Jemput 800, Datang Lebih 1,000

29 Oct

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Rap
NAMA Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih popular dengan panggilan Pak Engku, bukanlah asing di kalangan penggiat seni hiburan tanah air. Terkenal dengan masakan Melayu menerusi Kuzie Catering & Wedding, perniagaan yang beroperasi selama 20 tahun itu kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang masakan.

Digelar chef selebriti kerana pernah terbabit dengan perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan sebagainya, perkhidmatan yang ditawarkan Pak Engku turut meraih perhatian golongan VIP. Mengambil kesempatan menghargai mereka yang banyak membantu dan menyokong perjalanan Kuzie Catering, Pak Engku baru-baru ini mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, bertempat di Dewan Cattleya, Tingkat 4, Wisma PKPS, Shah Alam.

Dengan bertemakan warna hijau dan putih, kemeriahannya dirasakan umpama majlis perkahwinan apabila dihadiri lebih 1,000 tetamu. Malah, Pak Engku juga tidak lupa melaksanakan tanggungjawab sosialnya apabila turut mengundang seramai 60 anak yatim dari Rumah Balkish untuk turut serta berkongsi kegembiraan.

“Alhamdulillah, tahun ini kami dapat mengadakan rumah terbuka yang lebih besar berbanding tahun lalu sekali gus menghimpun rakan artis serta pelanggan Kuzie Catering dalam satu majlis. Sebenarnya, kami cuma menjangka hanya 800 yang hadir tetapi yang datang melebihi 1,000 tetamu. Melihat kehadiran tetamu yang ramai membuatkan saya terharu, bimbang pun ada, takut-takut makanan yang disediakan tidak cukup.

“Ramai tetamu yang saya sama sekali tidak sangka akan hadir seperti Aida Radzwill, Hamidah Wahab, Halil Chik, Nabil dan Irma. Justeru, sebagai tuan rumah saya menyusun 10 jari sekiranya ada sebarang kekurangan. Syukur, majlis hari ini diadakan berkat perniagaan kami yang terus mendapat sambutan biarpun banyak persaingan.

“Baru-baru ini, kami mendapat kepercayaan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyediakan makanan untuk 60,000 tetamu sempena acara aktiviti rumah terbuka. Malah, sepanjang Ramadan dan Syawal, permintaan terhadap Kuzie Catering meningkat dan ada pelanggan memberi cadangan supaya membuka cawangan berdekatan mereka.

“Ketika ini, kami dalam proses menerbitkan buku resipi yang memuatkan 60 menu terbaik lauk pengantin. Ia diilhamkan daripada permintaan pelanggan yang ingin mencuba resipi masakan kami. Selain itu, kami dalam usaha membuka institut sendiri yang memberi peluang kepada mereka berminat untuk mempelajari pelbagai resipi makanan dan pengurusan katering.

“Dari segi produk pula, kami akan memperluaskan lagi pasaran makanan beku seperti rendang. Ketika ini, kami sudah menerima permintaan dari golongan VIP untuk makanan beku tetapi tidak secara khusus. Jika tidak ada halangan, produk Kuzie Catering ini bukan saja akan menjengah pasaran tempatan malah luar negara,” katanya.

Berbalik pada acara Rumah Terbuka Aidilfitri Kuzie Catering itu, majlis dikendalikan dua artis terkenal, Raja Azura dan Jaafar Onn. Majlis yang mencecah belanja RM40,000 itu dimulakan jam 8 malam sebelum berakhir jam 12 tengah malam dan dimeriahkan dengan persembahan nyanyian artis baru dan berpengalaman.

Antara artis yang hadir ialah Haziq AF4, Mimi Loma, Halil Chik, Datuk Jefrydin, Juliza Adlizan, Rohana Jalil dan Othman Hamzah. Paling mendapat perhatian apabila Jamal Abdillah menyampaikan tiga lagu, satu daripadanya Salam Aidilfitri. Sebelum majlis menutup tirai, turut diadakan tarian poco poco yang disertai Pak Engku bersama tenaga kerja Kuzie Catering dan para artis yang hadir.

 

 

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: