Terbaik, Menghiburkan

12 Jan

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff, Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my

AJL24 antara yang gemilang dalam sejarah penganjurannya

GABUNGAN sokongan padu peminat, persembahan yang baik oleh barisan artis, kekuatan kerja produksi serta keputusan yang tidak mencetuskan kontroversi, ia pasti dikenang buat masa yang panjang dalam penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJK) edisi ke-24 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Kehadiran kira-kira 10,000 peminat membanjiri stadium memang mengujakan. Mungkin kejayaan beberapa artis kelahiran realiti ke final menyumbang kepada jumlah penonton yang begitu ramai. Beberapa minit sebelum siaran langsung bermula, ribuan peminat masih berbaris panjang di luar. Alangkah bagusnya andai jumlah penonton sebegini dapat dicapai pada setiap konsert artis tempatan.

Tindakan penganjur, TV3, memansuhkan sistem kategori yang diperkenalkan pada 1992 bagi menyemarakkan kembali anugerah terbabit juga nyata membuahkan hasil. Empat belas lagu yang layak bersaing pada final, mempunyai peluang lebih terbuka untuk menonjolkan diri. Lalu, artis yang bertanggungjawab menyampaikan lagu terbabit, secara solo mahupun berkumpulan, berhempas pulas menghasilkan persembahan terbaik demi mencuri sedikit mata dari juri.

Pada malam final, rata-rata peminat terhibur dengan persembahan artis yang bertanding. Segmen pembukaan oleh Datuk Siti Nurhaliza dan Azlan And The Typewriter yang berduet menyanyikan Lagu Untukmu, cukup memikat. Paduan suara lantang kedua-dua penyanyi ini bagai memberikan petanda, persembahan yang menyusul kemudian juga pasti menghangatkan lagi suasana.

Memang tepat, apabila seorang demi seorang penyanyi yang tampil di pentas memerah segala keringat dan kreativiti, untuk mempamerkan aksi terhebat buat peminat. Maklum saja, peluang muncul di pentas AJL bukan datang setiap hari. Justeru, ia digunakan sebaik mungkin. Maka terhasillah persembahan penuh bergaya dan kemas ala pantomin sebagaimana ditunjukkan Alyah, nyanyian diiringi penari ala ‘flash mob’ oleh Aizat, Hujan serta Bunkface, konsep pasca bencana oleh Akim dan bacaan puisi sebelum lagu bermula, oleh Misha Omar.

Persembahan Aizat ketika menyanyikan lagu Pergi, cukup menyentuh rasa apabila dia memilih untuk memberikan penghormatan kepada tokoh negara dalam pelbagai bidang termasuk politik, sukan dan seni. Sesuai dengan hakikat lagu itu dipetik daripada filem terakhir arahan arwah Yasmin Ahmad, pengarah terbabit turut dipaparkan di skrin gergasi antara tokoh yang tidak akan dilupakan.

Kerancakan AJL24 bagaimanapun agak menurun seketika apabila dua penyanyi muda, Tomok yang menyampaikan lagu Rindu Terhenti dan Black (Aku Rindu Sayang Kamu) hadir bersama konsep persembahan kurang menyengat. Tomok seakan mengulangi aksi pada pertandingan One In A Million, manakala Black pula cukup biasa dengan diiringi beberapa penari. Nasib baik vokal hebat penyanyi kelahiran program Mentor itu mampu menyelamatkan persembahannya. Tidak mengejutkan apabila Black diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik.

Pemilihan Aizat sebagai juara kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Kau Aku pula tidak harus dipertikai. Cukup berbeza ketika tampil pada peringkat separuh akhir, penyanyi muda berbakat besar ini menarik perhatian dengan aksi comelnya bersama remaja serta kanak-kanak sekolah. Banyak lagi sebenarnya yang mampu dilakukan Aizat, kita tunggu dan lihat saja apabila tiba masanya.

Kemantapan persembahan penyanyi juga banyak dibantu oleh keberkesanan reka bentuk pentas serta paparan visual yang mengesankan pada layar besar. Walaupun ramai juga penyanyi memilih untuk muncul dari bawah pentas, menerusi pelantar bergerak sehingga terasa banyak pula persamaan, tetapi masing-masing cuba memberikan sedikit kelainan. Stacy umpamanya, muncul dalam sangkar dan Faizal Tahir pula yang masih ditiup angin, menggunakan inspirasi persembahan Michael Jackson.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, ada sedikit kekurangan yang perlu diberi perhatian oleh TV3. AJL adalah untuk komposer, pencipta lagu dan penulis lirik. Penonjolan berlebihan penyanyi menjadikan peranan dan sumbangan karyawan muzik itu seolah-olah tidak dihiraukan oleh penonton.

Mungkin pada masa akan datang, TV3 dapat berbuat sesuatu supaya ada keseimbangan iaitu ketika penonton dan peminat berseronok dan bersorak dengan penyanyi pujaan beraksi di pentas, pada masa sama nama komposer, penulis lirik atau penggubah lagu turut diingati, bukan dipinggirkan seolah-olah kelompok ini tidak memberi apa-apa sumbangan kepada program ini pula.

Search, Carefree, Jeffrydin masih menyengat

SEGMEN interlude selepas tamat persembahan 14 finalis, yang menonjolkan kumpulan muzik dari era 60-an hingga ke era terkini bagi menggambarkan perubahan muzik juga dikira menarik. Jeffrydin & Siglap 5 menceriakan suasana, Jay Jay mengembalikan nostalgia disko, Search menggegarkan dewan dengan irama rock, manakala muzik Meet Uncle Hussain mencerminkan irama kesukaan peminat sekarang.

Kemunculan Amy dan Search nyata memanaskan seluruh stadium. Lagu Pawana dan Fantasia Bulan Madu yang dipersembahkan mereka nyata memukul kesemua aksi artis lain.

Kuatnya kuasa kumpulan ini, yang sudah hampir tiga dekad menghambakan diri pada muzik. Tanpa diminta, penonton bertepuk dan menyanyi bersama mereka. Itulah kemuncak sebenar AJL24!

Graf kehangatannya sama sekali jatuh apabila Meet Uncle Hussain mengambil giliran selepas Search menuruni pentas. Nampak jelas, besar sekali jurang terbentang antara kumpulan muzik era terdahulu dan masa sekarang.

Jika bukan kerana masalah teknikal dihadapi ketika Jay Jay mengadakan persembahan, AJL24 harus mendapat markah cukup tinggi dari segi penganjuran. Masalah teknikal sememangnya tidak mampu dijangka. Lalu, ucapan tahniah wajib diberikan kepada keseluruhan tenaga produksi, di bawah Penerbit, Ahmad Shaifullizam Arshad dan Penerbit Eksekutif, Muhammad Sufian Che Isa.

Pujian juga patut diberikan kepada tiga pengacaranya, Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar yang berjaya menghidupkan keadaan sepanjang acara berlangsung. Cuma, lawak yang menyentuh soal fizikal bagai sudah biasa digunakan Faizal, tatkala muncul bersama Fara Fauzana pada sesi pagi mereka di Hot FM. Terasa seperti berlaku pengulangan pula, walaupun kelakarnya tetap ada. Pastinya banyak lagi topik lain yang boleh dijadikan jenaka pada masa depan. Dunia muzik atau seni itu sendiri tidak kurang ceritanya, bukan?

INFO
Keputusan penuh:

Juara Lagu: Pergi (ciptaan Pete Teo / lirik Amran Omar / nyanyian Aizat)

Naib Juara: Dan Sebenarnya (Yuna, Paan, Efry, Adil / Yuna)

Tempat Ketiga: Bencinta (Audi Mok / Faizal Tahir / Faizal Tahir)

Vokal Terbaik: Black (Aku Rindu Sayang Kamu)

Persembahan Terbaik: Aizat (Kau Aku)

Lagu lain yang layak ke akhir:

Aku Skandal (Noh / Hujan)

Tak Mungkin Kerna Sayang (Ajai / Habsah Hassan / Alyah)

Aurora (Estranged / Estranged)

Bengang (Amir / Sheikh Qalam / Akim)

Aku Rindu Sayang Kamu (Yuzai / Black)

Rindu Terhenti (Aubrey Suwito / Tinta / Tomok)

Pakai Buang (Edry / Stacy)

Kau Aku (Aizat / Aizat)

Situasi (Sam Bunkface / Bunkface)

Cinta Adam Dan Hawa (Azmeer / Loloq / Misha Omar)

Masih Jelas (Aidit Alfian / Ad Samad / Hafiz)

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: