Ilham 24 Pereka

18 Nov

Oleh Fadzlena Jafar
fadzlena@bharian.com.my

GAUN potongan lurus daripada Rizman Ruzaini sederhana, tetapi memikat mata memandang.

Persembahan membanggakan pereka fesyen BDA untuk M-IFW

PERSEMBAHAN pereka fesyen menerusi slot sehari yang diperuntukkan penganjur Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (M-IFW) untuk Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) yang diteraju Presidennya, Mahani Awang, baru-baru ini, berjaya menyerlahkan kreativiti pereka tempatan, tetapi pada masa sama masih ada ruang untuk meningkatkan rekaan dihasilkan.

Rekaan yang masih mencedok idea Barat tanpa atau kurang menampilkan unsur tempatan, selain ketiadaan faktor X menyebabkan pentas peragaan tampak hambar pada sesuatu ketika.

Persembahan BDA bagi M-IFW yang dihangatkan dengan tajaan barang kemas jauhari tersohor, Habib Jewels itu dibahagikan kepada tiga slot iaitu Slot Pagi, Hi-Tea dan Malam Gala. Seramai 24 pereka fesyen gabungan lama dan baru menampilkan rekaan terkini masing-masing.

Pujian harus diberikan kepada nama besar seperti Datuk Tom Abang Saufi, Embun, Kem & Ashley daripada Kapas Couture, Rahman Saif, Von Jolly dan Nazari Maarus serta Rozi, dua pereka berkaliber daripada Kraftangan yang menampilkan rekaan berprestij sesuai untuk acara fesyen berprestij yang membawa nama Malaysia.

Tom umpamanya, tetap mesra dengan motif Ikat yang sinonim dengan pereka kelahiran Bumi Kenyalang itu. Menerapkan motif berunsur etnik dalam rekaan kontemporari seperti blaus, celana dan gaun, selain rekaan kaftan yang menjadi kegemarannya menjadikan rekaan pereka tersohor itu lain daripada yang lain.


REKAAN Tom tidak pernah mengecewakan dan tetap setia dengan motif etnik Bumi Kenyalang.

Sebagai pembuka pentas bagi sesi malam, rekaan Tom nyata begitu menyerlah dan memukau pandangan, sesuatu yang masih gagal dilakukan pereka muda.

Begitu juga dengan rekaan dua pereka Kraftangan. Pengalaman Rozi dan Nazari yang pernah mementaskan rekaan mereka di luar negara berjaya diterjemahkan dalam koleksi yang dipertontonkan pada slot pagi. Rekaan yang menampilkan unsur tempatan menjadikan koleksi dipaparkan mampu mempromosikan identiti Malaysia.

Kapas Couture pula, walaupun menghasilkan rekaan moden, ketelitian potongan dan jahitan, membuat mata terus ternanti-nanti rekaan seterusnya. Kehadiran bintang terkenal, Anita Sarawak yang tampil menggayakan busana pendek paras lutut dengan gaya tersendiri ketika berjalan di pentas peragaan mencuri tumpuan pada slot malam.

Begitu pun, beberapa pereka generasi baru seperti Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Osman, Nazreen Idris, Zery Zamry, Jasmi Rejab dan Amir Luqman yang tampil dengan tema tersendiri cukup membanggakan.


REKAAN Kem & Ashley daripada Kapas Couture.

Ilham menarik, gaya berprestij dan potongan kemas yang dipaparkan pada setiap koleksi mampu membawa mereka ke peringkat lebih jauh dengan syarat mereka harus bersedia untuk meningkatkan kreativiti selain berfikir di luar daripada kebiasaan.

Turut menampilkan rekaan bagi BDA antaranya Faizell Azraff, Khairi Sufi, Nik Erwan, Azura, Anizam Yusoff, Bella, Aidawati Saidin, Hazree Wahid dan Nurita Harith.

Selain Anita Sarawak, kehadiran selebriti terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noryn Aziz, Nora Danish, Intan Ladyana, Julia Ziegler, Fasha Sandha, Nita Hamzah, Dynas, Atilia, Intan Ladyana dan Liyana Jasmay, menarik perhatian ramai.

Lee paling berbakat, versatil

MEMERIAHKAN persembahan BDA bagi M-IFW, pertandingan bagi mencari pereka muda diadakan. Seramai lapan pereka baru yang dipilih daripada ratusan penyertaan bagi memaparkan rekaan mereka.

Pemilihan berdasarkan cabaran menghasilkan empat rekaan iaitu pakaian pengantin, couture, lelaki dan sedia pakai dengan matlamat melahirkan pereka berbakat yang

versatil.

Panel pemilihan yang terdiri daripada pereka tersohor, pengarang majalah dan selebriti sebulat suara memilih graduan Institut Rekaan Raffles, Lee Jinx Yiing, 22, yang membawa balik hadiah utama berupa wang tunai RM5,000 selain barangan Habib Jewels, L’Oreal Paris dan Maya Silk.

Tempat kedua memihak kepada Graduan Kolej Antarabangsa Raffles, Olivia Koo Hooi Yee yang memenangi wang tunai RM3,000 dan hadiah sampingan, manakala graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jeffri Ibrahim di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM2,000.

Antara juri bagi pencarian itu ialah pereka terkenal, Datuk Bernard Chandran; Radzuan Radziwill; Syaiful Bharim; Ashley Wong (Butik Kapas); Albert King; Bon Zainal; Pengarang Glam, Wirda Adnan; pengarang EH!, Asiah Mion; penyanyi dan ikon fesyen, Camelia; peragawati dan pelakon, Nasha Aziz serta Zaihani Mohd Zain.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: