'Saya Tak Boleh Bertolak Ansur Lagi'

19 Nov

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
HATI siapa tidak terguris apabila rakan karib tiba-tiba melayan kita macam musuh. Apabila ditanya sebabnya, orang itu sendiri tidak dapat memberikan jawapan dan kononnya dia tidak tahu menahu mengenai pergolakan yang timbul.

Biarpun hati AC Mizal, 38, terusik dan tersentuh, atas dasar profesionalisme, tanggungjawabnya di pentas Cuci The Musical dilaksanakan dengan sebaik mungkin sehingga lakonannya dipuji ramai.

Ketika ditemui selepas rakaman program AC? di Studio 2, Astro, Bukit Jalil, jelas AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, dia tidak tahu yang dia bermasalah dengan Hans Isaac sehingga wartawan menghubunginya bertanyakan perkara itu.

“Kemudian saya terbaca di Internet menuduh saya tidak berdisiplin. Walaupun Hans beritahu dia tidak tahu apa-apa, tetapi jika benar kenyataan itu keluar dari mulutnya memang saya kecil hati.

“Asalnya latihan Cuci The Musical akan dimulakan pada Julai dan saya sudah kosongkan jadual pada bulan itu termasuk menangguhkan rakaman AC?. Mujur Astro bertolak ansur dengan saya.

“Tetapi latihan itu tidak jadi diadakan pada bulan itu kerana ada orang bagi tahu Hans buat filem. Jadi sepanjang Julai saya berehat sajalah. Apabila latihan bermula Ogos takkan saya hendak minta kru produksi AC? tangguhkah lagi rakaman program itu. Maka pada Ogos itu saya lakukan dua kerja serentak. Selesai rakaman AC? saya terus ke latihan Cuci The Musical.

“Tiba-tiba keluar cerita saya tak bagi komitmen. Saya tidak pernah buat kerja sambil lewa. Selagi saya bernafas, apa saja kerja akan saya lakukannya sebaik mungkin kerana saya mencari rezeki untuk anak dan isteri. Bertongkat pun saya tetap pergi kerja.

“Pada minggu terakhir pementasan saya menghadapi detik sukar kerana sakit gigi. Doktor hendak cabut tak boleh kerana sakit dan bengkak jadi saya kurangkan kesakitan itu dengan mengambil ubat penahan sakit. Produksi Cuci The Musical tahu perkara itu. Ketika itu saya memang terasa hati kerana mereka macam tak kisah dengan kesakitan yang saya alami. Saya juga pernah alami sakit urat sekitar leher dan bahu. Rasa kejang semacam, tetapi saya tetap teruskan persembahan demi peminat.

“Saya ada jumpa Hans bertanyakan isu tidak boleh beri komitmen, tetapi dia menafikan kenyataan itu daripadanya. Mengenai gerai saya di lobi Istana Budaya yang terpaksa ditutup selepas tiga hari dibuka, mulanya Hans kata boleh buka di situ. Tetapi kemudian ada yang kata saya berniaga tanpa permit dan ‘ini show Hans’. Fahamlah saya maksud mereka dan saya pun dihalau. Mana saya hendak letak muka?,” katanya.

Menurut AC, apabila Hans menyuarakan hasrat mementaskan Cuci The Musical, dia antara orang pertama memberikan sokongan. Untuk berlakon dalam pementasan itu AC tidak berbincang pasal harga kerana ingin menolong kawan.

 

 

“Apabila jadi macam ini memang saya terasa hati. Mengenai bayaran pula saya tak tahu berapa pelakon lain dapat. Apa yang saya tahu, bayaran saya rendah daripada mereka, tetapi Alhamdulillah setimpal dengan keringat dikeluarkan. Saya bantu mana yang boleh kerana bajet untuk buat pementasan itu sangat besar.

“Yang peliknya sejak awal lagi mereka menyediakan pelakon pengganti untuk saya iaitu Riffa. Pelakon lain tiada pula pelakon ganti kerana alasan susah mencari pengganti untuk pelakon lain,” katanya.

Keluh AC, selama sembilan tahun dalam industri dia sering ditindas.

“Saya selalu saja terkena dan tidak pernah dihargai. Sebab itulah saya terkejut apabila Astro tawar saya menjadi artis eksklusif mereka dan selama tiga tahun AC? bersiaran saya seronok bekerja dengan kru produksi AC? dan Astro kerana mereka sangat bertolak ansur.

“Begitu pun hubungan saya dengan Awie dan Afdlin masih macam dulu. Mereka tidak masuk campur urusan saya dengan Hans. Apabila hubungan semakin dingin, setiap kali latihan dan pementasan saya akan duduk seorang diri. Apabila beraksi di pentas saya buat macam tak ada apa yang berlaku.

“Kerja saya berlakon, jadi dalam apa jua keadaan, saya mesti buat kerja dengan baik. Jika pada masa depan, Hans tidak boleh bekerjasama dengan saya tak payahlah kami bekerjasama lagi. Lagipun dengan apa yang berlaku, saya tidak boleh lagi bertolak ansur dan terus membiarkan orang berbuat sesuka hati terhadap saya tambahan saya kini ingin serius dalam bidang perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, AC juga ingin mengurangkan aktiviti seninya terutama berlakon. Bagaimanapun dia akan terus bersama AC? .

“Orang kenal saya sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Daripada situlah saya dapat peluang berniaga jadi saya tidak boleh melupakan bidang seni begitu saja. Ia juga platform untuk mempromosi diri dan produk yang dijual.

“Ada syarikat memberikan saya modal jutaan ringgit untuk mengembangkan perniagaan gelang dan rantai berkuasa magnet. Saya sudah melancarkan perniagaan itu dua bulan lalu dan sambutannya amat bagus kerana harga produk dijual lebih rendah daripada pasaran biasa. Gelang dan rantai magnetik ini bagus untuk kesihatan.

“Dengan modal itu saya akan membuka rangkaian perniagaan di luar negara iaitu di London, Sydney (Australia) dan Singapura. Kedai itu akan dibuka serentak pada Disember ini. Untuk pasaran di Indonesia saya akan bekerjasama dengan majalah Al-Hidayah dan produk itu akan dipromosi serta dijual menerusi majalah itu. Perniagaan sama akan dibuka di Jordan dan Singapura.

“Kedai barangan itu di sini akan dibuka di Wisma Sentral, juga bulan depan. Jadi penghujung tahun ini saya sangat sibuk ke beberapa destinasi bagi menguruskan perniagaan ini. Semua perancangan sudah siap di atur dan di setiap negara itu sudah ada yang menguruskannya cuma menunggu saya pergi untuk menandatangani dokumen,” katanya.

Selain gelang dan rantai, AC juga akan mempelbagaikan lagi produk keluaran syarikatnya termasuk mengeluarkan baju dan seluar berkuasa magnet untuk lelaki dan wanita. Imejnya rugged dan moden.

“Banyak lagi produk baru akan dikeluarkan selepas ini,” katanya yang kini bertaraf jutawan.

Sebelum ini AC pernah dilantik duta pengeluar gelang berkuasa magnet jenama Edyminum selama dua tahun dan dia enggan sambung kontrak lagi.

“Daripada pengalaman itulah saya tahu permintaan terhadap produk bermagnet ini sangat tinggi kerana masyarakat hari ini sangat mementingkan kesihatan. Oleh itu saya mengambil keputusan mengeluarkan produk itu sendiri,” katanya.

Pada rakaman program itu artis undangannya, Datuk Siti Nurhaliza bersama dua adiknya, Siti Saidah dan Siti Saerah. Kru Produksi itu turut mengadakan sambutan hari jadinya yang ke-38. Tarikh lahirnya yang sebenar pada 25 Disember, tapi sambutan itu diadakan awal kerana program itu akan bersiaran pada 31 Disember ini.

Program AC? yang sudah masuk musim keenam ada lima segmen, Carta AC dan Teropong, Borak AC dan Kaunter AC, Gelak Geli AC, Wow!! dan Garaj AC. Setiap musim ada 26 episod yang disiarkan setiap Sabtu, jam 2 petang di Astro Ria.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: