Etnik Kejaman

10 Jan

Oleh Azrul Affandi Sobry

Hidup kais pagi, makan pagi: Penghuni dua kampung di Hulu Belaga bergantung kepada hasil hutan, sungai

KEJAM ialah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan zalim. Kejaman pula ialah sekumpulan manusia atau suku kaum yang wujud di negara ini. Bukan saja orang luar, ramai penduduk Sarawak juga tidak pernah tahu wujudnya kaum itu. Kaum itu hanya boleh ditemui di bumi Sarawak. Kaum ini boleh didapati di sebuah perkampungan kaum kecil di daerah Belaga, di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Hulu Sungai Rajang – terpanjang di negara ini, menghala ke Bakun.

Kejaman ialah salah satu etnik kecil di Belaga yang bernaung di bawah masyarakat Kajang bersama beberapa suku etnik kecil lain iaitu Punan, Sekapan, Lahanan dan Sihan. Mereka membuka dua perkampungan di Hulu Sungai Rajang dengan jumlah penduduk lebih kurang 1,300 orang.

Berpecah kepada dua perkampungan iaitu di Rumah Panjang Kejaman Long Segaham dan Long Litten akibat krisis peperangan antara kaum pada kurun ke-18, masyarakat itu hanya boleh ditemui jauh di hulu Belaga selepas melalui pelbagai kesukaran untuk ke perkampungan mereka.

Keunikan kaum itu bukan sekadar namanya yang pelik, malah apabila diselami budaya serta cara hidup masyarakat hulu itu, mereka lebih selesa tinggal jauh daripada kemudahan asas yang dinikmati orang lain serta turut sukar untuk ke bandar atau pekan berhampiran, Belaga atau Bintulu.

Untuk membongkar misteri etnik ini memerlukan perjalanan selama tiga jam dengan bot ke pekan Belaga atau menaiki pacuan empat roda melalui laluan hutan balak dengan liku perjalanan menyukarkan, penduduk Kejaman rela terus hidup dengan cara tersendiri, bergantung harap kepada hasil hutan dan sungai untuk meneruskan kehidupan serba mencabar.


PERKAMPUNGAN dan Rumah Panjang Kejaman Long Liten, Sungai Rejang di Hulu Belaga.

Meskipun namanya seakan-akan memberi gambaran masyarakat itu memiliki sifat kejam, realiti sebenarnya masyarakat Kejaman kaya dengan budi bahasa. Mereka mengekalkan keunikan budaya.

Dengan mengekalkan cara hidup perkampungan rumah panjang di samping mempertahankan budaya turun temurun, menjadikan masyarakat itu sangat unik.

Namun, kesukaran mengunjungi perkampungan mereka menyebabkan etnik itu sukar didekati. Ketiadaan kemudahan pengangkutan selain jarak yang sangat jauh menjadi masalah utama kepada masyarakat luar untuk menemui mereka. Hanya ada tiga pilihan. Pacuan empat roda dan bot panjang dari Bintulu atau bot ekspres Sibu ke Bakun.

Menurut cerita penduduk, perkampungan asal Kejaman ialah di Sungai Kajang, sebab utama wujudnya nama masyarakat Kajang sebelum memilih untuk berpindah ke Hulu Sungai Rajang atas alasan untuk mendapatkan sumber ekonomi hasil hutan yang lebih banyak.


GAMBAR atas, Penari Kesut bersedia menyambut kedatangan tetamu di Rumah lasah di Hulu Belanga. Gambar bawah, laluan trek balak yang memerlukan empat jam perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Bintulu ke Belaga.

Penduduk di perkampungan Kejaman lebih banyak bergantung hidup kepada aktiviti pertanian dengan kebanyakannya boleh dikategorikan sebagai ‘kais pagi makan pagi’, namun kepesatan aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran membuka ruang kepada beberapa penduduk di situ mendapatkan sumber pendapatan lain sebagai pekerja pembalakan.

Kemudahan asas di perkampungan itu juga sangat terhad. Mereka tidak mempunyai kemudahan elektrik, sekadar bergantung kepada jana kuasa elektrik yang dihidupkan selepas jam 7 malam hingga jam 11 malam iaitu waktu hampir semua penduduknya sudah tidur lantaran kebanyakannya memulakan aktiviti harian seawal jam 6 pagi.

Namun, agak mengejutkan kerana meskipun jauh di pedalaman, kebanyakan rumah di situ dilengkapi kemudahan televisyen berbayar dan ada juga di kalangan mereka memasang parabola, sekali gus membolehkan masyarakat di situ sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa dunia luar.

Ia juga menjadi antara sebab penduduk di situ yang majoritinya penganut Kristian berjaya dalam pendidikan dengan ada yang menjadi guru dan berpuluh lagi sedang melanjutkan pengajian di universiti dalam pelbagai jurusan profesional.

Tidak cukup dengan itu, suasana sebelah malam yang diterangi lampu kalimantang di rumah panjang itu juga meriah dengan aktiviti karaoke penduduk muda di situ yang cukup gemar menyanyikan lagu Indonesia, malah turut merdu menyanyikan lagu artis dari Semenanjung seperti Awie dan Siti Nurhaliza.

Ciri-ciri utama masyarakat pedalaman masih ketara di kalangan beberapa penduduk lama seperti cuping telinga panjang serta tatu yang penuh di tangan dan kaki, namun ia tidak lagi diikuti masyarakat muda lantaran merasakan sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini.

Hidup jauh daripada orang luar ternyata menjadikan masyarakat ini lebih kreatif terutama dalam menghasilkan produk kraftangan dan ia terbukti dengan kehalusan hasil kraf seperti anyaman buluh dan manik, namun masalah pengangkutan dan akses dengan dunia luar menyebabkan ia sukar dipasarkan.

Apa yang pasti, hidup dalam kelompok masyarakat unik itu menyebabkan mereka banyak melakukan aktiviti bersama seperti memasak untuk menghadapi perayaan atau perkahwinan dan sering berkumpul melakukan kerja kraftangan.

Bagaimanapun, kesukaran utama iaitu jarak dengan dunia luar sering menjadi isu utama masyarakat di situ yang menghadapi masalah mendapatkan perubatan sempurna serta terkongkong dalam cara hidup orang hulu, meskipun tidak dinafikan sentiasa mengikuti perkembangan dunia semasa.

Apa tidaknya, untuk ke rumah panjang yang dipimpin tuai rumah itu, perjalanan serba memeritkan perlu ditempuh termasuk melalui laluan balak serta sungai yang turut dipenuhi balak hanyut, sekali gus menyajikan pelbagai bahaya.

Itulah kesukaran yang perlu ditempuh masyarakat di situ sekiranya mahu mendapatkan keperluan lain seperti pakaian dan kelengkapan asas termasuk membeli minyak dari Belaga. Suka atau tidak segala kesukaran dan risiko itu perlu ditempuh. Namun, bagi mereka, alah bisa tegal biasa.

Di sebalik kesukaran dan hidup terasing itu, ada kebanggaan yang diluahkan mereka seperti kata-kata yang diluahkan wakil Tuai Rumah di Long Segaham, Jackson Kubang Luring – “Kejaman hanya ada di Sarawak dan kamilah saja Kejaman yang masih ada di dunia ini. Tak semua orang tahu mengenai kami tetapi kami juga berjaya seperti masyarakat lain,” katanya.

Perjalanan ambil masa lebih 5 jam

UNTUK ke perkampungan kaum Kejaman di Hulu Sungai Rajang di Belaga, Sarawak, terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan mengambil masa lebih lima jam merentasi laluan hutan balak yang berliku dengan keadaan jalan tanah merah serba kekurangan serta becak.

Dengan bantuan Liew, pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Ninja Turtle yang bersetuju membawa kami ke Belaga dengan bayaran sebanyak RM600, perjalanan yang menguji kemahiran pemandu itu dimulakan pada sebelah petang menjadikannya lebih sukar lantaran kepayahan mengagak apa yang bakal muncul di hadapan termasuk lori balak, yang menjadi ‘raja’ di laluan itu.

Lebih dua jam melalui jalan bertar yang boleh terus ke Bakun, simpang ke kanan memasuki laluan jalan tanah merah memulakan episod perjalanan yang sukar. Sepanjang dua jam, kami dilambung dan langsung tidak dapat tenang ketika Ninja Turtle dipandu ke kiri dan ke kanan, turun dan naik bukit sehinggakan lebih lima kali Liew terpaksa memberhentikan kenderaannya untuk menukar sistem pemanduan dari dua roda ke empat roda.

Selepas jenuh dilambung sepanjang perjalanan dan disajikan pengalaman penuh derita itu, kami begitu teruja melihat pekan Belaga. Tak dapat digambarkan betapa hati ini begitu terpegun melihat pekan kecil itu kerana sudah lima jam dalam keadaan pening lalat.

Pekan Belaga, lebih kurang sebesar pekan kecil Hulu Langat dengan kemudahan yang sangat minimum serta turut dilengkapi beberapa kedai makan Melayu dan hotel murah sudah cukup sempurna bagi penduduk tempatan terutama yang tinggal di Hulu Belaga termasuk perkampungan kaum Lahanan, Sekapan, Kayan, Sihan dan Melayu Kedayan.

Hanya ada dua tiga blok kedai dan beberapa kemudahan asas lain seperti balai polis, klinik kecil dan stesen jualan minyak di pekan yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Melayu Kedayan. Keunikan masyarakat di sekitar Belaga juga menarik perhatian pelancong asing untuk berkunjung ke situ apabila turut kelihatan beberapa pelancong asing termasuk dari Australia.

Kami menginap di Hotel Belaga malam itu sebelum meneruskan perjalanan ke Long Segaham dengan bot panjang keesokan harinya yang sekali lagi menyajikan pengalaman perjalanan penuh mencabar dan mendebarkan.

Apa tidaknya, sepanjang perjalanan menongkah arus itu, pemandu bot, Tuong, terpaksa mengelak beberapa kumpulan kayu balak hanyut yang ada antaranya besar sepemeluk. Jenuh juga dia mengemudi bot dari kanan ke kiri bagi memastikan bot tidak melanggar balak hanyut itu selain mahu memastikan bot tidak terperangkap di kawasan air cetek.

Keadaan sungai yang keruh dan sesekali ada pusaran air kelihatan cukup bahaya dan dikhabarkan beberapa kemalangan yang meragut nyawa pernah berlaku di situ sekali gus menuntut pemanduan penuh berhati-hati sepanjang perjalanan tanpa sebarang alat keselamatan.

Lebih dua jam perjalanan melalui beberapa perkampungan termasuk sebuah perkampungan kaum Kejaman di Long Litten dan kilang balak, kami tiba dengan selamat di Long Segaham. – Bersambung esok

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: