Pasaran Muzik Masih Cerah

1 Jan

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

LAGU Zakiah nyanyian semula kumpulan Jinbara dan Ahli Fikir dimuat turun hampir sejuta.

Sorotan dan ramalan Industri Muzik kita

Industri ini perlu sealiran dengan kemajuan teknologi digital

PANDANGAN bahawa industri muzik sedang melalui zaman kegelapan berikutan nilai pasaran album fizikal yang semakin merudum hanyalah kebimbangan sementara.

Memang betul industri muzik menyaksikan penyusutan jualan album secara fizikal, namun begitu pasaran muzik digital pula menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Ini berkait rapat dengan era digital menjadikan pasaran muzik harus disesuaikan dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa.

Sepanjang 2009, pasaran muzik digital menguasai pasaran muzik tanah air. Kecanggihan sistem telekomunikasi menerusi telefon bimbit dan internet membolehkan pengguna muat turun lagu dengan mudah. Suatu ketika ia dilihat sebagai ancaman besar kepada industri tetapi mula dilihat sebagai penyumbang kepada kelangsungan industri muzik.

Kutipan daripada penjualan lagu secara digital mendatangkan pulangan besar, malah syarikat rakaman di negara ini sudah mewujudkan bahagian muzik digital bagi memantau perkembangan pasaran itu.

Penjualan lagu secara digital juga dilihat memberikan lebih keuntungan berbanding format fizikal kerana pengguna boleh muat turun lagu dengan mudah berbanding terpaksa keluar ke kedai mendapatkan album. Pulangannya juga besar apabila sebuah lagu digital dijual pada harga RM3, ia lebih menguntungkan berbanding format fizikal yang dijual pada kadar RM20 hingga RM30 bagi sebuah album.

Dalam erti kata lain, pengguna sekarang membeli lagu, bukan album.

Penggiat seni muzik kini semakin menerima kehadiran teknologi ini berbanding kebimbangan mereka sebelum ini kerana belum mendapat gambaran jelas mengenai faedah teknologi digital.

Data hasil kutipan penjualan pasaran fizikal dan digital yang dikeluarkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menunjukkan penjualan lagu secara fizikal memperlihatkan peningkatan memberangsangkan. Bermula dengan kutipan RM5 juta pada 2005, nilai itu dianggarkan melonjak kepada RM30 juta apabila tirai 2009 dilabuhkan.

Pasaran fizikal bagi tahun 2009 mencatatkan perolehan sekitar RM50 juta berbanding RM 111 juta kira-kira empat tahun lalu. Walaupun nilai penyusutan yang besar, namun apabila dua pasaran itu digabungkan, hasil diperoleh menunjukkan peningkatan apabila jumlah jualan lagu ahli RIM mencecah RM80 juta berbanding RM76 juta pada tahun 2008.

Pengurus Besar RIM, R Ramani Ramalingam berkata, aliran dan kecenderungan pengguna terhadap teknologi digital adalah faktor tetap yang perlu dihadapi industri muzik. Evolusi yang berlaku ini mempengaruhi format dan perniagaan muzik serta cara muzik itu dinikmati atau digunakan. Ia turut mempengaruhi cara cetak rompak, penukaran berlaku disebabkan cita rasa orang ramai yang semakin moden.

“Anggaran jualan muzik yang kita keluarkan adalah bukti bahawa ramalan industri muzik tanah air sedang melalui zaman kegelapan adalah tidak tepat. Carta yang kita dapat format fizikal menurun disebabkan faktor seperti peningkatan teknologi digital. Penyiaran radio berformat, saingan daripada pelbagai elemen lain turut mempengaruhi.

“Bagaimanapun dari analisis kami, industri muzik kita melalui perkembangan yang positif. RIM meramalkan industri muzik untuk tahun depan cerah dengan jualan muzik secara keseluruhan mula meningkat,” katanya.

Penghasilan single yang kini semakin menjadi kebiasaan kepada industri muzik juga jelas Ramani, tidak mengancam industri muzik, sebaliknya dapat membantu menjana pendapatan industri.

“Perkembangan teknologi mempengaruhi proses pengeluaran serta pengedaran. Ia memberi peluang kepada penggiat seni mengambil lebih risiko mengeluarkan muzik secara berperingkat dengan kos lebih rendah.

“Industri muzik masih mendapat manfaat dalam keadaan ekonomi sekarang oleh penghasilan single khususnya dalam bentuk digital. Ini kerana format itu menggalakkan lebih ramai penyanyi, pemuzik dan syarikat sedia ada atau baru mencuba nasib menilai sama ada hasil seni mereka dapat memenuhi kehendak pendengar sebelum membuat pelaburan lebih berat iaitu engeluaran album penuh,” katanya lagi.

Kesan perkembangan era digital juga dirasai Warner Music Malaysia, apabila syarikat ini mencatat keuntungan daripada pasaran digitalnya. Lagu Melayu yang diterbitkan syarikat itu yang mencatat muat turun paling banyak ialah lagu Zakiah didendangkan kumpulan Jinbara bersama Ahli Fikir yang hampir mencecah sejuta.

Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad tidak menafikan kebimbangan industri muzik akan jatuh dengan teruk memang pernah timbul tiga hingga empat tahun lalu. Bagaimanapun, kini mereka semakin selesa lebih-lebih lagi setelah melihat muat turun lagu memberikan pulangan kepada syarikat telekomunikasi, syarikat rakaman dan penyanyi.

“Apabila sistem telekomunikasi semakin berkuasa, perubahan drastik berlaku terhadap cara pembelian lagu. Corak pembelian berubah apabila pengguna kebanyakannya membeli untuk nada dering panggilan dan nada dering pemanggil. Ia menyebabkan pasaran melonjak, walaupun pasaran fizikal dilihat semakin tidak menjadi tetapi digital terjual berjuta ringgit. Jadi tidak benarlah dakwaan yang syarikat rakaman mengalami kerugian disebabkan pasaran digital menguasai fizikal.

“Dulu kita ramalkan industri muzik akan jatuh kerana pada ketika itu digital mendapat sambutan yang sangat hebat. Waktu itu kita tidak memikirkan kesannya tetapi sekarang barulah kita tahu bahawa pasaran digital juga mampu membantu industri muzik,” katanya.

Menyentuh mengenai penguasaan muzik luar yang juga dilihat sebagai salah satu ancaman kepada industri muzik tempatan, Mokhtaza berkata, lagu tempatan masih lagi menjadi pilihan seperti mana yang berlaku kepada lagu Zakiah nyanyian semula Jinbara yang dimuat turun sehingga hampir sejuta. Katanya, lagu Indonesia tidak begitu kuat di syarikat berkenaan malah lagu Lucky Laki, Aku Bukan Superman setakat ini hanya dimuat turun sekitar 300,000 buah saja.

Muzik indie hanya bermusim

KELOMPOK kumpulan pemuzik indie atau band indie dilihat akan terus menguasai industri muzik untuk jangka tiga hingga lima tahun lagi. Fenomena itu bagaimanapun dilaporkan sekadar bermusim kerana muzik sentiasa mengalami revolusi.

Kemunculan band seperti Hujan, Meet Uncle Hussein, Pesawat, Grey Sky Morning, Bunkface dan banyak lagi turut didorong oleh cita rasa pendengar masa kini yang dilihat bersifat sementara.

Mokhtaza berkata, beliau menjangka muzik era-60 dijangka kembali popular dan menguasai pasaran muzik berikutan evolusi muzik yang melanda industri setiap lima tahun sekali.

Hal berlaku ini sama juga dengan apa yang berlaku sekitar tiga tahun lalu apabila industri muzik dikuasai oleh muzik dari Indonesia. Sekarang ini tiba giliran pemuzik Indie, namun nama seperti Datuk Siti Nurhaliza dan beberapa lagi artis solo akan tetap bertahan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: