Rabbani Teruskan Perjuangan Ustaz Asri

29 Dec


DI kawasan pergunungan Wadi Ram ketika merakamkan klip video album terbaru Rabbani.

SETIAP langkah yang disusun kumpulan Rabbani kini pasti akan tetap mengenang tunggak kekuatan mereka iaitu Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang terlebih dulu menyahut seruan Ilahi pada 13 Ogos lalu. Sehingga kini, perjuangannya masih tetap diteruskan.

Demikian juga kisahnya dengan kembara ilmu hujung pada November lalu yang membabitkan kumpulan yang memegang rekod lapan tahun berturut-turut menerusi kategori Penyanyi/Kumpulan Nasyid Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Jurucakap anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, program Kembara Ilmu bersama Rabbani anjuran Al Bayan Corporation sejak 26 November hingga 7 Disember lalu sebenarnya antara projek yang ditinggalkan Ustaz Asri sebelum pemergiannya ke rahmatullah.

“Allahyarham antara yang teruja dengan projek kembara ini biarpun tidak kesampaian. Peluang kembara ini sebenarnya turut membuka peluang kepada kami termasuk Allahyarham untuk memperkukuhkan sebutan Bahasa Arab..

“Apatah lagi, bahasa terbabit tidak dapat dipisahkan dalam dunia muzik nasyid,” katanya yang hadir ke Balai Berita baru-baru ini.

Jelas Azadan, kembara ilmu yang dikelolakan Datuk Mahmud Abdul, penterjemah Bahasa Arab bagi pertandingan Tilawah al-Quran itu turut menyelit kursus belajar Bahasa Arab sambil bercuti ke Jordan, Syria dan Lubnan.


TEMUBUAL untuk program TV Shada di Jordan.

Katanya lagi, sesi ilmiah ini berjalan secara santai dan praktikal.

“Sepatutnya kami balik pada 3 Disember tetapi kerana meneruskan penggambaran klip video album terbaru, kembara ini dilanjutkan hingga 7 Disember. Sesi lawatan ke bangunan dan tempat bersejarah turut diadakan. Malah, Rabbani turut membuat persembahan di Universiti Jordan dan Yarmok.

“Selain itu, kami juga diundang membuat persembahan di kedutaan Jordan, Syria dan Lubnan. Orang kata sambil menyelam, meminum air, kami mencuri peluang merakamkan penggambaran program Jelajah Rabbani. Ketika ini, kami masih dalam peringkat perbincangan mencari stesen TV untuk menyiarkannya.

“Di sana kami berpeluang menemui penyanyi nasyid terkenal di Timur Tengah, Abu Judd. Suaranya memang luar biasa dan kami sempat bergambar kenangan dengannya. Kami juga berjumpa dengan tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf Malaysia di sana. Insya-Allah kembara ilmu ini akan menjadi acara tahunan” kata Azadan lagi.

Dalam pada itu, dua minggu sebelum pemergian Rabbani mengikuti kembara itu, mereka sempat melunaskan rakaman album terbaru berjudul Mahabbah. Album ini juga menjadi pertaruhan sulung Zulkiflee Azman yang dilantik sebagai penyanyi utama selepas ketiadaan Allahyarham.

“Kami menyelitkan lagu Kejora Sinar Zaman yang didedikasikan buat Allahyarham dan kepada mereka yang mengenalinya. Lagu tema program Syahadah di RTM itu turut dirakamkan kembali dalam versi lebih panjang.

“Lagu Nurul Iman pula dijadikan single pertama dan insya-Allah akan dijadikan lagu tema sebuah drama di RTM terbitan Layar Consult. Album ini ditaja PRM Global dan diedarkan Warner Music,” katanya sambil memberitahu album itu sudah pun berada di pasaran

Pada tahun 2010, sekali lagi Rabbani akan menganjurkan konsert Malam Sinar Maulidur Rasul. Syarikat telekomunikasi utama negara, TM bakal menaja konsert yang dijangka diadakan pada Februari nanti.

“Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi akan jadi penyanyi utama dan tarikan untuk konsert ini seperti yang terdahulu. Selain konsert itu, Rabbani masih akan menganjurkan aktiviti menarik termasuk pakej umrah.

“Kepada sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di talian 019-2110300 atau 03-62721225 untuk keterangan lanjut,” katanya seraya mengakhiri perbualan dengan menjelaskan sebarang aktiviti dan produk terkini Rabbani boleh diketahui dengan melayari laman sesawang,www.rabbani.com.my.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: