Bagai Di Timur Tengah

7 Dec

Oleh Nurulhisyam Abdul Latiff dan Rozdan Mazalan
bhnews@bharian.com.my

KEKUATAN vokal Black, Jaclyn Victor dan Lan mendendangkan lagu Sempurna memukau hadirin.

Set multimedia beri kesan dan penghayatan bukan saja kepada penyanyi, tetapi juga kepada penonton Anugerah Skrin 2009

INDAHNYA melodi, cantiknya hiasan dan latar, malah pencahayaan serta suasana malam kemuncak Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) bertemakan Hikayat Seribu Satu Malam yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) membuatkan penonton seolah-olah berada di negara Timur Tengah.

Kegemilangan itu ditambah dengan kehadiran selebriti yang turut mengenakan busana indah, baik yang mendapat tajaan mahupun dibeli sendiri. Penonton yang hadir tidak terkecuali mengenakan pakaian bertema Arab tanda sokongan terhadap ASK anjuran TV3 yang sudah memasuki tahun ke-11.

Tema Arabian Night memang menarik untuk dipersembahkan namun bukan senang untuk dilaksanakan sekiranya tidak kena pada gayanya.

Seperti biasa, pembuka acara harus bertenaga untuk memberi mood kepada penonton dan tidak salahlah persembahan One Nation Emcees dengan lagu mereka Seribu Satu Malam dipertaruhkan dengan gaya susunan muzik kontemporari ala Arab.

Penganjur sememangnya berani menggandingkan buat kali pertama, Afdlin Shauki dan Fara Fauzana. Agak menarik kedua-dua pengacara mengendalikan majlis dengan santai membuatkan penonton yang memenuhi Dewan Merdeka PWTC turut berada dalam keadaan yang tenang sambil tergelak dengan lawak spontan mereka pada awal acara.


CELOTEH Afdlin Shauki dan Fara Fauzana sebagai pengacara majlis, menggeletek hati penonton.

Namun lama-kelamaan mereka mula gelisah dan berpandangan sesama sendiri apabila celoteh Afdlin dan Fara mula tersasar dengan lawak kosong yang tidak berkaitan.

Pujian harus diberikan kepada permainan multimedia sebagai latar pentas yang cukup menarik terutama ketika kesemua artis mengadakan persembahan. Penggunaan set pentas yang minimum ditambah dengan permainan multimedia cukup memberi kesan dan penghayatan bukan saja kepada penyanyi bahkan kepada penonton.

Antara persembahan yang paling menarik malam itu ialah gabungan antara Jaclyn Victor, Lan The Typewriter dan Black yang menyanyikan lagu Sempurna. Persembahan itu bukan saja menggegarkan Dewan Merdeka dengan kelantangan vokal mereka yang tiada tolak bandingannya. Bagaimanapun, adalah lebih bijak jika persembahan mereka itu tidak diiiringi pertunjukan sarkas kerana ia mengganggu konsentrasi penonton.

Dua penyanyi rock tanah air Hattan dan Tia (Jinbara) berkolaborasi menyampaikan lagu yang pernah dipopularkan sifu M Nasir, Mentera Semerah Padi menjadi simbolik konflik pertarungan yang ingin disampaikan melalui kisah Hikayat Seribu Satu Malam.


GELEK Siti Nurhaliza ketika mengalunkan medley lagunya menutup tirai persembahan ASK09.

Persembahan penutup pula dilakukan Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu medley Balqis, Nirmala dan Ku Percaya Ada Cinta. Tampil cantik, tetapi persembahannya bagaikan tiada elemen luar biasa.

Sementara itu, penganjuran ASK2009 yang bertujuan mengangkat program penerbitan televisyen berbanding filem, kali ini dilihat semakin telus.

Kejayaan besar drama yang disiarkan stesen televisyen RTM, Tersasar Di Jalanmu (TDJM) yang membolot enam anugerah membuktikan anugerah itu tidak dimonopoli penerbitan Media Prima Berhad semata-mata.

Pemilihan drama TDJM terbitan Rumah Karya Cipta Sdn Bhd diangkat sebagai Drama Terbaik sepanjang 2009 kerana pengisian mesej dan teladan yang digarap melalui skrip tulisan Erma Fatima sendiri dilihat amat bertepatan kerana cerita itu meninggalkan kesan cukup mendalam kepada penonton.

TDJM turut memenangi Lakon TV Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Pelakon Wanita Drama, Pelakon Pembantu Wanita Drama dan Videografi Terbaik.

Stesen televisyen berbayar Astro juga cemerlang dengan dua trofi iaitu menerusi Rancangan Hiburan Terbaik, Kemuncak Sehati Berdansa 2 dan Rancangan Bual Bicara Terbaik iaitu AC Di Sini.

Bagi kategori filem pula, Wayang arahan Prof Dr Hatta Azad Khan mengungguli lima kategori, sekali gus diangkat sebagai Filem Terbaik menewaskan 24 filem lain yang bertanding. Kejayaan ini dilihat besar namun sayangnya hanya wakil filem itu saja yang menaiki pentas, kerana tiada seorang pun pemenang yang hadir.

Biarpun Wayang tidak dilihat sebagai filem komersial, namun ia kaya dengan nilai estetika budaya negara kita. ASK09 tidak melepas pandang kekuatan yang ada pada filem ini, sebagaimana ia mengangkat filem kecil arahan pengarah baru seperti Kami The Movie. Turut dipandang tinggi ialah filem Budak Kelantan yang dicalonkan dalam beberapa kategori.

Filem Kami The Movie mengungguli Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay).

Anugerah Yasmin Ahmad yang diperkenalkan tahun ini pula dimenangi Jaclyn Victor. Anugerah ini diwujudkan bagi mengangkat bakat baru seterusnya sebagai pencetus semangat untuk mereka menghasilkan karya berkualiti untuk menyemarakkan industri seni tanah air.

Senarai Pemenang ASK2009

Drama Terbaik : Tersasar Di Jalanmu (RTM)
Lakon TV Terbaik : Erma Fatima (Tersasar Di Jalanmu)
Pengarah Drama Terbaik : Erma Fatima (Tersasar Di Jalanmu)
Pelakon Lelaki Drama : Que Haidar (Telerai Takbir Kasih)
Pelakon Wanita Drama : Rosnah Mat Aris (Tersasar Di Jalanmu)
Pelakon Pembantu Lelaki Drama : Ahmad Tarmimi Sarigar (Tak Serupa Tapi Sama)
Pelakon Pembantu Wanita Drama : Norish Ismail (Tersasar Di Jalanmu)
Drama Komedi Terbaik : Datin Wanabe (TV3)
Drama Rantaian Terbaik : Kekasihku Seru (TV3)
Videografi Terbaik : Tersasar Di Jalanmu
Filem Terbaik : Wayang
Lakon Layar Terbaik : Fariza Azlina Ishak (Kami The Movie)
Pengarah Filem Terbaik : Prof Dr Hatta Azad Khan (Wayang)
Pelakon Lelaki Filem Terbaik : Eman Manan (Wayang)
Pelakon Wanita Filem Terbaik : Liyana Jasmay (Kami The Movie)
Pelakon Pembantu Lelaki Filem : Zulhuzaimi (Wayang)
Pelakon Pembantu Wanita Filem : Ida Nerina (Wayang)
Laporah Khas/Berita Terbaik : Buletin Utama – Air Najis (TV3)
Rancangan Dokumentari/Majalah Terbaik : Majalah 3 Gaza (TV3)
Rancangan Hiburan Terbaik : Kemuncak Sehati Berdansa 2 (Astro Ria)
Rancangan Realiti Terbaik : Gadis Melayu (TV9)
Rancangan Bual Bicara Terbaik : AC Di sini (Astro Ria)
Rancangan Muzikal Terbaik : Anugerah Juara Lagu 23 (TV3)
Anugerah Khas Juri Yasmin Ahmad : Jaclyn Victor (Talentime).

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: