Rias Dua Dalam Satu

25 Nov

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my

Perubahan rekaan dan penggunaan fabrik bersesuaian penuhi tuntutan fesyen tudung kontemporari

SEPERTI fabrik, tudung juga melalui proses inovasi yang begitu cepat hari ini. Jika dulu tudung bawal, tudung tiga segi, tudung empat segi dan selendang menjadi pilihan digayakan dengan anak tudung atau serkup, kini tudung dua dalam satu yang menjadi pilihan wanita mulai meraih populariti.

Kepelbagaian rekaan tudung sebegitu ada kalanya membuatkan kita bagaikan tidak sempat mengikut arus fesyen. Ada tudung Siti Nurhaliza, tudung Ekin, tudung Myza dan banyak lagi di pasaran,

Terkini, gaya bertudung semakin meriah apabila ada pelbagai jenis tudung diperkenalkan peniaga dalam usaha memenuhi permintaan pelanggan yang semakin rencam cita rasa apabila membabitkan jenis, mutu dan bahan yang digunakan dalam pembuatan tudung.

Penolong Pengurus Bahagian Pengiklanan Euro Moda Group of Companies (Euro Moda), Norazliana Abdul Sani, berkata Euro Moda sebagai saudagar tekstil tidak terkecuali menyediakan pelbagai jenis pilihan tudung untuk selaras dengan permintaan tinggi daripada Muslimah.

“Pemakaian tudung bukan sekadar hijab bertujuan menutup aurat. Ia memberi nilai tambah kepada wanita kerana dengan pemakaian tudung yang kena dengan gaya dan personaliti, penampilan anda akan menjadi lebih unggul dan kemas.


SELENDANG dua tona boleh digayakan dengan busana bermotif.

“Sehubungan itu, Euro Moda memperkenalkan koleksi tudung Harleen’s yang juga jenama terbaru bagi skaf dan selendang yang ada di premis ini. Jika selama ini Euro Moda cukup dikenali dengan fabrik bermutu dari Eropah, kami maju setapak lagi dengan membawa tudung terkini mengikut aliran fesyen kontemporari.

“Semua jenis skaf dan selendang yang dijual direka khas untuk memberi keselesaan kepada pengguna. Kami mempunyai kumpulan pereka sendiri yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam menghasilkan skaf, selendang dan tudung,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan di ibu kota, baru-baru ini.

Norazliana berkata, Euro Moda sentiasa peka dengan perkembangan terkini aliran fesyen membabitkan tudung untuk Muslimah kerana setiap fabrik yang digunakan akan dipastikan sesuai penggunaannya dengan cuaca tempatan yang lebih banyak panas berbanding hujan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami memastikan pelanggan mendapat apa yang dikehendaki seperti selendang atau skaf yang menepati cita rasa mereka. Tindakan yang boleh dan sentiasa kami lakukan ialah memperbaharui rekaan selain mengutamakan mutu terhadap skaf dan selendang yang dihasilkan menyebabkan kami hanya menggunakan fabrik terbaik daripada Euro Moda dan Gulatis,” katanya.


HIASAN jemeki dan permata pada bahagian tepi tudung menjadikan tudung lebih cantik dan indah.

Antara fabrik yang digunakan untuk menghasilkan skaf dan selendang ialah sifon georgette, crepe dan rawsilk, manakala penataan corak pula ada yang dijahit sulam, manik, jemeki dan permata serta sulam bercorak yang menjadikan selendang lebih cantik ketika digayakan.

Tidak terhad kepada tiga jenis fabrik berkenaan, lycra dan sutera Shantung turut digunakan bagi memenuhi cita rasa pengguna yang gemarkan kelainan dalam menata rias penampilan bertudung mereka. Koleksi ini juga berbeza daripada yang ada di pasaran kerana mengutamakan keunggulan mutu dengan tambahan tassel dan scallops.

“Selendang yang ada di Euro Moda juga dijual pada harga permulaan RM28 hingga RM158 bergantung kepada fabrik yang digunakan dan jenis tudung berkenaan. Selain daripada koleksi tudung Harleen’s, tudung Fareeda turut boleh didapati di gedung perniagaan berkenaan,” katanya.

Lebih mengujakan, tudung yang ditawarkan kepada pelanggan sesuai digayakan dengan busana tradisional, busana untuk pengantin, sut korporat dan kasual yang menjadi persalinan harian kepada wanita yang berkerjaya serta boleh diperoleh di semua 14 cawangan Euro Moda seluruh negara.

INFO
Keistimewaan tudung Harleen’s

Teknik dua lapisan yang digunakan. Lapisan dalam berfungsi menutup bahagian dalam (rambut) manakala lapisan luar digayakan saja mengikut cita rasa pemakai.

Penggunaan tudung Harleen’s membuat pemakai tampak bergaya kerana kebanyakan koleksi Harleen’s dihasilkan daripada fabrik lembut serta beraneka warna, sesuai digayakan dengan pelbagai warna busana.

Tudung koleksi Harleen’s juga dihadirkan dalam dua tona warna, memudahkan anda untuk menggayakannya dengan busana bercorak.

Untuk mencuci tudung Harleen’s, anda cuma perlu merendam sekejap ke dalam air yang dicampur dengan pencuci, celup beberapa kali dan sidai di kawasan teduh. Jangan membasuh menggunakan mesin pencuci kerana ia akan merosakkan tudung anda.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: