Biarlah Hans Cari Pelakon Lain'

19 Nov

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

AC bersama isteri, Emylia dan dua anak, Muhammad Reeve Damien dan Fee Eryssa.

AC Mizal akui masih terasa hati enggan berlakon dalam Cuci The Musical jika ada musim kedua

PARUT yang tertinggal akibat dilukai seseorang yang dipanggil sahabat memang sukar untuk dikikis. Sakitnya, hanya Tuhan saja yang tahu. Lebih teruk lagi apabila sahabat atau teman yang melakukan perbuatan itu adalah seseorang yang amat disanjungi dan diletakkan sepenuh kepercayaan terhadapnya.

Gara-gara mengeluarkan kenyataan kononnya AC Mizal tidak memberi komitmen sewaktu sesi latihan teater muzikal berkenaan, hubungan penerbit teater terbabit, Hans Isaac dan pelakon, pengacara dan penyanyi itu menjadi dingin.

AC khabarnya terkilan dan kecewa dengan dakwaan Hans yang disifatkannya sebagai tidak berasas itu. Dan disebabkan itu juga, pengacara Akademi Fantasia itu dikatakan merajuk dan enggan bekerjasama dengan Hans pada masa akan datang.

“Terus terang, saya memang terasa hati dengan kenyataan Hans itu. Sebagai orang pertama yang menyokongnya sewaktu dia mula-mula melahirkan hasrat untuk mementaskan Cuci The Musical (CTM)di Istana Budaya, sudah tentu perbuatannya itu melukakan hati saya.

“Usah dipertikaikan komitmen saya terhadap teater itu kerana walau dalam keadaan apa sekalipun, saya tetap akan hadir. Malah saya pernah mengalami kekejangan urat di bahagian leher dan doktor menasihatkan saya supaya berehat. Namun, nasihat itu tidak saya endahkan kerana saya tak mahu menyusahkan sesiapa.


BERSAMA tiga Siti yang menjadi tetamunya dalam rancangan AC Sempoi.

“Jadi apabila timbul cerita seperti ini, saya memang terkilan sangat. Saya ada tanyakan hal itu kepadanya namun dia menafikan yang kenyataan itu keluar dari mulutnya. Tapi apabila ada di antara cerita yang tersebar itu sebenarnya hanya saya dan dia yang tahu, saya sudah mengesyaki sesuatu,” kata AC ketika ditemui selepas rakaman program AC? bersama Datuk Siti Nurhaliza dan adik beradiknya iaitu Sairah dan Saida di Studio 1, Astro baru-baru ini.

Pun begitu, walaupun hatinya sakit kerana dilakukan sebegitu rupa namun sebagai seorang yang profesional, dia cuba mengetepikan soal peribadi apabila berada di pentas CTM.

“Apabila berada di atas pentas, secara automatik, saya lupakan semua perasaan marah, sedih dan kecewa terhadap Hans. Saya boleh buat lawak, peluk dia dan buat macam biasa.

“Namun tidak dinafikan, komunikasi saya dengan Hans sepanjang dua minggu itu memang teruk. Selesai saja tugas, saya buat hal sendiri. Bagaimanapun, hubungan saya dan dua orang lagi iaitu Afdlin Shauki dan Awie masih lagi macam biasa. Mereka tahu apa yang berlaku cuma mereka tak mahu masuk campur,” luah AC.

Menambah lagi luka di hati AC ialah apabila Hans dikatakan menjadi dalang yang menyebabkan gerainya yang baru tiga hari beroperasi di Istana Budaya sempena pementasan CTM terpaksa dihentikan.

“Dari apa yang saya dimaklumkan, arahan untuk menghentikan operasi gerai itu disebabkan pementasan itu adalah milik Hans. Faham dengan maksud arahan itu, saya pun buat seperti yang disuruh. Pun begitu, jauh di sudut hati, saya tertanya-tanya juga kenapa dia buat saya macam itu? Tapi tak mengapa, saya percaya apa yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya,” ujar bekas anggota kumpulan rap, 4U2C ini.

Terkesan dengan perbuatan Hans ditambah rajuk hati yang masih belum terubat, AC berkata mungkin CTM adalah projek terakhir yang akan menyaksikannya berkolaborasi dengan Hans.

“Saya rasa cukuplah dengan apa yang saya lalui ini. Kalau betul akan ada pementasan semula CTM biarlah dia cari pelakon lain. Lagipun ketika saya mendapat skrip teater ini, saya lihat hanya watak saya saja yang ada understudy manakala yang lain tiada.

“Ketika saya tanyakan perkara ini kepada Hans, jawabnya, dia masih belum menemui pengganti lain yang sesuai untuk ketiga-tiga watak itu. Dari jawapan itu sudah meyakinkan yang saya memang tidak diperlukan,” ujar suami kepada pelakon Emylia Rosnaida ini.

Kembangkan bisnes di luar negara

BERMULA dengan menjadi jurucakap kepada gelang tangan magnetik E-Dymium akhirnya AC kini melangkah setapak lagi dalam bidang perniagaan apabila membuka sendiri perniagaan produk magnetik seperti gelang dan juga loket.

Perniagaan itu dijalankan menerusi syarikat miliknya yang baru saja ditubuhkan iaitu AC Konsortium Sdn Bhd dan akan beroperasi di Wisma Sentral, Disember ini.

“Disember ini juga akan menyaksikan saya mengembangkan bisnes gelang dan loket magnetik ini sehingga ke London dan Sydney. Di London, syarikat kami akan beroperasi di Oxford Road dan produk ini juga akan dipasarkan di Marks & Spencer. Selain itu, kami juga akan membuka cawangan perniagaan di Singapura, Indonesia dan Jordan.

“Alhamdulillah, sepanjang lebih sedekad saya berada dalam industri ini, ada juga pihak yang percaya dengan bakat dan komitmen saya sehingga mereka sanggup mengeluarkan modal kepada saya untuk menjalankan bisnes ini. Syarikat Arastu Sdn Berhad itu memberikan saya modal sebanyak RM200 juta untuk saya kendalikan bisnes gelang dan loket magnetik ini.

“Insya-Allah, selepas ini akan menyusul produk lain seperti pakaian, aksesori, kasut, minyak wangi yang akan menggunakan jenama AC. Untuk pakaian, saya akan menggunakan konsep rugged, sejajar dengan konsep yang tampilkan ketika ini,” cerita AC mengenai projek terbarunya itu.

Sambil menyifatkan peluang berniaga itu sebagai sesuatu yang menjadi impiannya, AC bagaimanapun tetap menjadikan kerjaya seninya itu sebagai keutamaan.

“Mungkin saya akan selalu berada di luar negara tetapi itu bukanlah halangan untuk saya meneruskan kerjaya saya dalam bidang seni. Lagipun masa mula uruskan perniagaan ini, saya sudah biasa dengan keadaan seperti ini. Pagi terbang ke luar negara, uruskan perjanjian dan kemudian kembali ke Malaysia,” katanya yang seronok mengendalikan AC Sempoi.

Sewaktu menjalani rakaman program itu, AC turut dikejutkan dengan sambutan ulang tahunnya yang ke -38 apabila pihak produksi menghadiahkannya dengan dua buah kek.

“Sebenarnya hari jadi saya jatuh pada 21 Disember nanti. Tapi memandangkan program ini hanya akan disiarkan pada masa itu jadi mereka pun buatlah sambutan awal. Tiada apa yang saya harapkan sempena hari jadi saya ini kecuali dikurniakan kesihatan yang baik, keluarga bahagia serta dimurahkan rezeki baik dari segi kerjaya seni dan juga perniagaan lain,” tutur AC.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: