Sembang Kak Cham: Cerita AJL Tak Habis Lagi!

18 Jan

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my

RUMAH sudah siap tetapi pahat masih berbunyi. Itu perkara biasalah terutama apabila sesebuah majlis itu begitu berprofil tinggi. Ya… teman bercakap mengenai Anugerah Juara Lagu ke-24.

Macam-macam jugalah teman dengar. Ada yang positif, banyak juga yang negatif. Dalam akhbar arus perdana, laporannya banyaklah yang play safe barangkali kerana tidak mahu menyinggung sesiapa. Dalam blog dan forum bicara di internet, mereka membelasahnya bagai nak gila. Biasalah bloggers, beraninya memang tak ingat dunia. Teman sendiri rasa seram nak membacanya.

Apa pun lontaran rasa hatinya, pandangan peribadi teman sendiri, AJL yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Jalil pada 10 Januari lalu sesuatu yang begitu menghiburkan – baik dari segi produksi atau persembahan setiap penyanyi yang bertanding. Nasib baik tak jadi juri, kalau tidak mahu berasap kepala. Oh ya… tahniahlah semua pemenang. Tak menang pun teman hendak ucap tahniah kerana anda semua memang hebat-hebat belaka.

Bak kata bos MIG yang teman temui di majlis ulang tahun portal hiburan paling popular, murai.com, David Teo, “Mula-mula ingat nak tunjuk muka saja, separuh jalan mahu balik rumah. Tetapi bila intro show saja, saya tak pergi kencing wo…”

Tahniah kru produksi TV3 kerana idea kreatif anda itu berjaya dilontarkan dengan begitu baik sekali di pentas dan kaca TV. Memang hebat, jika tidak masakan ratingnya mencecah 4.6 juta. Mengikut siaran akhbar TV3 yang dihantar kepada teman, ada kalanya ia mencecah lima juta penonton.

Bukan ‘propa’ saja dan teman memang percaya kerana malam itu tiada majlis besar yang lain atau English Premier League. Tahniahlah Datuk Seri Farid yang teman lihat begitu hands on dalam majlis itu. Dialah yang cari duit untuk stesen TV, dia jugalah yang jadi juri! Iyalah, stesen TV dia punya, bukan satu tetapi empat yang kena jaga. Itu tak masuk radio lagi.

Kak Pora, Normah Becok atau Gayah Gebu simpan saja komen anda itu.

Bagaimanapun teman hendak paparkan di dalam ruangan ini satu pandangan yang barangkali elok jugalah kita kongsi bersama. Penulisnya meletakkan namanya sebagai Raja Siraj. Katanya, “Saya bukanlah sesiapa… hanya peminat muzik tempatan yang cuma ingin meluahkan perasaan dari sudut tersendiri. Mungkin tidak dapat melihat dari pelbagai aspek tapi itu yang saya nampak, mungkin benar mungkin tidak. Tetapi kadang-kadang saya terfikir, jika saya boleh berfikir dan berperasaan begini, mungkin ada ramai lagi yang sependapat.

Saya tidak pernah terfikir untuk bersuara begini. Tetapi mungkin sudah tidak tahan lagi, mungkin yang lain menggunakan blog tetapi saya tidak gemar.”

Jadi wahai pembaca budiman, bacalah dengan fikiran terbuka sebahagian lontaran hati Raja Siraj. Kalau suka baca, kalau tak suka tutup saja.

“Salam Kak Cham. Pada mulanya rasa teruja sangat untuk menonton AJL 24 yang sememangnya sangat segar kali ini kerana setiap artis membawa muzik dan identiti mereka sendiri. Bila Datuk Seri Farid Ridzuan sendiri berkata bahawa TV3 memainkan peranan untuk merancakkan semula industri hiburan Malaysia, rasa ada petanda baru. Memandangkan lahir bintang baru yang mempunyai bakat yang pelbagai, mencipta lagu, bermain alat muzik, menari.

“Memang sangat gembira dan teruja dengan setiap persembahan artis. Pada mulanya terfikir juga kenapa perlu juga meletakkan Siti Nurhaliza. Mungkin kerana untuk menarik peminat dari generasinya menonton AJL memandangkan artis yang bertanding adalah dari generasi berbeza. Hanya Misha Omar saja yang dianggap bertuah kerana dapat bersama dengan mereka yang dianggap muda dalam industri hiburan.

“Selepas separuh persembahan artis, tetiba saya terpandang ke arah juri yang mengadili pada malam AJL. Terkejut dan sedikit kecewa mula menular dalam diri. Selepas itu, saya memang dapat mengagak siapa yang akan mendapat tempat di dalam pemarkahan. Memang dapat mengagak. Unsur conflict of interest sangat jelas dalam penjurian kali ini. Tidak faham kenapa perlu meletakkan Siti Nurhaliza sebagai juri.

“Apabila pertandingan untuk mengundi most favourite artist untuk AJL dan perlu mengundi, mana keputusannya? Adakah kerana

nama artis keluaran TV3 tidak menjadi pilihan maka tidak diumumkan. Dengar cerita Bunkface dan Stacy bersaing untuk undian dari peminat.

“Sebenarnya saya tak kisah pun siapa yang menang, mereka semua hebat. Tetapi bila buat begini, dari nak fikir positif dan terima seadanya bertukar menjadi sesuatu yang lain. Kalau boleh cuba juga untuk memastikan Siti Nurhaliza berada di dalam setiap generasi. Tak boleh terima ke dengan kebangkitan Misha Omar dalam AJL sampaikan perlu mencari peluang, walaupun hanya sebagai intro.

“Bukan itu saja, anugerah lain juga. Sebab itulah bakat artis wanita yang lain kurang diperakui dan kekal lama. Hanya kerana sistem pemasaran dan politik yang dimainkan dalam industri hiburan. Sebab itu, sehingga berpuluh tahun pun tidak ada orang yang juga berbakat

kecuali Siti Nurhaliza. Mana mungkin mengakui bakat seseorang sehingga menidakkan bakat yang lain sedangkan bakat setiap insan adalah berbeza-beza.

“Dan mana mungkin boleh mengiktiraf bakat sehingga berpuluh-puluh kali. Di Malaysia saja senario ini berlaku. Habis tu bagaimana nak memperkembangkan bakat lain yang ada. Celine Dion, Mariah Carey, malah MJ sekalipun, diiktiraf bakat mereka. Tetapi mungkin sekali atau dua saja.

“Kemudian iktiraf bakat orang lain pula. Kerana bakat yang sudah diiktiraf maksudnya memang terbaik dan sudah tentunya diingati. Kumpulan Search yang tidak pun perlu menang berpuluh-puluh anugerah atau diikitiraf setiap zaman, tetapi diterima dengan penuh bangga oleh setiap generasi apabila berada di pentas kerana kejujuran mereka. Itu sebenarnya legenda.

“Oleh itu, kepada artis muda yang ada sekarang, tidak perlulah berharap terlalu menggunung untuk berjaya setingginya di Malaysia kerana selagi ada wang dan dikelilingi individu berpengaruh dalam industri sudah semestinya hanya individu tertentu saja yang berjaya selamanya. “Buat Misha Omar, bakat anda memang sudah lama ditutup. Oleh itu terimalah undangan Anang dan bawalah diri ke Indonesia. Saya yakin bakat kamu akan diterima baik semula di sana. Buat Bunkface teruskan usaha ke luar negara. Buat Stacy, harap AESB tidak mensia-siakan bakatnya. Bawalah Stacy ke Korea atau Jepun, mungkin dia lebih diterima di sana. Buat Faizal Tahir, Aizat dan artis lain janganlah terlalu terpengaruh dan terikut-ikut dengan unsur pemasaran melampau untuk terus berjaya sehinggakan menidakkan kehadiran bakat lain.

“Pasaran Malaysia sudah tepu bukan kerana persaingan sebenarnya tetapi kerana wujudnya dominasi. Rasanya tidak salah kalau hendak dikatakan industri muzik Malaysia sudah menjadi industri muzik artis tertentu saja. Mungkin penafian akan berlaku. Dan semestinya apa yang dikatakan satu kebetulan. Mungkin ada yang berpendapat peminat industri Malaysia hanya budak hingusan yang hanya pandai melompat dan menjerit apabila nama artis mereka dipanggil. Menerima saja apa yang ditulis dan dilihat. Mereka tidak akan sedar dengan permainan ahli perniagaan sebegini. Sebenarnya masih ada pemerhati yang tajam akal dan muak dengan permainan itu. Setelah berpuluh tahun melihatnya, saya ingin bersuara. Mungkin boleh dikatakan kebetulan, tetapi bila ada logiknya, sepatutnya perlu difikir bersama.”

Begitulah luahan pendapat Raja Siraj yang katanya seorang ‘pencari bakat’. Teman dah kata, orang yang popular dan majlis yang berprofil tinggi memang mengundang segala – baik dan buruknya. Apatah lagi nama sebesar Siti Nurhaliza. Datuk Farid pun bukan calang-calang CEO. Kadang kala, pendapat yang sakitkan hati dan telinga kita kena telan jua. Gelaran CEO paling glamor memang tiada dalam ruang peribadinya. Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: