SOSEH SOSEH: Siapa Tidak Buat 'Homework'?

4 Nov

Rap
ANGIN sungguh rakan SS yang suka bergaya ranggi dengan kasut setinggi lima inci ini. Rupa-rupanya dia menonton satu program diacarakan pelakon popular.

Katanya, dia bengang kerana dalam satu segmen program hiburan itu menunjukkan cara wartawan bekerja melalui lakonan dua tetamu jemputan untuk watak wartawan dan artis popular.

Apa yang buat dia panas hati kerana ketika artis itu memperkenalkan namanya, wartawan itu pula sibuk berbedak dan mencalit gincu. Program itu gambarkan wartawan sebagai ‘adik-adik.’

Lebih membuatkan rakan SS itu geram kerana ia menunjukkan seolah-olah wartawan tidak buat ‘homework’ kerana asyik bertanya siapa nama artis itu dan beberapa adegan lain yang sangat menyinggung hati.

SS sebenarnya kurang pasti apa motif pengacara itu paparkan segmen begitu. SS juga tidak tahu siapa yang harus dipersalahkan apakah pengacaranya atau penerbit program, tetapi apa yang boleh SS katakan, sebenarnya mereka yang tidak buat ‘homework’ kerana memberi gambaran kerjaya wartawan secara umum sedangkan hakikat sebenar, ruang kerja wartawan ini berbeza.

Ada dari meja jenayah yang berhadapan dengan pelbagai kes rompakan, kemalangan dan pembunuhan ngeri, ada wartawan meja mahkamah yang melaporkan kes di mahkamah dan ada wartawan meja berita yang setiap hari bertemu menteri dan ahli politik.

Wartawan hiburan hanyalah sebahagian daripada cabang kerjaya kewartawanan dan mereka berhadapan dengan artis sebagaimana sering dialami pengacara itu. Apabila SS fikirkan semula, mungkin juga pengacara ini ada dendam dan sakit hati dengan wartawan. Maklumlah kesnya di mahkamah mendapat liputan meluas media hingga dianggap menjejaskan maruahnya.

Tapi hendak buat macam mana, wartawan menjalankan tugasnya kerana berita mengenai rumah tangga pengacara itu ada nilai berita. Jadi sudah tentu mendapat liputan meluas.

Nasihat SS, kalau tidak mahu diri menjadi bahan berita sensasi, jaga diri baik-baik. Kalau ada masalah rumah tangga, selesaikan secara baik. Kalau sudah jadi kes mahkamah, jangan pula marah wartawan kalau ada yang menyibuk buat liputan.

SS juga ingin mengingatkan pengacara itu, selama ini media juga yang mempopularkan dirinya. Kalau tidak silap SS, lama juga pengacara yang juga penyanyi dan pelakon ini menghilang, tetapi kembali memeriahkan dunia hiburan. Semua itu pastinya berkat publisiti media. Kalau tiada publisiti, macam mana dapat tawaran berlakon, menyanyi dan mengacara.

 

 

Ingin SS ingatkan di sini, artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini, Anita Sarawak, Rosyam Nor dan ramai lagi tetap perlukan publisiti apabila ada projek baru seperti album, program televisyen, filem atau konsert.

Kalau ikutkan, mereka sudah ada nama besar dan dikenali ramai, buat apa susah-susah buat sidang media panggil wartawan untuk uar-uarkan projek baru mereka.

Malah, artis terkenal dari seberang pun perlukan publisiti media di sini.

Mereka siap puji lagi wartawan Malaysia berdiplomasi ketika bertugas, jauh berbeza dengan wartawan di negara mereka.

Mungkin juga pengacara itu tidak terasa kesannya kalau media tidak mahu beri publisiti kepadanya. Wartawan juga manusia biasa, kalau orang tidak hargai apa yang kita buat, buat apa terhegeh-hegeh bagi publisiti percuma untuknya. Jangan pula nanti pengacara ini naik sasau apabila tidak dipedulikan.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: