Program AF Masih Menyengat

13 Jan

Oleh Rozdan Mazalan

Lebih 2,000 sertai sesi uji bakat di Kuala Lumpur

BIARPUN sudah memasuki musim ke lapan tahun ini, program realiti hiburan popular, Akademi Fantasia (AF) masih berbisa apabila sesi uji bakat bagi edisi terbaru mendapat sambutan yang tidak mengecewakan.

Buktinya dengan kehadiran hampir 2,000 calon sanggup menjalani sesi ini yang dua hari berturut-turut iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pelbagai gelagat calon dapat dilihat di sekitar perkarangan stadium itu yang datang seawal jam tujuh pagi. Takut terlepas peluang uji bakat, ada yang sudah mula berbaris lebih awal walaupun mereka tahu kaunter pendaftaran mula dibuka pada jam 9 pagi.

Kelihatan ramai calon uji bakat ini yang selesa duduk berkumpulan kerana dapat berlatih sesama sendiri dan tidak terkecuali ada yang lebih suka duduk menyendiri bersedia mencari penghayatan sambil memegang lirik di tangan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, program realiti Akademi Fantasia masih relevan hingga hari ini dan sentiasa mendapat sokongan padu daripada peminat setianya.

“Sebelum ini pun kita ada mendengar yang program ini semakin kurang mendapat sambutan, lebih-lebih lagi AF sudah masuk musim ke lapan dan persaingan dengan program realiti hiburan yang lain.

“Namun selepas melihat sendiri kehadiran mereka untuk sesi uji bakat pada hari pertama ini, saya percaya program ini masih relevan dan akan terus mendapat sambutan sampai bila-bila.

“Walaupun kita lihat ramai muka baru yang datang untuk diuji bakat, namun bukanlah jumlah kehadiran yang diharapkan tetapi mutu persembahan daripada calon atau peserta yang kita cari. Tahun ini setiap calon akan melalui tiga peringkat uji bakat dan kita membuka dua ruang uji bakat dengan panel juri yang berbeza.

“Selain bagi melicinkan perjalanan uji bakat, calon uji bakat juga mendapat masa yang lebih untuk menunjukkan bakat mereka di hadapan panel juri. Kita sangat berharap tahun ini kita dapat mencungkil lebih banyak bakat yang hebat untuk industri hiburan kita,” katanya yang ditemui pada sesi uji bakat Sabtu lalu.

Di peringkat uji bakat, setiap calon harus melepasi tiga pusingan sebelum di senarai pendek. Sesi uji bakat kali ini juga di bahagikan kepada dua bahagian dan bergerak serentak oleh empat juri. Mereka terdiri daripada Lah VE bersama Fairus Hussin dan Syafizawati Shariff bersama Deja Moss.

Menurut Syizawati atau Shafi, sejak dipertanggungjawab menguruskan sesi uji bakat bermula AF4, pelbagai gelagat calon dapat dilihat semata-mata untuk menarik perhatian juri.

“Seperti yang sudah saya jangkakan, setiap tahun mengadili calon uji bakat ini, saya sudah meramalkan akan berjumpa calon yang berulang atau orang yang sama, bukannya sedikit tetapi ramai.

“Kita juga boleh melihat mereka ini di setiap lokasi uji bakat di seluruh negara. Semangat tidak putus asa mereka ini cukup kuat dan kita sangat menghargainya, namun sekiranya calon ini tidak melepasi kriteria yang kita perlukan kita tidak boleh tolak ansur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ramai juga calon daripada kalangan muka baru yang turut mencuba nasib menjalani uji bakat AF8.

“Kebanyakan calon muka baru ini baru saja menamatkan peperiksaan SPM dan tidak terkecuali yang berbakat tetapi tidak cukup umur yang ditetapkan iaitu 18 tahun ke atas.

“Ramai juga yang datang tidak bersedia mempersiapkan diri. Penilaian pertama saya adalah bermula dari borang yang diisi. Dari situ kita boleh menilai sikap setiap calon. Adakah mereka ini serius atau tidak?

“Ini penting bagi kami kerana kita akan akan berhadapan dengan sikap mereka sepanjang mengikuti program ini. Selain itu, mereka harus boleh menyanyi dan pendengaran yang baik, penampilan serta disiplin,” katanya yang berharap lokasi seterusnya nanti peserta mengambil berat dengan teguran yang dinyatakan itu.

Antara lagu wajib yang disediakan untuk peserta wanita seperti Gagap (Stacy), Jika Kau Ubah Fikiran (Mila), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah), Dan Sebenarnya (Yuna), Di Taman Teman (Datu Siti Nurhaliza) dan When You’re Gone (Avril Lavigne).

Manakala bagi peserta lelaki, mereka boleh memilih lagu Situasi (Bunkface), Hujan (Sudirman Arshad), Ada Untukmu (Nubhan), Berdendang Dalam Tangisan (Jamal Abdillah), Fikirlah (Aizat) dan I’m Yours (Jason Mraz).

Calon tidak putus asa

BEBERAPA calon yang ditemui mengakui mereka tidak pernah putus asa untuk mencuba nasib dengan menjalani uji bakat AF8.

Mohammed Shahril, 26 mengakui, uji bakat yang dihadirinya adalah untuk mengubah hidupnya sekiranya terpilih menyertai AF.

“Saya sudah enam kali mengikuti sesi uji bakat ini, dari AF3 hingga AF8 tapi semuanya gagal. Tidak bermakna saya akan terus mengalah kerana selagi terdaya saya tetap ingin tunai impian saya sebagai penyanyi.

“Saya ingin mengubah nasib keluarga saya, lebih lagi saya adalah anak sulung daripada empat beradik. Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi hanya membantu emak yang bekerja di kantin sekolah,” katanya.

Bermula pada musim ke enam lalu, syarat umur untuk calon uji bakat dilanjutkan tidak melebihi 45 tahun. Ini menyebabkan golongan pada peringkat umur ini tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib.

Antaranya ialah Norsaleha Mohd Salleh, 41 yang terdorong untuk menyertai uji bakat ini selepas melihat kejayaan Mama Rina tersenarai dalam AF7.

“Mama Rina menjadi pembakar semangat saya untuk mengikuti uji bakat, jika saya lihat dia berani mencuba nasib, saya juga berani untuk mencuba.

“Lebih-lebih lagi saya sekarang ini adalah suri rumah dan banyak masa di rumah saja. Keinginan untuk hadir menyertai uji bakat ini mendapat kebenaran suami saya dan dia juga memberi semangat kepada saya.

“Program inilah satu-satunya program yang membuka peluang kepada orang berumur seperti saya untuk mencuba nasib. Walaupun ini adalah kali kedua saya mengikuti uji bakat AF dan sekiranya saya gagal, saya akan terus mencuba sampai umur saya 45 tahun,” katanya.

Pasangan adik beradik, Erma, 21 dan Siti Adira Suhaimi, 19 adalah antara calon yang bertuah kerana percubaan pertama mereka dalam uji bakat melayakkan mereka ke peringkat ketiga.

“Kami datang seawal jam 7 pagi. Sebenarnya kami dari Sabah dan datang ke Kuala Lumpur ini untuk berjalan-jalan saja. Kebetulan tiga hari sebelum ini kami dapat tahu ada uji bakat AF dan berpakat untuk menyertainya.

“Alhamdulillah walaupun tidak pernah menyertai mana-mana uji bakat nyanyian, tapi kami berjaya hingga ke peringkat ketiga. Saya pun sudah maklumkan kepada keluarga saya di kampung mengenai berita gembira ini dan mereka menyokongnya,” katanya Erma yang menyanyikan lagu Yuna, Dan Sebenarnya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: