Kawan Di Kala Suka Dan Duka

27 Oct

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
HUBUNGAN akrab pelakon veteran Rubiah Suparman dan penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan bukan sekadar rakan kongsi mengusahakan perniagaan Restoran Puteri sebaliknya lebih dari itu.

Malah, kata, Rubiah, 62, hubungannya dengan Habsah, 60, lebih rapat dari adik beradiknya sendiri.

Mereka mula berkawan sejak 1972 dan sampai hari ini, persahabatan itu sudah mencecah 37 tahun. Kata Rubiah, segala susah dan senang mereka kongsi bersama dari dulu sampai sekarang.

“Persahabatan kami juga ikhlas antara satu sama lain. Sebab itulah kami boleh menjadi rakan kongsi dalam perniagaan. Kami juga tidak pernah berahsia antara satu sama lain dan saling bertolak ansur dalam banyak perkara yang kami putuskan bersama.

“Habsah yang saya panggil Chah, juga tempat saya mengadu sebarang masalah termasuk berkaitan peribadi.

“Saya masih ingat lagi, ketika anak saya masih kecil dan saya ada masalah dengan bekas suami, Habsahlah tempat saya mengadu hal. Dia menyimpan semua rahsia saya dan begitu juga sebaliknya.

“Habsah juga banyak memberi pandangan dan nasihat pada saya. Pada pemerhatian saya, Habsah juga boleh kendalikan sesi kaunseling kerana dia memang pendengar yang bagus,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah, kata Rubiah, dia dan Habsah boleh menjadi rakan kongsi dalam perniagaan.

Katanya, Habsah juga tahu perjalanan perniagaan Restoran Puteri yang mereka usahakan bersama sejak awal lagi.

“Keuntungan yang diperoleh sama ada banyak atau sikit, kami akan kongsi bersama-sama. Apapun, saya bimbang, jika persahabatan kami itu diuji satu hari nanti,” katanya.

 

 

Rubiah yang ditemui ketika majlis penutup Aidilfitri Restoran Puteri, baru-baru ini mengakui sentiasa menjaga hubungan baik sesama artis sama ada lama mahupun baru, sampai sekarang.

“Mungkin kerana saya jarang bercampur dengan orang pada usia sekarang. Tapi, kalau berjumpa dengan mana-mana artis pun hanya sesekali saja. Setakat ini, tidak ada lagi artis yang saya jumpa tidak menegur jika berjumpa di luar. “Contohnya, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang saya kenal dari dulu sampai sekarang memang tidak pernah berubah sikap. Kalau dia nampak saya dari jauh pun, dia akan datang untuk bersalaman dengan saya,” katanya.

Majlis penutup Aidilfitri Restoran Puteri bermula seawal jam 4.30 petang, berakhir jam 10 malam. Lebih seribu tetamu hadir untuk memeriahkan majlis yang dianjurkan saban tahun untuk meraikan pelanggan, rakan rapat dan rakan artis itu.

Antara artis yang hadir, penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Datuk Sarimah Ahmad, Seniwati Norazizah, Dang Suria Zainurdin dan suami, komposer Ad Samad, penyanyi Nora dan suami Johan Nawawi, Noniswara dan suami, Aida Radziwill, Ketua Pegawai Eksekutif Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, Ziela Jalil, Linda Onn dan ramai lagi.

Sementara itu, Habsah pula berkata, dia memang mempunyai ramai kawan baik dan Rubiah adalah salah seorang darinya.

Hubungan mereka menjadi semakin rapat kerana kerap berjumpa sebagai rakan kongsi perniagaan Restoran Puteri.

“Rubiah juga tidak berkira dalam soal wang kerana persahabatan kami benar-benar ikhlas. Kami juga bersikap terbuka antara satu sama lain dan tidak pernah bergaduh sepanjang tempoh berkawan.

“Saya juga mengharapkan persahabatan kami ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Ciri-ciri yang ada pada diri Rubiah juga sama seperti yang ada pada suaminya yang juga ahli perniagaan. Rubiah mungkin nampak lemah lembut dari segi luaran, tetapi sebenarnya dia cekal dan tabah orangnya.

“Rubiah juga berani dan komited dengan apa yang dia lakukan terutama mengambil risiko dalam perniagaan kami ini.

“Saya pula nampak berani tapi sebenarnya takut untuk mengambil risiko. Kalau nak putuskan sesuatu berkaitan duit, saya selalunya berfikir panjang terlebih dulu. “Maklumlah, Restoran Puteri yang kami usahakan sejak 1980-an sampai sekarang pernah jatuh pada peringkat awal. Tapi berkat doa dan kerja keras, kami bangkit semula dan terus berkembang hari ini,” katanya.

Mengenai perkembangan perniagaan Restoran Puteri , Rubiah berkata, setakat ini, ia mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, dalam kegawatan ekonomi sekarang, Restoran Puteri terus bertahan dan mendapat sambutan dari pelanggan.

“Setakat ini, kami sudah mempunyai beberapa cawangan seperti di Brickfields, Taman Tun Dr Ismail, Sungai Penchala dan terbaru, Taman Shamelin, Cheras.

“Insya-Allah, jika ada rezeki dan semangat baru, kami akan buka cawangan baru dalam tempoh terdekat ini. Maklumlah, saya memang suka terbabit dalam perniagaan makanan sejak usia muda. Tapi, usia kini semakin meningkat dan saya sedar, bidang perniagaan ini bukan perkara main-main dan saya perlu ambil tahu dari A hingga Z.

“Salah seorang dari anak perempuan saya, Azida juga menunjukkan minat dalam perniagaan restoran ini dan saya berharap dia boleh mewarisi perniagaan ini satu hari nanti,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: