Ku Percaya Ada Cinta

14 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Siti anggap tiada yang lebih berharga melainkan kasih sayang daripada suami

WALAUPUN dikatakan acara yang dirancang pada saat-saat akhir, namun majlis pelancaran album duet Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti, CTKD (Cinta.Tangis.Ketawa.Duka), tetap berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan.

Apatah lagi, selain daripada kehadiran penyanyi Indonesia yang juga teman karibnya itu, majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu diserikan dengan kehadiran hampir 500 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat, sahabat handai serta rakan media.

Kata Siti, majlis yang dianggapnya sebagai curahan hati terhadap apa yang dilihat dan dirasa mereka itu pada mulanya dirancang kecil-kecilan. Namun, mengenangkan pelancaran album duet bersama Kris belum pun dilakukan, justeru mereka menyatukan saja kedua-dua majlis sambutan ulang tahun hari lahir dan pelancaran album.

“Sepatutnya, ia hanyalah sebuah majlis sambutan ulang tahun hari lahir Siti ke-31. Tetapi, Siti menyukai tarikh 11 Januari dan berasakan, lebih baik seandainya tarikh itu diambil untuk pelancaran album sekali. Lalu, kami menghubungi Kris untuk mengetahui jadual kerjanya. Apabila dia menyatakan dirinya boleh memberikan komitmen pada tarikh terbabit, maka kami teruskan dengan perancangan penganjuran majlis ini,” ujar Siti ketika ditemui sebaik saja majlis berakhir.

Sebelum itu, kedua-dua penyanyi wanita itu menghiburkan hadirin dengan dua lagu petikan album berkenaan, Amarah dan Hanya Dia, masing-masing ciptaan Audi Mok / Siti dan Aubrey Suwito / Pacha Adrian.

Kedua-duanya juga sempat bergurau, menjelaskan betapa lagu Amarah itu bukan ditujukan kepada lelaki dalam hidup masing-masing, yang disambut hilai ketawa tetamu.

Begitu juga Siti sempat menunjukkan lagu yang dilihatnya cukup puitis dan indah, Hanya Dia, buat suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.

Ketika tetamu menjamu selera pula, Siti dihadiahkan dengan persembahan oleh rakan wartawan yang menggelarkan diri mereka Sititology. Persembahan diberi nama Chocolate Strawberry the Musical itu mengisahkan bagaimana Siti dan suami, mengenang kembali saat suka-duka mereka pada ketika masing-masing sudah pun memasuki usia 50-an dan 70-an.

Pada sidang akhbar yang diadakan kemudian, Siti memberitahu, dia menerima sebuah beg tangan berjenama Louis Vuitton edisi terhad daripada suami. Difahamkan beg berkenaan berharga kira-kira RM40,000.

Sebelum itu, Khalid enggan mendedahkan hadiah istimewa diberikan kepada isterinya, bimbang ia disalah anggap sebagai riak atau mahu menunjuk-nunjuk oleh orang lain. Namun dia tetap memberitahu, dia dan Siti pergi bercuti bersama-sama ke Barcelona, Dublin dan London, selama dua minggu pertengahan Disember lalu sebagai hadiah pra-hari jadi.

“Hadiah yang diberikan ini cumalah untuk memberikan sedikit kegembiraan. Apa yang lebih penting bagi Siti ialah kasih sayang dan bagaimana suami melayan Siti dengan baik,” ujar Siti yang kini popular dengan lagu Ku Percaya Ada Cinta.

Ketika diajukan soalan mengenai desas-desus kononnya dia akan dilantik sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim terbaru pula Siti berkata, ‘tawaran’ untuknya memikul tugas berkenaan sudah diberikan sejak Oktober tahun lalu. Begitupun akui penyanyi ini, dia belum berasakan dirinya cukup bersedia untuk mengetuai akademi terbabit.

“Tidaklah, Siti tidak akan menjadi Pengetua AF8 kerana Siti berasakan, belum sampai waktunya Siti menggalas tanggungjawab yang cukup besar berkenaan.

“Siti menerima tawaran menjadi juri Anugerah Juara Lagu ke-24 baru-baru ini pun kerana Siti rasa Siti tahu skop kerja yang diberikan kepada Siti. Tugas yang dipikul pada AJL24 tidak begitu sukar, apatah lagi Siti dibantu oleh beberapa juri lain.

“Sebagai pengetua, kita memerlukan perancangan dan persediaan cukup rapi. Justeru, ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan tidak elok, sekiranya kita gagal melaksanakannya dengan baik,” kata Siti.

Bagaimanapun, jelas Siti, ia tidak bermakna dirinya enggan berkongsi kemahiran dan ilmu bersama bakat baru yang ingin bergelar anak seni. Bahkan, dia sentiasa ingin mencurahkan pengetahuannya kepada mereka, cuma buat ketika ini perkongsian itu tidak mungkin berlaku menerusi perlantikan dirinya sebagai pengetua AF8.

Krisdayanti tertekan jadi janda

SEMENTARA itu, Krisdayanti memaklumkan, album CTKD akan memasuki pasaran Indonesia pada 20 Januari ini. Ketika ini, lagu petikan album berkenaan sudah mula diputarkan di stesen radio negara terbabit.

Kris turut menganggap album duet itu sebagai satu keajaiban apabila ia dihasilkan dalam masa sebulan, dengan proses memasukkan suara juga hanya mengambil masa selama lima hari.

“Begitupun, ia tetap sebuah album yang bermutu,” kata Kris sambil mendedahkan, lagu Dalam Diam paling sukar untuk dirakam kerana dia dan Siti merakamkannya secara serentak di dalam dua bilik rakaman berasingan.

Menurutnya, album itu akhirnya terhasil selepas perbincangan mengenai projek terbabit mula dilakukan kira-kira setahun setengah yang lalu.

“Pada ketika kami merancangnya dulu, saya masih bersama Anang. Tetapi nampaknya, tanpa Anang kerja-kerja penghasilannya lebih cepat dilakukan, mungkin kerana saya dan Siti sendiri merangkap penerbit eksekutifnya.

“Jadi segala perbincangan terus diadakan bersama kami, tanpa perlu melalui orang lain. Jika ada Anang, mungkin akan wujud sedikit jurang dalam perbincangan sebegini,” katanya.

Pada 4 Januari lalu, Kris sempat menghulurkan CD terbabit kepada bekas suaminya, tatkala mereka bertemu di lapangan terbang di Bali. Dia ingin menunjukkan kepada Anang, album itu berjaya juga dihasilkan akhirnya.

Tatkala diminta penjelasan mengenai gosip mengatakan dirinya akan mengakhiri zaman janda pada hujung Januari ini, Kris berkata, dia tidak akan berkahwin pada penghujung bulan ini, sebaliknya pada satu tarikh yang belum ditetapkan, berkemungkinan besar pada tahun ini juga.

Namun, wanita itu tetap berahsia mengenai calon suami, walaupun berulang kali ditanya, apakah lelaki itu ialah usahawan dari Timor Leste, insan yang ketika ini acap kali dikaitkan dengannya.

Pesannya, agar peminat tunggu dan lihat saja siapakah gerangan jejaka yang berjaya mencuri hatinya apabila dia melakukan pengumuman mengenai perkara itu satu masa nanti.

Kata wanita ini lagi, dia memilih untuk segera mendirikan rumah tangga kerana tidak mudah untuknya bersendirian, lebih-lebih lagi, segala yang berlaku ketika ini menjadikan dirinya lebih tertekan.

Ketika yang sama, Kris berasakan dirinya lebih berhati-hati untuk memasuki gerbang perkahwinan. Dia cukup memahami, bukannya mudah untuk mereka yang pernah mengalami kegagalan rumah tangga, untuk sekali lagi membina mahligai. Katanya, insan sepertinya tentulah mempunyai trauma tersendiri apabila bercerita mengenai perkahwinan.

Lalu, apakah yang membuatkan Kris berasakan lelaki ini ialah calon terbaik untuk hadir dalam hidupnya? Jawabnya: “Saya memilih dirinya kerana dia mahu menerima diri dan keluarga saya dengan seadanya.”

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: