Ruang Peribadi Kak Cham: Maaflah Peminat Stacy!

7 Dec

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my

STACY sentiasa tampil dengan persembahan bertenaga di pentas.

SUDAH lama tak berkata-kata rindu pula rasanya. Jadi teman mengambil tanggal 7 Disember 2009 untuk kembali berkata-kata dengan pembaca yang teman hormati. Teman berharap sepanjang teman tidak berkomunikasi melalui ruang peribadi ini, semuanya berada dalam keadaan sejahtera di samping orang tersayang dan keluarga tercinta.

Kalau ada yang sedang berdepan dengan konflik sama ada berbentuk peribadi atau di pejabat, itu perkara lumrah dalam kehidupan. Cuma yang membezakan setiap kita adalah cara kita menghadapi dan menanganinya. Pesanan teman, jangan terlalu mengikut emosi. Orang kata, ikut hati, selalunya mati!

Oh ya… di ruangan ini teman ingin memohon maaf kepada semua peminat Stacy kerana terlepas pandang namanya dalam senarai pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 yang baru disiarkan Jumaat lalu. Terkejut juga teman, apabila tiba-tiba kotak e-mel teman penuh dengan soalan bertalu-talu peminatnya yang bertanya kenapa dia tidak disenaraikan.

Paling kelakar ada yang bertanya, adakah ini usaha Berita Harian untuk mensabotaj Stacy. Bawa bertenang wahai peminat Stacy kerana tiada sekelumit pun niat untuk berbuat demikian. Apabila cerita sabotaj ini ditimbulkan, teman sebenarnya teringat kisah bagaimana peminat Datuk Siti Nurhaliza juga penuh emosi apabila akhbar menyiarkan gambar Siti yang turut beraksi dalam pertandingan bola sepak anjuran radio Era.

Mereka bukan marah sebab siarkan gambar Siti yang dalam gaya tersendiri sedang menyepak bola tetapi mereka marah kerana wajah Siti yang dirakamkan itu tidak cantik. Malah, gambar itu membuatkan wajah Siti seperti orang tua yang berkedut seribu sedangkan ia adalah impak lensa yang merakam subjek bergerak. Jenuh juga teman dan suku sakat menjelaskan kepada peminat Siti ketika itu.

Natijahnya, itulah juga kayu ukuran kepada populariti seseorang artis. Khalayak peminat hiburan tak ambil pot pun kalau seseorang artis itu tidak popular tetapi apabila popular memang lain macam persepsinya. Tak sabotaj dikatakan sabotaj. Tetapi bagi teman itu adalah masalah yang baik atau orang putih kata good problem. Jadi, sekali lagi teman dan suku sakat mohon maaf kepada peminat Stacy.

Kesilapan itu memang tak disengajakan kerana maklumlah senarai artis yang masuk pencalonan awal memang panjang. Itu sebabnya sebelum ini pun, pihak Berita Harian sudah menguar-uarkan kepada syarikat rakaman atau pihak pengurusan artis untuk mencalonkan artis mereka. Seperti biasa ada yang mengambil tindakan proaktif dan ada jugalah yang buat tak tahu saja sehinggalah apabila nama artis mereka tak masuk senarai, ada yang melompat.

Boleh undi melalui SMS

PEMBACA budiman, tahun ini kelainan paling ketara dalam ABPBH2009 adalah format undiannya. Kalau dulu sejak diperkenalkan pada tahun 1987, pembaca hanya mengundi artis favourite melalui keratan borang tetapi mulai tahun ini anda boleh mengundi melalui SMS. Nak tahu macam mana, bukan Berita Harian dan semak dalam borang pencalonan awal itu.

Bercakap mengenai SMS, aktor tersohor negara Rosyam Nor sudah bertanya kenapa tahun ini format undian berubah. Teman jumpa Rosyam ketika aktor itu sedang bersiap sedia untuk menghadiri majlis Anugerah Skrin 2009 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat lalu. Sebenarnya, matlamat Berita Harian adalah untuk menarik minat golongan remaja untuk bersama-sama menyertai anugerah ini. Cara orang muda apa lagi kalau bukan melalui telefon bimbit dan SMS.

Imbuhan menanti pembaca bertuah juga agak lumayan. Jika dua tiga tahun kebelakangan ini, pihak sekretariat hanya menawarkan tiket eksklusif untuk pemenang pencalonan awal tetapi tahun ini, dua motosikal GTR 170X yang berharga lebih RM8,000 setiap satu sumbangan Naza Bikes Sdn Bhd menanti pemenang di samping pakej percutian ke Bali selama empat hari, tiga malam, telefon bimbit, komputer riba, pemain MP4 dan kamera digital. Jadi tunggu apa lagi, undi jangan tak undi!

Kecewa pemenang ASK2009

BUKAN kecewa dengan pilihan juri Anugerah Skrin 2009 tetapi terkilan apabila pemenang tidak hadir untuk menerima trofi. Panggil Eman Manan, yang menang Pelakon Filem Terbaik wakil saja yang naik. Umum Rosnah Mat Aris sebagai Pelakon Drama Terbaik, pun tak muncul juga.

Entahlah…. kadang kala teman tak faham kerana tarikh majlis sudah diumumkan awal. Jadi teman nak sarankan kepada penggiat seni agar jangan mengambil mudah majlis anugerah anjuran pelbagai organisasi. Sekurang-kurangnya hormatilah penganjur kerana majlis anugerah ini dibuat untuk memartabatkan mereka juga.

Teman tegur kerana tidak mahu ia berlaku juga kepada majlis anugerah yang lain. Selepas Anugerah Juara Lagu di Stadium Tertutup Bukit Jalil pada bulan depan akan diikuti pula oleh majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang akan berlangsung pada 4 April 2010 di Arena of Stars Genting Highlands. Ok la… teman tak mahulah membebel panjang dalam coretan pertama ini. Tahniah kepada semua pemenang ASK2009 dan semoga ia menyuntik semangat dalam kerjaya seni anda. Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: