Lagu Buat Ayah

23 Oct

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap

SETIAP kali nama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin meniti di bibir, kemantapan vokalnya sering diperkata. Bahkan, sekalipun sudah berumah tangga dan mencecah usia 30 tahun, wanita kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini tetap cemerlang berlagu di pentas.

Malah, perkahwinan nyata bukan halangan untuknya terus berada di kemuncak kejayaan. Ini dibuktikan menerusi Konsert Eksklusif Satu yang dijayakannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 28 Jun lalu.

Hanya tiga hari, sambutannya tetap hebat. Namun, sayang sekali detik bersejarah itu tidak dapat dikongsi bersama bapa tersayang, Tarudin Ismail, 67, yang meninggal dunia pada 15 Februari lalu akibat serangan jantung, komplikasi buah pinggang dan kencing manis.

Sejak itu, ibunya, Siti Salmah Bachik menggalas peranan sebagai penguat semangat dan penyokong setia Siti selain suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (DK). Apapun, Siti seorang yang tabah apabila karier nyanyian digilap lebih sedekad lalu kekal kukuh.

Kemunculan artis baru, tidak menggugat takhta diungguli penyanyi wanita nombor satu negara ini. Namun, kasih ayah tidak pernah hilang walaupun jasad sudah tiada. Demi kasih itu, Siti dan adik-beradiknya merakamkan lagu istimewa.

Kata diva terkenal ini, idea merakamkan lagu Kini Kau Jauh ciptaan Aidit Alfian dan lirik Ad Samad itu datang daripada ibunya. Justeru, berkongsi perasaan yang sama, ia dinyanyikan Siti dengan adik-beradiknya – Ayie, Saida, Ali dan Sairah.

“Memang ketiadaan ayah cukup dirasai kami keluarga yang merinduinya. Namun, apabila ibu melahirkan idea ini rasanya ada baik juga menjadikannya realiti. Malah, ketika rakaman dibuat sebulan lalu, ibu turut luangkan masa hadir menyaksikan kami.

“Ini lagu istimewa kami sekeluarga buat arwah ayah dan akan dimuatkan dalam album duo Saida dan Sairah yang memuatkan lapan lagu. Ia dijangka berada di pasaran tahun ini juga berikutan semua lagu sudah dirakam dan kini dalam proses akhir,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini, selain sibuk menyiapkan album untuk artis di bawah naungan syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP), beliau juga akan menjayakan Konsert Warna Datuk Siti Nurhaliza pada 14 November depan.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-17 syarikat Hai-O Marketing Sdn Bhd (Hai-O) sebagai penganjur, Siti dijangka menghiburkan kira-kira 10,000 pengunjung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor bermula jam 8.45 malam selama dua jam.

 

 

Siti berkata, kira-kira 13 lagu akan dinyanyikannya secara solo selama 90 minit. Menurutnya lagi, semua lagu didendang nanti pernah dipopularkan sebelum ini. Turut ditampilkan tiga artis SNP iaitu Saida, Sairah dan Kumpulan Coda.

“Mereka akan membuat persembahan pada awal konsert. Saya membawa mereka bersama sebagai artis undangan di konsert ini untuk memberi pendedahan terhadap persembahan berskala besar. Secara tidak langsung, ini akan menjadi platform buat mereka.

“Apapun, saya berterima kasih kepada Hai-O kerana sudi memilih Siti Nurhaliza untuk menjayakan konsert sempena ulang tahun syarikat itu. Malah, pada konsert itu nanti saya akan menghiburkan 6,000 ahli Hai-O termasuk 4,000 peminat.

“Jadi, kepada orang ramai dan peminat yang ingin menyaksikan konsert saya ini, boleh mendapatkan tiket pada harga RM60 di Box Office (IB), Triways Travel & Tours (KLCC/ Taman Tun Dr Ismail), Malaysia Travel Bureau, Sri Amera Holiday Sdn Bhd (Plaza Alam Sentral, Shah Alam), Pasar Awam (Presint 16, Putrajaya) dan TicketCharge, The Boulevard (Mid Valley).

“Selain itu, tiket juga boleh dilanggan secara langsung di laman sesawang ticket2u.biz dan penjualannya bermula hari ini (semalam). Bagaimanapun, dalam konsert ini persembahan artis akan diiringi pemuzik profesional di bawah pimpinan Aubrey Suwito,” katanya.

Ditanya apakah dia menerima tawaran Hai-O yang melamarnya untuk konsert itu pertengahan Mac lalu disebabkan bayaran besar mencecah jutaan ringgit, Siti berkata semua itu hanya khabar angin semata-mata kerana jumlah sebenar tidak sebanyak itu.

“Apa yang saya boleh katakan, bayaran diterima sangat berpatutan. Malah, saya harap kemunculan di konsert ini dapat menghiburkan ahli Hai-O dan peminat dengan persembahan mantap dan bertenaga,” katanya bersemangat.

Ditanya mengenai sahabat baiknya, Kris Dayanti atau KD yang berkunjung ke negara ini kerana melancarkan album Kris di Kelab Borneo Baruk dan persembahan amal untuk mengutip derma tabung gempa bumi di Padang Indonesia, jam 8.30 malam, Siti berkata beliau akan menghadirinya.

“Sebagai rakan, saya akan memberi sokongan kepada KD terhadap kariernya dan bukan perihal peribadi. Soal kontroversi perceraian, tiada kena-mengena dalam persahabatan kami. Tambahan pula kami rancang menghasilkan album duet bersama.

“Dijangka proses rakamannya dibuat di negara ini dan bagi pihak saya pun, lagu sudah ada. Kini hanya menunggu lagu daripada KD saja. Walaupun menyedari situasi kurang menyenangkan sesetengah pihak di Indonesia terhadap Malaysia, ia ia tidak menjejaskan kerjasama kami,” katanya.

Menurut Siti lagi, jika semua berjalan lancar album duet itu akan di pasarkan di kedua-dua negara pada hujung tahun ini. Sidang media yang diadakan di SNP itu, turut dihadiri Pengarah Hai-O, Tan Kee Hock, Saida, Sairah dan kumpulan Coda.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: