Ruang Peribadi Kak Cham: Reaksi Lebih Hangat Daripada Biasa

25 Jan

TAK sukar menjangka, apabila ada pendapat yang kurang menyenangkan atau tidak memihak mengenai Datuk Siti Nurhaliza, reaksi peminatnya memang lebih cepat daripada biasa. Bertuah Tok Ti kerana peminatnya sentiasa setia bersama – sejak belum kenal Gucci sehinggalah sudah mampu pakai LV.

Bukan saja peminat hiburan tanah air, tetapi realitinya orang media pun memang senang dengan isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini. Jika tidak masakan ketika majlis sambutan hari jadinya yang ke-31, sehari selepas Anugerah Juara Lagu berlangsung, sekumpulan wartawan hiburan membuat persembahan khas untuk birthday girl berjudul Muzikal Coklat Strawberi.

Satu dewan penuh gelak ketawa kerana persembahan rakan seperjuangan memang kelakar gila. Tak sangka pula rata-rata mereka memang berbakat. Siti dan suami tercinta, Datuk Khalid pun memang sporting habis. Teman kata sporting kerana muzikal itu memang sinikal, yang ada ketikanya mencuit-cuit manja Tok Ti, tetapi mereka tetap tersenyum dan ketawa.

Seperti kebanyakan tetamu yang lain, teman pun terhibur juga. Pengacara popular, Aznil Nawawi yang duduk di sebelah teman sempat berbisik, “Susah-susah sangat Kak Cham ambil saja mereka ini untuk buat persembahan pada malam ABP.” Idea spontan itu timbul kerana sebelum majlis bermula kami sibuk bercerita itu dan ini mengenai persembahan ABPBH nanti.

Hakikatnya, gelaran darling media oleh sesetengah pihak bukanlah sesuatu yang keterlaluan. Terbaru, wujud pula satu gelaran Sitilogy. Jangan tanya teman maksudnya kerana teman sendiri pun tak tahu. Teman buka cerita kerana timbul dakwaan teman sengaja mahu membuat provokasi ekoran paparan pendapat seorang pembaca bernama Raja Siraj. Ada ahli Sitizoners yang tidak setuju langsung dengan pendapat Raja Siraj. Buka saja kotak e-mel teman, sudah berderet reaksi mereka. Ada yang berhemah tutur kata, tetapi ada yang meluap-luap emosinya sehingga menuduh ada agenda atau propaganda untuk menjatuhkannya.

Macam Megat Aduka dari Nilai, Negeri Sembilan, tahap kemarahannya memang lebih hangat daripada biasa. Teman siarkan e-melnya yang bukanlah dialamatkan kepada teman pun, tetapi kepada ruangan surat pembaca BH. Cuma nasihat teman kepada Megat Aduka, tak payahlah buruk sangka dengan teman kerana selama hari ini pun tak pernah pula teman tidak menyokong perjalanan seni penyanyi pujaannya itu. Malah, kalau diamati untuk majlis Anugerah Bintang Popular pun, Siti sering dipanggil membuat kemunculan di pentas ABPBH. Teman kongsi luahan emosi Megat Aduka dengan pembaca budiman minggu ini.

“Terkilan. Itulah perasaan yang bercampur-baur dengan seribu pertanyaan, untuk apa artikel yang sebegitu disisipkan dalam ruangan Kak Cham dalam sisipan Berita Harian, 18 Januari 2010. Biar pun bukan dari penulisan beliau sendiri, namun masih menjadi tanda tanya mengapa tulisan sebegitu yang dititipkan dengan penuh teliti dan benar-benar mengundang amarah dan kesal dengan kebenaran yang cuba ditidakkan boleh Kak Cham sulamkan dalam ruangan beliau. Tulisan siapa sebenarnya?

“Mengapa nilai kehakiman dan penjurian Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) dijadikan titik tolak oleh penulis untuk membidas mutu penjurian yang dijangkakan didalangi oleh pihak tertentu. Apa yang lebih meluapkan kemarahan yang ada, di antara mereka yang menjadi juri mengapa hanya Datuk Siti Nurhaliza saja yang lebih terang dan jelas mata mereka untuk melihat menduduki kerusi panel juri? Seolah-olah ada keputusan berat sebelah atau pilih kasih dalam menentukan pemenang dalam AJL ke-24 yang baru berlalu itu.

“Tak perlulah saya mengulas dengan mual akan tulisan penulis tersebut. Mungkin jutaan pembaca akhbar Berita Harian sudah mengamati setiap bait dan cara penulisan yang diadaptasi semula. Begitu rapi nota-nota penulisannya. Sukar untuk diragui adakah komentar itu ditokok tambah.

“Namun harus diingat, Datuk Siti Nurhaliza dikelilingi oleh insan yang tersayang, apatah lagi dibentengi oleh peminat-peminat setianya dari dulu sehingga kini, dari saat Datuk Siti Nurhaliza mula bertatih dalam industri muzik, pada saat menjaga hati dan perasaan orang lain, Datuk Siti Nurhaliza sanggup mengorbankan perasaan sendiri. Sehinggalah kini disindir dan diperli dengan kata-kata yang berempah ratus.

“Tak perlulah ada mesej-mesej tertentu, ada agenda-agenda yang sudah lali, sudah beku diredah oleh beliau untuk menidakkan keistimewaan beliau dalam industri hiburan negara. Dan tak perlulah untuk menghasut yang lain, untuk mengalah dan reda dengan kewujudan Datuk Siti Nurhaliza di mana-mana majlis rasmi atau tidak yang seakan-akan menutup periuk nasi artis yang lain.

“Cerita basi! Itu yang dapat saya gambarkan di saat ini tatkala pernah bernyanyi isu ini sedetik waktu dulu, hanya selepas kemenangan Datuk Siti Nurhaliza dalam AIM tahun lalu untuk kategori Vokal Terbaik Wanita. Rezeki ada di mana-mana, tak perlu menyalahkan orang lain seandainya periuk nasi sendiri tersekat.

“Memang susah menjadi Datuk Siti Nurhaliza, dan saya berharap Datuk Siti Nurhaliza perlu bangkit dan pertahankan apa yang benar dan natijahnya tak perlulah ada suara-suara atau tulisan picisan sebegitu untuk melemahkan semangat pengundi dalam calon akhir Anugerah Bintang Popular yang bakal berlangsung nanti.

“Dan mungkin sudah ada yang goyah dan bimbang kerana ada ura-ura kiranya trofi utama Bintang Paling Popular itu nanti berbalik kepada beliau tahun ini. Rezeki orang, tuah orang. Tak perlu canangkan keegoan orang lain andainya diri sendiri bermasalah.

“Namun buat Kak Cham, sebagai orang kanan dalam bidang kewartawanan, apakah dengan menyiarkan artikel daripada penulis picisan itu ala-ala untuk menjolok sarang tebuan? Biarlah bijak dalam setiap tingkah dan perbuatan mahupun penulisan.

“Kepada Sitizoners, ayuh bangun dan berikan semangat padu buat Datuk Siti Nurhaliza. Ikatan yang teguh usah direnggut oleh iri hati dan hasad dengki. Kita seharusnya berbangga memiliki Datuk Siti Nurhaliza, walau pun dalam payah dan susah beliau cuba untuk memuaskan hati dan perasaan semua orang. Semoga Datuk Siti Nurhaliza akan terus berjaya dalam karier dan terus menjadi kebanggaan semua.”

Teman terima segala kritikan dan nada sinikalnya dengan hati dan minda terbuka. Tak sedikit pun teman kecil hati kerana berbeza pandangan bukanlah sesuatu yang tidak sihat. Cuma yang tidak sihatnya apabila timbul dakwa-dakwi, wujudnya satu konspirasi atau propaganda untuk menjatuhkan Siti. Teman banyak kerja, tak ada masa untuk kerja yang sahih hanya membuang masa. Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: