Ruang Peribadi Kak Cham: Cerita Elok Buat Apa Nak Sorok Datuk?

21 Dec

hanizam@bharian.com.my

Bung Moktar

TIBA-TIBA saja nama Zizie Ezette meniti di bibir khalayak. Bukan sebab lakonannya dalam drama meninggalkan kesan yang begitu mendalam sehingga menjadi bualan tetapi kerana kisah kononnya dia bernikah dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. Teman terkejut juga kerana sebelum ini pelakon berkulit putih gebu ini agak bersih daripada sebarang kontroversi. Sepanjang 10 tahun dalam dunia hiburan ini tak pernah pula teman dengar cerita anak Mummy Khaty ini terpalit dengan kisah sebegini.

Menyingkap keratan akhbar, cerita yang berkisar kebanyakannya adalah mengenai kerjaya seninya saja. Paling tidak pun, dia sekadar menjawab soalan nakal wartawan mengenai kisah peribadinya. Tidak macam sesetengah artis yang setiap kali muncul di dada akhbar atau majalah kisahnya adalah mengenai cinta dan kontroversi. Tengok sajalah Fasha Sandha, setiap kali keluar cerita, ia adalah mengenai kisah cinta, lelaki dan kahwin saja sampaikan peminat pun muak. Kalau jadi tak apalah juga, ini gempak saja lebih.

Nak dijadikan cerita, baik Zizie atau Bung Mokhtar pada mulanya hanya mahu berahsia dan berteka-teki mengenai kesahihan berita pernikahan mereka yang kononnya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat dalam sebuah majlis resepsi. Tanya Mummy Khaty, dia sekadar berkata merestui pilihan anak gadisnya itu. Tanya pula Sam Suhaizey, adik Zizie dan pelakon yang sedang meningkat, dia pun kata tak tahu menahu cerita kahwin itu. Bung Mokhtar yang selalunya begitu lantang berkata-kata dalam Dewan Rakyat, tetapi kali ini pendek saja reaksinya dan penuh teka-teki walaupun kenyataan kawan baiknya Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz bagaikan sudah mengiyakan cerita sebenarnya bahawa mereka sudah menjadi suami isteri yang sah.

“Dah selamat… saya doakan beliau bahagia. Saya sempat berpesan kepada Bung Mokhtar jangan berahsia lagi… biar semua kawan tahu kerana ucapan tahniah adalah doa,” katanya dalam Berita Harian Jumaat lalu. Iyalah, cerita nikah dan kahwin Datuk, memanglah cerita elok, jadi buat apa nak sorok-sorok? Bagaimanapun itu kata mereka yang tidak ada isu ekoran perkahwinan itu. Tetapi bagi kalangan yang tahu kesan yang mungkin timbul dek pengumuman pernikahan itu, mereka seboleh-bolehnya mahu merahsiakan saja. Itu lumrahlah apabila pihak lelaki terutamanya bukan lagi bujang trang, trang tang!

Reaksi “Ini bukan masa terbaik membuat komen. Saya perlu menjaga hati banyak pihak dan saya tidak mahu melukai sesiapa” Bung Mokhtar itu bagaimanapun tidak menyekat orang ramai daripada berkata-kata mengenainya. Malah ia mengundang banyak spekulasi. Dalam blog, laman web gosip dan Facebook sekali pun, sembangnya adalah mengenai Zizie dan Bung Mokhtar. Semua nak tahu, semua nak sembang dan semua nak bagi pendapat. Walaupun Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil meminta supaya jangan mensensasikan perkara ini tetapi siapalah kita untuk menyekat sesiapa pun untuk berkata-kata apatah lagi apabila ia membabitkan seorang artis dan seorang ahli politik.

“Jangan jadikan ia bahan jenaka, perkahwinan adalah perkara serius. Semua pihak termasuk media jangan terlalu mempersendakan isu ini kerana ia perkara penting dan bukan bahan jenaka,” katanya yang mengakui tidak menerima sebarang undangan menghadiri majlis resepsi. Betullah tu Kak Ijat, perkahwinan bukan bahan jenaka tetapi sedihnya ramai yang memilih untuk menjadikan ia bagaikan sebuah cerita jenaka. Akhirnya, semalam Bung Mokhtar mengesahkan bahawa mereka sudah pun selamat bernikah. Tahniah dan selamat pengantin baru Zizie dan Bung Mokhtar. Tahniah juga buat Mummy Kathy kerana dapat menantu. Bukan calang menantu pulak tu…


Zizie

Dalam dunia hiburan, penafian artis mengenai hubungan cinta atau perkahwinan bukanlah perkara baru. Malah ada wartawan yang berani ‘kerat jari’ setiap kali ada artis yang menafikan atau menepis gosip cinta dan kahwin atau terpalit dengan kisah cinta terlarang atau terbuang. Paling orang ingat adalah apabila Datuk Siti Nurhaliza menafikan gosip cintanya dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Ketika gosip cinta mereka semakin panas, Siti pernah berkata bahawa dia tidak pun mengenali Datuk K. Tup tup beberapa bulan kemudian mereka mengumumkan untuk mendirikan rumah tangga.

Begitu juga dengan cerita kahwin Siti Sharizah atau lebih mesra dengan panggilan Eja. Terkejut peminatnya apabila tiba-tiba saja keluar cerita bahawa Eja hamil sedangkan sebelum ini pelakon yang baru saja menimang cahaya mata itu mengelak untuk berbicara mengenai soal peribadi. Namun, di kalangan wartawan, ramai juga yang tahu bahawa Eja sebenarnya sudah lama mendirikan rumah tangga. Tetapi kerana menghormati permintaannya untuk tidak menghebahkan perkara itu, ramai yang zip mulut saja walaupun diasak peminat untuk mengetahui cerita sebenar. Tak apalah, yang penting baik Siti atau Eja mereka memang sedang melalui episod bahagia dan teman serta suku sakat akan sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka.

Paling penting mereka mendapat restu ibu bapa dan keluarga. Tanpa restu itu, susah juga. Macam Remy Ishak dan Ummi Nazeera. Cerita sudah semakin melalut. Minggu ini pula keluarga Ummi Nazeera muncul menceritakan kisah mereka pula. Entah mana satu yang betul teman tak tahulah. Teman dah kata, kalau tak bijak menanganinya pasti akan berlarutan. Tak tahulah apa pula reaksi Remy apabila membaca pendedahan keluarga Ummi. Ada yang memberi reaksi, bunyinya macam cerita Antara Dua Darjat. Apabila pembantu rumah membahasakan Ummi sebagai Cik Muda terbayang wajah Engku Zaleha, watak dalam filem Tan Sri P Ramlee lakonan Saadiah.

Tetapi ibu Ummi menafikan cerita ala Antara Dua Darjat itu. Katanya, darjat atau pangkat bukan isunya. Iyalah, tak kata juga, apabila dah lihat wajah anak dara lebam dan bengkak, ibu mana tak hangat hati dan angin satu badan. Cerita anak-anak ni kadang kala banyak cikadaknya! Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: