Lenggok Tari 9 Pasangan

21 Oct

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
MUSIM ketiga sehati berdansa menyaksikan pasangan paling berketrampilan, pelakon dan pengacara Sazzy Falak dan suaminya, Nazril Nohd Idrus berentap dengan lapan lagi pasangan untuk merebut gelaran juara Sehati Berdansa musim ini.

Secara peribadi, Sazzy mengakui dia memang meminati bidang tarian sejak kecil.

“Sebenarnya, saya sudah minat dengan Raja Pop Michael Jackson sejak berusia enam tahun lagi. Saya juga sangat mengagumi kehebatannya ketika menari di pentas. Dari segi pengalaman pula, saya pernah buat persembahan tarian Melayu ketika darjah lima dan enam untuk konsert di sekolah.

“Terus terang, saya memang tak ada asas yang kukuh dalam bidang tarian dan hanya belajar menari menerusi klip video dan belajar dengan kawan-kawan yang pandai menari saja. Antara tarian yang saya suka ialah samba, salsa dan cha cha.” katanya.

Apapun, kata, Sazzy, dia memang menanti peluang untuk buat program realiti tarian Sehati Berdansa dan baru sekarang ia kesampaian.

“Saya dan suami juga beruntung kerana mempunyai pengurus yang mengatur agenda seni sepanjang tempoh tiga bulan kami terbabit dalam program realiti ini nanti.

“Pada masa sama, kami terpaksa mengurangkan aktiviti seni bagi memberi komitmen pada program ini,” katanya.

Sazzy berkata, dia dan suami juga membuat kajian berkaitan program itu sebagai persediaan untuk buat program itu.

“Kami juga menonton siri popular di Amerika Syarikat, Dancing With The Stars dan filem Dirty Dancing untuk mendapat gambaran lebih jelas berkaitan tarian ini,” katanya.

Selain Sazzy dan pasangannya, pelakon Anita Baharom, 26, dan suaminya, penerbit program, Mohamad Ismadi Ismail, 38, yang mewakili Persatuan SLE Malaysia juga turut terpilih pada musim ketiga sehati Berdansa.

 

 

Anita berkata, dia juga tidak berfikir dua kali apabila ditawarkan buat program realiti itu.

“Sebenarnya, saya memang minat menari dan sudah lama memendam hasrat untuk buat program ini. Apabila suami menyedari minat saya yang mendalam untuk buat program ini dia terus bersetuju untuk memenuhi hasrat saya itu.

“Saya juga terpaksa menolak tiga projek telefilem semata-mata untuk memberikan komitmen terbaik pada Sehati Berdansa. Suami juga terpaksa buat perkara yang sama kerana kami perlu saling bekerjasama untuk menjayakan program ini,” katanya.

Mengenai persatuan yang diwakilinya pula, kata Anita, secara kebetulan dia juga penghidap penyakit SLE dan lebih mudah untuknya memahami pesakit berkenaan.

“Sebenarnya, saya dapat tahu saya menghidap penyakit sistem imun badan terlebih aktif atau SLE ini selepas berkahwin.

Saya juga menghidap penyakit SLE sendi dan kulit dan kini bergantung dengan ubat untuk menahan sakit sampai sekarang.

“Apapun, penyakit yang dihidapi ini, ia tidak menghalang saya dan suami untuk berikan yang terbaik buat program ini nanti,” katanya.

Sazzy dan Anita akan berentap bersama tujuh lagi pasangan lain iaitu bekas pemain hoki kebangsaan yang juga pengarah syarikat, Mirnawan Nawawi/Noorah Mokhsin (Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan), pelakon Didie Alias/Nor Isham Ismail (Persatuan Epilepsi Malaysia).

Ahli perniagaan, Syed Hussein Syed Mustafa/Noor Diyana Muhammad (Persatuan Albinisma Kuala Lumpur dan Selangor), penyanyi kumpulan Lips, Nurul Huda Md Nasir (Oshin)/Mohd Firdaus Mohd Shukor (Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia), pemenang tempat kelima Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) Ismaliza Ismail/Zulkefli Majid (Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia).

Selain itu, pelakon dan pengacara Dira Abu Zahar/Tengku Shafiz-Rullah Tenku Mohd Shahid (Persatuan Thalassemia Malaysia) dan pelakon Alliza Abdullah (Enot)/Zainul Abidin Mat Noor (Yayasan Paru-Paru Malaysia).

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata perpisahan pasangan pengacara Sehati Berdansa musim ketiga, Fahrin Ahmad dan Scha Al Yahya tidak menjejaskan perjalanan program realiti tarian itu kerana mereka cukup profesional dalam menjalankan tugas masing-masing.

“Saya juga tidak menganggap hubungan cinta Fahrin dan Scha yang yang putus di tengah jalan itu sebagai kontroversi yang boleh menjejaskan program ini kerana ia cerita peribadi mereka.

“Scha dipilih sebagai pengacara Sehati Berdansa musim ini kerana popularitinya dalam Awan Dania yang turut mendapat sambutan paling hebat di Astro. Pihak kami juga sudah berbincang dengan Fahrin dan Scha berhubung perkara itu. Kami yakin, mereka berdua cukup profesional dan kami harap mereka tidak ada masalah sepanjang bekerjasama dalam program ini nanti.

Khairul Mizan berkata, pelakon dan pengacara Awal Ashaari juga diberi tanggungjawab lebih berat untuk menggalas tugasan selaku pengacara bersama Sehati Berdansa musim ini.

“Tidak ketinggalan, Pengasas Sayang Academy Of Dancing, Farah Sulaiman yang berpengalaman luas dalam bidang seni tari dilantik sebagai perunding tarian bagi memantau dan memberi nasihat kepada peserta serta jurureka tari masing-masing setiap minggu.” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom (Malaysia) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Khairul Mizan berkata, pihaknya yakin sembilan pasangan yang terpilih itu cukup untuk menghidupkan musim baru Sehati Berdansa.

“Sebenarnya, ramai yang berminat untuk menyertai Sehati Berdansa tetapi pihak kami perlu menilai sebab utama mereka untuk masuk Sehati Berdansa. Pihak kami juga memilih peserta yang boleh memberikan komitmen yang tinggi kerana peserta juga perlu beri perhatian 100 peratus pada badan kebajikan yang diwakili.

“Daripada 30 pasangan yang layak ke peringkat akhir, hanya sembilan pasangan yang layak untuk buat musim baru ini. Selain itu, populariti peserta juga diambil kira mengikut bidang masing-masing,” katanya.

Ditanya, musim baru ini kurang penampilan wajah popular, Khairul berkata, populariti itu bergantung pada bidang yang mana satu diwakili peserta terbabit.

“Jika nak diikutkan, pihak kami memang ada menawarkan Datuk Siti Nurhaliza tetapi dia tidak cukup masa pula untuk beri komitmen pada program ini,” katanya.

Persembahan pasangan selebriti ini akan diadili dengan sistem pemarkahan 50 peratus juri dan 50 peratus dari undian penonton. Pada setiap minggu, tiga juri akan memberikan markah persembahan berdasarkan mutu dan aspek teknikal persembahan.

Sembilan pasangan selebriti bersama jurureka tari masing-masing juga mula menggegarkan lantai tari Sehati Berdansa musim ketiga di Astro Ria (saluran 104) bermula 17 Oktober lalu.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: