Ruang Peribadi Kak Cham: Proses Kira Undi Serancak Bualan Siapa Artis Paling Popular

11 Jan

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my

PROSES pengiraan undian pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) sedang rancak berjalan. Terima kasih kepada pembaca Berita Harian yang sentiasa memberi sokongan kepada usaha akhbar ini untuk memartabatkan kalangan artis. Siapa yang bakal mengungguli Top 5 anugerah yang akan berlangsung pada 4 April itu akan diumumkan pada 20 Januari dalam satu sidang media.

Serentak dengan pengumuman itu yang akan dibuat di Palace of the Golden Horses, pihak penganjur juga akan memilih siapakah pembaca bertuah yang akan memenangi dua motosikal GTR 170X itu, telefon bimbit, komputer riba, kamera dan pelbagai lagi. Memang lumayan dan itu baru peringkat pencalonan awal. Peringkat final yang akan bermula sebaik saja pengumuman itu akan menawarkan hadiah yang lebih lumayan. Jadi tunggu sajalah berita baik itu tetapi paling penting jangan ketinggalan untuk bersama-sama menyertai peringkat kedua pengundian ABPBH2009.

Sama rancak dengan proses pengiraan undi di sebuah ‘bilik rahsia’ di Balai Berita itu adalah persoalan siapakah yang bakal menggenggam trofi Bintang Paling Popular. Bualan kosong mengenai perkara itu adalah sesuatu yang lumrah. Kalau berjumpa dengan teman seperjuangan di akhbar lain pun, tak dapat tidak mesti menyentuh mengenai artis yang mereka rasa paling popular.

Namun sedihnya, sehingga saat dan tika ini, teman dan suku sakat serta rakan seperjuangan yang lain masih belum nampak siapakah gerangan artis bertuah itu. Berbeza benar dengan tahun-tahun sebelumnya di mana awal lagi kami boleh menjangka trofi bakal miliki siapa.

Teman bercakap ini pun bukanlah berdasarkan jumlah undi yang diterima atau pola pengundian pembaca tetapi lebih mengenai pengamatan sendiri dan selalunya tekaan itu pun amat jarang tersasar. Macam tahun lalu, awal lagi kebanyakan wartawan hiburan boleh mengagak artis bertuah itu adalah Nabil dan akhirnya memang Nabil yang dijulang sebagai artis paling popular.

Tetapi tahun ini rata-rata orang dalam industri hiburan sukar menelah artis mana yang paling popular. Tak tahulah pula kalau ia macam mengiyakan andaian bahawa industri hiburan kita memang indah khabar dari rupa. Tak macam dulu, teman ingat lagi kemunculan atau kehadiran seseorang artis itu memanglah sesuatu. Aura pun semacam saja. Macam Datuk Siti Nurhaliza yang pernah menggenggam trofi Bintang Paling Popular selama enam tahun berturut-turut, kita tak pernah bising pun kerana kita tahu dan akur dia memang popular. Lalu apabila pembaca memang menobatkan Siti, memang sewajarnyalah.

Dalam bual-bual kosong bersama teman seperjuangan yang lain, timbul juga pendapat bahawa tak mustahil penyanyi yang menyambut ulang tahun ke-31 hari ini, bakal merampas gelaran daripada Nabil tahun ini. Bagi teman memang tak mustahil kemungkinan itu kerana melalui pengamatan teman, isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu tidak pernah tahu duduk diam. Malah, Tok Ti semakin aktif merencana kerjaya seninya. Tak apalah, kita biarlah pembaca dan peminat hiburan tanah air membuat penentuan kerana akhirnya amanah dan tanggungjawab itu memang milik mutlak mereka.

Hakikatnya, artis dan peminat memang bak isi dengan kuku, bak aur dengan tebing. Tak boleh lekang. Janganlah ada artis yang mendabik dada berkata mereka tak perlukan peminat. Nahaslah jawabnya. Begitu juga janganlah ada artis yang kata mereka tak perlukan media. Realitinya, memang kita saling memerlukan di antara satu sama lain. Tetapi jangan pula ada yang mengambil kesempatan di atas sikap baik, ramah mesra sesiapa pun.

Artis juga perlu bijak menjaga nama dan populariti mereka. Paling penting jangan mudah menggunakan nama mereka untuk tujuan yang tidak baik. Macam cerita dalam Metro Ahad semalam, yang mendakwa ada seorang artis popular menipu dan menggelapkan wang lebih RM3 juta yang dikutip sebagai pelaburan ala skim cepat kaya ke syarikat miliknya. Memang tak sedap benar cerita itu.

Iyalah bukan mudah jadi artis kerana setiap tutur kata, gerak geri dan perbuatan mengundang perhatian. Kadang kala teman simpati juga, macam kes Awal Ashaari dan Sacha Alyahya baru-baru ini yang diheret dalam kontroversi gara-gara berada di sebuah kelab hiburan. Bukan tak bersepah orang lain – bangsa Melayu, agama Islam – yang gemar lepak di pusat hiburan tetapi dek sudah menjadi figura awam, nampak jahatnya kalangan artis juga. Memang kasihan. Tetapi seperti yang selalu teman cakap itulah harga yang perlu dibayar apabila menjadi artis.

Ironinya, dalam pada itu pula masih ramai yang menyimpan impian untuk bergelar artis. Masing-masing berangan menjadi Siti Nurhaliza, menjadi Mawi atau pun menjadi Rosyam Nor. Iyalah apabila terpampang rumah mewah, kereta mewah dan serba-serbi mewah siapalah yang tak tergoda. Riz, artis yang lahir melalui program realiti Akademi Fantasia dan baru ada satu album pun boleh memiliki kereta Mercedez. Tarikan dunia hiburan memang tak pernah surutnya. Jumpa lagi!

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: