Bual Fesyen: Shah Rezza Lali Kritikan

11 Nov

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

KRITIKAN membina membantu Shah Rezza untuk bergiat lebih aktif.

Dikata tidak memenuhi tuntutan menutup aurat dalam menjayakan IFF, tetapi beliau ada alasan tersendiri

MENJADI model serta selebriti, malah pernah menjadi perunding majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin. Tidak lama selepas itu mengunjurkan Festival Fesyen Islam (IFF). Tiba-tiba nama bintang filem Ali Setan ini, kembali bangkit lantaran ‘kesungguhannya’ memperjuangkan busana Muslimah.

Bagaimanapun, dalam beliau jujur memperjuangkan misinya itu, beliau dikatakan terpesong dek kerana tidak memenuhi tuntutan berfesyen wanita Muslimah yang sebenar.

Pengerusi dan Pengasas IFF, Datuk Shah Rezza, mengakui beliau menerima kritikan hebat kerana perkara itu. Tetapi katanya, zaman silamnya usah ‘dikorek’ lagi kerana pengalaman lepas menjadikan beliau insaf dan memberi transformasi baru untuknya memperjuangkan Islam menerusi pendekatan cabang seni iaitu fesyen.

Antara latar hidupnya sebagai anak wayang dan pembabitan dalam dunia fesyen, beliau menganggapnya sebagai cabang seni dan tiada salah memperjuangkan serta mengangkat martabat busana Muslimah, sesuatu yang selama ini mungkin ramai pihak pandang sebelah mata.

Beliau sebaliknya tidak melenting, tetapi akan tetap meneruskan IFF yang akan muncul lagi buat kali kelapan pada 23 hingga 25 November berlangsung di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. Kritikan demi kritikan, katanya, beliau tidak kisah apa orang lain cakap sebab beliau tahu apa yang ingini dalam dunia fesyen Muslimah.


IFF meningkatkan martabat fesyen Muslimah.

RATU : Sejak menganjurkan IFF, bagaimana perkembangannya pada mata Datuk?

Festival Fesyen Islam (IFF) dianjurkan sejak tiga tahun lalu dan bulan ini adalah yang IFF kelapan. Apabila ia berjaya diadakan hingga ke lapan kali, maka saya melihat ia mampu berjalan dengan jayanya. Saya melihat ia menjadi landasan kepada pereka untuk tampil dikenali, selain menjadikan Malaysia dan rantau Asia amnya sebagai lokasi membeli-belah atau hub fesyen Muslimah. Sekiranya Paris dan Milan dilihat kota fesyen, saya fikir tidak mustahil di sini juga menjadi sedemikian sekiranya kita bersungguh-sungguh ke arah itu. Saya melihat usaha saya menganjurkan IFF ini adalah cara untuk kita bergerak ke arah itu. Tetapi saya tidak mengatakan ia usaha saya seorang, sebaliknya sekiranya pereka juga ikhlas dengan matlamat itu, mengapa tidak? Lagipun saya lihat sejak IFF diadakan, media massa sama ada televisyen atau akhbar dan majalah, turut berminat memaparkan fesyen Muslimah. Malah semakin giat orang membuka butik pakaian Muslimah, menunjukkan usaha saya itu sudah nampak hasilnya. Kalau dulu mungkin orang mengaitkan tudung dengan wanita kampung atau berusia, tetapi hari ini, gaya pemakaian Muslimah dipaparkan dalam pelbagai bentuk yang meningkatkan imej pakaian berkenaan seperti digayakan golongan korporat, di majlis formal, dan pelbagai acara lagi.

Hampir saban tahun IFF diadakan dan ia menerima kritikan, khususnya daripada segi pakaian model yang dikatakan tidak melambangkan Muslim sejati kerana tidak menutup aurat, rambut terdedah dan berpakaian tipis. Komen Datuk?


KERJASAMA pereka fesyen tonggak kejayaan IFF.

Saya tidak melihat kritikan itu menjatuhkan, sebaliknya melihat dari sisi positif walaupun orang mengaitkan ada negatif. IFF sebagai landasan baik untuk pereka kerana baru-baru ini saya ke Jakarta dan seorang pereka di sana mengatakan jualan busana Muslimah meningkat ke 80 peratus sejak IFF pertama diadakan. Berbalik ke isu tadi, memang ada yang mengatakan kenapa masih membenarkan model tidak menutup aurat dibenarkan mengadakan pertunjukan, tetapi jawapan saya mudah saja dan akan sama sepanjang masa iaitu, saya tidak mahu melakukan sesuatu dengan ekstrem atau keterlaluan. Pada saya sekiranya model mengenakan selendangpun sudah cukup baik. Saya tidak mahu kalau terlalu ketat syaratnya, maka golongan bukan Islam takut untuk datang menyaksikan IFF. Memang saya tahu soal aurat, tetapi saya tidak mahu ‘memaksa’ orang menerima cara sebegitu. Pada saya biarlah usaha menutup aurat itu datang secara sendiri tanpa paksaan kerana ia lebih ikhlas. Lambat laun apabila kerap mendengar mengenai IFF, mungkin ada yang terbuka hati untuk mengenakan tudung dan menutup aurat. Lagipun model itu hanya memperaga, dan saya fikir wanita Muslimah bijak menimbang apa yang dilihatnya dan dipraktik dalam hidupnya.

Difahamkan ada pereka yang tidak berpuas hati, khususnya pereka dari Indonesia yang tidak mahu menyertai sekiranya ia tidak menepati menutup aurat. Lagipun IFF itu membawa nama Islam, nama yang cukup besar dan memberi impak kepada golongan Islam secara keseluruhannya?

IFF yang pertama memang saya dikutuk, tetapi apabila model berselendang saya fikir sudah cukup baik. Memang pereka di Indonesia begitu eksterem kerana pakaian Muslimah di sana sudah lama bertapak. Ida Royani contohnya, sudah 30 tahun menjadi pereka pakaian Muslimah, tetapi kita di Malaysia, belum ada pereka yang benar-benar boleh dikaitkan dengan pereka pakaian Muslimah. Justeru saya merasakan pendekatan yang saya lakukan ini lebih mesra apabila pereka bukan Islam turut tertarik untuk menyertainya. Pereka Melinda Looi contohnya, tidak lokek membeli buku berhubung aurat wanita Islam kerana beliau merasakan ia baru dan menarik diterokai. Saya menerima pandangan mereka, tetapi tetap dengan pendirian saya. Terus terang saya katakan, memang ada garis panduan untuk pereka mereka busana digayakan model, tetapi tidaklah ‘hanya membuka muka dan kedua tapak tangan’ saya bukan syok sendiri dalam menjayakan acara sebaliknya sejak awal lagi sebelum menganjurkan IFF pertama, saya sudah berfikir secara mendalam. Untuk mengadakan acara sebegini, saya perlu menimba ilmu terlebih dulu, bukan terus buat saja.

Bagaimana rupa IFF tahun ini, adakah ia sama seperti tahun sebelumnya?

Buat pertama kalinya, IFF kali ini menggunakan tema ‘Ahlan Wal Sahlan’. Setiap pereka perlu tampilkan sentuhan Asia Barat tidak kiralah dari segi potongan atau penggunaan warna, sebaliknya bergantung kepada kreativiti pereka. Seramai 31 pereka mengambil bahagian termasuk dari Jordan, Iran dan Palestin. Nama besar seperti Jamal Taslaq dan Hana Sadiq yang mereka pakaian untuk Permaisuri Rania akan turut terbabit dengan buah tangan masing-masing. Muka pereka tempatan ternama seperti Khoon Hoi, Tom Abang Saufi dan Radzuan Radziwil akan tetap ada. Mungkin ada yang bertanya kenapa, tetapi seperti yang saya katakan tadi, Malaysia belum ada pereka busana Muslimah senior, justeru orang lama ini perlu ada kerana orang pasti ingin melihat buah tangan tuan rumah dan pastinya perlu hebat dan berbeza. Tidak ketinggalan beberapa rumah kebajikan yang akan menerima sumbangan hasil pertunjukan fesyen itu nanti seperti Yayasan Tunku Najihah, Perak Girls Guide dan Pink Unity.

Kenapa Datuk terfikir mengenai tema?

Perkembangan fesyen di rantau Asia tidak dipengaruhi empat musim sebaliknya sama saja sepanjang tahun. Justeru, apabila ada tema, dan setiap pereka memenuhi gaya tema berkenaan, maka pereka di luar sana dan orang ramai akan berlumba-lumba mendapatkan himpunan bertema seperti ‘Ahlan Wal Sahlan’ tadi. Kita ingin menjadi pencetus aliran. Ini kerana saya dapati di sini orang masih lagi menganggap pertunjukan fesyen sebagai hiburan semata-mata tanpa berbekas di hati. Kalau cantik maka mereka beli, itu saja. Tetapi bila ada tema kita mahu pereka berhempas pulas mengeluarkan idea dan apabila menjadi ikutan, ia lebih berbaloi kerana ada imbuhan hasil dari IFF. Saya berbesar hati penaung IFF, Datuk Seri Rosmah Mansor amat memberikan sokongan terhadap acara ini.

Menganjurkan IFF, tetapi tidakkah Datuk berminat membuka butik memeriahkan lagi industri fesyen Muslimah?

Serentak dengan IFF itu nanti saya akan turut merasmikan pembukaan butik Ya Jamil Couture di hotel berkenaan. Buat masa terdekat ia akan menghimpunkan busana terpilih pereka luar negara seperti dari Indonesia, Iran dan sebagainya. Ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan himpunan yang diingini itu nanti. Saya mahu ia ada kesinambungan dan tidak terhenti di pertunjukan pentas saja. Sementara itu saya akan turut memperkenalkan ‘Ya Jamil Ready To Ware’ untuk memeriahkan lagi dunia fesyen muslimah. Lokasi berkenaan dipilih kerana ia menjadi tumpuan pelancong, justeru saya fikir ia amat bagus sekali.

INFO:
DATUK Shah Rezza

Nama Penuh : Datuk Raja Shah Zurin Raja Aman Shah

Tempat Lahir : Perak

Lakonan : 2004 Pontianak Harum Sundal Malam

1992 Yang Di Sayangi

1990 Hati Bukan Kristal

1987 Marah-marah Sayang

1986 Ali Setan

Fesyen : Menganjurkan IFF sejak tiga tahun lalu dengan tujuh pertunjukan antaranya di Malaysia, Indonesia dan Dubai

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: