Janda Meletup

26 Oct

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Krisdayanti

Biar pahit gelaran itu, Krisdayanti tidak mungkin rujuk kembali dengan bekas suaminya, Anang Hermansyah

Pergi saja, cintamu pergi
Bilang saja pada semua
Biar semua tahu adanya
Diriku kini sendiri

BUKAN sekadar sebuah lagu sebagai menghiburkan hati penggemarnya, tapi lagu Menghitung Hari yang berjaya meledakkan namanya di negara ini rupa-rupanya menjadi alunan suara hati penyanyi itu sendiri. Jika selama ini hidupnya bahagia di samping suami tersayang Anang Hermansyah berserta dua cahaya mata pengikat kasih, Titania Aurelie dan Azriel Akbar, kini tiga insan penting dalam hidupnya itu hilang dari pandangan mata apabila mahligai yang mereka bina sejak 13 tahun lalu musnah dilanda badai.

Selepas hampir dua bulan sudah tidak tinggal sebumbung, Khamis lalu lafaz talak satu yang digugurkan Anang pada 19 Ogos sudah disahkan Pengadilan Agama Jakarta Selatan (Jaksel). Kini, bermulalah fasa baru dalam kehidupan figura hebat bernama Krisdayanti atau KD apabila terpaksa menggalas status janda – gelaran yang amat ditakuti kebanyakan wanita. Gelaran yang melambangkan kelemahan dan menjadi tiket untuk orang berkata apa saja dan melemparkan sebarang tuduhan yang menyakitkan hati.

Pun begitu, bukan calang-calang wanita yang mampu menghadapi ujian ini dengan hati terbuka. Sama seperti wanita lain, KD mengakui bukan mudah untuknya menerima hakikat bahawa dia kini bergelar janda.

“Sejujurnya saya akui, memang saya tidak biasa untuk menghadapi semua ini. Rasa janggal apabila Anang tidak ada di sisi kerana biasanya, jika saya turun ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album atau mengadakan persembahan, pasti dia ada menemani. Tapi tak mengapa, saya akan belajar untuk hidup sendiri. Sebelum ini juga, sewaktu saya memulakan karier sebagai penyanyi, saya juga sendiri untuk membina.


BIARPun dilanda masalah peribadi, KD tetap profesional dalam kerjaya nyanyian.

“Dan saya juga dikelilingi mereka yang hidup sendiri seperti ibu dan kakak saya, Yuni Shara yang juga sudah bercerai. Jadi saya rasa tidak ada apa-apa masalah untuk menjalani kehidupan ini bersendirian tanpa seseorang bergelar suami. Kekuatan saya adalah keluarga yang memberi sokongan selain Tuhan,” ujar KD meluahkan apa yang terbuku di hati.

Perpisahan itu juga khabarnya bukan saja memisahkan KD dengan anaknya tetapi dia juga dilarang untuk menyanyikan lagu yang dicipta oleh bekas suaminya itu. Jika benar, apakah ini bermakna laluan KD untuk terus membina kerjaya semakin sukar?

“Semua itu tidak benar. Bukan saja Anang, malah saya juga ada mendengar cerita kononnya komposer lain juga dilarang untuk memberikan lagu kepada saya. Begitu juga dengan Melly Goeslaw yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan saya, namun selepas saya bertemu sendiri dengannya, perkara ini sebenarnya tidak berlaku. Lagipun, mengikut kontrak sewaktu rakaman album dihasilkan, saya tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu ciptaanya,” ujar KD membetulkan tanggapan salah itu.

Berbanding kali terakhir penulis menemuinya sekitar April lalu, susuk tubuh diva jelita ini kelihatan agak susut. Malah, wajahnya juga sedikit berubah. Tidak ada solekan tebal seperti selalu cuma canda tawanya saja yang tidak pernah berubah. Sesekali KD menghela nafas panjang sebaik saja mendengar soalan yang diajukan padanya. Biarpun ada di antara soalan itu agak panas, namun semuanya itu dijawab dengan segala senang hati.


KD ajak Siti berdangdut menerusi lagu Kopi Dangdut dan Penasaran.

Barangkali tentu ramai yang mahu mendengar sendiri dari mulut penyanyi ini, apakah perceraian yang berlaku itu berpunca darinya yang didakwa bermain api dengan seorang usahawan terkenal dari Timur Leste seperti yang diuar-uarkan?

“Saya tidak pernah berlaku curang pada Anang. Mengapa orang masih mengaitkan saya dengan orang itu dan ini serta memperbesarkan hal yang tak sepatutnya sehinggakan sikap saya yang mudah mesra dengan ramai orang turut disalahertikan banyak pihak. Saya seorang yang terbuka dan adalah perkara biasa bagi saya memanggil sesiapa saja dengan panggilan sayang.Namun perkara itu sudah dimanipulasikan oleh mereka yang suka mengambil kesempatan cerita seperti ini,” tegas KD sambil menafikan perceraian itu berlaku disebabkan keberaniannya mendedahkan rahsia peribadi menerusi buku My Life, My Secret.

Enggan mengenang sejarah silam dan ingin meletakkan noktah atas apa yang berlaku, KD berkata dia tidak akan kembali semula ke pangkuan suaminya.

“Cinta saya sudah habis, namun saya tetap menghormatinya. Walaupun dia menceraikan saya dengan talak satu, namun untuk saya kembali kepadanya, mungkin tidak. Perkahwinan adalah satu kesepakatan dan kerjasama. Jika sama-sama sudah tidak bisa mematuhinya, apa ertinya perkahwinan itu. Oleh itu, saya memutuskan untuk terus melangkah ke depan bagi mencari kehidupan yang lebih baik,” katanya ditemui media selepas sidang media sempena pelancaran album, Aku Wanita Biasa yang diadakan di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

Percaya bahawa berdiam itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan segala masalah, KD berkata itulah yang dilakukannya di saat keretakan rumah tangganya heboh diperkatakan ramai.

“Berdiam diri serta tidak mahu memberikan komen bukanlah bermakna saya ingin melarikan diri dari kenyataan. Cuma saya berbuat demikian kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Lagipun dalam situasi seperti ini, saya perlukan ketenangan. Jadi selepas perceraian saya disahkan Khamis lalu, barulah saya rasa lega dan bersedia untuk berkongsi cerita dengan media di sini,” ujarnya yang turut menjayakan persembahan amal bagi mengutip derma Tabung Gempa Bumi Padang, Indonesia pada sebelah malamnya di tempat yang sama.

Biarpun senyuman sentiasa menghiasi wajahnya namun jauh di sudut hati, naluri keibuannya terusik juga apabila sehingga kini dia masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan dua orang anaknya.

“Saat sebutan kes perceraian berlangsung, saya tiada di sana kerana terbabit dalam persembahan di Kuala Lumpur. Sehingga kini, saya masih belum dapat bertemu dengan kedua anak saya. Saya amat merindui mereka,” tuturnya.

Kris ‘dera’ Siti

BIAR hati dilanda rawan, namun tugas sebagai penghibur tetap dilaksana sebaik mungkin. Sejak awal lagi, Borneo Baruk Cafe yang menjadi lokasi persembahan amal KD padat dengan pelbagai pengunjung. Biar berbeza usia dan bangsa, namun tujuan mereka tetap satu iaitu untuk menyaksikan KD beraksi sambil melakukan kebajikan.

Tampil dengan gaun labuh emas potongan duyung, KD berjaya membuat kelab itu panas dengan persembahannya yang hangat dan bertenaga. Dalam pada berhibur, sempat juga KD mencuri perhatian penonton dengan meluahkan sedikit rasa hatinya yang baru saja bergelar janda. Malah, sempat juga dia berjenaka apabila memberitahu penonton yang dia kini ada gelaran baru iaitu janda meletup.

Melantunkan pelbagai rentak lagu termasuk lagu dari album kompilasi terbarunya itu, KD mengusik emosi penonton tetamu dengan lagu melankolik seperti Aku Wanita Biasa, Menghitung Hari, Cobalah Untuk Setia, Ku Tak Sanggup serta I’m Sorry Goodbye, rangkaian lagu yang boleh dikaitkan dengan kehidupannya ketika ini.Puas bersedih, KD tidak mahu penontonnya terus larut dalam emosi melankolik.

Seperti yang dinyatakan pada sidang media awalnya, dia mahu mengundang sahabatnya, Datuk Siti Nurhaliza untuk naik ke pentas, menyanyi bersamanya. Sebelum itu, sempat juga KD bercerita bahawa Siti adalah antara sahabatnya yang prihatin dengan keadaannya di saat dirinya sedang melalui ujian Tuhan.

“Siti ada menelefon saya sambil bertanyakan adakah saya okey?,” katanya sambil disambut jeritan penonton.

Lucu juga apabila melihat KD cuba ‘mendera’ Siti apabila meminta penyanyi nombor satu negara itu bergelek mengikut alunan melodi Kopi Dangdut dan Penasaran yang dinyanyikannya malam itu.

Sebelum acara tamat, KD turut menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM74,128 ribu kepada wakil kedutaan besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Tatang B Razak. Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, menerusi Yayasan Nur Jiwa turut menyumbangkan derma sebanyak RM10 ribu untuk acara amal itu.

Persembahan amal itu adalah anjuran bersama persembahan anjuran Tropic Jaya Entertainment, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Garuda Indonesia dan Borneo Baruk Club, sebagai penaja lokasi.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: