Lagu Pergi Cukup Sempurna

12 Jan

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Nurul Hisham Abdul Latiff

BARISAN pemenang Anugerah Juara Lagu ke-24.

Farid nafi berlaku konspirasi hanya disebabkan menjadi juri AJL24

RAMALAN ramai tersasar, bukan Bencinta mahupun Cinta Adam & Hawa tetapi lagu Pergi ciptaan Pete Teo yang seni katanya ditulis oleh Amran Omar diangkat sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24.

Lagu Pergi yang dinyanyikan Aizat memang turut dijangka berpotensi bergelar juara, namun jangkaannya tidak sebesar Bencinta atau Cinta Adam & Hawa.

Lagu Pergi mula popular selepas filem Talentime. Lagu itu pada asalnya didendangkan dalam bahasa Inggeris dengan judul I Go juga dinyanyikan penyanyi sama. Kemenangan itu melayakkan komposer, penulis lirik dan penyanyinya berkongsi wang tunai kemenangan berjumlah RM35,000. Sayangnya Pete Teo dan Amran Omar tidak hadir pada malam itu untuk berkongsi kegembiraan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan menegaskan walaupun menjadi antara juri dalam AJL24, soal konspirasi atau pilih kasih tidak timbul langsung hanya semata-mata keakrabannya Yasmin Ahmad.

Farid berkata, tugas dan tanggungjawabnya pada malam itu adalah menilai persembahan dan vokal penyanyi bersama-sama dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Zainal Abidin. Manakala keputusan pemilihan lagu dibuat Ketua Juri iaitu Fauzi Marzuki.


ANTARA barisan juri AJL24.

Fauzi kemudian menjelaskan, keistimewaan lagu Pergi terserlah dengan sendirinya. Katanya, lagu itu cukup sempurna kerana nada rendah dan tingginya hadir seiring. Lagu itu menjadi lebih menarik apabila dilengkapi dengan susunan seni kata yang istimewa.

“AJL tahun ini menyaksikan persaingan paling menarik. Persembahan penyanyi pada malam ini boleh dikatakan semuanya baik dan tiada kekurangan. Lagu yang baik sangat membantu menonjolkan sebuah persembahan yang baik,” katanya.

Aizat yang diberi kepercayaan oleh Pete Teo untuk mendendangkan lagunya seakan tidak percaya dengan kemenangan bergandanya malam itu apabila turut dipilih memenangi kategori Persembahan Terbaik yang melayakkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 10,000.

Katanya, Pete tidak mengenalinya tetapi lagu Pergi ditawarkan kepadanya setelah diperkenalkan oleh seorang teman. Kebetulan, mereka berkongsi studio rakaman yang sama dan dari situ Aizat diperkenalkan kepada Pete.


PERSEMBAHAN menarik daripada Aizat bagi lagu Kau Aku.

Apabila suaranya diperdengarkan kepada Pete, komposer itu nyata tertarik dengan vokal anak muda ini.

“Setiap kali menyanyi, Aizat sentiasa memastikan lagu dan jiwa Aizat bersatu. Aizat memang menghayati sepenuhnya lagu Pergi. Bagi mewujudkan rasa ketika menyanyikan lagu itu, Aizat bermain dengan emosi. Aizat kaitkan perkara sedih yang berlaku dalam hidup Aizat.

“Kekuatan lagu Pergi bagi Aizat terletak kepada mood, gitar dan juga vokal Alinda yang mengiringi Aizat serta alunan muzik daripada er hu. Iringan muzik daripada orkestra juga sangat membantu persembahan Aizat ketika menyanyikan lagu ini,” katanya.

Sementara itu, Kelainan lagu Dan Sebenarnya yang dicipta sepenuhnya oleh Yuna pula melayakkan penyanyi itu menjulang trofi Naib Juara yang menawarkan wang tunai RM15,000. Yuna menjadi artis indie ketiga diangkat sebagai pemenang selepas Estranged dan Meet Uncle Hussein. Ini menunjukkan muzik indie semakin berkembang dan mencetuskan fenomena kepada industri muzik tanah air.

Kemenangan pada AJL24 dilihat penyanyi dan komposer muda ini sebagai anjakan paradigma kepada kerjaya nyanyiannya. Kata Yuna sebelum ini dia hanya penonton AJL tetapi tidak menyangka hari ini dia bergelar peserta, malah ini adalah pertandingan pertama disertainya.

“Saya berasa sangat dihargai, selepas ini saya bukan lagi seorang penyanyi ‘underground’ tetapi seorang yang pernah menyanyi di pentas AJL. Saya melihat AJL juga sebagai pentas menimba pengalaman, mungkin selepas ini peluang lebih besar akan datang kepada saya.

“Sebelum ini saya tak pernah mimpi dicalonkan dalam AJL. Bagi saya apabila dicalonkan ia satu perkara yang sangat berharga dan kemenangan pada malam ini pula saya anggap sebagai satu bonus,” katanya.

Bagi Audi Mok dan Faizal Tahir pula, mereka mengambil risiko ketika menghasilkan Bencinta kerana lagu itu amat berbeza sekali dengan konsep album pertama Faizal, Aku. Muzik. Kamu.

Mereka hampir kecewa apabila kemunculan awal lagu berkenaan tidak begitu mendapat sambutan, bagaimanapun lama-kelamaan ia diterima baik. Bagi mereka kemuncak kepada kejayaan Bencinta apabila dipilih memenangi tempat ketiga AJL 24 yang melayakkan mereka berkongsi wang tunai berjumlah RM12,000.

“Mood saya menurun apabila mendapat tahu Bencinta mengambil masa untuk diterima. Tetapi lama kelamaan lagu itu diminati, saya sangat gembira dan ternyata peminat kita berfikiran terbuka. Memang ia risiko tetapi saya dan Faizal memberanikan diri untuk mencuba,” kata Audi.

Sementara itu kata Faizal pula, selepas ini dia dan Audi akan terus mencuba dalam lagu mereka kerana tidak mahu muzik yang sedia ada kekal di takuk lama. Biarpun di tempat ketiga, penyanyi itu tetap berpuas hati kerana semua persiapan dirangka dalam tempoh singkat.

“Kalau ikutkan saya memang tak mahu ada sebarang gimik. Saya mahukan sebuah persembahan yang ringkas, tetapi setelah berbincang dengan syarikat rakaman dan beberapa pihak lain mereka kata lagu ini perlukan sedikit gimik kerana ia sebuah lagu rancak,” katanya.

Usaha satu keluarga

MENAMPILKAN kanak-kanak yang berpakaian seragam sekolah ketika mempersembahkan lagu Kau Aku membawa tuah kepada Aizat apabila dipilih Persembahan Terbaik. Namun kata Aizat, kemenangan itu bukanlah untuknya seorang, sebaliknya amat berterima kasih kepada seisi keluarganya iaitu adik-beradik serta sepupunya yang bertungkus-lumus memastikan persembahan itu berjaya.

Persiapan menghadapi AJL dilakukan selama dua minggu. Pemilihan kanak-kanak sekolah seramai lebih 30 orang itu dibuat oleh kakaknya sendiri Nur Ili Zuhari yang mengadakan uji bakat di sekolah St John dan Convent Bukit Nanas, manakala sepupunya Muhamad Samsudin, bertindak sebagai kareografer.

Bapa penyanyi itu Datuk Amdan Mat Din berkata, Insya-Allah mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan kemenangan Aizat serta kanak-kanak sekolah yang bersungguh-sungguh berlatih bagi memastikan persembahan itu berjaya.

Setakat ini dia masih belum memikirkan habuan untuk kanak-kanak berkenaan, tetapi akan mengundang mereka ke majlis kesyukuran yang akan diadakan nanti.

Black buktikan vokalnya memang mantap

KEKUATAN vokal penyanyi baru ini memang tidak boleh dinafikan. Malah dia mendapat pujian daripada Fauzi Marzuki yang memuji kehebatan vokal Black.

“Dia (Black) berjaya mengekalkan tempo yang baik sepanjang persembahannya. Dia berjaya mengawal nada rendah dan tingginya dengan cukup baik, sebab itu dia layak memenangi kategori Vokal Terbaik pada malam ini,” katanya.kali pertama menyertai AJL, menyifatkan kemenangan ini sebagai sesuatu yang cukup bermakna dan dia berharap kemenangan di AJL akan membuka jalan yang lebih murah untuk kerjaya nyanyiannya.

Ditanya siapa pencabar terdekatnya, penyanyi ini tidak menolak Misha Omar adalah pesaing paling rapat. Namun dia tidak menyangka dapat mengenepikan penyanyi itu.

“Saya langsung tidak mengharap memenangi sebarang tempat, cuma berharap rezeki berpihak kepada saya untuk kategori vokal. Memang saya langsung tak sangka akan menang, lebih-lebih lagi dua hari sebelum malam kemuncak saya diserang sakit tekak. Alhamdulillah saya berjaya juga membawakan lagu Aku Cinta Sayang Kamu dengan baik,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: