ABPBH2009: Teruja!

10 Dec

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Zaidi Mohamad

Pencalonan bakat baru Karl Shafek, Ana Raffali, Nonny Nadirah dan Elfira Loy dalam ABPBH 2009 suntik semangat berjuang di persada seni.

HARUS diakui, kebanyakan anugerah yang membabitkan bakat atau terma popular, pasti ada menyelit kategori yang memberi penghormatan serta penghargaan kepada kelompok generasi baru. Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang kini sudah berusia 23 tahun penganjurannya juga tidak ketinggalan melakukan perkara yang sama.

Malah dengan adanya penghargaan sebegini, ia bukti dunia hiburan kita tidak pernah ketandusan wajah pelapis yang terus mewarnai pentas seni. Bak kata tanggapan popular, takkan ada yang baru, kalau tiada yang lama.

Menyingkap kembali sejarah ABPBH, Datuk Siti Nurhaliza adalah artis pertama pertama memenangi kategori berkaitan yang pada mulanya dikenali sebagai Artis Remaja Popular pada 1996. Setahun selepas itu, Ahmad Idham memenangi kategori yang akhirnya bertukar nama kepada Artis Baru Popular.

Bagaimanapun selepas beberapa tahun kategori itu dihentikan tetapi diperkenalkan semula pada tahun 2000 dan dimenangi Intan Sarafina. Maya Karin juga memenanginya setahun selepas itu. Namun, hanya pada 2002, kategori itu dipecahkan kepada kategori lelaki dan wanita.

Nama seperti Ako Mustapha, Elyana, Hazami, Misha Omar, Vince, Jaclyn Victor, Mawi, Farah Diana, Faizal AF4, Farawahida, Dafi, Mila, Stacy dan Nabil pernah mengungguli kategori itu. Tahun ini sekali lagi kita akan melihat persaingan bakat baru yang bakal dicalonkan dalam kelompok lima paling popular.

Pada sidang media pertama ABPBH 2009 yang diadakan pada 2 Disember di Hotel Palace Of Golden Horses, Hip sempat menemubual empat bakat baru yang barangkali mempunyai peluang memboloskan diri ke dalam kategori yang dipertandingkan untuk tahun ini termasuklah untuk kategori Artis Baru Popular.

Bagi Elfira Loy, perasaan terkejut mula menyelubungi dirinya saat dimaklumkan Berita Harian bahawa namanya turut disenaraikan sebagai calon awal untuk bersaing dalam kategori Artis Baru Wanita Popular. Si gadis genit yang cukup dikenali dengan watak dalam drama Qalesya ini mula berlakon sejak 2006 lagi.

“Jika sebelum ini, saya hanya menonton ABPBH di rumah bersama keluarga, mungkin tahun ini saya berpeluang merasai kehangatan majlis berprestij ini sekalipun tidak berada dalam kelompok paling popular. Terima kasih kepada Berita Harian kerana sudi mencalonkan nama saya untuk peringkat awal,” kata Elfira.

Bagi Nonny Nadirah yang mula menyinar selepas menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim kelima, namanya disenarai pendek dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular. Popularitinya mula memuncak tahun ini apabila drama Kau Dan Aku yang disiarkan di Astro Ria mula mendapat sambutan baik.

“Saya teruja juga kerana terpilih untuk dimasukkan dalam kategori itu. Sekurang-kurangnya saya dapat merasai keseronokan berada dalam pencalonan awal. Bonus juga kalau dapat berada dalam kelompok top 5. Tapi saya tak menaruh harapan yang tinggi. Kalau ada rezeki, saya bersyukur,” kata Nonny yang dulu pernah menggunakan nama Noni di awal kemunculannya.

Beralih kepada Karl Shafek yang turut aktif berlakon dan mengacarakan program Chopp!! (TV9) pula berkata, dia tidak menyangka namanya diletakkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular. Bagaimanapun, Karl sedar peluangnya untuk terus mara ke peringkat seterusnya agak tipis melihatkan persaingan yang ada.

“Saya tidak meletakkan harapan melangit dalam pencalonan ini, cuma harapnya ABPBH mampu menjadi landasan terbaik untuk saya terus mengukuhkan nama di peringkat yang lebih tinggi. Saya harap saya dapat bertahan dan terus menyemarakkan persada seni,” kata Karl.

Manakala bagi Ana Raffali pula antara generasi indie dari golongan wanita yang mula menunjukkan potensi selepas negara kita melihat kebangkitan Yuna dalam jalur muzik yang seakan sama. Maka tidak hairanlah, artis yang mengekalkan gaya berbaju kurung dan kebaya ini mula menjadi perhatian.

Nama Ana disenaraikan untuk kategori Artis Baru Wanita Popular selepas meledak dengan single pertama komposisinya, berjudul Hujan Bunga Di Kuala Lumpur. Kata Ana, berada dalam kelompok pencalonan awal sudah mula membuatkan hatinya girang kerana ada pihak yang sudah mula memerhatikan bakatnya.

“Bukan mahu membodek, tetapi saya antara penggemar akhbar Berita Harian, malah keluarga saya turut melanggannya. Kami sekeluarga antara yang akan berkumpul ramai-ramai di depan kaca TV ketika majlis kemuncak ABPBH berlangsung pada setiap tahun,” kata Ana.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: