Kekok Gelaran Janda Meletup

26 Oct

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

TENTUNYA darjat seorang wanita lebih dihormati dan dipandang tinggi sekiranya mereka berstatus isteri. Namun, hakikatnya dalam sebuah kehidupan tidak semua bernasib baik dan melalui perkahwinan membahagiakan sampai akhir hayat.

Sedangkan bekas suami lagukan perceraian, media Indonesia hasut rakyat membenci, tapi KD bersabar

TENTUNYA darjat seorang wanita lebih dihormati dan dipandang tinggi sekiranya mereka berstatus isteri. Namun, hakikatnya dalam sebuah kehidupan tidak semua bernasib baik dan melalui perkahwinan membahagiakan sampai akhir hayat.

Ilahi sentiasa menguji umat-Nya, jika tidak kerana cerai mati, mungkin kegagalan sebuah perkahwinan itu berpunca dari kesilapan sendiri mahupun pasangan kita. Begitulah, situasi sedang dialami penghibur terkenal dari negara jiran Indonesia, Kris Dayanti (KD), 34, apabila rumah tangganya yang dibina bersama komposer terkenal, Anang Hermansyah, 40, selama 13 tahun musnah.

Sewaktu ditemui Jumaat lalu, sempena pelancaran album kompilasi terbaru, Aku Wanita Biasa yang diadakan di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng, KD baru dua hari memegang gelaran janda secara rasmi.

Tuntutan cerai KD terhadap Anang disahkan Pengadilan Agama Jakarta Selatan (Jaksel) pada 22 Oktober lalu. Dia diceraikan dengan talak satu. Justeru, KD sempat diusik sekumpulan wartawan dengan gelaran janda meletup sehingga membuatkannya terpinga-pinga.

Akui penyanyi jelita ini, meskipun berasa lega kes perceraiannya berjalan lancar dan dapat diselesaikan dalam masa singkat, namun jauh di sudut hati berat untuk menggalas status baru itu.

“Belum terbiasa, baru dua hari kembali hidup solo. Saya berharap selepas ini saya lebih berwaspada dalam menjalani kehidupan. Sememangnya tidak mudah melangkah sendiri. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan.

“Selepas mahkamah meluluskan perceraian kami, saya bertekad meneruskan hidup dengan semangat dan mendahulukan kebahagiaan diri. Itu yang lebih penting.

“Biarpun apa yang terjadi, ia sedikitpun tidak menghilangkan rasa hormat mahupun terdetik untuk melupakan pengorbanan mantan suami. Bagi saya, apa yang berlaku hanya saya, Anang dan Tuhan saja yang tahu,” katanya.

 

 

KD mendirikan rumah tangga bersama Anang pada 22 Ogos 1996 dan ketika itu dia baru berusia 21 tahun. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Titania Aurelie, 11 dan Azriel Akbar, 9.

Ini juga bukanlah perceraian kali pertama mereka kerana perkara sama pernah terjadi tiga tahun lalu. Bagaimanapun, pasangan itu mengambil keputusan berbaik semula dan kebenaran hal itu turut dicatatkan dalam biografi KD. Namun, berlainan situasi kali ini KD seolah membayangkan dirinya tidak mungkin kembali ke pangkuan Anang semula.

“Cinta saya sudah tiada. Namun rasa hormat terhadapnya tetap saya junjung tinggi. Walaupun diceraikan talak satu, saya pasti buat masa sekarang tidak mahu kembali bersama.

“Perkahwinan adalah soal kesepakatan dan kerjasama. Andai sama-sama sudah tidak bisa patuh, apa ertinya perkahwinan.

Kita seharusnya melangkah ke hadapan untuk mendapatkan kehidupan lebih baik,” katanya.

Penyanyi jelita yang melakar populariti di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari itu menegaskan bahawa dia tidak pernah curang terhadap bekas suaminya seperti diuar-uarkan.

Sekali gus, dia menafikan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan usahawan ternama dari Timur Leste, Rahul Lemos, yang didakwa menjadi orang ketiga sehingga menyebabkan keruntuhan rumah tangganya dengan Anang.

Mengenai kenyataan isteri Rahul, Silvalay Noor Athalia menerusi program televisyen di Jakarta yang turut disiarkan laman youtube yang mendakwa KD cuba mendekati suaminya malah memanggil Rahul dengan nama ‘Amour’ (sayang, cinta), KD punya jawapan sendiri.

“Dia sepatutnya memarahi suaminya jika benar suaminya itu selingkuh (curang). Bukannya mengaitkan nama saya. Saya mengenali suaminya ketika memenuhi undangan sempena majlis rasmi di Timor Leste. Malah, saya sempat bertemu wanita berkenaan namun semuanya baik walaupun waktu itu timbul gosip antara saya dan suaminya.

“Saya seorang yang terbuka. Saya mesra dengan semua orang dan akan menyapa mereka dengan panggilan sayang. Mungkin keramahan saya disalah ertikan,” katanya.

Berkenaan Separuh Jiwaku Pergi, sebuah lagu gubahan Anang yang mendedahkan kecurangan bekas pemenang Asia Bagus ini, KD berkata, ia barangkali ditulis Anang dalam keadaan sedang marah.

Kisah kecurangan dan perceraian penghibur kelahiran Batu Malang, Jawa Timur, ini bukan saja mendapat liputan meluas media Indonesia malah difahamkan segelintir mereka bersikap prejudis terhadap KD sehingga mempengaruhi rakyat negara membenci wanita itu.

Malah, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah kononnya Anang tidak memberi kebenaran pada KD menyanyikan lagu-lagu ciptaannya sekali gus mempengaruhi semua komposer negara itu.

Kata KD, apabila mendengar perkara itu dia jadi tidak selesa menyanyikan lagu Anang lalu penerbit albumnya, Octav Panggabean menghubungi Anang bagi mendapatkan penjelasan.

Ternyata kata KD, Anang tidak punya masalah mengenai perkara itu bahkan Melly Goeslow yang turut dikaitkan dengan hal ini, juga membuat kenyataan menerusi siaran langsung sebuah program televisyen mengatakan dia tidak pernah melarang KD menyanyikan lagunya. Perkara itu cukup melegakan KD.

Mengenai hubungan dingin antara Malaysia dan Indonesia akhir-akhir ini hanya disebabkan hal-hal kecil, KD turut ditanya apakah dia memainkan peranannya sebagai artis untuk memulihkan keadaan yang keruh itu.

Katanya, berada di sini satu penghargaan cukup besar buat dirinya apatah lagi ini tahun ke-11 dia mencipta nama di Malaysia.

“Kalau setiap kali menjayakan persembahan, saya selalu bilang pada peminat atau sesiapa saja saya tidak pernah ada masalah di negara ini. Bahkan saya sangat bersyukur peminat di Malaysia menerima baik kehadiran saya,” katanya.

Selepas majlis pelancaran albumnya itu, KD menjayakan persembahan amal untuk mangsa gempa bumi Padang di lokasi sama bermula jam 8.30 malam.

Ia dihadiri lebih 450 orang tetamu pada acara anjuran Tropic Jaya Entertainment dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Garuda Indonesia dan Borneo Baruk Club. KD menyampaikan 10 lagu antaranya Menghitung Hari, Aku Wanita Biasa, Ku Tak Sanggup, Pilihlah Aku dan Mencintaimu.

Boleh dikatakan persembahan malam itu yang dikendalikan Bill Bora dan Merry Ciaetul (bekas kumpulan Denpasar Moon) sebagai pengacara, menyaksikan nyanyian paling emosi KD di hadapan peminatnya.

Barangkali, masih bersedih dengan keretakan rumah tangga selain dilarang bertemu anak. Keadaan menjadi tambah emosi kerana kebanyakan lagu yang disampaikan malam itu adalah hasil ciptaan bekas suaminya.

Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa sebagai tanda sokongan kepada KD, turut diundang ke pentas berduet menerusi lagu Penasaran dan Kopi Dangdut.

Acara malam itu juga berjaya mencapai matlamatnya apabila berjaya mengutip RM74,234. Ini tidak termasuk sumbangan dari orang perseorangan antaranya Siti dan suami yang menyumbang RM10,000 serta pemilik Sari Ratu, Ramawindra (Datuk Mara Jogadang) yang menyerahkan RM12,000.

Semua sumbangan diserahkan kepada Timbalan Ketua Misi Kedutaan Besar Republik Indonesia, Tatang B Razak.

Sementara itu, album Aku Wanita Biasa diterbitkan Anang sebelum rumah tangga mereka bergolak. Ia memuatkan dua lagu baru ciptaan Anang, Aku Wanita Biasa dan Jangan Biarkan Cinta Menangis (duet bersama Anang) sementara enam lagi lagu dari album terdahulu, Ku Tak Sanggup, Pilihlah Aku, Mencintaimu, Menghitung Hari, Dilanda Cinta dan Mahadaya Cinta.

Album yang dilancarkan pada 19 Oktober lalu dengan harga RM25.90 ini turut memuatkan MTV karaoke Aku Wanita Biasa dan Dilanda Cinta.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: