nagasiha
Oyama, Siti dan Aizat
pada sidang
media Konsert
Satu Suara di
Istana Budaya,
baru-baru ini.

Ditanya apakah keputusan yang dibuatnya itu ada kaitan dengan suara sumbang yang mempertikaikan kemenangannya sebelum ini, Siti menafikan perkara itu.

“Keputusan ini bukanlah disebabkan Siti kecewa atau merajuk. Buat apa nak merajuk. Tahun depan Siti mahu berehat dan biarlah Siti datang ke acara itu sebagai penonton saja dan bukannya peserta,” kata Siti yang semakin langsing ini.

Pernah menjadi juri AJL

MEMANG sukar menjadi Siti. Apa saja yang dilakukan, pasti ada pihak yang tidak berpuas hati. Apabila muncul dengan banyak konsert, dikatakan cuba membolot dan ‘gila kuasa’. Apabila melahirkan pelbagai produk album, dikata tidak berkualiti dan asal siap.

Terbaru, apabila penyanyi dari Kuala Lipis, Pahang ini duduk di kerusi juri Anugerah Juara Lagu ke-24, ada mempersoalkan kredibilitinya sehingga membuatkan hatinya sedikit terusik.

“Siti hairan mengapa mempertikaikan Siti sebagai juri kerana sebelum ini pun Siti pernah menjadi juri untuk acara yang sama. Lagipun Siti hanya ditugaskan kategori persembahan. Itupun hanya berapa peratus saja memandangkan lagu yang dipertandingkan sudah dinilai lebih awal. Jadi mengapa hendak meletakkan segala perasaan tidak puas hati itu pada Siti.

“Sebagai juri, Siti hanya memberi markah yang Siti rasakan layak untuk sesebuah persembahan itu. Selepas itu, semua markah yang terkumpul diberikan kepada Ketua Juri. Jadi kalau ada yang tak puas hati, sila ajukan pertanyaan kepada dia dan bukannya Siti,”ujarnya.

Kagum kebolehan Aizat, Faizal Tahir

BERMULA dengan menyanyikan lagu mereka dalam persembahan, kini gandingan bersama Faizal Tahir dan Aizat melangkah ke fasa lebih tinggi lagi apabila Siti menganjurkan konsert istimewa yang menampilkan dua penyanyi itu di sebuah lokasi yang cukup berprestij dan menjadi impian kepada ramai penyanyi.

Tentunya ramai yang tertanya-tanya, apakah keistimewaan dua penyanyi ini sehingga Siti sanggup memilih mereka membuat persembahan di pentas IB.

“Secara peribadi, Siti amat mengagumi bakat mereka. Mereka bukan saja boleh menyanyi tetapi menulis lagu dan lirik. Malah, mereka juga mempunyai ramai peminat. Jadi, dengan apa yang mereka miliki itu, Siti rasa mereka adalah antara penyanyi pelapis yang layak untuk membuat persembahan di IB.

“Pun begitu, peluang yang sama juga akan Siti buka kepada mana-mana artis lain yang Siti rasakan sesuai. Walaupun persembahan ini berlangsung pada waktu orang sedang cuti panjang kerana meraikan Tahun Baru Cina, tapi Siti yakin itu bukanlah halangan untuk orang ramai datang menyaksikan persembahan ini,” kata Siti yang mula merancang konsert ini sejak tiga bulan lalu.

Mengulas keadaan kesihatan Faizal yang kurang memuaskan, Siti berkata dia mengharapkan penyanyi itu lebih banyak berehat supaya dapat membuat persembahan pada hari sebenar nanti.

“Memang kesihatan Faizal adalah yang paling merisaukan Siti. Siti tak mengharapkan Faizal terlalu agresif kerana dia perlu mengikut nasihat doktor. Cuma Siti harap dia dapat membuat yang terbaik buat dirinya,” kata Siti yang juga Duta Yayasan Aeon Malaysia ini.

Selain menyaksikan persembahan secara solo dan duet membabitkan dua penyanyi ini, penonton juga berpeluang melihat persembahan secara trio. Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam setengah ini menampilkan Jennifer Thompson sebagai pengarah persembahan, manakala Sze Wan bertindak sebagai pengarah muzik.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: