ABPBH2009: Saingan Sengit Muka Baru

25 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Kemunculan ramai bintang muda dalam senarai Top 5 merancakkan ABPBH2009

MELIHAT kepada senarai akhir Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang baru saja diumumkan pada 20 Januari lalu, pasti ramai peminat yang terkejut apabila beberapa wajah sinonim dengan anugerah ini tidak tersenarai.

Nama bintang yang sebelum ini saban tahun memeriahkan senarai calon akhir seperti Rosyam Nor dan Erra Fazira langsung tidak melekat pada kedudukan lima teratas. Bukan tidak lagi diingini peminat, sebaliknya beberapa nama baru kian mendapat tempat.

Pada ketika pasangannya dalam siri Mertua Vs Menantu, Aaron Aziz, berupaya memboloskan diri dalam senarai akhir kategori Pelakon TV Lelaki Popular (dan Pelakon Filem Lelaki) , Erra yang masih dilihat aset bernilai dalam industri hiburan negara, terlepas peluang bersaing sama. Ternyata statusnya sebagai pelakon eksklusif untuk sebuah stesen TV masih belum dapat meletakkan dirinya kekal popular.

Sebaliknya, bintang baru seperti Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah pula yang menjadi pilihan peminat untuk merebut trofi kategori ini di samping Noorkhiriah, Rozita Che Wan dan bekas pemenang trofi itu bagi edisi 2005 dan 2006, Fasha Sandha.

Bukan sekadar Tiz yang mampu mencuri ruang menduduki senarai Top 5, malah ramai lagi nama yang masih baru dalam lakonan dan nyanyian turut sama disenaraikan pengundi pada kedudukan lima teratas berkenaan.

Stacy, Mila, Yuna, Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussain, Black, Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Putri Mardiana, Fizo Omar, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Zizan dan Aizat ialah antara pelakon dan penyanyi yang dianggap sebagai barisan pelapis, namun menerima sokongan padu daripada peminat.

Dengan sendiri, penyenaraian mereka membuatkan wajah ABPBH2010 kelihatan lebih muda. Mereka adalah antara barisan pelakon, penyanyi, personaliti TV dan radio yang rata-rata terdiri daripada insan seni berusia bawah 30 tahun, tetapi sudah pun mencipta populariti yang tersendiri.

Langkah penganjur memperkenalkan sistem undian SMS turut membolehkan peminat muda membabitkan diri mereka sama dalam ABPBH2009. Ia selaras keinginan penganjur melihat ABPBH itu sendiri terus relevan dan berwajah lebih segar, walaupun usia penganjuran sudah pun menjangkau 23 tahun.

Begitupun, artis muda yang dipilih peminat juga bukannya popular kosong. Kalau tidak disebabkan persembahan yang bagus dan mantap, belum tentu mereka menjadi pilihan peminat.

Bintang muda yang terpilih ini nyata dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk mencapai sesuatu dalam karier. Fizz, Remy dan Tiz umpamanya, gah berdiri sebaris dengan calon Top lain kerana mereka antara pelakon yang menguatkan drama bersiri Nur Kasih yang dianggap antara siri paling berjaya sepanjang 2009.

Aizat dan Akim yang dicalonkan bersama penyanyi lebih berpengalaman Faizal Tahir, Mawi dan Adam – dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular turut mencipta pencapaian tersendiri. Kejayaan melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 sedikit sebanyak menguatkan kedudukan mereka, di samping populariti lagu nyanyian masing-masing sepanjang tahun lalu.

Bintang senior tetap mencabar

KEMAMPUAN Aizat untuk memenangi trofi Persembahan Terbaik, manakala lagu nyanyiannya, Pergi, sebagai Juara Lagu pada AJL yang lalu pastinya memberikan kelebihan untuk anak muda kelahiran program Akademi Fantasia (AF) ini untuk meraih undi lebih pada undian pusingan kedua ini. Akim pula yang muncul pemenang ketiga AF7 mampu membuatkan ramai peminat perempuan ketar lutut menerusi lagu Bengang serta penampilannya dalam siri Kau Dan Aku, membuktikan namanya tidak akan lenyap dalam masa yang singkat.

Yuna antara nama baru yang cukup menyerlah pada saingan kali ini. Segar daripada kejayaan memenangi gelaran naib juara pada pertandingan sama, peluangnya untuk menjadi pilihan peminat terus terbuka. Bersenjatakan lagu Dan Sebenarnya, pencalonan Yuna ke dalam senarai Top 5 memberikan gambaran peluang turut terbentang buat artis bebas untuk sama-sama mencipta nama, seterusnya bersaing dalam anugerah yang segah ABPBH.

Pada ketika laluan kelihatan cerah untuk artis muda, yang dianggap pelapis dunia seni negara, usah lupa kekuatan yang masih utuh dimiliki beberapa bintang senior seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Afdlin Shauki, Maya Karin, AC Mizal, Aznil Nawawi, Linda Onn, Saiful Apek. Fara Fauzana dan Faizal Ismail. Mereka mengesahkan, menerusi kerja keras serta produk yang boleh diterima orang ramai, nama mereka tetap relevan.

Dengan peluang kali ini dilihat sama rata, sesiapa saja mampu muncul pemenang, tidak kira baru atau lama. Ketika ini, tiada artis yang boleh mendabik dada, dialah paling popular.

Bercerita mengenai artis lama, pengundi tidak lupa memberikan peluang kepada mereka untuk sama-sama memeriahkan acara. Pelakon Didie Alias contohnya, mencuri perhatian peminat dengan kemampuan untuk turut disenaraikan sama dalam kategori Artis Komedi Wanita. Saingannya pula termasuk pemenang edisi lalu, Noorkhiriah, yang kali ini disenaraikan juga dalam kategori Pelakon TV Wanita.

Maknanya, jika produk membabitkan seseorang artis itu menyerlah, lama atau baru dirinya, dia masih mempunyai ruang untuk terus mencipta nama. Din Beramboi yang bergandingan pada sesi pagi di Era bersama Aznil turut membuktikannya. Peminat nyata bijak membuat percaturan mereka.

Pengundi tidak mudah diperdaya. Mereka tetap memilih bintang popular yang berupaya tampil bersama produk yang mengukuhkan lagi nama mereka. Jika sesebuah filem, lagu, rancangan televisyen atau radio seseorang bintang itu hangat diperkatakan, maka peminat dengan sendiri akan memberikannya peluang untuk mendaki puncak lebih tinggi dalam karier.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: