Koir Kebangsaan Sertai Jelajah Asean

13 Jan

KONSERT Koir Kebangsaan: In Love With Peace yang berlangsung pada Disember tahun lalu adalah manifestasi kepada kesinambungan konsert Jelajah Koir Kebangsaan yang dilaksanakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sejak 2005 lagi.

Menariknya untuk konsert yang diadakan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, di Pusat Maklumat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu, ia menjadi konsert koir pertama di Malaysia yang menggabungkan pemuzik kombo (band) dan kumpulan koir (vokal). Berkonsepkan jalur muzik pop ia diadun dalam gabungan irama, lagu dan muzik kombo yang cukup indah.

Menambah kekuatan, konsert ini dipecahkan kepada beberapa segmen. Antara segmen yang menjadi perhatian pada malam itu ialah segmen mengenang Michael Jackson menerusi pilihan lagu seperti Heal The World, Man In The Mirror, Earth Song dan They Don’t Care About Us.

Selain itu, rangkaian lagu pop, Ikhlas Tapi Jauh, Hitam Putih Kehidupan serta genre rock, Standing In The Eyes Of The World juga Gemuruh menghangatkan lagi pentas konsert itu. Tidak dilupakan, menambah ramuan lagu berunsur ketuhanan serta muzik sejagat melengkapkan lagi penghayatan penonton terhadap persembahan ini.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan Koir Kebangsaan Malaysia, ia ditubuhkan hasil cetusan idea Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang kini dikenali dengan nama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Penyanyi yang juga pengkritik program realiti One In A Million, Syafinaz Selamat diberi mandat sebagai pengarah projek memastikan kelangsungan acara ini. Malah dengan pengalaman yang dimilikinya, penyanyi bersuara soprano itu juga memikul tugas sebagai pengarah vokal.

Menariknya juga kumpulan koir ini bukan hanya terbatas melakukan persembahan di dalam negara atau di bandar besar, malah kawasan luar bandar dan negara luar juga menjadi pilihan. Koir ini pernah memenuhi undangan membuat persembahan di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Filipina dan Singapura.

Koir ini juga pernah mengiringi persembahan penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Ahmad Nawab, Zainal Abidin Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi selain pernah menjadi penyanyi latar bagi persembahan Hazami dan Faizal Tahir.

Sebagai mercu tanda meneruskan kewujudan koir ini, JKKN merancang untuk memperkenalkan Konsert Jelajah Asean Koir Kebangsaan pada tahun ini merangkumi beberapa destinasi negara seperti Filipina, Thailand dan Singapura.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: