Kanvas Baru KD

24 Oct

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

BAGAIKAN bernafas kembali apabila permohonan cerainya diluluskan majlis hakim tepat jam 9 pagi waktu Indonesia, Khamis lalu. Biarpun jauh di Kuala Lumpur, penyanyi popular seberang ini tidak henti-henti melafazkan syukur.

Dia kini bebas, tiada lagi ikatan antaranya dan pemuzik terkenal, Anang Hermansyah, 40, yang dinikahi selama 13 tahun.

Bagi Krisdayanti, 34, ini permulaan baru dalam hidupnya. Tidak sesekali dia menyesali kerana apa yang berlaku itu ditakdirkan dan sebagai insan dia harus tabah menempuh kehidupan mendatang yang belum pasti bagaimana rupanya.

Sebagai wanita matang menilai erti hidup, dia sedar cabaran yang mungkin dihadapi selepas ini bukan mudah, tetapi dia percaya sang Pencipta tidak akan beri ujian di luar kemampuan makhluk-Nya.

‘Dengan status yang saya pegang sekarang, perlu ada semangat juang tinggi. Saya percaya Tuhan baik dan ada hikmah tersembunyi di sebalik setiap dugaan yang diberi.

‘Yang boleh saya katakan, diri ini ibarat uncang teh yang direndam dalam air panas. Lebih lama direndam, ia buat saya lebih pekat dan kuat biarpun sakit.

‘Saya harus ikhlas menerima ketentuan ini dan mendekatkan diri kepada Allah. Alhamdulillah saya tidak sendirian kerana keluarga sentiasa menyokong. Walaupun ibu tidak boleh berbicara, sokongan yang ditunjukkan menerusi mata dan hatinya menenangkan saya.

‘Di sebalik maklum balas negatif yang saya terima daripada segelintir peminat, masih ada yang memahami situasi dan terus setia bersama saya. Sikap terbuka mereka sedikit sebanyak buat saya semakin tabah.

‘Jika ada yang bencikan saya, biarlah kerana saya yakin bila tiba masanya kebenaran pasti tersingkap,’ kata anak kedua daripada tiga beradik yang menyayangi ibunya yang kini terlantar sakit akibat serangan angin ahmar selepas kakaknya, Yuni Shara bercerai tahun lalu.

Berbicara soal dia dikatakan murung serta enggan bertemu rakan dan media sejak berpisah dengan Anang, penyanyi yang mesra disapa KD ini berkata, dia mengambil pendekatan mengasingkan diri kerana tidak mahu keadaan bertambah keruh.

 

 

Saban hari diburu media yang tidak jemu-jemu memburu berita sensasi membuatkan ibu kepada Aurelie Nurhermansyah, 12, dan Azriel Akbar Hermansyah, 10, ini rimas. Dia hanya mahukan ketenangan, namun perkara itu sukar diperoleh lantaran sikap agresif media negara kelahirannya.

‘Dengan laporan media dari satu sisi saja yang belum tentu kebenarannya, masyarakat terus menghakimi saya.

‘Paling mengecewakan bila wartawan Indonesia yang mendakwa mereka profesional menuduh saya seperti pesalah kriminal.

‘Bagaimana saya bisa berbicara dengan tenang jika mahu menuju gerbang rumah atau masuk ke dalam kereta pun tidak diberi kesempatan berjalan.

‘Bahkan ada yang menyamar penjual rokok di depan rumah semata-mata mahu memerhatikan saya. Sebagai selebriti, saya sedar diri ini hak masyarakat tetapi saya juga perlu perjuangkan kehidupan yang lebih baik.

‘Daripada buat itu salah buat ini pun salah, saya ambil pendekatan berdiam diri. Cara ini bukan bermakna saya kalah, tetapi saya mahu ruang berfikir bagaimana mahu bangkit daripada segala permasalahan dan kegagalan ini.

‘Selain itu saya mahu menyendiri supaya dapat memutuskan adakah kemahuan saya benar-benar dari hati tanpa ada penyesalan,’ kata bekas juara pertama pertandingan nyanyian Asia Bagus ini.

Akui KD, ini bukan perceraian pertama, sebaliknya tiga tahun lalu Anang menjatuhkan talak satu ke atasnya di depan ibu bekas suaminya.

Ketika itu masih banyak cita-cita dan impian belum dicapai, malah hatinya tidak tegar untuk berdepan ujian seberat itu. Jauh di sanubari, dia ketakutan, ragu, bimbang dan malu hingga membuatkannya berfikir untuk terus mempertahankan hubungan bersama jejaka yang dicintai itu.

Bagaimanapun, kali ini dia cukup bersedia untuk menggalas status janda. Kata KD, biar apapun tuduhan dilempar kepadanya, dia punya alasan mengapa memilih jalan ini.

‘Lima bulan sebelum mohon diceraikan, saya hidup kesepian dan tidak dipedulikan lantaran Anang terlalu sibuk dengan kerjanya. Saya tidak diberi kasih sayang yang membahagiakan saya. Dalam tempoh itu berlaku hal kecil yang kemudian menjadi besar.

‘Tidak dinafikan dia mampu memimpin rumah tangga dengan baik, ingin bawa keluarga menuju akhirat, namun dia alpa banyak perkara perlu juga diberi perhatian termasuk kewangan, cinta dan tanggungjawab.

‘Biarpun tidak berdaya, ibu melihat kesedihan saya. Dari dulu Anang orangnya dingin dan tidak romantik. Saya tidak menyalahkan dia kerana bagi saya watak tidak boleh diubah jika empunya diri tidak mahu mengubahnya.

‘Seperti saya jelaskan dalam buku kisah hidup saya, selama setahun saya terjerat dengan dadah akibat dibiarkan sendiri. Di kemuncak karier, saya ada kaki untuk berpijak tetapi bukan tangan untuk berpegang. Saya ketakutan dan perlukan perhatian daripadanya.

‘Ketika menunaikan umrah bersama Anang, Ogos lalu, saya melakukan solat istikharah selama tiga hari tiga malam di dalam Raudhah (Masjid Nabawi, Madinah) memohon petunjuk Allah SWT apa yang terbaik buat saya. Sebagai wanita, saya perlu jaminan hidup lebih bahagia. Selepas mendapat jawapan, saya suarakan hasrat mahu berpisah kepada Anang,’ kata pelantun lagu Menghitung Hari ini.

Sambungnya, biarpun bukan lagi bergelar isteri, dia masih mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap lelaki itu. Baginya, momen perkahwinan mereka tetap indah dan akan terus dikenang hingga ke akhir hayat.

‘Reaksi Anang apabila saya menyuarakan keputusan mahu berpisah, dia bilang apa kata Allah. Saya kaget kerana saya fikir dia ikhlas. Demi menghormati Ramadan, saya mahu menunda perceraian tetapi dia mahu meneruskan.

‘Kami pulang daripada umrah pada 8 Ogos dan tidak lagi tinggal sebumbung. Biarpun berbincang secara baik di Makkah, dia langsung tidak mahu berjumpa saya. Mungkin sudah tertulis sampai masanya kami berpisah.

‘Sehingga hari ini Anang terus bersikap dingin, malah dia membuang segala anugerah yang kami peroleh tetapi saya ambil dan letak semula di dinding.

‘Dalam keadaan marah dan kecewa, ada kalanya manusia hilang pertimbangan dan saya tidak ambil hati.

‘Apapun saya sentiasa berdoa supaya Allah lembutkan hati Anang dan anak untuk menerima keputusan murni saya,’ katanya sebak.

Menyingkap dakwaan perceraian ini berpunca daripada kecurangan KD yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan usahawan Timor Laste, Raul Lemos, penyanyi kelahiran Malang ini yang juga pernah dikaitkan dengan gitaris Tohpati, Ari Sigit dan Dicky Wahyudi sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.

Tegasnya, sepanjang perkahwinannya ada perkara normal yang dilihat daripada sudut negatif, bahkan sikap keterbukaannya disalahertikan orang sekeliling.

‘Saya orangnya mesra dan sangat menghargai insan lain dan kadangkala mungkin berlebihan sehingga ia disalahertikan. Misalnya, saya mudah menggunakan perkataan ‘sayang’ kepada sesiapa saja dan ada kalanya anak melihat saya berpelukan dan nampak mesra dengan orang yang saya jumpa.

‘Di luar kemampuan saya untuk mengawal apa yang mereka fikir mengenai perkara itu. Sejujurnya, mereka tidak lebih daripada rakan kerja dan penaja program seni saya. Tohpati misalnya, saya menghormati kerja mereka, malah sepanjang dua tahun bekerjasama untuk persembahan saya, ada ketikanya kami berbincang hingga lewat malam.

‘Ada mata yang tidak suka, jadi timbul cerita saya berselingkuh. Biarpun pedih saya tidak menyalahkan mereka, apa lagi berdendam. Yang penting, saya terus melangkah dengan hal yang menurut saya benar dengan bersaksikan Yang Esa.

‘Segala keputusan yang saya ambil adalah kerana tidak lagi secocok, bukan kerana pihak ketiga. Apa lagi sekarang orang sibuk mencari bukti saya kononnya meruntuhkan rumah tangga orang.

‘Saya tidak setegar itu kerana sebagai wanita saya pernah merasa betapa sakitnya apabila tidak merasai kasih sayang dan saya percaya semua wanita akan kecewa dan sakit hati bila kehilangan insan dikasihi,’ kata KD yang akan bertemu media Indonesia hari ini untuk mengulas keputusan permohonan cerainya.

Rindu ibu ini terhadap anaknya tidak tertanggung. Dalam nada sebak dia meluahkan tidak pernah putus-putus mendoakan kebahagiaan zuriatnya.

Bahkan, jauh di lubuk hati dia yakin satu hari nanti Aurel dan Azriel akan pulang ke pangkuannya dan itu yang membuatkannya ikhlas menyerahkan hak penjagaan kepada bekas suami.

‘Ada banyak hal saya dikira, termasuk penjagaan anak di bawah usia 12 tahun, kerana saya tidak mahu ada lagi polemik timbul. Menyerahkan anak tanpa kerelaan satu pengorbanan besar, jangan ditambah lagi dengan perebutan yang tidak berkesudahan.

‘Saya yakin, sebagai bapa, Anang mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin dan tidak akan merosakkan anak saya.

‘Saya tidak marah dengan kenyataan anak yang menuduh saya berselingkuh kerana saya tahu dalam keadaan kecewa apa saja boleh berlaku.

‘Cuma terkilan dengan perubahan sikap mendadak mereka. Saya tidak tahu apa yang ditanamkan dalam minda mereka sehingga tergamak membakar surat saya.

‘Bahkan doa dan SMS saya dibalas dengan cacian. Saya rasa itu bukan kerja anak kerana saya tidak pernah mengajar mereka berkelakuan tidak sopan dengan orang tua.

‘Cukup menyakitkan bila tidak dapat bertemu dan membelai mereka, walhal sebelum ini kami sangat rapat. Setiap hari saya tulis dalam diari betapa rindunya saya terhadap mereka. Tidak pernah sekalipun terucap dalam hidup ini saya tidak menyayangi mereka. Saya tahu mereka memerlukan masa untuk menerima keadaan ini dan percaya satu hari nanti mereka akan kembali ke pangkuan saya. Kerana itu saya mengikhlaskan hak penjagaan anak kepada Anang,’ katanya sambil menegaskan, dakwaan anak bahawa dia berselingkuh dengan Lemos ketika bercuti di Bali bersama keluarga, Julai lalu, tidak benar sama sekali.

Ditanya soal berumah tangga lagi, sambil tersenyum diva tersohor ini menjelaskan, dia selalu berdoa semoga dipertemukan dengan seseorang yang jauh lebih baik, tidak perlu kaya, cukup dengan hanya ikhlas mencintainya dan keluarga.

‘Keluarga adalah segala-galanya buat saya. Andai ada cinta satu hari nanti, biarlah dia boleh menerima ibu, kakak, adik dan anak
saya seadanya.

‘Saya tidak mahu lagi ibu dan adik beradik rasa tidak selesa atau takut datang ke rumah saya seperti yang berlaku 13 tah
un ini. Aura itu harus diperbaiki kerana ia penting bagi saya,’ katanya yang turut menjelaskan dakwaan Anang tidak membenarkan lagu ciptaannya dinyanyikan adalah tidak benar.

Menyusuri perancangan karier tanpa Anang di sisi, KD yang tenang sepanjang temubual meskipun tidak mampu menyembunyikan rasa sayu berkata, menjayakan persembahan amal bagi mengutip derma Tabung Gempa Bumi Padang, Indonesia di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng, Jumaat lalu, adalah sebahagian permulaan baru baginya.

Kehadiran ramai peminat menyaksikan persembahan anjuran Tropic Jaya Entertainment dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Garuda Indonesia dan Borneo Baruk Club sedikit sebanyak mengubat luka hatinya, sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus giat memahat nama baik di Indonesia mahupun Malaysia.

‘Dalam persembahan itu saya menyampai lapan lagu yang dimuatkan dalam album terbaru, Aku Wanita Biasa. Album ini dihasilkan sebelum kami berpisah dan ketika itu rumah tangga kami masih rukun.

‘Malah Anang menghasilkan lagu Aku Wanita Biasa kerana kagum dengan kejujuran saya yang berani mendedahkan keburukan saya dalam buku biografi Catatan Hati Krisdayanti

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: