Siti Tetap Di Hati

16 Nov

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Aura penyanyi wanita nombor satu negara itu meninggalkan seribu satu kenangan kepada peminat

MASIH jelas di ruang ingatan saat penyanyi ini beraksi di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya (IB) ketika menjayakan Konsert Eksklusif Satu pada Jun lalu. Alunan vokalnya yang bertenaga, aksi lincahnya kala menari, usikan nakalnya ketika berkomunikasi bersama penonton membuatkan persembahan penghibur tersohor, Datuk Siti Nurhaliza terus basah dalam ingatan peminat setianya.

Kini, selepas empat bulan berlalu, aura yang sama sekali lagi ditebarkan penyanyi itu dan kali ini di Stadium Malawati, Shah Alam menerusi Konsert Seribu Warna pada Sabtu lalu, anjuran Hai-O Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama syarikatnya iaitu Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd.

Berpaksikan kepada elemen santai dan funky, nyata Siti mengotakan apa yang dikatakannya itu. Selama dua jam di stadium tertutup ini, hampir sepuluh ribu penonton dapat berasakan aroma funky dan santai menguasai atmosfera di situ.

Jika untuk Konsert Eksklusif Satu, Siti menggunakan teknik teaterikal, namun untuk Seribu Warna yang dibawakan khas oleh Hai-O Marketing ini, Siti melakarkan suasana dengan bermain visual.

Siti menyusun lagu nyanyiannya senada dengan tema dipilih. Selepas dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Coda, penyanyi itu memilih lagu Ku Mahu dan Ku Milikmu sebagai salam pembuka kata buat penonton.

Sambil diiringi penari Can Can, kemunculannya disambut dengan jeritan penonton yang memang tidak sabar menyaksikannya beraksi. Jeritan semakin kuat apabila Siti meniru gaya Beyonce menari menerusi lagu yang digubah susunan muziknya menyamai lagu Crazy In Love.

“Kalau ada yang kemurungan atau sedih kerana tak dapat tengok konsert Beyonce, Siti harap, lagu itu dapat hiburkan semua,” seloroh Siti sambil disambut dengan gelak tawa penonton.

Puas menari irama rancak, Siti beralih ke irama tradisi. Sebelum menghiburkan dengan lagu Nirmala dan Di Taman Teman, ditayangkan beberapa visual Siti menyanyikan lagu irama tradisional yang dipetik dari di Anugerah Juara Lagu suatu waktu dulu. Emosi penonton kemudian larut dalam nyanyian penuh penghayatan Siti menerusi lagu berhantu, Biarlah Rahsia.

Pun begitu, rahsia siapakah dua penyanyi lelaki yang lagunya hendak dinyanyikan Siti terbongkar apabila dia memilih lagu Lelaki Ini nyanyian Anuar Zain, dan Mahakarya Cinta nyanyian Faizal Tahir.


SAIRAH dan Saida turut tampil di pentas.

“Bukan soal cuba merendah diri apabila Siti memilih menyanyikan lagu-lagu mereka tetapi mereka adalah antara penyanyi yang Siti kagumi. Malahan, mereka juga adalah penyanyi popular dan mempunyai ramai peminat.

“Mereka tahu Siti akan menyanyikan lagu mereka. Malangnya mereka tak dapat hadir kerana terbabit dengan persembahan. Tapi Faizal ada meminjamkan saya gitar untuk saya gayakan sewaktu persembahan tadi,” kata Siti.

Pada konsert yang dipimpin Aubrey Suwito muzik itu, Siti turut mengundang adik beradiknya iaitu Sairah dan Saida. Umpama tiga ‘diva’ yang berkongsi satu pentas, mereka memilih lagu Hey Ladies, Lelaki Buaya Darat dan Pudar. Sebelum itu, Sairah dan Saida menghiburkan penonton dengan menyampaikan secara duet lagu Doktor Cinta.

Mereka juga merebut peluang yang ada untuk memperkenalkan lagu solo apabila Saida menyampaikan secara medley lagu Di Curi Mala/Sedalamnya Cinta, manakala Sairah menyanyikan lagu Hero Wayang dan Akhir Cinta.

Biarpun kali pertama tampil dalam sebuah konsert berskala besar seperti itu, kedua beradik itu nampak cukup yakin ketika beraksi. Malah, Sairah mengejutkan penonton dengan persembahan dan kawalan vokal yang bertenaga.

Lagu lain yang menjadi pilihan Siti untuk dinyanyikan secara solo ialah Pendirianku, Ku Percaya Ada Cinta serta Seindah Biasa. Siti kemudian mengalunkan lagu Destinasi Cinta sebagai menghargai usahawan Hai-O serta meraikan ulang tahun ke-17 syarikat jualan langsung itu berada di penghujungnya.

Seperti biasa, amat sukar penonton membiarkan Siti meninggalkan pentas kerana mereka ingin terus menyaksikan penyanyi ini terus beraksi. Namun, setiap yang bermula, pasti ada penghujungnya. Suka atau tidak, sampai masa Siti harus mengundurkan diri

“Siti akui Siti memang suka meninggalkan penonton dengan perasaan sebegitu. Siti mahu peminat akan terus teruja setiap kali Siti muncul dalam apa juga bentuk persembahan yang Siti buat selepas ini,” katanya yang ditemui sejurus selepas konsertnya itu berakhir.

Konsert istimewa bersama M Nasir

JIKA tiada aral melintang, penyanyi berdagu lekuk ini akan mengadakan konsert yang menyaksikan Siti bergandingan dengan penyanyi lelaki terkenal, M.Nasir. Dijadualkan pada 1 Januari 2010, Konsert Bagaikan Sakti M Nasir & Datuk Siti Nurhaliza itu akan diadakan di Esplanade, Singapura.

“Untuk konsert anjuran Beyond DDB ini, ada lagu yang akan menyaksikan kami berduet dan ada juga yang Siti sampaikan secara solo. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun, konsepnya masih dalam perbincangan dan Siti memang teruja menantikan saat itu,” kata Sti yang sudah dua kali mengadakan persembahan di pentas terkemuka itu.

Memandangkan 2010 menjadi tahun ke-15 Siti berada dalam dunia seni, penyanyi dari Kuala Lipis, Pahang ini juga merancang untuk mengadakan konsert istimewa khusus untuk peminat setianya.

“Memang Siti merancang untuk meraikan tahun penuh bermakna itu dengan menganjurkan konsert khas. Ada empat bulan lagi untuk Siti menguruskannya,” jelasnya dalam nada teruja.

Disoal apakah tidak bimbang hilang nilai eksklusif kerana kerap mengadakan konsert, Siti berkata beliau tidak beranggapan sedemikian.

“Apa yang penting, konsert dapat menyatukan Siti dengan peminat dan selagi peminat terhibur, ekslusif atau tidak itu bukanlah persoalan besar. Siti hanya mahu peminat terhibur,” katanya yang kini sedang menunggu masa untuk merakamkan album duet bersama Krisdayanti.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: