Mana Konsert 1 Wajah?

1 Jan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

PERTAMA kali Nasir dan Siti digandingkan dalam sebuah konsert istimewa di Singapura.

M Nasir bakal tampilkan album khas bersama Siti Nurhaliza

SEBELUM ini Konsert Satu Wajah M Nasir yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu ditangguhkan penganjur atas alasan ingin memberi laluan kepada penaja mengatur semula strategi pemasarannya.

Maya Maxis Creative, selaku penganjur turut memaklumkan bahawa satu tarikh baru akan diumumkan dan besar kemungkinan konsert itu dianjurkan selepas Aidilfitri lalu.

Namun, sehingga kini, tiada khabar terbaru yang menunjukkan tanda-tanda konsert itu akan diadakan. Malah, dalam laman facebook milik penyanyi yang mendapat jolokan sifu ini, turut memberitahu yang konsert ini ditangguhkan sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Persoalannya, bilakah tarikh baru itu akan diumumkan, sedangkan peminat penyanyi ini sudah tidak sabar-sabar untuk melihat dia beraksi di pentas Stadium Negara.

Kali terakhir Nasir membuat persembahan di stadium itu pada 1994, menerusi Konsert Canggung Mendonan. Selepas 15 tahun sudah tentu si empunya diri begitu teruja untuk mengulangi detik-detik manis yang pernah dilaluinya.

“Saya sendiri tidak tahu apakah status konsert itu. Saya tidak dimaklumkan apa-apa oleh penganjur. Sehingga kini mereka senyap saja. Mungkin pihak pengurusan saya lebih mengetahui perkara ini,” kata Nasir ketika ditemui pada sesi raptai Konsert Bagaikan Sakti di Bsync Productions di Kuala Lumpur, malam Selasa lalu.


M NASIR akui tidak tahu akan status terkini konsert 1 Wajah.

Hadir sama, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengarah Urusan Beyond DDB Sdn Bhd, Amin Hussen.

Untuk konsert yang diadakan di Esplanade, Singapura pada malam tahun baru itu, Nasir berduet dengan penyanyi wanita tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Biarpun tidak menunjukkan sebarang perasaan kecewa, namun dari riak wajahnya seolah-olah menyatakan yang dia sudah tawar hati untuk meneruskan konsert itu.

“Saya bukanlah seorang yang mudah kecewa dengan hal seperti ini. Kalau betul mereka ada masalah, kenapa sedari awal mereka tidak maklumkan pada saya,” tegasnya.


M NASIR dan Siti menyampaikan lagu Suatu Masa dan Bagaikan Sakti dengan penuh perasaan.

Begitupun, apabila ada yang dapat menghidu kononnya konsert ini seolah-olah tidak dapat direalisasikan, mereka dengan pantas menawarkan konsert yang sama kepada penyanyi, komposer, pelakon, pengarah, penulis dan pelukis ini.

“Memang ada yang menawarkan konsert solo pada saya apabila mereka dapat tahu yang status konsert ini yang masih menjadi tanda tanya. Tapi saya lebih suka dengan Konsert Bagaikan Sakti ini, yang menggabungkan saya dengan Siti. Dalam hal ini tak timbul saya tumpang populariti Siti kerana saya sendiri yang memilih dia untuk menjadi rakan duet saya,” kata Nasir sambil dipersetujui Siti yang berada di sebelahnya.

Mengenai perancangannya menjelang tahun baru ini, Nasir berkata dia akan menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja penerbitan dan pengarah filem.

“Buat masa ini saya sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah filem. Masih dalam peringkat awal lagi dan ceritanya berunsurkan aksi dan juga serius. Mungkin saya akan terbabit sebagai pengarah saja dalam cerita ini.

“Walaupun saya mahu meneruskan usaha untuk lebih aktif dalam bidang penerbitan, namun pada masa sama, album tidak pernah saya lupakan. Buat masa ini, saya masih lagi mencari material dan lebih kurang 25 peratus sudah pun dihasilkan,” katanya.

Ditanya apakah dia masih berminat untuk meneruskan filem Aduh!Saliha yang sudah tertangguh sekian lama ini, dengan pantas Nasir mengatakan yang dia sudah pun melupakan terus perkara itu.

“Perkara itu sudah lama saya tolak ke tepi,” katanya penuh makna.

Astro siar Konsert Bagaikan Sakti

Sementara untuk Konsert Bagaikan Sakti, khabarnya Nasir dan Siti akan menyanyikan sebuah lagu baru, selain lagu popularnya bersama Siti iaitu Bagaikan Sakti. Dan apakah mungkin lagu itu dimuatkan dalam sebuah album khas yang akan menggabungkan dua penyanyi hebat ini?

“Memang saya ada mencipta sebuah lagu khas untuk konsert ini dan Siti ditugaskan untuk menulis liriknya. Namun judulnya masih belum ada. Mengenai album berdua, itu belum terfikir lagi, tengoklah macam mana,” kata Nasir sambil tergelak besar.

Dalam pada itu, Siti yang turut serta dalam sidang media itu berkata dia begitu teruja apabila mendapat tahu dia akan bergandingan dengan penyanyi pujaannya dalam sebuah konsert khas di Singapura.

“Sebelum ini kami memang selalu berkongsi pentas dalam beberapa majlis atau program televisyen. Namun inilah kali pertama kami berduet dalam sebuah konsert di luar Malaysia. Memang Siti gembira sangat kerana dia adalah penyanyi kesukaan Siti.

“Antara lagunya yang Siti suka ialah Suatu Masa dan Bonda,” kata penyanyi yang baru saja melahirkan album duet bersama Krisdayanti. Sebanyak 12 lagu solo akan mereka sampaikan dalam konsert yang memakan masa tiga jam ini dan enam buah lagu pula akan dinyanyikan secara duet.

Apa yang menarik mengenai konsert ini adalah, tiketnya sudah pun terjual selepas seminggu kaunter jualan dibuka dan secara tak langsung mencatat kenangan manis buat dua penyanyi ini.

“Sebelum ini pun Siti pernah membuat persembahan di sana dan tidak dinafikan orang Singapura memang suka apabila ada artis yang datang membuat persembahan di sana. Jadi apabila tiket konsert ini laku, Siti tak hairan. Lagipun abang Nasir masih mempunyai tarikan tersendiri, Siti yang tumpang dia bukan dia tumpang populariti Siti,” akuinya sambil ketawa.

Konsert istimewa ini juga bakal menyaksikan dua pengarah muzik terkemuka akan bekerjasama iaitu Aznan Alias dan Aubrey Suwito. Nasir di bawah pimpinan Aznan, manakala Siti pula bersama Aubrey serta diiringi 30 pemuzik.

Dalam perkembangan berkaitan, konsert ini juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Box Office Events (saluran 955). Menurut Khairul, pelanggan Astro bolehlah menyaksikan konsert ini dengan harga RM10

“Apabila melanggan, selain menonton secara langsung, mereka juga boleh menonton siaran ulangan yang akan bermula 2 Januari hingga 10 Januari. Kalau durasi konsert itu 3 jam, bermakna penonton boleh menyaksikan konsert itu sebanyak lapan kali dalam masa sehari,” kata Khairul.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: